Pages

Monday, December 04, 2006

Berwacana

Berwacana




Sabtu lalu, saya hadir dalam majlis WACANA MEMBINA PEMIKIRAN DALAM KARYA bertempat di Pusat Kaunseling, Terminal One Shopping Complex Seremban. Banyak perkara dan maklumat baru diperolehi. Sangat tertarik saya dengan penyampaian dan penampilan Dr. Amida Abdulhamid atau lebih mesra dengan panggilan Kak Anis. Antara perkara yang diwacanakan:

1. Tiga aspek penting dalam penulisan sama ada berbentuk kreatif ataupun deskriptif- ialah logos (masej), ethos (ketrampilan penulis) dan pathos (mentaliti/emosi pembaca).

2. Menyampaikan pemikiran dalam karya melalui:
+ Kalimah- subjektif/objektif
+ Kalimah yang sugestif sifatnya
+ Imageri (gambaran)
+ Jukstaposisi (meletakkan dua fenomena seiring)
+ Dualisme (dua perwatakkan yang berbeza untuk seorang watak)
+ Satira
+ Fantasi
+ Wacana
+ Ketegangan
+ Humor

3. Manipulasi bahasa dan makna untuk meyampaikan maksud cerita dalam tulisan.

Aspek penting yang dapat saya pelajari terangkul dalam satu makna bahawa untuk menghasilkan sesebuah karya peri penting adalah masej yang ingin disampaikan agar dapat dikupas oleh pembaca akan maknanya.





Seperkara yang sangat penting sentiasa saya semat dalam hati adalah menulis! Menulis! Menulis!. Jika tidak menulis, sia-sia sahaja apa yang telah dipelajari.

Friday, December 01, 2006

Anugerah

Anugerah






Anugerah Satu:

Tiada istilah buruk dan dukacita dalam ketentuan Ilahi. Buruk yang disangka itu datang dari hati manusia. Dukacita yang diterima datang daripada perasaan manusia. Namun hakikat yang terjadi, buruk atau baik bagi pandangan manusia adalah di atas ketentuan Ilahi. Lupakah kita yang memberi dan menganugerahi sesuatu adalah Allah S.W.T?

Jarang sekali manusia mahu mensyukuri sesuatu yang dirasakan buruk pada dirinya. Apabila ditimpa kesakitan, manusia sering mengeluh. Lupakah kita akan rayuan Saiyidina Ali Karamallah Hu Wajhah, yang sering meminta ditimpa sakit?

Ketahuilah, sakit yang dirasakan derita dan malapetaka oleh manusia itu ada dua nikmat. Pertama: Allah mahu mengangkat darjat seseorang manusia di sisi-Nya. Kedua: sakit itu penghapus dosa. Oleh kerana itu, apabila seseorang di antara kamu ditimpa sakit, usahlah kamu mendoakannya agar cepat sembuh kerana doa itu bisa menghalanginya daripada diangkat darjat di sisi Allah. Juga bisa menghalangi dosa-dosanya daripada terhapus.

Anugerah Dua:

Setiap yang baik dan menggembirakan hati-hati manusia, tentunya diterima sebagai nikmat yang terindah. Seperti datangnya seseorang kepada kamu dan menyatakan berita gembira kepada kamu. Atau mungkin kamu dianugerahi darjah dan pingat kebesaran. Atau mungkin kamu dianugerahi kekayaan dan kemewahan hidup. Semua perkara itu kamu terima sebagai anugerah yang tidak terhingga peri nikmat-Nya.

Anugerah Tiga:

Nikmat kesenangan, kemewahan, kemiskinan, kesusahan, kegembiraan dan kesedihan yang datang silih berganti adalah anugerah daripada Allah S.W.T. Lupakah kita Allah pencatur sekalian alam? Lupakah siapa kita di sisi-Nya? Siapa kita yang berhak membuat penilaian dan berani pula berkata: mengapalah aku sering ditimpa ujian yang sebegini rupa? Beristighfarlah. Tahukah kita, hanya dengan berkata begitu tanpa sedar telah menggugat keimanan dan aqidah kepada Allah? Beristighfarlah.

Jadilah manusia dan hamba yang sering bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T walaupun sedikit. Selak kembali lembaran ayat suci Al-Quran yang barangkali sering kita baca namun terlupa untuk menilai maknanya.


"Jika kamu bersyukur (berterima kasih) nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kafir (tiada berterima kasih), sesungguhnya siksaanKu amat keras." (Surah Ibrahim-ayat: 7).

Semoga yang ditulis ini dapat memberi peringatan dan pengajaran kepada diri saya dan anda semua