Pages

Monday, June 12, 2006

SEMINAR PERSURATAN & PERADABAN NASIONAL 2006

SEMINAR PERSURATAN & PERADABAN NASIONAL 2006

DBP - PENA - PEN akan menganjurkan Seminar Persuratan & Peradaban Nasional 2006 pada 4 hingga 6 Ogos, 2006 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Penyertaan dibuka kepada semua.

Bayaran pendaftaran : RM30 (individu); RM500 (institusi - untuk 3 orang wakil)

Para penulis / penyair dijemput mengirim puisi yang akan diterbitkan dalam antologi puisi sempena seminar tersebut. Tema puisi mestilah berkisar Perjuangan Memartabatkan Bahasa Melayu. Penyair tidak akan dibayar honorarium tetapi akan menerima senaskhah antologi tersebut.

Jadi bila lagi hendak menyumbang kepada peradaban nasional?
Mulakan sekarang.

E-melkan karya ke
Sdr Lutfi Ishak.

Untuk menyertai seminar dan sebarang pertanyaan, sila hubungi Rumah PENA : 03-2142 5824 atau e-mel
pena@streamyx.com

**************

Pengenalan : Seminar Persuratan & Peradaban Nasional (SPPN) ini akan melibatkan 200 orang peserta termasuk pemakalah dan urus setia. SPPN akan melihat pemikiran golongan muda terhadap masa hadapan budaya, sastera, pendidikan dan bahasa Melayu. SPPN penting dalam membawa penglibatan golongan muda terhadap dasar-dasar yang sedia ada dalam konteks pembangunan dan kemajuan untuk masa hadapan.

Tema : Memperkasakan peradaban bangsa melalui bahasa dan kesusasteraan kebangsaan

Matlamat : Mengemukakan cadangan tentang DASAR SASTERA KEBANGSAAN

Tentatif / Atur Cara :

4 Ogos 2006

7.00 pagi - 3.00 petang : Pendaftaran Peserta
4.00 petang : Taklimat Peserta

8.30 malam : Majlis Perasmian oleh YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

5 Ogos 2006

8.30 - 11 pagi

Sidang I
Ucaptama I : Persuratan & Peradaban Nasional Abad ke-21
Dato' Prof. Dr. Awang Sariyan
Pengerusi : Puan Mahaya Mohd Yassin

Ucaptama 2 : Persuratan & Peradaban Nasional Abad ke-21
Prof. Dt. Mohd Yusuf Othman
Pengerusi : Puan Hajah Zalila Sharif

11.30pagi - 1.00 tengah hari

Sesi I : Mahakarya Melayu Dalam Abad Ke - 21
Pemakalah : Dr. Nor Faridah Abd. Manaf (UIA)
Dr. ABu Hassan Hasbullah (UM)
Awang Azman Awang Pawi (UNIMAS)
Dr. Zariat Abdul Rani (UPM)
Pengerusi : Saifulizan Yahya (DBP)

Sesi II : Sejarah Intelektual Melayu & Kelangsungannya
Pemakalah : SN Prof. Dr. Syed Othman Syed Omar (UPM)
Mohamad Saleed Rahamad (UM)
Dr. Mawar Shafei (UKM)
Nassury Ibrahim (MTAB)
Pengerusi : Mohamad Daud Mohamad (DBP)

2.30 - 5.30 petang - Bengkel

*Puisi Tradisional (Teromba) - Dato' Dr. Rosli Saluddin
*Puisi Tradisional (Pantun) - Ali Badron
*Puisi Moden - Marsli N.O
*Seni Pementasan - Rahidin Zahari

8.30 - 11.00 malam - Acara Makan Malam & Pesembahan

6 Ogos 2006

8.30 - 10.30 pagi

Sesi III : Peranan Bahasa Melayu dalam Memperkasakan Kesusasteraan Nasional
Pemakalah : Nisah Haji Haron (PEN)
Dr. Chew Fong Peng (UM)
Hasni Abas (DBP)
Shamsudin Othman (PENA)
Pengerusi : Zulkifli Abu (PEN)

11.00 pagi - 1.00 tengah hari

Sesi IV : Penulis Bukan Melayu dalam konteks Pembinaan Sastera Nasional
Pemakalah : Dr. Krishnan Maniam (UM)
Mohd Hanafi Ibrahim (DBP)
Daniel Jebon Januan (Sabah)
Poul Nanggang (Sarawak)
Pengerusi : Amiruddin Mohd Ali Hanafiah (GAPENA)

Sesi V : Tulisan Jawi dan Pengkanunan Semula
Pemakalah : Dr. Teo Kok Seong (UKM)
Prof. Dr. Hashim Musa (UM)
Azman Anuar (Utusan Melayu)
Ust. Salehuddin Mohamad (DBP)
Pengerusi : Jaffar Hamdan (DBP)

Sesi VI : Teks Klasik Melayu sebagai Warisan Bangsa
Pemakalah : Zaen Kasturi (PENA)
Dr. Jelani Harun (USM)
Dr. Hashim Ismail (UM)
Dr. Noriah Taslim (USM)
Pengerusi : Mohamad Shahidan (DBP)

2.30 - 5.00 petang

Sidang II : Kebudayaan dan Bahasa Melayu
Panel : YB Dato' Dr. Wan Hashim Wan Teh (ITNM)
YB Razali Ibrahim (Lembaga Pengelola DBP)
Dato' A. Aziz Deraman (GAPENA)
Dato' Baharuddin Zainal (PEN)
Pengerusi : Dr. Mokhtar Hassan (UM)

5.00 - 6.00 petang : Acara Penutup

**************

Pembaca yang berminat dialu-alukan menyalin entri ini untuk dimajukan sama ada melalui e-mel ataupun untuk diletakkan sebagai entri dalam blog masing-masing. Apa-apa sahaja bentuk penyebaran amat digalakkan. Inilah platform untuk golongan muda bersuara dalam menegakkan kembali Bahasa Melayu ke landasan yang sebenarnya.

Sebarang bentuk sokongan amat dihargai.

Tuesday, May 30, 2006

MARTABATKAN TULISAN JAWI

MARTABATKAN TULISAN JAWI

Semalan saya menghadiri Kursus Pemantapan Tulisan Jawi di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Seremban. Saya kira panduan sistem ejaan jawi yang disediakan oleh Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Kementerian Pelajaran Malaysia (JAPIM) amat menarik. Tidak semua golongan terdedah dengan sistem ejaan jawi yang betul. Golongan yang sering mendapat pendedahan tentang sistem ini kebanyakan daripada mereka adalah golongan pendidik. Saya sebelum ini tidak terdedah dan tidak didedahkan dengan sistem ini. Saya hanya mengikuti perkembangan sistem ejaan jawi lewat akhbar Klik DBP, Berita Harian. Saya tidak berasa jemu mengikuti kursus yang berjalan sekitar sembilan jam tersebut. Terlalu banyak manfaat yang saya perolehi. Syukur kerana sekarang ini sudah ada usaha yang dijalankan untuk memartabatkan tulisan jawi.

Tulisan jawi adalah warisan budaya dan bangsa Melayu. Amat wajar masyarakat Melayu hari ini sentiasa mengetahui dan mengikuti perkembangan tulisan yang mengandungi nilai seni yang amat tinggi ini. Saya kira ruang entri yang agak terhad ini membataskan saya untuk membuat catatan panjang tentang kaedah-kaedah yang digunakan untuk pembentukan ejaan dalam tulisan jawi. Namun begitu, akan saya catatkan beberapa kaedah sebagai panduan bersama kerana ini adalah ilmu yang wajar dikongsi dan diwarisi bersama demi memastikan khazanah bangsa Melayu terpelihara. Selamat Membaca!

1. Hukum huruf 'Kaf' dan 'Ga'
= bunyi 'ka' dan 'ga' di akhir suku kata tidak ada huruf 'Alif'
: contoh: perkataan 'luka' dieja dalam jawi; lam- wau- kaf.
+ tidak perlu ditambah huruf 'Alif' selepas 'Kaf' begitu juga dengan perkataan yang diakhiri huruf 'Ga'.
+ tetapi, sekiranya menerima imbuhan akhiran hendaklah ditambah huruf 'Alif'
: contoh: perkataan 'lukanya' dieja dalam jawi; lam-wau-kaf-alif-nya.

2. Perkataan Tradisi (Perkataan yang dikekalkan ejaannya mengikut ejaan lama)
: contoh; Perkataan 'apa' dieja dalam jawi; alif- pa.
; Perkataan 'lima' dieja dalam jawi; lam- ya- mim
; Perkataan 'itu' dieja dalam jawi; alif- ya- ta.

+ di atas hanyalah tiga contoh yang dapat dipaparkan kerana Perkataan Tradisi mengandungi 22 perkataan.

3. Kaedah Diftung (Memasukkan 'ai', 'au', 'oi' untuk membezakan maksud perkataan)
: contoh; Perkataan 'Topi' dieja dalam jawi; ta- wau- pa- ya.
; Perkataan 'Tupai dieja dalam jawi; ta- wau- pa- alif- ya.

4. Perbezaan Maksud Homograf (Ejaan yang hampir sama)
* Memasukkan huruf 'Alif' untuk membezakan dua perkataan
: contoh; Perkataan 'Pentas' dieja dalam jawi; pa- nun- ta- sin.
; Perkataan 'Pantas' dieja dalam jawi; pa- alif- nun- ta- sin.

* Homograf Hakiki (Perkataan yang sama ejaan tetapi berlainan bunyi)
: contoh; Perkataan 'Biru' dieja dalam jawi; ba- ya- ra- wau.
; Perkataan 'Biro' dieja dalam jawi; ba- ya- ra- wau.
+ dua perkataan di atas dieja menggunakan huruf yang sama tetapi boleh dibezakan bunyinya melalui kedudukan dalam ayat.

6. Kata Pinjam Bahasa Arab
* Perkataan pinjaman Bahasa Arab yang dikekalkan ejaannya adalah perkataan yang terdapat dalam al-Quran.
: contoh; Perkataan 'Zakat' dieja dalam jawi; zai- kaf- alif- ta marabbutah.
; Perkataan 'Ihsan' dieja dalam jawi; alif- ha- sin- alif- nun.

7. Kata Pinjaman Bahasa Inggeris Dan Bahasa-Bahasa Eropah Yang lain
* Perkataan yang terdiri daripada dua atau lebih suku kata hendaklah dieja berdasarkan ejaan tulisan ruminya.
: contoh; Perkataan 'Batalion' dieja dalam jawi; ba- alif- ta- alif- lam- ya- wau- nun.
; Perkataan 'Kapitalis' dieja dalam jawi; kaf- alif- pa- ya- ta- alif- lam- ya- sin.

* Puisi saya "Terkubur Azam Di Sawah Ladang" tersiar dalam Berita Minggu Ahad lalu. Sumber:
Berita Minggu, 28 Mei 2006.

Tuesday, May 23, 2006

CERAMAH PENULISAN PEN DI KUALA KLAWANG

CERAMAH PENULISAN PEN DI KUALA KLAWANG


Baru hari ini saya sempat mengintai blog. Dikesempatan waktu yang sedikit ini saya turunkan catatan di sini. Sabtu lalu saya agak ripuh mengendalikan Majlis Ceramah Penulisan Kreatif di Hotel Sri Klawang. Sebagai selaku Pengarah program juga bertindak sebagai MC pastinya perlu berusaha mengendalikan program dengan baik. Alhamdulillah program berjalan lancar. Program yang dihadiri seramai 30 orang peserta itu memperlihatkan bakat-bakat baru dalam dunia penulisan yang harus diberi perhatian. Puan Nisah Haji Haron dengan ceramah yang bertajuk "Aspek Teknikal Dalam Penulisan Cerpen" berpuas hati dengan sambutan dan respon yang diberikan oleh peserta. Begitu juga dengan Puan Kalsom Azid dengan ceramahnya yang bertajuk "Gaya Bahasa Dalam Penulisan Kreatif" juga rancak berkongsi pengalaman dan memberi panduan serta teknik penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan kreatif. Puan Kalsom yang aktif dalam aktiviti sastera dan bahasa di Negeri Sembilan merupakan salah seorang daripada Ahli Jawatan Kuasa PEN 2006. Itulah kali pertama saya melibatkan diri sebagai penyelaras program yang dianjurkan oleh PEN. Keseluruhan program yang dihadiri oleh para pelajar dan guru-guru dari SMK Dato Undang Musa Al-Haj, SMK Simpang Gelami, SMA Dato Haji Tan Ahmad dan MRSM Kuala Klawang itu, dilihat dapat mengenalkan mereka tentang dunia penulisan kreatif yang sebenar. Usai program saya sempat juga belek-belek buku yang dipamerkan oleh Puan Nisah dan suaminya. Buku yang menjadi pilihan saya adalah antologi cerpen SM. Zakir yang berjudul "Sekeping Roh Di Atas Bantal". Sekarang saya dalam proses mengkhatami antologi cerpen tersebut.

Kepada tunas-tunas baru penulisan kreatif yang sedang rancak memburu istilah-istilah terkini, jangan lupa simpan istilah baru yang kalian dengar tempoh hari. Masih ingat lagi? Bukankah Puan Nisah sudah maklumkan pada kalian tempoh hari? Tak Mengapalah, biar saya salinkan untuk kalian.

* Jerayawara (Road Show)
* Bicarawara (Talk Show)
* Pramusaji (Waitress)
* Candawara (Gameshow)


Tuesday, May 09, 2006

INILAH PEMBERIAN DAN KETENTUAN ALLAH

INILAH PEMBERIAN DAN KETENTUAN ALLAH


RUMPUN KITA

Kita rumpun yang sama
meski berbeza bangsa
dari Adam bapa kita
dan bonda bergelar Hawa.

Kita pernah menanam benih
pada tanah yang berbudi
kita petik hasilnya
kerana bumi sudi memberi.

Kita pelbagai bangsa
berjenis rupa warna agama
berbumbung langit yang biru
berpijak bumi yang maju.

Namun kini, seakan sudah terlupa
kita pernah dura derita pernah dijajah
kerana kemewahan membalut kalbu
kita enggan mengaku
Tuhan adalah satu
hingga di bawah tabir langit itu
kita digulung dalam lemas
tanpa sedar,
penghujung dunia menjemput
pulang ke tanah asal
rumpun kita.

Syarifah Salha Syed Ahmad
11 Febuari 2006
Jelebu, N.Sembilan.

Sumber:
Berita Minggu, 7 Mei 2006.

:: Salam takziah buat Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin (Ketua Satu PEN) atas kepulangan suami, Encik Haji Salim Haji Taib (Mantan Ketua Satu PEN) keRahmatullah.

Sunday, April 30, 2006

BAIT PUISI YANG INDAH

BAIT PUISI YANG INDAH


Oleh Shafie Abu Bakar

Keluh gemuruh
di dada kukuh
ialah pengakuan
ialah keyakinan
bermula dari lisan
menghunjam ke tangkai iman
di mana terlihat
di sana isyarat
ayat-ayat Allah
meliputi menyelubungi
Maha Suci.

* Sajak saya "Duniaku" tersiar di Tunas Cipta (TC) edisi Mei.

Wednesday, April 19, 2006

ADAKAH ESOK MASIH ADA?


Image hosting by Photobucket

Setingkat usia bertambah
dengan tanda tanya (?)
setitis insaf mengalur wajah
dengan tanda tanya (?)
adakah esok masih ada?
untuk beramal tanpa sudah
sebelum menjelang usia senja.

Syarifah Salha Syed Ahmad
19 April 2006.

Saturday, April 01, 2006

MAJLIS PENJELASAN ISU SEMASA

Semalam saya menghadiri majlis Penjelasan Isu Semasa anjuran JAKIM di Putra Jaya. Saya bersama kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan bertolak dari Hotel Concorde KLIA ke Putra Jaya pada jam 7.40 pagi, kerana pada Khamis sebelumnya kami bermalam di sana. Seterusnya pada jam 8.30 pagi bersarapan di Kafe Pusat Konvensyen Antarabangsa Putra Jaya (PICC) dan masuk ke Dewan Perdana PICC pada jam 9.00 pagi. Kami menunggu ketibaan Y.B Dato' Dr. Masyitah Ibrahim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Dato' Hj. Mohd Shafie Hj. Apdal, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Y.Bhg. Dato' Mustafa Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sehingga jam 9.35 pagi. Seterusnya mendengar sepatah dua kata daripada Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg Dato' Mustafa Abdul Rahman sebelum mendengar taklimat dan penjelasan isu semasa daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Hj. Mohd Shafie Hj. Apdal. Isu semasa yang menjadi fokus utama diperkatakan menjurus kepada fakta-fakta kenaikan harga produk petrolium, sebab-sebab dan implikasinya. Selain itu turut disentuh beberapa isu, saya kira sejak dahulu sudah diperkatakan namun menjadi semakin hangat dan terkini apakala perbincangan dan isu-isu tersebut masih enggan menerima perubahan meskipun telah banyak usaha dijalankan. Saya tertarik dengan satu pengucapan dan pengkajian yang telah dilaksana dan dinyatakan oleh Dato' Hj. Mohd Shafie Apdal berkaitan wang kerajaan yang telah banyak dibelanjakan untuk pembangunan pendidikan negara. Fakus utama, beliau menyorot kembali kebanyakan penuntut-penuntut universiti luar negara enggan pulang berkhidmat di tanahair. Sedangkan Malaysia amat memerlukan tenaga pakar dalam sesuatu bidang khususnya kedoktoran. Akibatnya, kerajaan Malaysia terpaksa mengimport beberapa orang tenaga pakar dari luar negara untuk menampung kekurangan tersebut. Lantaran itu, sejumlah besar kewangan negara terpaksa dialirkan kepada hal yang berkaitan demi memberi perkhidmatan dan sumbangan yang memuaskan kepada rakyat.

Tuntas saya menyimpulkan, andai kita pada hari ini asyik berbicara soal kenaikan harga barang, harga produk petrolium dan sebagainya daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara, usah menunding jari kepada sesiapa punca berlaku semua ini. Lihatlah kepada diri sendiri, sejauh mana kita mengamalkan sikap suka berjimat, tidak mementingkan diri sendiri dan menghormati hak-hak orang lain. Juga ingat-ingatlah pepatah Malayu "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri." Jangan mengharap yang indah-indah andai tidak berusaha mendapatkan yang indah. Usah pula mudah melatah, andai sekali tercuit dihimpit susah ingat-ingatlah kepada Allah.

Saya terfikir, pasti banyak peruntukan kewangan yang telah diberi oleh kerajaan Malaysia kepada pihak JAKIM untuk mengadakan program sehari tersebut dengan harap rakyat Malysia mengerti apa yang terjadi dekad ini. Tetapi saya juga tertanya-tanya, adakah ini akan memberi impak yang bagus kepada rakyat andai rakyat itu sendiri enggan mengubah nasib dan sikapnya? Bukankah lebih bagus mengubah dan memperbetulkan sikap sendiri daripada mengharap orang lain yang memperbetulkan sikap dan diri kita?

Pengalaman yang sekejap itu cukup bermakna kerana saya dapat melihat pelbagai perkara, pelbagai ragam manusia dan seronok mentafsir segala yang yang terjadi di depan mata. Lalu, teringin memanjangkan cerpen baru saya Kiamat Sudah Dekat menjadi sebuah novel. Ya, dengan harap cita-cita bukan angan-angan kosong tetapi harus disusuli dengan usaha kerana setiap pengalaman adalah ilham dari Yang Maha Pencipta.