Pages

Saturday, March 10, 2012

Rindu Bertandang



 Petang ini saya dengan tiba-tiba terasa rindu seperti mahu membaca karya-karya terbaru Azizi Hj Abdullah. Namun itu mustahil dan kerinduan ini saya ubati dengan membaca semula novel Allahyarham, 'Kawin-Kawin'. Inilah novel Allahyarham yang pertama saya baca ketika usia 22 tahun. Betapa terlewatnya saya mengenali karya-karya beliau. Saya bukanlah insan yang tepat untuk berbicara tentang beliau. Namun, rasa kagum dan kehilangan yang masih menghuni hati sukar saya gambarkan.  Pemergian beliau pada 21 Ramadhan 1432 Hijrah bersamaan 11 Ogos 2011 menjadi satu kehilangan besar kepada perjalanan sastera bangsa di Malaysia. Meskipun sepanjang hayatnya beliau tidak menerima Anugerah Sasterawan Negara, namun terbukti kehebatan seorang sasterawan bukan terletak kepada anugerah. Sebaliknya sejauh mana karya-karyanya terus 'hidup' dalam jiwa rakyat merentas zaman ke zaman. Justeru, ini salah satu jalan untuk saya berbahagi rasa. Semoga hasil tangan dan minda beliau akan terus merakyatkan rakyat di Malaysia kerana Azizi mempunyai sentimen semulajadi yang kuat terhadap kehidupan yang ditanam dalam karya-karyanya.