Pages

Thursday, January 07, 2010

Pandangan Saya Tentang Dunia Penulis Muda Dalam Berita Harian, Semalam



Dunia penulis muda

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Badan korporat tidak beri sokongan jejas semangat berkarya

ANUGERAH penulis muda menjadi penanda aras dalam mengiktiraf kehadiran penulis baru dan menilai kualiti karya kelompok terbabit, selain berfungsi sebagai pendorong kepada penghasilan karya bermutu secara berterusan.

Malangnya, senario dunia penulisan sastera kini berbanding dekad 1990-an menyaksikan pengiktirafan terhadap penulis muda semakin kurang memberangsangkan ekoran semakin banyak badan korporat yang enggan bekerjasama bagi penyediaan dana.

Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat menyaksikan setiap tahun pengiktirafan khusus diberi kepada beberapa karya dalam Dewan Siswa dan Hadiah Khas Pengarang Muda - Sayembara Menulis Cerpen Esso-Gapena ke-10 pada 1996 menobatkan Raihani Mohd Saaid sebagai penerima.

Selain itu, Dewan Siswa juga pernah mengadakan Sayembara Menulis Cerpen Sekolah Rendah dan Menengah pada 2008, tetapi tidak lagi diteruskan pada tahun lalu.

Justeru, persaingan dalam dunia penulisan menjadi lebih sengit kerana penulis baru terpaksa bersaing dengan pengarang mapan sehingga boleh menyebabkan penulis muda terutama yang baru berjinak-jinak dengan sastera terpinggir.

Hakikatnya, senario itu berlaku akibat bidang sastera kurang mendapat perhatian dan sokongan daripada badan korporat untuk menaja anugerah penulis muda, sekali gus menjejaskan semangat golongan muda untuk memasuki gerbang alam penulisan kreatif berkenaan.

Penulis muda, Amran Ibrahim Rashidi, menyifatkan anugerah penulis muda wajar diadakan secara berterusan bagi menggalakkan kemunculan lebih ramai penulis muda dalam dunia penulisan tanah air kerana penganjurannya menjadi penyuntik semangat kepada penulis untuk terus berkarya.

“Malangnya, tidak ramai yang berminat menaja anugerah sedemikian kerana masyarakat lebih bertumpu memberi pengiktirafan kepada dunia hiburan. Justeru, tidak hairan sekiranya anugerah dan pentas untuk perkembangan dunia sastera kian terbantut,” katanya.

Amran melihat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) adalah satu-satunya anugerah yang diadakan secara tekal dan tidak membezakan penulis muda atau mapan, sekali gus dapat menyekat peluang golongan muda tampil setara dengan penulis mapan.

“Bagi memastikan perkembangan sastera secara berterusan, sudah sampai masanya golongan penulis muda merangka strategi baru seperti melantik ejen sastera dan menubuhkan kelab pembaca atau peminat.

“Pihak bertanggungjawab pula perlu memberi kerjasama dalam menyemarakkan program sastera dengan memberi penghargaan kepada penulis muda seperti dinikmati penyanyi baru dalam dunia hiburan,” katanya.

Bagaimanapun, penulis muda yang juga guru, Syarifah Salha Syed Ahmad, pula menganggap kelompok penulis muda tidak perlu meletakkan anugerah sebagai pendorong utama untuk berkarya, sebaliknya melihat ia sebagai pemugar semangat untuk menulis dengan lebih baik.

“Saya melihat banyak cara untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada penulis muda agar berkarya seperti mengadakan pertemuan bagi berbincang dan menyumbang idea sesama sendiri . Ia boleh dianjurkan secara santai seperti di warung kopi,” jelasnya.

Syarifah Salha berkata, kekurangan anugerah penulis muda berlaku akibat badan korporat beranggapan penajaan program berunsur sastera tidak berbaloi dan kurang mendapat liputan media massa kerana bidang terbabit dipandang dingin masyarakat secara amnya.

Justeru, beliau yakin sekiranya pihak berkenaan dapat menaja acara sastera dengan hadiah lumayan, sudah tentu ia mendapat sambutan dan penyertaan ramai, sekali gus menarik minat remaja untuk bergiat dalam aktiviti sastera.

“Kelompok penulis muda perlu meyakini kebolehan dan nikmat menulis adalah anugerah tertinggi kurniaan Allah, sekali gus bakat yang diperoleh itu menjadi sia-sia sekiranya tidak dimanfaatkan kerana tanggungjawab menulis dan berdakwah melalui pena terletak di bahu kita.

“Anugerah dan pengiktirafan pula hanya sekadar bonus kepada penulis, manakala keutamaan perlu ditumpukan kepada usaha mengembalikan kandungan sastera kepada ilmu agar sastera dapat dimartabatkan ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.