Pages

Monday, May 21, 2012

Akibat Banyak Ketawa

Sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak rancangan TV berunsur jenaka yang sengaja dibua-buat. Ketawa yang keterlaluan akan mematikan hati.


                                                       


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :


Maksudnya : "Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya dengan banyak ketawa ianya akan mematikan hati kamu".

Hadis Riwayat Ibnu Majah.


Ayuh contohi ketawa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.
Para sahabat pernah berkata “Ketawa segala nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak.”


                                  
Menyorot kembali kecelaruan dan kepincangan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat Islam khususnya dewasa ini, kita sering dihidangkan dengan bermacam program dan rancangan yang acapkali melalaikan. Membentuk generasi soleh dan solehah harus bermula dari rumah dan tunjangnya adalah ibu-bapa. 
Bagaimana anak-anak akan menjadi generasi yang soleh dan solehah jika tunjangnya tunggang-langgang dan sering melakukan perkara-perkara yang melalaikan? Meskipun sesuatu perkara itu dianggap remeh dan terlalu kecil kesannya, tetapi dalam jangka masa yang panjang ia akan membawa impak yang sangat besar dalam diri anak-anak. Bagaimana mahu mendidik anak-anak supaya taat menunaikan solat diawal waktu jika ibu-bapa sering melewat-lewatkan solat? 
Bagaimana mahu menerapkan kedalam jiwa anak-anak bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman jika ibu-bapa tanpa segan silu membuang sampah keluar dari jendela kereta. Segalanya bermula daripada sikap ibu-bapa. Betapa sukar mencorak jenerasi soleh dan solehah dengan keindahan budi pekerti kerana ibu-bapa harus memulakan dan membetulkan segala sikap yang kurang sopan dan kurang baik itu. 
Bukan sekadar berkongsi rasa dan gembira sahaja bahkan manusia dituntut untuk sering memperingatkan antara satu sama lain khususnya untuk diri sendiri.

Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru

Pengalaman yang sukar saya lupakan hingga kini sewaktu mengaji Muqaddam. Berminggu-minggu saya membaca namun tidak juga lancar. Sedia maklum, apabila tidak lancar guru saya tidak akan mengalihkan bacaan saya ke muka surat seterusnya. Oleh kerana itu saya ponteng mengaji tiga hari. Namun tembelang saya pecah apabila guru saya itu datang ke rumah kerana bimbangkan saya. Akibatnya saya dihambat oleh abah dengan rotan. Bermula hari itu saya terus hafaz dan lancar membaca dan khatam al-Quran pada usia 7 tahun. Kini, guru mengaji saya telah lama meninggal dunia.

Selamat Hari Guru kepada guru-guru saya, warga pendidik dan sesiapa sahaja yang pernah mencurahkan ilmu kepada saya secara langsung mahupun tidak langsung.










Wednesday, May 09, 2012

Pemantauan

Tengah hari ini saya didatangi oleh dua orang pegawai Pusat Kegiatan Guru (PKG), untuk melihat dan memantau sejauh mana pelaksanaan aktiviti Pusat Sumber Sekolah (PSS). Saya menyedari betapa kerdil dan kurangnya kemampuan diri untuk menggerakkan aktiviti PSS, memantau proses merekod buku-buku dan bahan-bahan bukan buku serta tugasan-tugasan lain yang melibatkan penggredan PSS. Sejujurnya, saya ditugaskan memegang jawatan sebagai Guru Perpustakaan dan Media (GPM)/ Penyelaras PSS dalam keadaan   'kosong' (kosong pengetahuan dan perlu memulakan kerja-kerja PSS yang terbengkalai sejak beberapa tahun lamanya) bermula tahun 2009. Apabila pertama kali menghadiri mesyuarat PSS (majoriti 'orang-orang lama') diperingkat daerah, saya tercengang-cengang. Tidak faham walau sedikitpun input-input yang disampaikan dan diperbincangkan dalam mesyuarat. Bertitik-tolak daripada ketidak fahaman itu saya menyelongkar dan menjelajahi dunia PSS secara atas talian. Tidak putus-putus bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada 'orang-orang lama'. Adakala tugasan yang berat ini menjadikan saya semacam berputus asa. 

Tahun demi tahun jadual waktu mengajar bertambah dan sehingga kini saya masih diamanahkan menjawat jawatan ini. Sepanjang tempoh hampir empat tahun ini pernah saya menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan kepada guru besar. Namun kepercayaan dan keyakinan guru besar yang sangat mendalam terhadap saya telah menjadi penghalang untuk saya berbuat demikian. Bahkan guru besar juga adakala sanggup bersusah payah dan membantu meringankan kerja-kerja saya. Banyak perkara saya pelajari apabila berada dalam dunia PSS. Tidak dilupakan juga peranan dan bantuan rakan sejawat merangkap pembantu saya yang telah sama-sama bersengkang mata menjayakan dan menggerakkan aktiviti PSS. Hanya ini kemampuan yang dapat saya persembahkan kepada pihak sekolah dan PKG. 

Kepada guru-guru GPM, kalian tentu lebih memahami tugasan yang digalas ini. Hanya yang pernah menjawat jawatan ini mampu merasai. Dapatkah kalian bayangkan seorang guru GPM mengajar sehingga 39 waktu seminggu? Jika kalian di tempat saya, apakah yang bakal kalian lakukan? 

Kepada pegawai PKG En. Rusli dan Pn. Ayu, terima kasih kerana memahami dan memberi sokongan. Saya berazam untuk melakukan yang lebih baik daripada sekarang.