Pages

Monday, December 22, 2008

Kerja Tangan Manusia

Seronok juga jika sekali sekala dapat berbuat begini. Selain otak, tangan manusia juga sangat kreatif. Oh ya! Bukankah kerja tangan kreatif itu dihasilkan oleh otak manusia? Jika dilihat pada tembikai yang diukir ini, sekadar boleh dilihat bukan untuk dimakan. Kebiasaannya begitulah. Di majlis-majlis kenduri kahwin misalnya, ukiran pada tembikai sangat cantik dijadikan hiasan meja pengantin. Kanak-kanan yang melihat pun sekadar menelan liur. Tidak kurang juga ada yang menangis kerana tidak dapat makan tembikai yang cantik tersebut. Apakan daya, yang cantik dan indah tidak semestinya boleh dimakan. Jika nak makan sekalipun, tunggulah majlis selesai. Namun begitu, tembikai yang diukir tersebut hanya akan menjadi makanan ulat kerana manusia tidak sanggup memakannya dek kerana terpesona dengan kecantikan dan keunikan hasil kerja tangan manusia. Walaupun manusia ada kelebihan untuk berbuat sesuatu, namun tidak semua idea yang lahir dari otak harus dicurahkan tanpa memikirkan kesan dan akibat pada jangka masa akan datang. Kita dikurniakan akal untuk berfikir. Berfikirlah dengan waras supaya orang-orang yang menikmati idea atau hasil kerja tangan kita dapat merasai kewarasan dan kewajaran fikiran kita. Betapa indah dan mulia andai manusia tahu menggunakan akal ke jalan yang diredai Allah. Semoga kita dijauhi daripada sifat-sifat tercela dan dimurkai Allah.

+ Segala yang baik itu datang daripada Allah s.w.t dan segala kelemahan serta kekurangan datang daripada diri saya yang daif.

Thursday, November 20, 2008

Kerjaya mulia

Hari ini berakhirlah sudah Majlis Konvokesyen Kursus Perguruan Lepas Ijazah (SR) Mode LPBS j- QAF di Dewan Sri Siantan Perbadanan Putrajaya yang bermula sejak Isnin lalu. Alhamdulillah, dengan penganugerahan Diploma Pendidikan secara rasmi melayakkan saya bergelar Guru Siswazah Terlatih meskipun proses pengesahan jawatan mengambil masa lebih kurang setahun. Semoga dengan pangkat cemerlang pengkhususan Pengajian Bahasa Arab ini dapat meniup semangat dan memberi motivasi kepada diri saya untuk mendidik anak bangsa dengan bersungguh-sungguh. Semoga ilmu yang diperolehi juga dapat dimanfaatkan untuk menyediakan modal insan bagi keperluan agama, bangsa dan negara.


+ Biarlah ramai yang memandang rendah pada kerjaya yang mulia ini. Namun, saya bangga bergelar guru!


+ Tanpa guru, siapalah saya pada hari ini. Terima kasih kepada semua pensyarah Institut Perguruan Raja Melewar atas ilmu yang dicurahkan selama satu tahun enam bulan yang lalu. Tanpa guru-guru sekalian, mana mungkin saya bergelar guru kini.



+ Petang Esok saya akan berangkat pulang ke kampung suami, wilayah Kedah selama satu bulan. Mungkin jarang sekali dapat memaparkan entri baru.

Monday, November 17, 2008

Sambutan Tertangguh

Sebetulnya Ulang Tahun Perkahwinan saya dan suami adalah pada 11 September yang lalu. Isnin petang kami buat tempahan kek. Niat di hati malam Selasa nak meraikan ulang tahun tersebut. Namun sebagai manusia kami hanya mampu merancang tetapi Allah adalah penentu segala. Sambutan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana pada pagi Selasa saya menerima surat dari JPNS mengarahkan berkursus di Ayer Keroh, Melaka bermula jam 2.00 petang Selasa hingga Khamis. Terpaksalah akur. Memang sedih kerana ini adalah tahun kedua pernikahan kami namun sambutannya tidak dapat diadakan tepat pada tarikhnya. Tapi tak apalah saya pun minta ibu saudara (tukang buat kek) tunda penghantaran kek pada hari Ahad, 16 November 2008.

Pengalaman mengikuti Kursus Peningkatan Penilaian Kemahiran Komunikasi Bahasa Arab j- QAF di MITC Ancasa Hotel memang menyeronokkan. Sepanjang di sana, kami diwajibkan bertutur dalam Bahasa Arab. Hal ini mengembalikan nostalgia saya sepanjang berada di bumi Mesir, bertutur dalam Bahasa Arab dimana sahaja. Di sekolah saya akan bertutur dalam Bahasa Arab apabila mengajar sahaja kerana tiada teman untuk berbicara dalam bahasa tersebut. Mujur masih ada ruang berbahasa Arab jika tidak kemahiran berbahasa akan hilang andai tidak dipraktikkan. Sejujurnya semasa membuat permohonan menjadi guru j- QAF saya memilih opsyen Pendidikan Islam kerana setaraf dengan pengkhususan ijazah saya iaitu Syariah Islamiah. Namun apakala ditawarkan mengikuti KPLI opsyen Bahasa Arab diberi kepada saya. Saya hanya ada dua pilihan sama ada menerima atau menolak tawaran tersebut. Jika menolak bererti saya tidak bergelar guru sekarang ini. Akhirnya saya menerima tawaran tersebut memandangkan Bahasa Arab adalah Jabatan pengajian saya semasa di universiti dan pengajian di sana sepenuhnya dalam Bahasa Arab. Tidak ada sebab untuk saya menolak. Meskipun saya adalah guru bahasa, namun saya diamanahkan mengajar al- Quran dan tetap mampu mengajar matapelajaran jawi. Itulah kelebihan guru Bahasa Arab berbanding guru-guru bahasa lain.


Pada Jumaat petang pula saya dan suami bertolak ke Tiara Beach Resort, Port Dickson atas urusan Family Day sekolah. Kami bermalam di sana. Banyak tujuan diadakan Family Day antaranya untuk mengeratkan ukhuwwah sesama warga sekolah, meraikan guru-guru di atas sumbangan dan tanggungjawab yang dicurahkan kepada pelajar juga sebagai tanda penghargaan kepada dua orang guru ganti yang menamatkan perkhidmatan pada tahun ini.


Ahad tengahari pula saya dan suami meraikan Ulang Tahun Perkahwinan kami yang ke- 2. Kami ke studio gambar mengabadikan kenangan di sana dengan pakaian pengantin yang lenggap bersongkok dan bersampin bagi suami. Seperkara yang melucukan apabila para pelanggan di sana tidak putus-putus mengucapkan tahniah kerana mereka menyangka kami ini pasangan pengantin baru. Kami hanya mampu tersenyum dan menahan tawa.



Saya mengharapkan semoga perkahwinan yang terbina selama dua tahun ini akan mampu bertahan hingga membawa ke Syurga. Doakan kebahagiaan kami berkekalan, diberkati Allah, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta dimurahkan rezeki.

+ Saya akan berkonvo pada Khamis ini di Putra Jaya, insya- Allah.

Thursday, October 30, 2008

Lawa vs Tak Lawa

Untuk renungan bersama. Mana-mana kenyataan tidak benar abaikan sahaja.
Sekadar berkongsi e-mel yang dikirim oleh rakan sejawat.

Kalau perempuan lawa pendiam
Lelaki akan cakap: woow! Ciri-ciri isteri idaman.
kalau perempuan tak lawa pendiam
Lelaki akan cakap: eh tak reti komunikasi betul.

kalau perempuan lawa berbuat jahat
Lelaki akan kata: mesti ada krisis dalaman
ni.kasihan
kalau perempuan tak lawa berbuat jahat
Lelaki akan cakap: dah la tak lawa, perangai pulak
hodoh.

kalau perempuan lawa menolong Lelaki yg
diganggu
Lelaki akan cakap: heroin sejati!
kalau perempuan tak lawa menolong Lelaki yang
diganggu
Lelaki akan kata: taktik nak ngorat le tu.

kalau perempuan lawa dapat Lelaki hensem
Lelaki akan kata: ok gak la.
kalau perempuan tak lawa dapat Lelaki hensem
Lelaki akan kata: kasihann..mesti kena bomoh lelaki
tu!

kalau perempuan lawa ditinggal kekasih
Lelaki akan kata: buta kayu betul mamat tu.
kalau perempuan tak lawa ditinggal kekasih
Lelaki akan kata:patut pun kena reject.

kalau perempuan lawa penyayang binatang
Lelaki akan cakap: perasaannya halus.Penuh
kasih sayang.
kalau perempuan tak lawa penyayang binatang
Lelaki akan cakap: sesama keluarga memang
harus menyayangi.

kalau perempuan lawa bawa BMW
Lelaki akan cakap: ntah dato' mana bela nih.
kalau perempuan tak lawa bawa BMW
Lelaki akan cakap: mesti anak org kaya nih.

kalau perempuan lawa tak mahu bergambar
Lelaki akan cakap: pasti takut kalau-kalau gambarnya
tersebar
kalau perempuan tak lawa tak mahu bergambar
Lelaki akan kata: sedar pun diri.

kalau perempuan lawa menuang air ke gelas lelaki
Lelaki akan cakap: carring sungguh.
kalau perempuan tak lawa menuang air ke gelas
lelaki
Lelaki akan cakap: nak tunjuk carring le tu.

kalau perempuan lawa bersedih hati
Lelaki akan cakap: dont worryi will make u happy
forever
kalau perempuan tak lawa bersedih hati
Lelaki akan kata: sikit2 nak nangis! Mengada-ngada.

kalau perempuan lawa masak
Lelaki akan kata: dah la lawa, pandai masak pulak
tu.
kalau perempuan tak lawa masak
Lelaki akan cakap: ntah sedap ke tak?

kalau perempuan lawa main-main miss call
Lelaki akan kata: takpe...
kalau perempuan tak lawa main2 miss call
Lelaki akan cakap: kau ni takde keja lain ke? Sibuk
ni tau!

kalau perempuan lawa hantar email
Lelaki akan kata: sukanya!
kalau perempuan tak lawa hantar email
Lelaki akan cakap: balik-balik email dia. Borring

Ulasan saya:

+ Perempuan yang cantik atau lawa di sisi Islam adalah perempuan yang tinggi malunya, menutup aurat, beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T

Maksud hadis Riwayat Imam Bukhari: Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya diantara ajaran yang didapati oleh manusia daripada kalam nubuwwah yang pertama ialah: "Apabila kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu suka."

Sabda Rasulullah S.A.W dengan maksud: " Sifat malu adalah satu cabang daripada iman."

+ Kesimpulannya, cantik atau lawa seseorang wanita diukur pada sifat malunya. Andai hilang malunya nescaya keburukan akan tersebar melata.

+ Manusia yang melakukan perkara-perkara mungkar adalah manusia yang hilang sifat malunya terhadap Allah S.W.T.


Sekadar gambar hiasan


Thursday, October 23, 2008

Tidak Selamat

Dahulu, kita sering berfikir jika tinggal di bandar tidak selamat. Ada rompakan sana-sini. Pecah rumah tidak kira siang atau malam. Pembunuhan berlaku di mana-mana. Penculikan tidak kira usia dan bermacam-macam tanggapan yang hakikatnya adalah realiti kita lihat pada hari ini. Tetapi sekarang, tinggal di mana-mana pun adalah tidak selamat hatta di kampung sekalipun. Beberapa hari yang lalu, sebuah rumah di kampung saya dirompak. Mangsa adalah pasangan suami isteri yang bakal berangkat menunaikan haji tiga minggu dari sekarang. Bukan pencuri ya! Tapi perompak. Saya katakan perompak kerana nilai harta yang dirampas itu bukannya sedikit, tetapi mencecah nilai lima ribu ringgit Malaysia. Dua ribu daripadanya adalah wang tunai manakala selebihnya adalah barang kemas dan telefon bimbit dengan nilai mencecah tiga ribu ringgit Malaysia. Sangat tidak disangka, perompak itu telah menggeladah rumah mangsa sejak jam 8.00 malam sebelum disedari oleh penghuni rumah tersebut jam 9.00 malam. Maklum saja, di kampung kebiasaannya penghuni-penghuni rumah akan mengunci pintu rumah pada jam 10.00 malam. Untuk pengetahuan pembaca, rumah mangsa terletak berhampiran dengan jalan raya. Di kiri rumah mangsa ada sebuah rumah (rumah bapa saudara saya), di belakang rumah mangsa ada dua buah rumah dan di sebelah kanan rumah mangsa ada sebuah rumah yang tidak berpenghuni (penghuni rumah pulang setahun sekali, waktu raya sahaja). Diceritakan semula oleh mangsa, pagar rumahnya digunting dari arah sebelah kanan berhampiran rumah yang tidak berpenghuni. Perompak itu masuk melalui pintu dapur yang tidak berkunci. Mangsa (isteri) menyedari bau asap rokok dalam rumahnya sedangkan suaminya tidak merokok. Ekoran daripada itu mangsa yang sedang menonton tv bangun lalu masuk ke dalam biliknya kerana bau asap rokok itu datangnya dari arah bilik. Apalagi, saat pintu bilik terkuak perompak tersebut terus mengacukan parang ke leher mangsa. Maka mangsa pun terus menjerit. Suami mangsa pun terus bergegas apabila mendapati isterinya menjerit. Dengan bijaksananya perompak yang seorang diri itu memaksa mangsa supaya mengikat tangan suaminya. Kemudian perompak itu mengikat pula tangan mangsa. Setelah selesai merompak, perompak itu segera menelefon sahabatnya agar bersiap sedia melarikan diri dengan motosikalnya yang berkuasa tinggi. Pada malam tersebut gemparlah kampung saya dengan cerita rompakan yang tidak disangka-sangka itu. Persoalannya, siapakah perompak itu? Berbangsa apakah dia? Menurut mangsa perompak itu bukan dari kalangan penduduk kampung ini kerana tubuhnya besar. Bukan di kampung ini tidak ada orang yang bertubuh besar, tetapi besarnya tubuh perompak itu adalah lebih besar daripada penduduk kampung ini yang dikatakan besar itu. Untuk pengetahuan penduduk kampung ini tidak ramai lebih kurang seratus orang sahaja, jadi antara kami memang saling mengenali bak kata pepatah "sekilas ikan di air tahu jantan atau betinanya". Suara perompak itu pula adalah suara orang Melayu. Jadi dapatlah disimpulkan, bahawa orang yang mencuri ini kebarangkalian adalah 'orang luar'. Apapun saya tidak mahu mengulas lanjut, biarlah pihak berkuasa yang menyiasat. Sebagai pengajaran daripada kisah ini, kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada walau dimana berada tidak kira masa dan tempat. Kita juga hendaklah "jaga tepi kain orang" supaya apabila kain jiran terkoyak, kita dapat bertindak sebagai pelindung maruah dan diri jiran kita itu.



Lakaran wajah perompak yang saya gambarkan.
Sekadar gambar hiasan.

Friday, October 17, 2008

Pandangan Orang Biasa Dan Pandangan Penulis


Seringkali penulis dilabel sebagai seorang insan yang suka berkhayal, berimaginasi dan agak keterlaluan juga apakala penulis dilabel sebagai agen pemusnah bangsa dan negara kerana hasil penulisannya mampu menarik minat dan kepercayaan pembaca. Pandangan-pandangan yang terlontar ini berbeza mengikut perspektif masing-masing, baik yang positif atau negatif bergantung kepada kepentingan individu yang memandangnya. Namun demikian, pandangan-pandangan yang sedemikian ini secara langsung telah merungkai perbezaan pandangan antara orang biasa dengan penulis. Orang biasa memandang sesuatu fenomena dengan pandangan biasa, ringan, enteng dan kurang serius manakala penulis pula memandang sesuatu fenomena dengan pandangan yang serius, berat, rinci dan mendalam. Sikap ingin tahu peristiwa disebalik fenomena disamping menyelongkar sedalam-dalamnya fenomena berkenaan adalah interpretasi yang memperlihatkan perbezaan utama antara orang biasa dan penulis. Pandangan yang serius inilah telah melahirkan hasil karya saya selama hampir enam tahun berkecimpung dalam mandala penulisan. Tidak pernah menduga hasil-hasil karya akan dibukukan. Kini, buku-buku ini adalah bukti keseriusan saya berfikir tentang fenomena yang berlaku di atas muka bumi ini. Meskipun usaha ini tidak seberapa, namun ia banyak mendidik jiwa saya tentang sifat sabar. Andai tidak mampu memberi sumbangan yang teramat besar kepada tanahair sekalipun, setidaknya saya telah memberi sumbangan sebagai pemikir dan penulis ke arah usaha membentuk jiwa, akhlak, budaya bangsa meskipun menunggu hasilnya adalah agak lama. Siapa tahu, barangkali buku-buku ini akan ditatap oleh anak cucu saya kelak.

Thursday, October 09, 2008

Cerita Raya

Alhamdulillah, Syawal kali ini disambut dengan ceria dan penuh kesyukuran. Tahun lepas, kami sekeluarga berdukacita kerana dua hari sebelum Idulfitri saya, adik dan ibu ditimpa kemalangan. Pada hari raya kedua pula dua orang adik lelaki terlibat dengan kemalangan juga. Syawal yang kami sambut merakam memori yang sukar dilupakan. Tahun ini, kami menyambut Syawal dengan kadar yang sederhana namun penuh makna. Kuih-muih dipelbagaikan hasil tangan sendiri. Ketupat, rendang dan lemang juga seperti tahun-tahun sebelumnya adalah hidangan wajib di pagi raya. Bila Syawal menjelma saya adalah orang kedua yang sangat sibuk selain daripada emak. Oleh kerana saya ini anak sulung, maka sayalah yang menguruskan segala hal daripada bab-bab menghias rumah hinggalah kepada hal masak-memasak. Dalam banyak-banyak hal juga emak lebih senang meminta pendapat saya. Pendek kata saya menjadi tempat rujukan adik-adik dan keluarga dalam banyak perkara. Syukur, sebagai anak dan juga isteri saya diberi kekuatan melaksanakan tanggungjawab mengurus keluarga dengan baik.





Seperkara tentang sambutan Syawal yang sangat menyeronokkan adalah amalan bertakbir dari rumah ke rumah pada malam hari raya yang menjadi tradisi turun-temurun di kampung kami. Selepas solat Isyak, jemaah masjid akan bertandang dari satu rumah ke satu rumah melaksanakan takbir raya. Selesai bertakbir mereka akan dijamu makanan dan minuman yang disediakan oleh tuan rumah. Kemudian barulah mereka menuju ke rumah-rumah yang seterusnya. Amalan ini bukan sekadar dapat mengeratkan ukhuwwah dan silaturrahim malah mampu menjadikan kita hamba yang tahu memanfaatkan masa dan hari kemenangan umat Islam dengan amalan yang baik dan memuji serta mengagungkan Allah S.W.T.

Pada malam tersebut, saya berjaga hingga lewat 2.00 pagi kerana menunggu kepulangan suami yang menyertai rombongan takbir tersebut. Pagi Syawalnya, kami beramai-ramai ke masjid menunaikan solat sunat Idulfitri, kemudian beramai-ramai ke kubur bertahlil dan berdoa untuk kaum keluarga yang telah pulang ke Rahmatullah. Berziarah kubur bukan amalan yang diwajibkan, namun sebagai peringatan kepada mereka yang masih hidup agar menginsafi diri dan sentiasa mengingati kematian. Bagi keluarga saya, berziarah kubur adalah amalan tradisi kami sejak dahulu.

Sekitar jam 11.30 pagi baru kami pulang ke rumah menghidangkan juadah disamping bergambar beramai-ramai. Kebiasaan pada hari raya kami tidak akan biarkan rumah tidak ditunggu. Jika hendak berhari raya ke rumah sanak-saudara kami tidak akan beraya beramai-ramai. Sebaliknya kami ada jadual tertentu. Hal ini kerana kami tidak mahu menghampakan sanak-saudara dan rakan-taulan yang datang berziarah dari jauh. Mereka tidak akan menelefon atau memaklumkan untuk datang seperti kebanyakan orang yang berbuat begitu. Justeru, rumah kami akan diserbu pada bila-bila masa sahaja tidak kira siang atau malam.

Hari raya ketiga seawal pagi saya dan suami pulang ke Alor Star, Kedah. Sampai di daerah Yan, kami singah beraya di rumah saudara-mara. Sikitar jam 6.30 petang baru kami tiba di Alor Star. Usai solat Isyak pula saya, suami, bapa mentua, kakak ipar dan anak-anak buah bertandang ke rumah saudara sebelah bapa mentua atas jemputan kenduri arwah.

Sabtu sebelah petang, kami ke Kodiang (rumah Ummi Hani Abu Hassan). Setiap kali pulang ke Kedah, memang kami akan menziarahi ummu sekeluarga dan setiap kali itu jugalah ummu akan mengabadikan kenangan bersama kami dengan bergambar sekeping dua. Namun, kami sering terlupa membawa kamera apabila pulang ke Kedah. Justeru, kenangan-kenangan indah hanya dapat kami rakamkan dalam kotak ingatan sahaja.

Sehari sebelum pulang, pada petangnya suami membawa saya bersiar-siar di kawasan sawah padi menggunakan motosikal. Itulah pertama kali kami bersiar-siar menggunakan motosikal. Suasana yang sangat romantis, ditemani bangau-bangau yang berterbangan dengan indah pelangi berpasangan yang muncul di kaki langit, seperti cerita orang-orang zaman 60-an. Kebiasaan kami ke mana-mana menggunakan kereta. Jika hendak bermotosikal di kampung saya serasa tidak sesuai kerana tiada pemandangan sawah padi seperti di Kedah. Hendak ronda-ronda keliling kampung pun hanya kelihatan pokok-pokok kelapa yang tinggi mencakar langit.

Selasa pagi, kami pulang ke Negeri Sembilan dengan selamat. Semalam saya kembali menjalankan tugas di sekolah. Terima kasih kepada guru besar yang mengizinkan saya bercuti pada Isnin dan Selasa.

Esok, ada jamuan Idulfitri di sekolah bersama pegawai-pegawai PPDJJ. Minggu depan pelajar akan mula menduduki ujian akhir tahun. Saya hanya mampu tersenyum kerana soalan-soalan ujian telah dibereskan menjelang Syawal tempoh hari.

Sunday, September 28, 2008

Menjelang Syawal

Oleh Syarifah Salha Syed Ahmad


DUA hari sudah berlalu. Rumput-rumput panjang keliling rumah masih belum habis dipangkas. Mesin rumput mula buat ragam. Sekejap berfungsi, sekejap tidak. Ada-ada saja ragamnya. Menjadikan kerja-kerja Tok banyak tertangguh.

Belakang Tok mula rengsa-rengsa dan anatomi tubuh juga turut menua. Tok tidak larat berlama-lama menyandang mesin. Dahulu sebelum Abang Farid belikan mesin, Tok pangkas rumput guna sabit saja. Tiga hari boleh siap. Badan Tok juga tidak sakit-sakit. Malah, bertambah sihat kerana sentiasa berpeluh.

Tok tidak suka biarkan kerja-kerjanya terbengkalai, sebab itu Tok terus pangkas rumput dengan sabit. Tok buat sikit-sikit hingga keliling rumah tampak bersih dan indah dipandang mata.

Tok tidak salahkan Abang Farid mahu beli mesin rumput. Barangkali, Abang Farid kasihan tengok Tok terbongkok-bongkok menyabit rumput. Sebab itu Abang Farid belikan mesin. Masa mula-mula beli tidak pula meragam. Semenjak dua menjak ni saja buat ragam. Sama dengan tubuh renta Tok yang kerap sakit-sakit dan meragam juga.

Tinggal dua hari saja, Syawal akan menjelma. Persiapan menjelang raya masih banyak belum dibereskan. Buluh untuk buat lemang dan panjut belum dicari. Daun pisang buat lapik isi buluh lemang juga belum disediakan. Kayu buat unggun api pula belum dikapak. Begitu Tok mencongak-congak kerja yang akan dilakukannya menjelang raya.

Tahun ini pelajar sekolah dapat cuti dua hari sebelum raya. Selepas raya hanya dapat cuti satu hari sahaja. Mujur Sabtu dan Ahad juga cuti. Menjadikan jumlah cuti raya kira-kira satu minggu. Alangkah gembira hati Muslih, cucu tunggal Tok kerana dapat berlama-lama berhari raya.

Hari ini Muslih berpuasa. Baru sembilan hari jumlah puasanya. Muslih mahu cukupkan sepuluh hari. Meski tidak sampai 30 hari berpuasa, Muslih tetap gembira kerana jumlah puasanya bertambah berbanding tahun lepas, hanya lima hari.

Tok lihat jarum jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Muslih masih cendera tidurnya. Melihat tampang Muslih yang comel dan tubuhnya yang tembun, buat hati Tok rasa kasihan. Tok tidak sampai hati mahu kejutkannya. Lagipun Muslih sudah solat subuh. Jika digerakkan awal pagi khuatir Muslih cari alasan untuk buka puasa. Muslih memang begitu, suka bangun lewat teangahhari apabila berpuasa. Muslih selalu cakap kepada Tok: kalau Leh bangun lewat sikit taklah rasa lama sangat posa. Leh letihlah, nak tunggu sampai berbuka nanti. Begitu alasan yang selalu Muslih berikan kepada Tok. Tok hanya mampu tersenyum dan bercanda pula: orang yang bangun lewat puasanya terbatal. Cuba tengok perut Leh yang kembung! Tentu banyak telan air liur. Tok suka benar 'menyakat' Muslih yang baru mencecah usia enam tahun itu. Tok suka lihat tampang Muslih kemerah-merahan apakala 'disakat'. Sambil senyum-senyum simpul, Muslih akan usap-usap perut buncitnya, macam perempuan mengandung empat bulan.

Sejak dilahirkan Muslih memang tinggal dengan Tok dan Nek. Tok merayu kepada Abang Farid dan Kak Soraya supaya jangan bawa Muslih tinggal di Kuala Lumpur. Tok khuatir Muslih akan membesar dengan cara budak-budak bandar. Lagipun Abang Farid sangat sibuk di hospital menguruskan pesakit. Kak Soraya pula sibuk mengajar di universiti. Sekejap kursus sana dan sekejap kursus sini, sebab itu Tok lebih senang lihat cucu yang sorang itu tinggal dengannya di kampung.

Tok buat semua itu untuk kesejahteraan mereka juga. Cuti hujung minggu boleh saja mereka pulang, jenguk Muslih. Setidak-tidaknya dapat juga jenguk Tok dan Nek yang sudah tua. Alhamdulillah, hasrat Tok tidak dibantah oleh Abang Farid dan Kak Soraya meskipun kedua-duanya berat hati mahu tinggalkan Muslih.

Tok tidak terniat mahu pisahkan mereka anak-beranak. Memisahkan orang anak-beranak memang pedih. Umpama kematian orang tersayang. Tok pernah merasai perit-pedih dipisah-pisahkan anak-beranak. Ketika itu, zaman penjajahan Bintang Tiga. Betapa hancur-luluh nubari saat Tok terpisah dengan kedua orang-tuanya. Bertambah pedih pilu saat Tok dikhabarkan akan berita pembunuhan kedua-dua ibu-bapanya.

Tahun ini Nek tidak akan buat banyak kuih. Kak Soraya maklumkan mahu beli 'kuih tunjuk'. Apa boleh buat, anak menantu mahu belikan, Nek menurut saja. Buat kuih banyak-banyak membazir pula. Cucu tidak ramai. Siapa pula mahu makan. Membazir juga amalan syaitan dan Nek teringat kalam Allah dalam Surah al-Israk ayat 27, "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu, adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat ingkar akan Tuhannya." Justeru, Nek ambil keputusan bersederhana sahaja dalam setiap perbuatan dan tingkah laku. Nek tidak mahu tergolong dalam golongan yang dimaksudkan oleh Allah dalam surah tersebut.

Malam ini Nek perlu bersihkan para-para yang bersawang. Cadar, langsir dan sarung kusyen yang dibasuh semalam perlu di pasang semula. Daun ketupat dianyam. Ayam kampung yang disembelih oleh Tok perlu dicabut bulunya. Abang Farid anak tunggalnya gemar amat makan ketupat cicah rendang ayam kampung. Menantunya Kak Soraya pula gemar makan ketupat cicah kuah kacang. Begitu Nek berkira-kira mahu menyudahkan kerja-kerjanya yang masih berbaki. Menjelang Syawal nanti, dapat juga Nek berehat dan memperbanyakkan amal ibadat di malam terakhir Ramadan. Esok, lemang kesukaan Tok dan cucunya, Muslih perlu dibakar. Namun entah bila Tok mahu ambil buluhnya. Nek tidak kuasa mahu paksa-paksa. Tahulah Tok membuat kerja-kerjanya. Begitu perkiraan Nek.

Hari ini langit cerah. Kepul-kepul awan yang memutih sangat indah dipandang. Tiada tanda-tanda bahawa hari ini akan hujan seperti selalu. Tok tidak mahu berlengah. Tinggal dua hari saja Aidilfitri akan menjelang. Tok mahu ke sungai ambil ruas buluh untuk buat lemang dan panjut. Muslih, suka benar makan lemang. Jika Muslih tahu Tok hendak ke sungai, tentu Muslih mahu ikut.

Tok masih berkira-kira mahu ajak Muslih atau tidak. Jika tidak ajak, tentu Muslih akan 'tunjuk rasa', mengurung diri dalam bilik dan tidak mahu makan walau sebutir nasi. Itu yang buat Tok rasa serba salah. Jika tidak diikutkan ragam cucu yang seorang itu, Tok juga yang akan dapat susah.

Tok ikat parang berserta sarungnya di pinggang dengan tali. Tok cuma pakai kain pelikat yang digulung hingga ke paras betis dan juga kemeja lusuh. Tok juga pakai kopiah yang sudah kekuningan dan dipenuhi tompok-tompok hitam. Tok terjengkit- jengkit pijak lantai rumah. Tok goncang tubuh Muslih perlahan-lahan. Tok bisik-bisik ke telinga Muslih beritahu hendak ke sungai. Mendengar begitu, Muslih cepat-cepat bangun, terpisat-pisat menuju ke bilik air lalu mencuci muka. Muslih ambil parang plastik yang Tok beli di kedai Tauke Chin tiga hari lepas, lalu ikat di pinggang serupa macam Tok buat.

"Leh, janji ya! Jangan bagi tau Nek."

Tok letak jari telunjuk atas bibir, beri isyarat supaya Muslih faham.

"Ok! Leh janji."

Muslih angguk-angguk tanda faham.

Tok dan Muslih berjalan senyap-senyap menuju ke sungai tanpa pengetahuan Nek. Jika Nek tahu Tok bawa Muslih, pasti Nek akan protes. Mujur Nek tidak nampak kerana ralit menyiram sayur-sayuran di kebun.

Sepanjang perjalanan, Tok bernyanyi kecil lagu Allahyarham S Jibeng, "Musafir di Aidilfitri." Hati Tok sangat girang. Tok mahu Muslih makan lemang yang dibuat oleh Nek. Nek memang pandai buat lemang. Cukup santan dan cukup rasa. Sebab itu lemang yang Nek buat sangat lemak dan sedap. Tambahan pula, Tok sendiri pandai kawal api supaya lemang tidak berkerak dan keras. Lembut apakala dimakan. Tok sedia maklum, lemang yang dibeli tidak sesedap seperti yang dibuat sendiri. Khuatir jadi seperti tahun lepas, lemang basi sebelum sempat dimakan. Apakan daya, tahun lepas Tok tidak berkesempatan cari buluh lemang kerana hujan turun lebat pada penghujung Ramadan.

Tok juga mahu Muslih lihat cahaya panjut pada malam raya. Tentu Muslih gembira. Sudah banyak tahun Tok tidak dapat pasang panjut pada malam raya. Juga kerana tidak sempat ambil ruas buluh akibat hujan.

Saat sampai di tebing sungai, Tok lihat rimbun pokok buluh tumbuh segar. Kelihatan beberapa rumpun buluh seperti baru saja dipangkas. Barangkali orang-orang kampung telah mengambilnya. Tok rapatkan diri ke perdu buluh lalu ketuk-ketuk batangnya.

"Kenapa Tok buat macam itu?"

Muslih juga ikut sama ketuk batang buluh dengan parang plastiknya.

"Oh! Tok mahu uji yang mana tua."

Tok tersenyum sambil tetak buluh sebatang demi sebatang. Buluh tumbang mencium bumi.

Tok rintis ranting dan daunnya yang berbulu-bulu. Tok ketam buluh ikut ruas hingga cukup sepuluh ruas. Bila sudah cukup Tok masukkan ke dalam guni beras. Tok jerut hujung guni dengan tali. Kemudian Tok ketam pula buluh yang lain sedepa- sedepa untuk dibuat panjut. Cukup lapan depa Tok ikat dengan akar pokok yang menjalar, di pangkal, tengah dan hujungnya.

"Eh-eh! Leh jangan sentuh buluh ni. Merenyam kulit tu nanti terkena miangnya."

Muslih tidak jadi menyentuh buluh-buluh yang sudah Tok ketam. Muslih bercangkung saja tengok Tok rintis ranting dan daun buluh tersebut.

Apakala sudah selesai, Tok pikul buluh-buluh yang sudah diikat ke atas bahu sebelah kanan. Tangan sebelah kiri pula menjinjing guni yang penuh berisi ruas buluh. Tok jalan perlahan-lahan. Muslih pula berjalan di depan. Tok pesan kepada Muslih supaya berhati-hati. Di kiri dan kanan susur jalan banyak akar-akar pokok, tunggul kayu dan tunggul buluh. Jika tersadung kaki, buruk padahnya.

"Leh, hati-hati! Jalan perlahan-lahan. Jangan berlari begitu."

Tok merungut-rungut lihat ragam cucunya yang sorang itu. Apa boleh buat. Ragam Muslih sama dengan Abang Farid masa kecil-kecil, sangat nakal dan tidak mahu dengar cakap. Namun, kala dewasa Abang Farid berjaya bergelar doktor. Tok sangat berharap Muslih juga akan jadi insan yang berguna dan berjaya kelak.

Muslih masih berlari-lari anak. Pokok-pokok renik di tepi-tepi jalan habis ditebas-tebas dengan parang plastik kesayangannya itu. Akibatnya, pokok-pokok renik itu kelihatan gondol. Hanya tinggal batang-batang yang berceracak. Daun-daunnya kelayuan menimpa bumi. Sambil-sambil menebas, Muslih bercakap-cakap seorang diri. Muslih memang begitu, suka bercakap sorang-sorang. Kadang-kadang kelihatan seperti bercakap dengan seseorang. Namun Tok sudah faham. Dunia kanak-kanak memang begitu. Tok tahu cucunya ada imaginasi sendiri. Kelak Tok yakin Muslih akan jadi orang yang berani bercakap depan khalayak.

"Tok! Cepat, Tok."

Muslih menggamit-gamit Tok yang keciciran di belakang.

"Tunggu, Leh!"

Tok teriak kuat-kuat. Tercungap-cungap.

Sesekali kedengaran batuk tua yang semakin menjadi-jadi. Tok tahu, kalau dulu Tok dengar nasihat Nek supaya berhenti merokok pada usia muda, tentu paru-paru Tok tidak rosak. Sekarang Tok sedar, batuk-batuk yang Tok alami adalah petanda paru-paru Tok sudah hitam dan rosak. Seperti kata Muslih: ayah kata orang yang hisap rokok paru-parunya hitam dan berkarat.

Tiba-tiba kaki Tok tersandung tunggul kayu. Ruas buluh yang Tok pikul dan jinjing terlepas. Serta-merta tangan Tok mengilas angin. Kaki kanan Tok tergelincir dan terpeletok lalu terpijak tunggul buluh yang runcing. Tok terjerembab mencium bumi sambil meraung kesakitan.

"Tok!"

Muslih toleh belakang. Bergegas menghampiri Tok.

"Leh."

Bibir Tok terketar-ketar menahan sakit. Tok terasa tapak kaki pedih. Mencucuk-cucuk dan bisanya terasa hingga ke tulang. Tok lihat darah keluar membuak-buak. Selipar Jepun yang dipakai bersalut darah, pekat dan likat. Tok sentap kaki yang membenam dalam buluh runcing. Kaki Tok meroyak luka dan darah keluar membuak-buak. Betapa sakit yang Tok rasa mula menjalar hingga ke jantung. Peluh-peluh memercik, merembes dan membasahi wajah Tok yang berkedut tua. Air mata yang bergenang, akhirnya mengalir dan gugur ke bumi.

Kalimah Allah disebut berulang-ulang. Berulang-ulang, hingga suara Tok semakin tenggelam. Tok langut ke langit perlahan-lahan. Mata Tok berbinau-binau. Tok toleh sekeliling lambat-lambat dan nampak wajah Muslih berlapis-lapis. Tok dengar namanya dipanggil berkali-kali, semakin sayup dan sayup sehingga suara itu tidak kedengaran lagi. Pandangan Tok semakin kelam hingga keadaan sekeliling menjadi zulmat. Kelopak mata Tok tertutup perlahan-lahan. Akhirnya terpejam rapat dan Tok tidak sedarkan diri.

Muslih goncang-goncang tubuh Tok sambil memangku kepalanya. Muslih terjerit dan terlolong minta tolong. Berkali-kali hingga tidak berdaya lagi. Muslih menangis dan terus menangis apabila melihat Tok terus-menerus menutup mata.

Nek di rumah termenung. Melayan nubari yang kacau-bilau. Berkali-kali Nek pesan kepada Tok supaya tidak membawa Muslih ke mana-mana. Nek sangat geram dengan sikap Tok yang tidak faham bahasa. Nek urut dada yang terasa panas sambil istighfar berkali-kali. Nek nekad tidak akan memarahi Tok apabila bersemuka nanti. Nek tidak mahu buat dosa pada bulan puasa. Nek terus bernekad sambil terus-menerus mengharap agar Tok lekas-lekas pulang bersama-sama Muslih, cucu kesayangannya.

©Berita Harian, Sabtu 27 September 2008

Salha: Slamat membaca! :)

+ Terima kasih kepada sidang editor Berita Harian, Sabtu yang menyiarkan Menjelang Syawal juga kepada anda yang sudi membaca.

Monday, September 15, 2008

Kelebihan Solat Sunat Tarawikh

Malam 16 - Allah subhanahuwata’ala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17 - Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam 18 - Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati)

Malam 19 - Allah Subhanahuwata’ala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Wednesday, September 10, 2008

Dugaan Ramadhan

Puasa Kelima, saya diserang deman selsema yang teruk. Tak mampu berbuat apa-apa kerana kepala sakit teramat sangat, badan pula panas macam dipanggang atas api. Tak mampu nak baca al- Quran. Solat pun sambil duduk. Akhirnya saya terpaksa juga ke klinik. Apabila sudah makan ubat, terasa lega sedikit. Namun, malam Ahad saya tidak dapat tidur hingga ke pagi kerana diserang Athma. Berkali-kali saya sedut inhaler namun tiada kesan. Akhirnya pagi Ahad saya terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan. Satu jam saya di sana menyedut takungan inhaler yang lebih besar. Maka terbatallah puasa saya pada hari itu. Alhamdulillah, barulah dada terasa lapang dan senang untuk bernafas. Kemudian pada hari Isnin dan Selasa pula awal-awal pagi bertolak ke Juaseh menghadiri kursus. Dua hari berturut-turut berulang-alik dari pagi hingga petang. Hanya Allah yang tahu. Keadaan saya belum pulih sepenuhnya. Tergigil-gigil dalam bilik yang berhawa dingin diselang-seli batuk dan selsema yang tak henti-henti. Sangat tidak selesa. Terasa badan letih yang teramat sangat. Paksa diri juga memandu dan akhirnya dapat menamatkan kursus dengan jaya. Alhamdulillah, hari ini saya dapat menjalankan tugas seperti biasa meskipun batuk-batuk masih bersisa. Semoga hari-hari Ramadhan yang masih berbaki dapat dipenuhi dengan amal dan ibadah yang khusyuk kepada Allah.

+ Kelebihan Tarawikh malam ke- 11= Mereka yang bersolat tarawikh pada malamnya dikeluarkan ia dari dunia (mati), bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.

Sunday, August 24, 2008

Esok Sekolah

Musim cuti sekolah panjang adalah masa yang sesuai untuk saya berkarya. Itulah hari yang ditunggu-tunggu. Jika persekolahan bermula, saya jarang-jarang dapat berkarya kerana sibuk dengan pelbagai tugasan dan aktiviti. Apabila pulang ke rumah, badan rasa letih yang teramat sangat. Mata juga terasa penat dan tidak mampu bertahan lama. Justeru, hari-hari persekolahan memang saya tidak ada kesempatan untuk berkarya setelah pulang ke rumah. Alhamdulillah, saya berjaya menyiapkan sebuah cerpen pada musim cuti ini. Beberapa buah cerpen yang lain masih belum siap sepenuhnya. Saya perlu mencari waktu yang sesuai untuk menyudahkannya. Esok, persekolahan bermula kembali dan kehidupan saya akan berubah, tidak sama seperti hari-hari cuti.

Monday, August 18, 2008

Gambaran Tentang Orang Melayu

Inilah yang digambarkan oleh Sir Frank Swettenham terhadap orang Melayu dalam buku karangannya "Malay Sketches (1895)".


MELAYU adalah yang lemah lembut, baik hati dan mudah digauli. Tidak kenal erti takut , sangat berhati-hati dan berasa sangsi kepada orang yang tidak dikenali, namun tidak menzahirkan perasaan itu. Mempunyai semangat juang dan lebih dipercayai dalam melaksanakan tanggungjawab. Suka meminjam wang tetapi sukar membayarnya kembali. Seorang yang bijak berbicara, gemar berpantun, bermadah dan suka berjenaka. Sentiasa ingin mengambil tahu hal-hal jiran mereka dan gemarkan gossip. Seorang yang konservatif dan bangga dengan bangsanya. Berpegang teguh kepada adat resam dan secara tradisi taat kepada raja dan menghormati pemimpin yang dipilih secara sah. Selalunya sukar untuk menerima pembaharuan dan menolaknya jika diperkenalkan secara tergesa-gesa, namun jika diberi masa untuk mengkajinya dan tidak dipaksa, dia sanggup memilih kebaikanya. Jika dibandingkan, agak malas dan tidak ada aturan kerja yang rapi. Tidak berpegang kepada ketetapan masa walaupun pada waktu makan dan menganggap masa adalah sesuatu yang kurang penting.

+ Dapatkah kita menerima gambaran ini?

Sunday, August 03, 2008

MARI BERKARYA UNTUK TUNAS CIPTA

Tunas Cipta majalah sastera untuk remaja terbitan baru Dewan Bahasa dan Pustaka,yang berkonsepkan karya kreatif akan diterbitkan sebagai wadah bagi penulis- penulis baru tanah air berkarya. Sidang Editor majalah Tunas Cipta mempelawa penulis-penulis baru/remaja untuk menghantar karya cerpen, puisi (lama dan baru) drama/ teater, rencana sastera, dan aktiviti sastera remaja kepada:

Puan Padilah Haji Ali (Ketua Editor)(padilah@dbp.gov.my)

Puan Noraini Abd. Hamid (Editor)(noraini3@dbp.gov.my)

Puan Nazira Mohd Noor (Penolong Editor)(nazira@dbp.gov.my)


+ Berita ini disalin dari laman web DBP

Saturday, August 02, 2008

SN S.OTHMAN KELANTAN DALAM KENANGAN


Allahyarham S. Othman Kelantan, Sasterawan Negara ke-9 pulang ke rahmatullah pada 30 Julai yang lalu. Kesempatan yang sekejap saya manfaatkan untuk menulis di entri ini. Saya percaya, ramai yang tidak tahu akan berita ini terutamanya muda-mudi masa kini. Barangkali ada juga yang tidak kenal akan diri beliau. Adakah anda pernah menonton filem Jogho? Filem tersebut telah diangkat ke layar perak oleh pengarah tersohor U-Wei Haji Shaari diadaptasikan dari novel Juara karya SN S. Othman Kelantan (1976).


Serba sedikit tentang Biodata Sasterawan Negara S. Othman Kelantan.

- Dilahirkan pada 13 November 1939 di Kelantan Darul Naim.

- Mula menulis pada tahun 1953.

- Telah menghasilkan sebanyak 175 buah cerpen sehingga Disember 2000.

- Antara novel beliau yang terkenal; Angin Timur Laut (1969), Juara (1976), Wajah Seorang Wanita (1990) dan Nagogho Astana (1997).

- Memperolehi Ijazah Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1983 dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1995.

- Dianugerahkan S.E.A Write Award pada tahun 1990.
Semoga Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas roh beliau.

Tuesday, July 15, 2008

Umbara Sastera 2

Saya akan bertemu rakan-rakan penulis pada Sabtu ini di Senawang, Negeri Sembilan. Di samping itu turut memberi bimbingan kepada bakat-bakat baru penulis untuk mendalami dunia penulisan cerpen. Sebarang keterangan lanjut terus ke Laman Rasmi PEN.

Tuesday, July 08, 2008

BH Kompak- Lebih Selesa

Satu-satunya akhbar yang memang setiap hari saya baca adalah Berita Harian. Sejak kecil saya memang selesa membaca akhbar Berita Harian berbanding akhbar lain kerana itulah satu-satunya akhbar yang dilanggan setiap hari. Namun, kemunculan Berita Harian versi kompak buat saya sedikit terasa perubahannya. Perubahan ketara yang saya rasai terutamanya pada Ahad lepas. Saya fikir ada helaian tercicir. Berulang kali saya menyelak namun tiada ruangan sastera di dalamnya. Memang menjadi kebiasaan, pada setiap Ahad perkara pertama yang saya baca adalah cerpen disusuli sajak. Kemudian saya akan baca cerpen dan sajak di Mingguan Malaysia. Saya membuat andaian sendiri, barangkali ruangan sastera telah dihapuskan atau mungkin juga telah beralih pada hari lain. Andaian kedua saya mengena sasaran apakala kanda Nisah Haron mengirim pesanan ringkas, apabila dibaca bunyinya lebih kurang begini:


"Ruangan Susastera Berita Minggu telah ditukar pada hari Sabtu."


Saya lekas faham. Memang saya kecewa kerana pagi Ahad lalu tidak meriah seperti kebiasaan. Namun begitu, saya berlapang dada menerima perubahan yang berlaku. Lagipun apalah yang boleh saya lakukan kerana pihak penerbitan berhak membuat perubahan. Tambahan pula saya rasa lebih selesa membaca Berita Harian versi kompak kerana formatnya lebih kemas dan menarik, meskipun sesekali saya terfikir versi terbaru ini semacam menjadikannya tidak serius kerana menyamai akhbar tabloid yang lain.


Itu semua tidak menjadi masalah, yang penting ruangan yang sedia ada masih dikekalkan meskipun berubah hari. Jika terasa tidak puas membaca versi kompak sekalipun, saya masih boleh membaca versi online.

Monday, July 07, 2008

Kembali Bertugas

Saya sudah kembali menjalankan tugas sebagai seorang guru hari ini, pada tarikh 7 Julai 2008.


Wednesday, July 02, 2008

Segugus Doa Buat Yang Pergi

Saya sangat terkilan kerana lambat diberi tahu tentang berita pemergian Allahyarhamah Syarifah Intan Elwani Bt Syed Omar. Meskipun hubungan kami tidak begitu rapat, namun pertalian saudara antara kami buat saya terasa kehilangannya. Tambahan pula kami bersekolah di sekolah yang sama, Maahad Ahmadi Gemencheh Negeri Sembilan. Dia muda setahun daripada saya. Tidak menyangka, pertemuan di Institut Perguruan Raja Melewar awal Jun lalu adalah pertemuan yang terakhir. Allahyarhamah mendapat kemalangan jalan raya pada Jumaat lalu di Juaseh. Takdir Allah S.W.T mengatasi segala. Dia pergi dahulu mendahului saya dalam usia yang muda dan belum berumahtangga. Semoga roh Allahyarhamah Syarifah Intan Elwani dicucuri rahmat. Kepada Allah saya panjatkan doa agar keluarga Ammi Omar tabah menerima ketentuan Allah atas pemergian anakanda tercinta. Kepada tunang Allahyarhamah Syarifah Intan Elwani, kenanglah segala kebaikan dan kejujuran yang ada padanya. Semoga Allah melimpahkan rahmat di atas setiap ujian yang diberi.

Wednesday, June 11, 2008

Berfikir Secara Realistik


Tidak perlulah tunjuk perasaan dengan berdemonstrasi.


Berfikirlah secara realistik mengapa harga petrol dinaikkan. Keluar dari pemikiran yang fantastik bahawa tiada benda yang akan kekal lama. Hanya Allah yang kekal abadi. 20 ke 30 tahun akan datang Malaysia akan kehabisan petrol. Inilah realiti yang perlu diakui. Bersyukurlah, harga petrol tidak mencecah angka 10. Jika masih mahu bermanja, jangan tergamam jika harga petrol mencecah angka 10 pada 20-30 tahun akan datang. Setelah hampir 51 tahun kita dimanjakan dengan pelbagai subsidi, realiti hari ini perlu diakui. Orang-orang Melayu khususnya, jangan cepat melatah. Berfikirlah diluar kotak fikir anda.

Lihat rajah di bawah. Jika anda diminta membuat empat garisan pada rajah segi empat sama, bagaimanakah cara anda melakukannya? Jika anda memilih untuk melakukan seperti rajah di sebelah kiri, bererti anda berfikir didalam kotak fikir anda. Namun jika anda memilih untuk melakukan seperti rajah di sebelah kanan, bererti anda berfikir di luar kotak fikir anda. Tentu berbeza bukan, rajah di bawah?


Monday, May 19, 2008

SEKEBUN WANGIAN ITU

Sekebun wangian itu
adalah taman sufi cinta-Nya
yang menghimpun jasadi
bersama aroma darah
yang menebar kasturi syurgawi
dari bustan maqam syuhada.

Di situ pernah hidup subur
lalang kesumat pada Zionis laknat
melontar meski seketul batu
sedang tubuhnya bolos dibedil peluru
dalam tangisan daerah zulmat
yang ternoda.

Sekebun wangian itu
adalah bebongkah silam
yang menghimpun tulang-temulang,
dan semangat pejuang Islam
saat sekebun derita menjerit
kepada seisi dunia
yang lena diulit mimpi.

Meski sekebun wangian itu
hanya tugu kusam
namun di sana jua, tetap harum
menebar aroma jihad
pada pribumi yang terasuh aqidah,
lewat manusia yang buta.

Sekebun wangian itu
tetap memutik rahmat
bermunajat dan berzikir
kepada Tuhan,
yang menganugerahi
wangian kasih
dari sekebun maqam auliya.


- SYARIFAH SALHA SYED AHMAD
KG. CHENOR, JELEBU

+ Puisi saya ini tersiar di Mingguan Malaysia 18 Mei 2008.

Saturday, May 03, 2008

Gara-gara Dicalonkan Cemerlang

Gara-gara dicalonkan cemerlang, praktikum saya yang sepatutnya tamat pada 2 Mei 2008 ditambah lima hari kerana pensyarah tidak sempat buat rentasan pada minggu lepas. Justeru, pensyarah akan datang antara tarikh 5-9 Mei 2008. Kepada rakan-rakan yang sudah menamatkan praktikum, selamat bersenang hati dan selamat berjumpa kembali di IPRM pada 25 Mei 2008.



+ Saya sangat seronok menukangi slaid untuk dipersembahkan kepada murid-murid.

Sunday, April 27, 2008

Berbaki Lima Hari

Berbaki Lima Hari Yang Menyedihkan

Esok hingga Jumaat adalah minggu terakhir praktikum di sekolah. Selepas itu, bermula cuti penggal pada Mei ini saya akan ke IPRM untuk menghabiskan pengajian yang masih berbaki. Beberapa bancian yang telah saya lakukan selama lebih kurang tiga tahun menunjukkan ramai di kalangan guru pelatih tidak gemar kepada Praktikum. Iya, rata-rata meluahkan keluh-kesah bahawa mereka tidak cukup waktu rehat, tidak cukup tidur pada sebelah malam, cuti hujung minggu terganggu dek kerana tugasan yang bertimbun dan banyak lagi keluhan serta luahan yang menggambarkan bahawa Praktikum adalah hari-hari yang sangat menyeksakan bagi guru-guru pelatih. Saya turut berasa debar menanti hari pertama praktikum. Maklum saja, bakal menempuhi suasana baru. Namun bagi saya, urusan dapat diatur dengan baik jika kita merancang dan bersedia melakukan apa sahaja tugasan di awal waktu. Alhamdulillah, dek kerana sikap saya yang tidak suka tangguh kerja, saya tidak dapat menjiwai apa itu keluh-kesah dan keperitan hidup sepanjang hari-hari praktikum. Bohonglah jika saya kata bahawa saya ini tidak langsung merasai keluh-kesah sepanjang praktikum. Saya cuma tidak dapat menjiwai bukan tidak merasai. Ada beza pada struktur ayat di atas. Perhatikan! Bagi saya, hari-hari praktikum terlalu mahal untuk dirasai pada lain waktu. Pengalaman ini sangat memberi kepuasan dan manfaat sehingga 30 tahun akan datang. Inilah titik tolak yang mencerminkan kesungguhan dan kerajinan seseorang guru. Tanyalah kepada guru-guru cemerlang, bagaimana mereka memanfaatkan hari-hari praktikum sebagai panduan pengajaran sepanjang hayat. Persoalan saya, mengapa perlu takut menempuhi hari-hari praktikum? Tanya pada diri sendiri, adakah anda sudah bersedia, adakah anda tidak suka tangguh kerja dan adakah anda merancang kerja di awal waktu? Jika jawapan anda Tidak, maka bersedialah untuk menjadi seorang guru yang bakal berkeluh-kesah dan bermasalah sepanjang anda bertugas sebagai seorang Guru. Kata Pensyarah saya: orang yang suka memberi alasan adalah orang yang tidak berani mencuba dan tidak keterlaluan jika saya kata bahawa orang itu adalah orang yang malas.

+
Praktikum saya akan tamat pada 2 Mei 2008. Namun, proses paktikum tetap berlaku dalam hidup saya sepanjang hayat. Syukur kepada-Mu Ya Allah, atas pengalaman yang sangat bermakna.

Sunday, April 13, 2008

Allah Sebaik-baik Perancang

Mac lalu hingga April ini terlalu banyak kekangan. Di sebaliknya ada juga rahmat yang terselit. Khamis lalu saya diundang oleh Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu, bagi menyampaikan persembahan berpantun bersempena Lawatan Kumpulan Teater Garis Lurus, Tanjung Pura Langkat, Sumatera Indonesia. Saya memilih menyampaikan pantun "Bicara Adat Memulih Pesaka" menggunakan dialek negori. Pada majlis itu, sempat juga bersembang sepatah dua kata dengan Puan Mahaya Mohd Yasin, Ketua Satu PEN. Cuti hujung minggu pula padat dengan aktiviti sekolah. Sabtu, jam 7.30 pagi saya sudah berada di perkarangan Sekolah Menengah Simpang Gelami bagi menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan MTAQ peringkat daerah Jelabu. Dek kerana jadual tugasan yang sangat padat setiap hari, saya nyaris-nyaris tidak berkesempatan ke pesta buku. Namun, dengan izin Allah S.W.T, Jumaat petang saya berkesempatan ke sana. Namun terbit sedikit kekecewaan. Pesta buku di PWTC tidak semeriah yang saya jangkakan. Maksud saya tidak meriah dengan buku-buku. Barangkali saya ini terlalu cerewet atau mungkin juga terlalu rigid. Pesta buku ini mengingatkan saya kepada "Ma'rad Kutub". Ada juga yang memanggilnya "Ma'rid Kutub" (Pameran Buku) peringkat antarabangsa di Mesir pada setiap tahun. Di sana, pesta/ pameran buku sangat meriah dengan buku-buku. Ada banyak hall sehingga saya hampir lupa berapa hall yang ada di sana. Cuma seingat saya, setiap hall besarnya menyamai besar bangunan PWTC. Setiap hall dilimpahi puluhan kedai buku. Jarak antara setiap satu hall pula tidak kurang lima meter. Apakala ke sana, saya akan borong banyak buku. Bayangkan, buku-buku yang berkulit tebal dengan ratusan muka surat boleh dibeli dengan harga sekitar belasan ringgit. Akibatnya, sesiapa sahaja yang ke sana tentunya akan membeli banyak buku terutama buku yang berjilid. Di sepanjang jalan pada tapak pameran pula terdapat penjual-penjual buku membuka gerai-gerai buku. Bahkan ada juga peniaga yang berjaja buku di sepanjang jalan. Malah, ada beberapa hall yang menempatkan barang jualan untuk bahan-bahan bantu mengajar. Tidak ketinggalan juga ada hall yang menjual barang-barang hiasan dinding, bunga-bungaan dan seumpamanya. Pendek kata, kita boleh mendapatkan apa sahaja bahan pada pesta buku tersebut. Saya bersama beberapa orang rakan pernah tersesat, tidak jumpa pintu keluar utama daripada tapak pameran buku dek kerana besar dan luasnya tapak pameran tersebut. Sukar hendak dianggarkan keluasan tapak pameran pesta buku tersebut. Barangkali, faktor-faktor di atas menimbulkan rasa perbandingan dalam diri saya terhadap pesta buku di Mesir dengan pesta buku di Malaysia. Di Malaysia ini sangat kurang pengarang-pengarang buku ilmiah, berbanding di Mesir yang kaya dengan pengarang-pengarang buku kebanyakan terdiri daripada para ulama. Justeru, tidak janggal melihat situasi pesta buku yang agak suram di Malaysia ini. Meskipun begitu, saya saya menghargai usaha pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan pesta buku tersebut. Oleh kerana itu, pulang dengan membawa buah tangan daripada pesta buku sudah menjadi kemestian buat saya. Syabas diucapkan buat para penganjur!


Hari ini pula saya sempat menghadiri "Pertemuan Gulai Belitung e-Sastera" di Sekolah Menengah Agama As-Saidiyyah Senawang, Seremban jam 2.30-6.00 petang. Berikut beberapa buah foto yang sempat saya rakam.




















Saturday, April 05, 2008

CERPEN

DEBAT EVOLUSI

OLEH SYARIFAH SALHA SYED AHMAD



I

KISAH lima tahun lalu masih aku ingati. Hingga kini masih mencari selulur kasih yang pernah lerai di tangkai hati. Demi menyelamatkan akidahmu aku hampir-hampir tertangkap dan saat getir itu telah memisahkan kita. Meskipun begitu, keyakinan yang bersalut dalam sukma buatku masih menunggu kepulanganmu. Ya, di sini…di tebing Selat Bosphorus ini kita pernah bertemu. Ini Selat Bogazici, nama jolokan serata dunia. Aku gemar sekali kau menyebutnya begitu. Selat ini pemisah Benua Asia dan Benua Eropah, juga telah merakam detik perpisahan kita. Perpisahan yang kau cipta kala hujahmu mula goyah, lalu debat kita jadi kaku. Dan aku, masih berpegang dengan janjimu; kita bertemu di selat ini lima tahun akan datang.


II

Katamu; aku menyokong teori itu. Makhluk hidup memindahkan sifat-sifat mereka dari satu generasi kepada generasi berikutnya, oleh itu ia berubah. Sebagai contoh, zirafah telah berubah daripada rusa dengan memanjangkan leher sedikit demi sedikit, dari satu generasi ke satu generasi ketika cuba mencapai dahan yang lebih tinggi. Begitu hujah pertamamu. Nah! Itu teori yang mengarut. Lamarck penyokong Darwin yang menguar-uarkan. Adakah kau melihat zirafah lahir daripada perut ibunya berbentuk rusa? Kau diam setelah persoalanku itu menikam waras akalmu.

Adakala, aku tidah tegar mengerasimu begitu. Namun, aku amat gusar melihatmu semakin hayut bersama teori evolusi itu. Aku sendiri kala itu hampir goyang. Mujur gerakan anti Darwin yang beroperasi secara senyap bersama beberapa orang rafik telah memandu perjalananku. Meski Universiti Mimar Sinan sudah berada di bawah pengaruh organisasi haram Marxisme dan pemikiran berhaluan kiri, namun aku tidak tegar meletakkan diriku sebagai penganut Ateis. Tidakkah kau mengerti, jantungku hampir gugur saat kau mengutaran hujahmu yang sebegitu kepadaku. Sungguh! Hatiku menangis kerana Republik Turki telah menyaksikan kehilangan gadis tegar sepertimu. Aku kagum denganmu, saat kerajaan sekular Turki menyekat wanita memakai tudung di tempat-tempat awam, kau jauh dari golongan itu. Tetapi, mengapa ketegaran dan keteguhan imanmu hancur hanya kerana pengaruh evolusi yang karut marut itu?


III

Hujahmu yang kedua: asal sesuatu spesis adalah spesis yang lain. Lalu aku jelaskan padamu; pergantungan kepada imaginasi semata pasti belum kukuh untuk menguatkan teori itu. Teori evolusi itu adalah kesilapan Darwin dan Lamarck, kerana pada zaman mereka hidupan hanya dapat dikaji dengan teknologi yang amat primitif dan pada peringkat yang amat tidak mencukupi. Lapangan sains seperti genetik dan biokimia belum wujud. Teori mereka hanya bergantung penuh kepada keupayaan imaginasi yang terbatas. Sayangku Emine, di mana mahu kau lontarkan penemuan Mendel pada 1900 itu; ilmu sains genetik, kemudian telah menemui stuktur gen dan kromosom seterusnya penemuan molekul DNA pada tahun 1950-an. Suntikan apakah yang telah mengalir dalam darah mudamu hingga begitu celaru penilaian dan pemahamanmu. Lantaran itu kau tersenyap. Hanya menelan liur bersama serba kesal menghempap nubari. Kecerdikanmu itu, bukan begitu harus dikendalikan. Sudah aku katakan; berpaksi pada kebenaran, keyakinan dan penglihatan yang cukup menghantar bukti nyata bahawa Tuhan Maha Pencipta.


IV

Saat cinta kita dilanda badai gara-gara mahu mempertahankan teori evolusi itu, pengaruh budaya Freemason ke atas Rebuplik Turki terkmasuk universiti, parti-parti politik dan medianya juga sudah menular. Kukira itu adalah misi untuk menjauhkan rakyat Turki daripada nilai spiritual, agama dan moral. Gaya hidup tanpa agama dan tanpa moral itu telah diserapkan. Lalu, bagaimana aku mahu menyalahkanmu. Sewajarnya kesalahan itu membebani diriku lantaran terlalu lemah upaya memercup iman dalam dadamu. Jengkelnya aku kerana tidak bisa menyelamatkan akidahmu. Ya Allah…! Hukumlah aku andai sesuati berlaku pada Emineku. Emineku, masih kau ingat lagi debat terakhir kita? Kala itu, kau sudah mula mengakui teori evolusi itu tidak layak dipadankan dengan manusia. Aku tersenyum namun masih belum puas memagut rasa. Kau enggan mengakui hujahmu sudah terlalu tipis. Katamu; asal kejadian manusia daripada ovum wanita. Tanpa ovum nutfah tidak akan membentuk. Ovari adalah kilang dan ovum adalah induk. Di situ berlaku proses evolusi untuk membentuk janin. Lalu kutanya padamu; bagaimana ovum mahu berevolusi andai sperma tidak bisa menembusi dinding rahim seorang wanita? Jawabmu; sperma hanya ulat-ulat kecil yang menempel, melengkapi perkembangan ovum, tanpanya manusia masih mampu dicipta…pengklonan itu buktinya, pengambilan DNA dewasa melalui teknik ‘nuklear transfer’ untuk membentuk jasad yang serupa. Astaghfirullah hal’azim…Apakah ilmu kedoktoranmu bisa merungkai segala lalu kau nafikan asal kejadian manusia? Nah! Kutanya padamu; lalu kau dilahirkan daripada indukmu…dengan mengambil DNA ibumu? Siapa pula Izzet yang sering kau panggil bapa? Adakah Emine Izzet yang kukenal lahir ke dunia ini tanpa seorang bapa. Begitukah mahumu meletakkan diri semulia Isa a.s yang beribukan Mariam? Sehingga kini belum ada manusia yang berjaya dihasilkan melalui kaedah pengklonan itu. Hanya spesis binatang sahaja telah memecahkan rekod ini, seekor kambing bernama Dolly telah berjaya dihasilkan pada tahun 1996. Apakah kau lupa, manusia dan binatang itu berbeza? Jangan kau sangkal firman Allah s.w.t dalam surah al-Mu’minun yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari pati ( yang berasal) dari tanah. Kemudian kami jadikan pati itu air benih ( yang disimpan) di dalam tempat yang kukuh (rahim). Kemudian kami ciptakan air benih itu menjadi segumpal darah lalu dari segumpal darah itu kami jadikan seketul daging, lalu dari segumpal daging itu kami jadikan tulang lalu dari tulang itu kami baluti dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik pencipta.” Saat itu aku melihat wajahmu merona merah. Kau tunduk memaku diri tanpa sebutir bicara saat bebola mataku menikam retina matamu. Lalu aku merenung tampangmu yang serba kesal bersalut luka yang meredut sukma. Kulihat matamu merah berkaca. Maafkan aku Emine atas bicara yang merobek sukma wanitamu. Menyedarkanmu adalah suatu kewajipan yang harus aku laksanakan. Itu amat perlu, Emineku.


V

Emine, itulah peristiwa yang masih segar dalam sukmaku. Entah bila akan layu, pudar dan padam ditelan tangis yang tidak pernah reda. Aku di petang ini masih setia berteman unggas-unggas di tebing Selat Bosphorus. Terasa nyaman menikmati indah pawana membelai lembut tubuhku. Namun begitu, atmaku tidak pernah indah dan ceria saat peristiwa itu menempel dalam kotak memoriku. Saat mata kita bertentangan dan perlahan-lahan kau meninggalkanku, aku hanya mampu menghantarmu dengan ekor mata yang menakung kolam tangis.Di sini segala peristiwa antara kau dan aku masih terakam kemas. Petang ini aku melunasi janji yang pernah kita pasak di selat ini. Aku menunggu kepulanganmu bersama segunung harapan agar Emineku kembali melunas janji berpaksi akidah yang teguh. Emine…kembalilah, aku cukup derita membilang hari-hariku. Meskipun malam kurasa terlalu panjang namun subuh yang menjelang masih tidak mampu menghadirkanmu bersama bayu yang bertiup di selat ini. Kembalilah Emine…kembalilah pada pangkuan seorang Adam yang merindui seorang Hawa. Kembalilah pada Tuhanmu yang Maha Agung. Telah kujelajahi selat ini menembusi Selat Eropah, menganjur dan merentas banjaran-banjaran Asia, tersembam mencium tanah suci Kota Makkah, namun aku masih menemukan kehampaan dalam lubuk hatiku. Di mana harus kujejak sinar yang telah sirna itu? Sinaran yang pernah terpancar dari alur wajahmu yang suatu ketika berpegang teguh pada Islam. Mengapa Emine kau jadi begitu? Emine, setelah puas berusaha hanya keyakinan yang telah kubina ini mampu menyatakan…kau akan kembali.


VI

Hari ini debat kita telah bertemu kebenaran. Evolusi bukan lagi imaginasi. Debat kita telah bertemu cinta…cinta pencipta Yang Maha Agung. Telah Allah satukan hati kita dalam debat evolusi itu. Ya! Barangkali juga telah Allah ciptakan kau daripada tulang rusuk kiriku, kerana kaulah wanita yang akan kusunting menjadi permaisuri hatiku. Emine, terima kasih kerana setia melunas janji lima tahun yang lalu. Kepulanganmu membawa seribu makna dalam hidupku. Kepulanganmu jua besar ertinya pada agama kita, Islam. Syukur…kau telah menemui hidayah Allah. Kau telah kembali menjadi hambanya-Nya yang taat pada agama. Aku berjanji, tidak akan membiarkanmu terkapai mencari arah. Cuma satu Emine, persoalanku masih belum terjawab…mengapa kau jadi begitu lima tahun lalu? Jawablah Emine, setelah kau benar-benar bersedia dan aku tidak akan mendesakmu. Oh Tuhan! Ampunkan dosaku…ampunkan dosa Emine. Satukan kami di makam cinta-Mu Yang Teragung.

- TAMAT -


Akhbar Mahasiswa, September 2005.
+ Cerpen ini telah menerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 katogeri karya eceran.

Friday, March 21, 2008

Cuti Hujung Minggu

Sepatutnya saya akan ke DBP esok, untuk mengikuti majlis diskusi: Penulis dan Blog- Trend Masa Kini. Terima kasih kepada kekanda Nisah Haron atas kesudian mengirim sms jemputan. Namun niat untuk ke sana terpaksa dibatalkan kerana saya perlu ke IPRM mengikuti agenda wajib di sana.


Monday, March 17, 2008

Menunggu hari


Hari-hari yang ditunggu

adalah rindu yang beradu

di atas sekeping roh yang dura

menanti sebuah kepulangan

pada penghujung langit kehidupan.

Sunday, March 09, 2008

Tsunami Malaysia


'Tsunami' melanda Malaysia pada empat buah negeri secara mengejut, Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak. Disamping itu Kelantan juga turut dilanda Tsunami namun bukan suatu kepelikan kerana Tsunami di Kelantan sudah berlaku sejak tahun 1990.


+ Semoga Malaysia selamat daripada sebarang bencana alam, rakyat aman dan makmur, agama terpelihara. Amin!

Tuesday, February 26, 2008

Sibuk

Sekarang ramai orang sedang sibuk dengan tugas masing-masing. Tidak terlepas juga ada orang sedang sibuk mengata dan mencerca sesama sendiri.

+ Saya sedang sibuk dengan tugas praktikum setiap hari. Saya juga sedang cuba curi-curi masa untuk menyiapkan karya saya yang sudah agak lama tergendala. Saya tidak punya masa untuk mencari kelemahan dan kesilapan orang.

Friday, February 15, 2008

Demam

Tiba-tiba saya rasa seperti demam mahu menyerang. Kali ini sangat lain, tidak dapat ditahan-tahan.

Monday, February 04, 2008

Imbauan Budaya

Imbauan Budaya


Saya sempat berkunjung ke Muzium Adat di Kuala Klawang pada malam "Imbauan Budaya", Sabtu lalu. Pada malam itu hujan turun dengan lebat. Namun saya bertekad juga untuk ke sana, mahu merebut peluang menyaksikan pelbagai jenis pameran adat. Mujur adik lelaki saya sanggup jadi pemandu memandangkan saya sukar memandu pada waktu malam kerana penglihatan kurang jelas tambahan pula hujan sangat lebat. Kami ke sana dengan seorang adik perempuan saya, juga dengan dua orang rakan setugas. Sampai di Kuala Klawang kami terus masuk ke dalam Muzium Adat. Sambil melawat setiap galeri, otak saya ligat merakam plot-plot penulisan. Harap saya dapat menghasilkan karya ilham dari Muzium Adat. Di bawah ini adalah di antara beberapa buah foto yang sempat saya rakam.












Saya juga berkesempatan membeli dua buah buku terbitan Perpustakaan Negara Malaysia sebagai 'buah tangan' dan tanda kenang-kenangan. Paling utama bagi saya adalah isi yang terkandung dalam buku tersebut. Buku pertama yang menambat hati saya adalah TRADISI PENULISAN MANUSKRIP MELAYU (fotonya tidak dapat saya paparkan di sini kerana dalam dakapan suami yang sangat khusyuk membaca). Buku kedua yang menambat hati saya tajuknya adalah seperti yang tertera pada foto di bawah.


Friday, January 25, 2008

Renung Sejenak



Berkata Imam Abu Hafs:

Keindahan adab luaran menggambarkan keelokkan adab dalaman.

+ Akan menjalani praktikum bermula 28 Januari- 2 Mei 2008.

Friday, January 18, 2008

Minda Pengarang: Karya sasterawan negara patut dipertimbang

Minda Pengarang: Karya sasterawan negara patut dipertimbang

TINDAKAN Kementerian Pelajaran untuk tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara (SN) sebagai antara buku yang dicadangkan untuk teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010, memang wajar dikaji semula. Langkah tidak menyenaraikan karya SN dan penerima serta pemenang anugerah untuk buku teks yang baru dibuat Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran dengan alasan sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar. Dengan itu, PPK mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar. Banyak pihak membantah tindakan itu, termasuk Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) yang berpendapat karya SN membawa nilai pendidikan dengan menyumbang kepada perkembangan pemikiran yang harus didedahkan kepada pelajar. Bagi Pena, teks baru Komsas tidak harus menjurus kepada penulis karya popular semata-mata dengan alasan untuk menarik minat pelajar, manakala karya sasterawan negara dikatakan berat dan tidak sesuai untuk pelajar. Sebenarnya, soal berat atau tidak, seharusnya tidak harus timbul kerana ia bergantung kepada pendekatan pengajaran oleh guru yang seharusnya kreatif. Mata pelajaran lain yang kelihatan sukar seperti sains dan matematik juga dipelajari. Jawatankuasa pemilik teks Komsas perlu meninjau kaedah digunakan bagi pengajian sastera di Barat, Amerika Latin, Jepun atau China kerana di sana hanya teks sastera bermutu dipilih untuk dikaji dan dipelajari. Karya boleh dipilih daripada tulisan sembilan Sasterawan Negara yang ada iaitu Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, A Samad Said, Arena Wati, Noordin Hassan, Muhammad Salleh, Abdullah Hussein dan S Othman Kelantan atau puluhan penerima South East Asia Write Award. Korpus karya sastera kita juga menawarkan tulisan yang menarik daripada Munsyi Abdullah, Ahmad Murad Nasaruddin, A Samad Ismail, Ishak Muhammad, Abdul Rahim Kajai, Hasan Ali, Abdul Rashid Ngah dan sebagainya. Kita berharap kementerian memberi pertimbangan supaya Komsas mengambil hasil sastera bermutu sebagai teks. Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas perlu pandai menilai sastera dan tahu hasil sastera yang boleh membentuk serta membangunkan minda pelajar. Kita tidak tahu mengapa hasil sasterawan negara yang mendapat anugerah tertinggi tidak disenaraikan untuk teks baru. Jika dikatakan buku itu berat, mengapa dulu buku Keluarga Gerilya hasil karya Pramoedya Ananta Toer yang dikatakan berat digunakan di sekolah. Mungkin pihak Kementerian Pelajaran mempunyai alasan tersendiri untuk lebih memilih penulis popular dan teks untuk menarik minat pelajar. Hakikatnya, teks dipilih bukanlah sekadar untuk menarik minat pelajar dalam Komsas kerana kita mahu memupuk serta memperkayakan elemen estetik yang boleh mematangkan pelajar untuk mengenal mana yang benar dan mana salah. Apakah soal berkaitan teks dibuat berdasarkan 'selera' pelajar semasa? Apakah tidak timbul nanti pelajar akan menganggap bahawa sastera bermutu rendah itulah sastera yang sebenar selepas disogokkan dengan karya penulis popular semata-mata dan bukan sesuatu yang lebih bermutu tinggi seperti karya sasterawan negara. Pemilihan teks sastera yang baik akan lebih membuka minda pelajar terhadap konsep sebenar sastera iaitu karya yang dapat memperkayakan pengalaman seni, pengalaman intelektual serta keupayaan mereka untuk menimbang dan memilih yang terbaik dalam kehidupan ini.

Saya sedang menekuni puisi-puisi penulis kawakan.