Pages

Tuesday, March 02, 2010

Wajarkah?

Tugasan yang terpundak di bahu memang banyak membantu seseorang menimba pengalaman dalam bidang yang diceburinya. Bahkan akan menjadikan seseorang itu mahir dalam bidang yang dikuasainya. Namun begitu, kemahiran yang dimiliki oleh seseorang bukanlah alasan untuk dirinya memikul tugasan yang sama sepanjang tahun dan setiap tahun tanpa diberi peluang beralih untuk menimba pengalaman dalam bidang lain. Jika begitu, orang yang mahir akan terus mahir dan orang yang 'lepas tangan' akan terus 'lepas tangan' sedangkan kedua-duanya sangat rugi kerana kepelbagaian pengalaman tidak dapat dirasai. Masing-masing akan terus berada dalam 'zon selesa'. Tambah membebankan jika tugasan tersebut adalah tugasan yang berat, memerlukan urusan kerja yang rinci dan teliti berbanding seseorang yang memikul tugasan yang ringan, tidak memerlukan pelaksanaan kerja yang rinci dan rumit. Wajarkah ini berlaku? Barangkali ada sesiapa boleh memberi pandangan yang bernas dan memotivasikan?

Sebagai guru, bukan alasan untuk saya menolak sebarang tugas yang dipertanggungjawabkan. Namun, saya tidak menafikan urusan dan kerja-kerja pentadbiran banyak mengganggu sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Apabila guru-guru dibebani tugasan pentadbiran yang banyak, secara langsung mengganggu mood untuk mengajar dan anak murid juga akan hilang tumpuan untuk belajar. Barangkali boleh diwujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk kerja-kerja pentadbiran di sekolah supaya guru-guru dapat memberi banyak tumpuan kepada sistem P&P.

Terpulang kepada para pembaca untuk membuat ulasan atau komentar. Jika penulisan ini dianggap tidak profesional, saya kira itu adalah pendapat masing-masing. Saya tidak gemar membebel di sini. Jika tidak, boleh saja saya menulis panjang lebar dan rinci hingga pembaca terpengaruh dan bersetuju dengan kata-kata saya. Saya lebih selesa menulis secara umum dengan banyak lapis makna agar pembaca boleh mentafsirnya sendiri.

+ Tazkirah untuk diri sendiri pada hari ini.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis riwayat Bukhari:

"Sebaik-baik manusia dikalangan kamu adalah sesiapa yang mempelajari al-Alquran dan dia mengajarkannya kepada orang lain".