Pages

Saturday, November 18, 2006

Syukur Atas Rahmat Tuhan

Syukur Atas Rahmat Tuhan




Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada pengunjung setia blog ini kerana baru sekarang saya berkesempatan mengemas kini laman ini.

Dikesempatan ini juga saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat esasterawan yang hadir pada majlis perkahwinan saya pada 12 November 2006.

Terima kasih kepada pengasas esastera.com Drirwan dan isterinya cikgu Hasimah. Tidak saya sangka Drirwan dan cikgu Hasimah hadir pada malam akad nikah dan esok harinya turut hadir juga. Terima kasih juga kepada Sdr Dahri, Ode, Alana (pengapit saya) dan Anizah yang hadir pada majlis tersebut. Terima kasih Kepada kakak Nisah Haron dan suami beserta anak-anaknya. Kedatangan kalian adalah satu penghargaan dan hadiah yang paling berharga buat diri saya dan suami.

Meskipun telah bergelar isteri, namun tanggungjawab saya terhadap penulisan tetap berjalan seperti biasa. Alhamdulillah, saya dikurniakan pasangan yang memahami minat dan perjuangan saya. Terima kasih kepada suami saya Muhammad Zakir Md.Saad kerana menyokong minat dan perjuangan saya.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada emak, abah, adik-adik dan kaum kerabat yang bertungkus lumus menjayakan majlis pernikahan saya dan suami.

Terima kasih kepada bapa mertua saya beserta kaum keluarga yang hadir. Tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada Pak Latip, Mak Engku dan kaum kerabat yang hadir bagi pihak suami.

Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar.

Terima kasih kepada semua yang hadir.

Friday, October 20, 2006

SALAM AIDILFITRI

SALAM AIDILFITRI

Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. Terima kasih kerana sudi berkunjung.


Monday, October 16, 2006

BACA, JANGAN TIDAK BACA.

Baca, Jangan Tidak Baca

Sesiapa yang belum membaca tiga penulisan ini diharap dapat membacanya sebelum 'melatah'di luar konteks atau membuat penilaian. Saya paparkan tiga penulisan yang ditulis oleh tiga penulis yang berbeza. Saya tidak mahu mengulas isu ini. Biar anda mengulas sendiri setelah membacanya. Sampai bila mahu dihidangkan dengan buah fikir seseorang penulis dan pengkritik tanpa anda sendiri berfikir dan membuat kesimpulan bernoktah atau tanpa noktah. Justeru selamat membaca!

Zaid Akhtar Kemilau Nama Besar
Oleh Saifur Rohman

APA yang terpahat di benak saya ketika membaca tajuk tulisan Zaid Akhtar, "Pilihlah Pembimbing Berwibawa" (Mingguan Malaysia 17 September 2006), adalah ungkapan penuh perintah, yang tidak ada jalan lain kecuali pembaca harus mentaati.

Suka atau tidak. Oleh kerana perintah adalah langkah awal penundukan, sementara penundukan itu bererti penaklukan, dan penaklukan adalah lawan dari kebebasan, maka sebenarnya karangan seterusnya boleh dihindari dari mata kita secepatnya.

Tetapi lebih daripada tajuk Zaid yang sangat fasis, kita boleh melihat ungkapan- ungkapan yang dikumpulkan. Lihatlah kosa kata yang sempat ditulis dengan sangat ekspresif: 'menjatuhkan maruah Malaysia', 'menzalimi', 'mengkhianati', 'kesilapan', 'yang tidak harus diulangi', 'sejarah hitam', 'tidak wajar', dan 'belum benar-benar teruji'.

Daftar kata itu akan semakin panjang dan semakin memastikan bahawa tulisan itu dilandasi bukan sekadar upaya memerintah, tetapi lebih sebagai jerih payah untuk menyusun citraan seseorang sebagai 'pengkhianat', 'penzalim', 'sosok yang silap', dan seterusnya.

Dia tampak sangat berobsesi untuk menciptakan sosok yang memiliki banyak 'noda' sehingga tidak boleh dicampur dengan sosok yang suci dan penuh dengan maruah. Inilah gambaran hitam putih yang mahu dihebah Zaid di depan khalayak, yang ternyata tidak dibaca oleh orang Malaysia tetapi juga oleh saya, orang Indonesia.

Padahal, dari kerumunan kata-kata yang penuh bau busuk itu, akar yang dikemukakan sahabat Zaid hanya satu ayat saja: 'Penghantaran novelis popular terkenal Ahadiat Akashah sebagai pembimbing ke bengkel Mastera (Majlis Sastera Asia Tenggara) adalah satu kesilapan yang tidak harus diulangi'.

Dia menganggap, penghantaran itu menjatuhkan nama baik Malaysia di depan negara tetangga kerana Ahadiat dinilai 'belum benar-benar teruji dan diperakui oleh cerdik pandai sastera'. Ahadiat dilihatnya hanyalah sosok yang sama sekali tidak menambah maruah Malaysia, tetapi sebaliknya.

Dipandangnya Ahadiat hanyalah setitik noda yang merosak aroma susu sebelanga. Kerana itu, dia mengusulkan agar pembimbing adalah sosok yang sudah terkenal. Untuk ukuran Malaysia, semacam A. Samad Said, Arena Wati, Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail, dan Zaharah Nawawi.

Untuk memperkuat cadangannya, dia kemudian membandingkan dengan Indonesia yang telah menghantar pembimbing-pembimbing yang cukup punya nama besar. Zaid merujuk pada sosok Budi Darma, Ahmad Tohari dan Putu Wijaya.

Tidak aneh, ketika dia mendapati nama-nama itu, Zaid pun kemudian tersentak kaget semacam tidak percaya dengan pengalamannya tahun ini. Sampai dia berucap dengan penuh rasa syukur, "Terasa bagaikan bermimpi apabila barisan sasterawan Indonesia bangkit seorang demi seorang memperkenalkan diri."

Begitulah, sosok mereka membuat Zaid terpana kerana berasa hidup di alam mimpi. Tahniah.

Saya tidak memiliki pretensi untuk melihat kekagetan Zaid sebagai bentuk sikap yang tidak senonoh, bukan pula kesalahan yang seharusnya dia minta maaf.

Silau

Akan tetapi kekaguman pada nama besar adalah soalan yang tidak boleh dibiarkan begitu saja. Kemilau nama-nama yang disebutkan Zaid dengan ketakziman yang sangat itu akan membuat matanya silau, dan ketika mata Zaid silau, maka dia akan terpejam dan tidak melihat apa pun.

Persoalan yang muncul kemudian, ketika dia tidak melihat apa pun, bagaimana kita bisa mempercayai gambaran orang yang tidak melihat.

Ketika Zaid teruja dengan nama-nama besar yang dihantar Indonesia, sebetulnya dia sedang ditipu. Ada permasalahan menarik yang muncul kerana kebetulan saya sempat berbincang dengan salah seorang panitia Mastera dalam perjalanan dari Jakarta menuju Bogor pada 31 Julai. Bahkan beberapa jam sebelum bengkel sastera itu berlangsung di Bogor, senarai pembimbing sesungguhnya belum pasti. Menurut rencana panitia di Pusat Bahasa, Putu Wijaya bukanlah pembimbing yang diikutsertakan dalam bengkel Mastera.

Selain Budi Darma dan Ahmad Tohari, Pusat Bahasa Jakarta mengirimkan sosok yang belum saya kenal dalam medan sastera Indonesia. Padahal sosok ini diharapkan boleh memberikan cadangan yang berharga bagi peningkatan novel Asia Tenggara di masa hadapan.

Sangat sulit untuk mengatakan bahawa saya tidak mengenal sesiapa sosok-sosok penting dalam sastera Indonesia kerana pengajian ijazah dan master saya adalah sastera Indonesia.

Tetapi untuk nama pembimbing yang satu ini dari Indonesia belum saya kenal sama sekali. Jika nama yang belum saya kenal ini, dan mungkin saja Zaid tidak pernah membaca karyanya itu kemudian tiba-tiba muncul di depan kita, apakah Zaid tetap mengatakan bahawa 'Bengkel Mastera tidak sewajarnya direndahkan martabatnya dengan menghantar pembimbing yang karyanya belum benar-benar teruji'? Apakah dia akan bertanya 'tidak sepatutnya Mastera dizalimi dengan pembimbing yang buruk'?

Saya rasa tidaklah adil dengan mengatakan bahawa penghantaran Ahadiat Akashah dalam bengkel Mastera di Bogor (1-6 Ogos 2006) dianggap sebagai merendahkan maruah Malaysia. Apalagi itu hanya berlandaskan pada pokok fikiran bahawa beliau adalah penulis novel-novel popular. Tidak sedikit novel-novel popular yang memiliki kualiti estetika.

Popular

Barangkali masalahnya tidak terletak pada pertanyaan apakah nama yang menjadi pembimbing itu besar atau kecil. Bukan pula terletak pada penulis popular atau kanun. Secara mudah, persoalannya bukan siapa, tetapi apa masalah mendasar yang dihadapi oleh Mastera dan bagaimana memecahkannya. Ukurannya sangat jelas, apakah dengan perhelatan Mastera masalah yang sebelumnya sudah ada boleh dituntaskan atau malah menimbulkan masalah baru?

Secara lebih mendalam, perlu dijawab pertanyaan: apa yang boleh dihasilkan dari bengkel sastera yang menghabiskan berjuta-juta rupiah itu?

Apa saja persoalan yang dihadapi oleh para penulis di Asia Tenggara sehingga harus susah payah dikumpulkan dalam satu lokasi dan diskusi bersama? Bila permasalahan masing-masing itu sangat khas, maka apa perbezaan dan persamaan kerumitan yang sedang dihadapi oleh para penulis yang penuh potensi itu?

Bagaimana penulis memecahkan persoalan mereka dengan caranya sendiri? Perlu bantuan apakah untuk mengatasinya? Bagaimana panitia memecahkan persoalan-persoalan yang muncul? Strategi apakah yang perlu digunakan untuk memperbaiki kesalahan yang lalu dan menyongsong bengkel sastera di hadapan?

Pertanyaan itu masih boleh dilanjutkan terus. Tanpa bermaksud melupakan kerja keras mereka, saya kira inilah pertanyaan-pertanyaan mendasar yang belum disentuh oleh panitia Mastera. Sekurang-kurangnya, saya berharap pertanyaan-pertanyaan itu bisa dijawab pada Mastera puisi di tahun hadapan.

Sekali lagi, merujuk kepada tulisan Zaid yang menyatakan bahawa 'Penghantaran Ahadiat adalah menjatuhkan maruah Malaysia', kemudian diikuti oleh kosa kata yang tidak senonoh, maka sebetulnya kini kita menjadi tahu siapakah sebenarnya yang merendahkan maruah program Mastera.

Bahawasanya tidak hanya pembimbing yang perlu dipilih, tetapi juga peserta. Tidak hanya pembimbing yang boleh menjatuhkan maruah, tetapi juga peserta. Jadi, apakah peserta program Mastera dari Malaysia sudah benar-benar dipilih sehingga yang dipilih itu tidak tahu berterima kasih?

Sumber:
Mingguan Malaysia, 15 Oktober 2006.


Pilihlah Pembimbing Berwibawa
Oleh: ZAID AKHTAR

BARU-baru ini Bengkel Penulisan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) hadir sekali lagi sebagaimana tahun-tahun sebelumnya bagi mempertemukan penulis-penulis muda di Nusantara. Bengkel kali ke-10 ini di Wisma Arga, Mulya, Bogor, Indonesia.

Saya bersama lima penulis muda lain yang terdiri daripada Alias Ismail, Jaya Ramba, Salina Ibrahim, Amaruszati Noor Rahim dan Marwati Wahab (Aleya Aneesa) dipilih mewakili Malaysia ke program penataran tersebut.

Memandangkan tahun ini genre novel mengambil gilirannya, justeru yang terpilih setelah disaring oleh urus setia adalah barisan penulis novel yang diyakini berpotensi dan sedang mencipta nama di persada sastera tanah air.

Diadakan sesi taaruf antara peserta dan pembimbing. Setiap negara peserta Mastera menghantar enam peserta dan dua pembimbing kecuali Singapura sebagai negara pemerhati yang menghantar dua peserta dan seorang pembimbing.

Seperti biasa, Indonesia sebagai tuan rumah meletakkan nama-nama besar sebagai pembimbing demi meraikan tetangganya yang datang bertandang. Bagi kami yang sering mengikuti sastera Indonesia, terasa bagaikan bermimpi apabila barisan sasterawan Indonesia bangkit seorang demi seorang memperkenalkan diri.

Siapa yang tidak teruja gembira melihat Prof. Budi Darma, novelis Olenka dan Rafilus merangkap pakar rujuk sastera Indonesia yang cukup dikenali di pelosok Nusantara penuh bersahaja tetapi mesra memulakan sesi taaruf.

Hati mana yang tidak melonjak girang melihat Putu Wijaya pengarang versatil yang begitu terkenal dengan novel Telegram tersenyum intim ketika mencapai mikrofon. Dan perasaan mana yang tidak tersentuh mendengar betapa luhur dan tawaduknya ucapan pertama Ahmad Tohari, sasterawan berlatar belakang pesantren tetapi sangat berpengaruh menerusi trilogi Ronggeng Dukuh Paruk yang sudah diterjemah ke beberapa bahasa?

Singapura tidak mahu mengalah dengan menghantar Suratman Markasan dari ASAS '50 sebagai pembimbing, manakala Brunei menitipkan Pengiran Haji Metusin Pengiran Md Daud dan Ampuan Dr. Hj Ibrahim.

Malaysia pula menghantar Siti Aisah Murad dan Ahadiat Akashah untuk sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman penulisan dengan para peserta.

Selain berbengkel, para peserta juga dihidangkan dengan ceramah oleh Prof. Fuad Hassan yang didatangkan khas dari Universiti Indonesia untuk berbicara tentang Manifestasi Budaya.

Namun tiada acara yang sempurna sebenarnya termasuk program bertaraf antarabangsa sebegini. Secara peribadi - malah pandangan ini turut disokong oleh teman-teman penulis seangkatan - saya melihat penghantaran novelis popular terkenal Ahadiat Akashah sebagai pembimbing ke bengkel novel Mastera adalah satu kesilapan yang tidak harus diulangi.

Pandangan yang kontra ini bukanlah langsung berkaitan dengan peribadi Ahadiat (yang saya kira cukup bersopan dan penyantun orangnya) tetapi menjurus kepada prestij yang ada pada program itu sendiri.

Bengkel Mastera adalah program berprestij dan tidak sewajarnya direndahkan martabatnya dengan menghantar pembimbing yang karyanya belum benar-benar teruji dan diperakukan oleh cerdik pandai sastera.

Tanpa menafikan kemampuan stamina Ahadiat yang menurutnya sudah menghasilkan lebih 70 buah novel popular, saya berasa adalah lebih wajar jika pihak Dewan Bahasa dan Pustaka selaku urus setia Mastera Malaysia memilih pembimbing yang lebih berkredibiliti seperti A. Samad Said, Arena Wati, Anwar Ridhwan, Siti Zainon Ismail atau Zaharah Nawawi.

Malah menurut peserta Bengkel Novel Mastera pada tahun 2001, S. Othman Kelantan dan A. Wahab Ali pernah dihantar sebagai pembimbing.

Kita seharusnya berasa malu dengan tuan rumah Indonesia yang tekal mengangkat prestij Mastera, justeru berusaha meletakkan tiga tokoh sasterawan yang pernah meraih anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai pembimbing.

Kepuasan tetamu dan penghormatan kepada tetangganya sangat diutamakan. Pembimbing yang dipilih bukan sembarangan penulis malah sangat kuat jati diri dalam karyanya dan peribadinya teguh berprinsip!

Malangnya kesedaran semacam itu tidak timbul di sini. Sebaliknya kita lebih terpesona melihat kuantiti karya dan populariti seseorang penulis sebagai kayu ukur kejayaannya. Aspek nilai atau kualiti, apalagi estetika bentuk mahupun makna semuanya dihumban ke tepi.

Maruah

Lantas tanpa disedari sebenarnya, kita telah menjatuhkan maruah sastera Malaysia sendiri. Kita telah 'menzalimi' malah mengkhianati perjuangan menobatkan bahasa dan sastera kita sendiri apabila meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Bahkan saya yakin betapa para peserta mahupun pembimbing dari Brunei dan Singapura yang sentiasa tekun mengikuti perkembangan sastera Melayu selama ini tertanya-tanya dengan pemilihan pembimbing kita.

Usah terkejut jika ada peserta dari negara jiran yang awal-awal lagi sudah mengetahui nama-nama dalam senarai awal pembimbing Malaysia. Namun pastinya mereka buat-buat tidak mengerti dan persoalan itu langsung tidak ditimbulkan demi menjaga air muka delegasi kita.

Memang pahit untuk menelan realiti yang tidak seharusnya berlaku. Tetapi, sejarah 'hitam' yang sudah tercatat itu tidak wajar diulangi dan harus dilihat dengan penuh iktibar: Betapa masih ramai birokrat sastera yang kadangkala semacam hanyut dalam arus liberalisme dan jauh terpesong hala tujunya.

Sepadan dengan usianya yang sudah menjangkau setengah kurun, DBP sewajarnya lebih bijaksana dan matang. Segala tindakan hendaknya dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan berwawasan demi kepentingan bahasa dan sastera Melayu yang semakin terpinggir di negaranya sendiri - sesuai dengan sambutan Jubli Emas DBP yang dirayakan secara gilang-gemilang baru-baru ini.

Sumber:
Mingguan Malaysia, 17 September 2006.


Kasta Dalam Sastera

HALAMAN sastera Mingguan Malaysia semalam seorang penulis, Zaid Akhtar mempertikaikan pemilihan novelis Ahadiat Akashah sebagai pembimbing di satu bengkel di Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Bogor, Indonesia.

Hujahnya Ahadiat tidak mencapai piawaian berbanding pembimbing-pembimbing dari negara lain.

Secara jujur saya bukanlah pembaca novel-novel Ahadiat dan tulisan ini sama sekali tidak membela Ahadiat.

Bertolak daripada tulisan Zaid, eloklah kalau kita melihat secara realistik tentang kewujudan kasta antara sastera elit dan pop dalam kesusasteraan tanah air.

Ahadiat adalah penggiat sastera pop menerusi novel-novel yang mengambil pendekatan popular. Dia hidup mewah dengan karya pop ini. Malah bukan saja Ahadiat, sastera pop kita digerakkan oleh banyak penulis lain.

Antaranya Aisya Sofea (Adam dan Hawa), Aina Emir (Sesuci Cinta), Fauziah Ashari (Ombak Rindu) dan Norhayati Ibrahim (Cinta Pertama). Banyak lagi yang tidak disebut di sini begitu aktif menulis dan mendapat imbuhan daripadanya.

Tanpa menafikan penulis-penulis sastera elit, saya sangat perlu mengaku bahawa orang-orang inilah yang banyak menggerakkan dunia kesusasteraan kita. Mereka ini jugalah yang menjadi penyumbang besar dalam industri buku khususnya karya fiksyen.

Tetapi arus perdana kesusasteraan kita semacam menolak kehadiran penulis sastera pop. Bagi mereka penulis sastera pop merendahkan martabat sastera kerana memilih pendekatan popular.

Kita kena realistik bahawa inilah yang berlaku di seluruh dunia. Lihatlah dari mana datangnya John Grisham yang terkenal dengan The Chamber dan The Pelican Brief. Kita juga wajar melihat J.K Rowling penulis Harry Potter.

Kedua-dua contoh ini bukanlah lahir daripada kelompok sastera elit. Malah mereka tidak pernah menganggap diri mereka sebagai orang sastera.

Tetapi novel-novel mereka bukan saja menjana pendapatan yang hebat malah sangat berpengaruh.

Penulis-penulis sastera pop kita sudah mampu menjadikan sastera sebagai sumber pendapatan. Maknanya tanpa mengorban nilai-nilai masyarakat, sastera pop seharusnya ada tempat yang istimewa.

Kita boleh melabelkan apa saja terhadap penulis sastera pop. Malah boleh saja meminggirkan mereka daripada sebarang acara kesusasteraan.

Tetapi runtuh atau lesunya dunia sastera bukanlah kerana penulis sastera pop. Dunia kesusasteraan lesu dan terpinggir kerana ada elitis sastera yang sengaja membina kasta.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my


Sumber:
Utusan Malaysia, 18 September 2006.

Monday, October 02, 2006

SAYA DALAM TUNAS CIPTA EDISI OKTOBER

SAYA DALAM TUNAS CIPTA EDISI OKTOBER

Artikel tentang diri saya di ruangan Bicara Tunas, Tunas Cipta edisi Oktober 2006. Selamat membaca!

Sunday, September 24, 2006

SURATAN RAMADHAN

SURATAN RAMADHAN

OLEH SYARIFAH SALHA SYED AHMAD


"Ramadhan al-Karim...Ramadhan al-Karim...Ramadhan al-Karim- Allahu Akram... Allahu Akram... Allahu Akram."

AKU sentiasa mendengar kalimah itu. Ummi sentiasa melafazkannya saat bersapaan dan berpelukan dengan rakan-rakanya. Semua orang yang lalu lalang juga begitu, saling bersapaan dan bersalaman lalu terluncur kalimah tersebut daripada mulut mereka. Itu budaya hidup masyarakatku, saling memuliakan bulan Ramadhan. Ummi juga mengajariku agar berbuat demikian.

Aku terlalu kecil untuk menilai nikmat Ramadhan. Ummi yang selalu berkata begitu. Namun kurasa fikiran ini cukup matang menilai erti hidup. Mengapa ummi berkata begitu? Barangkali ummi beranggapan usiaku yang menginjak enam tahun ini terlalu kerdil untuk menilai sesuatu nikmat.

Terkadang aku hampir berputus asa menolong ummi setiap hari. Aku juga mahu bersekolah seperti kanak-kanak lain. Aku cemburu melihat mereka menggalas beg setiap pagi ke sekolah. Aku lihat mereka turun berpusu-pusu daripada perut bas lalu ada guru pula yang menyambut di pintu gerbang sekolah. Sebahagian yang lain pula keluar daripada perut kereta mewah bermacam jenama. Tangan mereka dipimpin oleh ayah dan ibu masing-masing. Aku cemburu sekali. Aku sering memerhati mereka daripada deretan kereta yang bersusun disepanjang jalan itu. Adakala aku hanya memerhati mereka daripada pasar mini Pakcik Rejab sambil pura-pura membeli sayuran dan buah-buahan. Adakala Pakcik Rejab menyergahku: Muhammad, apa saja yang kau buat itu! Aku sudah lali dengan sergahan itu. Setiap kali disergah aku hanya tersengih sambil senyum-senyum simpul. Aku jarang sekali punyai wang yang cukup untuk membeli sayuran. Apatah lagi mahu merasa nikmat buah-buahan segar.

Aku diajar oleh ummi agar besyukur dengan nikmat Allah. Lantaran itu aku gagahi diri membantu ummi. Ummi berpesan agar aku tidak meminta-minta meskipun kehidupan kami cukup naif dan faqir. Lalu aku sudah diajar sejak berusia empat tahun agar menjual tisu. Aku akan menghulurkan sebungkus tisu kepada sesiapa sahaja yang lalu di hadapanku. Jika kelihatan orang asing seperti pelajar Malaysia, Filiphina dan sebagainya, akan kuekori mereka dari belakang- wahai saudaraku, belilah tisu ini hanya lima puluh qirsy sahaja. Begitu aku memulakan bicara dengan harap agar mereka membeli tisu yang kujual itu. Aku gemar menjualnya kepada penuntut-penuntut Malaysia. Mereka sering membeli tisu yang kujual itu. Adakala mereka memberi wang kepadaku tanpa mengambil tisu tersebut.

Pernah aku dimarahi dan dipukul oleh ummi lantaran melihat wang berjumlah lima junaih berada dalam saku seluarku. Sedangkan jumlah penjualan tisu terlalu sedikit, tidak setara dengan wang yang aku terima. Ummi hairan melihat wang yang banyak itu. Ummi khuatir aku mencuri. Aku menangis teresak-esak saat ummi memukulku lalu berkata: ummi aku tidak mencuri. Duit itu pemberian seorang pelajar Malaysia kepadaku. Aku berusaha memberi tisu itu kepadanya namun dia enggan mengambil. Apa yang harus aku lakukan ummi? Ummi menangis lalu mmelukku erat. Pesan ummi agar aku tidak mengulangi perbuatan mengambil wang tanpa memberi tisu itu lagi. Kata ummi, setiap mereka yang memberi wang wajib diberi tisu sesuai dengan kadar wang yang diberi.

Meskipun pernah dimarahi dan dipukul, aku tidak pernah bersikap cangkang terhadap ummi. Sebaliknya rasa kasih dan sayang semakin menebal dalam sukma. Apa tidaknya, setiap malam ummi pasti berjaga; membuat jibnah baladi dan membakar 'ish. Lalu jibnah itu ummi jual dan ish pula adalah makanan ruji kami setiap hari. Itu keperitan hidup ummi dari dulu aku sedari.

Seawal kelahiranku ke dunia ini tidak pernah kutatap wajah baba. Aku tertanya-tanya dimanakah baba? Namun setiap kali soalan itu diajukan kepada ummi, aku hanya menemukan kehampaan dalam diri kerana jawapanya; baba telah lama merantau jauh dan tidak akan kembali lagi. Meskipun aku kurang mengerti akan kata-kata ummi, namun aku berharap agar baba akan kembali. Hanya foto kusam baba menjadi tatapanku setiap hari kala mahu melayan lena dua mata.

Sejuk dan gigil setiap malam pula terutama musim syita' sudah menjadi kebiasaan. Aku tetap cendera menereluh berbumbungkan serpihan papan-papan dan bertilamkan kotak-kotak yang telah ummi cantum menjadi satu hamparan.

Setiap hari sebelum tidur ummi pasti bercerita tentang negaraku, Mesir. Kata ummi, kota kediaman kami ini namanya al-Kaherah. Di kota Kaherah ini ada Piramid dan Sphinx. Bentuknya tiga segi, besar dan tinggi. Itulah simbol sejarah Mesir. Sphink pula adalah patung yang berbadan singa berkepala manusia. Tampak sebagai penjaga Piramid jika dilihat dari arah depan. Ummi bercerita juga di kota Kaherah ini ada Masjid 'Amru bin 'Ash; masjid pertama di Mesir yang dibangunkan oleh panglima 'Amru bin 'Ash atas perintah khalifah Ummar bin Khattab, setibanya di Mesir pada tahun 21 Hijrah bersamaan 641 Masihi. Aku cepat hafaz dan ingat semua yang diceritakan oleh ummi. Aku juga sentiasa ingat bahawa panglima 'Amru bin 'Ash adalah orang pertama yang membuka Mesir. Meskipun aku tidak pernah sampai ke tempat-tempat yang ummi ceritakan itu, namun aku bangga kerana aku mampu mengingati semua perkara yang diceritakan oleh ummi. Ummi selalu memuji, aku adalah budak pandai dan pintar. Jika aku bersekolah pasti guru-guru dan kawan-kawan akan memuji aku begitu.

Tengahari ini aku kembali menjual tisu setelah lima hari merawat ummi yang terlantar di pondok buruk kami. Ummi sering sakit-sakit. Kakinya kulihat semakin membengkak. Namun aku tidak pernah tahu jenis sakit yang sering menimpa ummi. Kala ummi diserang ligih dia selalu berpesan; Muhammad bancuhkan ummi air gula pekat-pekat. Barangkali itulah ubat untuk menyembuhkan penyakit ummi. Lantaran itu, setiap kali ummi diserang sakit dan ligih, aku sudah tahu cara untuk merawat ummi. Begitu tatkala berlaku pertukaran musim saifi kepada syita'. Kerap benar ummi sakit. Namun begitu pasti akan sembuh kembali.

Aku melabuhkan punggung, merapat sila dua kaki di Masjid Musa. Di hadapan pintu gerbang masjid ini posisi palik selesa untuk aku menjual tisu. Mereka yang bersolat di sini selalu membeli tisuku. Tidak kurang juga penuntut-penuntut Malaysia yang lalu-lalang dan tinggal di kawasan Hayyu Sabi' ini, selalu membeli tisu yang kujual.

Masyarakat sekeliling kelihatan berseliwiran dan sibuk dengan aktiviti masing-masing. Ke sana sini berjalan pantas. Suasana petang ini seperti kebiasaan, sentiasa bergalau dengan suara-suara manusia, bunyi kenderaan lalu lalang dan sesekali diselangi suara keldai tua. Pasar mini Pakcik Rejab kelihatan sesak dengan orang ramai- membeli sayuran dan buah-buahan untuk persediaan berbuka puasa.

Kedai 'Adil 'Athar yang menjual pelbagai jenis kurma pada bulan Ramadhan juga sudah mula dikerumuni orang ramai. Jalan besar di depan sana kelihatan sesak dengan jubelan kenderaan. Sebentar lagi azan asar akan berkumandang. Selesai solat nanti aku akan menyambung semula pekerjaan menjual tisu ini untuk beberapa ketika sebelum berkumandang azan maghrib.

Setelah selesai solat asar, aku kembali mengambil tempat meneruskan aktiviti penjualan tisu. Rezeki Allah untukku hari ini melimpah ruah. Ramai yang membeli tisuku. Sebahagian wang ini akan kugunakan untuk membeli sayuran. Pasti ummi berselera makan pada malam ini. Sakit ummi juga pasti cepat sembuh.

"Aku mahu dua bungkus tisu duhai adik."

Seorang wanita warganegara Malaysia menghulurkan wang berjumlah satu junaih kepadaku. Aku memang kenal benar akan lenggok pertuturan dan imej penuntut wanita Malaysia di sini kerana berpewatakan lembut, berjubah dan berkerudung labuh.

"Ini wahai kakak."

Aku menghadiahkan senyuman ikhlas kepadanya sambil menyambut huluran wang pemberiannya.

"Siapa namamu? Aku sering melihat kamu di sini."

"Namaku Muhammad." Begitu ringkas aku menjawab.

"Oh ya Muhammad! Dimana ibumu?"

Ada riak hairan di wajahnya namun cepat-cepat pula dia tersenyum kepadaku.

"Ibuku di pondok, dia sakit." Seketika aku menekur bumi.

"Ambillah ini wahai adik, pemberianku untukmu."

Aku tersenyum girang menerima sekotak kurma sederhana besar daripadanya, sebagai hadiah buat juadah berbuka puasa.

"Oh! Terima kasih duhai kakak, sung...."

"Semoga ibumu cepat sembuh!"

Wanita itu berteriak kecil sambil bergegas menuju jalan pulang. Mataku yang mencerlang akhirnya kuyu. Ah! Aku tidak sempat bertanyakan namanya. Sungguh mulia hatinya. Aku segera mengangkat punggung melajukan langkah lalu beracak-acak ke arah wanita itu. Aku harus cepat-cepat bertanyakan namanya agar nanti dapat kukhabarkan kepada ummi akan budi baiknya.

Dalam kekalutan itu, tiba-tiba tubuhku dirempuh sebuah kereta. Aku terpelanting ke seberang jalan. Kepalaku terasa amat sakit. Aku tidak mampu menggerakkan tubuh. Hanya mendengar sayup azan maghrib berkumandang sedang penglihatanku semakin kelam. Ya Allah... bisakah kurasa manisnya kurma, sunnah Rasulullah s.a.w ketika berbuka.

Kotak kurma masih kemas dalam dakapan. Fuadku diurung syahdu, hanya sempat memasak azam; ummi, akan kubawa pulang kurma ini untukmu. Itu kalimah terakhir yang mampu kuucap sebelum mata terpejam. Dan aku tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.

Glosari
Qirsy: piastres (pecahan matawang Mesir).
Junaih: pound Egypt.
Jibnah baladi: keju buatan sendiri.
'Ish: sejenis roti (makanan ruji rakyat Mesir).
Cangkang: menjawab dengan keras dan biadap apabila dimarahi.
Syita': musin sejuk.
Saifi: musim panas.
Cendera: nyenyak
Menereluh: tidur
Ligih: terketar-ketar menggigil.
Berseliwiran: berjalan ke sana ke mari.
Bergalau: kebisingan, kekacauan.
Menekur: tunduk, memandang ke bawah.
Beracak-acak: terburu-buru, tergesa-gesa.

Berita Minggu, 30 Oktober 2005.


Sunday, September 17, 2006