Pages

Wednesday, March 29, 2006

DENDAM

Tiada lagi usapan
angin membelai dada,
tiada lagi pintalan
awan memesrai sukma,
yang kukuh
hanya ingatan bersama
hentaman kutukan
dalam subur lalang
kebencian.

Syarifah Salha Syed Ahmad
2 Mac 2006
11.15 pagi.

* Wajarkah manusia membiar akar dendam menjalar ke segenap tubuh?




Sunday, March 19, 2006

POHON-POHON AZIMAT

Pepohon yang berbaris itu
adalah pohon-pohon azimat
yang memberi nikmat sekebun sihat
yang menistiskan susu rahmat
buat tangan yang sudi berkhidmat.

Pepohon itu adalah sahabat
yang membisikkan api semangat
ke dalam jejiwa yang meminta hasil
agar membunuh jemu dan penat
meski keringat tak henti mengalir
kerana budinya yang busuk memekat
telah bertukar khidmat
mengalas perutku sesuap nasi.

Itulah pepohon azimat
yang membesarkan aku dengan cermat
di pinggitan terpencil dunia yang lirih
dan memberitahuku derita dua tangan
yang telah berkematu
milik jiwa ayah dan ibu.


Syarifah Salha Syed Ahmad
14 Disember 2005.

Sumber:Berita Minggu, 19 Mac 2006.

Terima kasih editor BM kerana menyiarkan karya saya.





Saturday, March 04, 2006

DUNIAKU


Image hosting by Photobucket


Di sinilah duniaku
meski sempit dan zulmat metah,
aku tenang berpaut
pada akar umbi kasih,
seorang wanita bergelar ibu
dan aku
bergantung berpaut
pada belai rahmat-Nya
Yang Maha Menganugerah
sekebun wangian cinta
buat diriku
yang enggan melihat,
dunia fana penuh dusta
kerana aku,
aman di atas singgahsana
sebuah istana bersalut permata.

Syarifah Salha Syed Ahmad
28 Febuari 2006
10.31 malam.