Pages

Saturday, March 03, 2007

Al- Khuwarizmi

Al- Khuwarizmi



Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

Hari ini saya mahu bercerita tentang sejarah hidup salah seorang ilmuan Islam iaitu al-Khuwarizmi. Nama beliau adalah Muhammad bin Musa al- Khuwarizmi. Al- Khuwarizmi diambil bersempena nama tempat kelahiran beliau disalah sebuah bandar di Turkistan iaitu Khuwarizm (bandar ini kini dalam wilayah Rusia). Tarikh kelahiran beliau tidak pula diketahui namun terdapat sebahagian buku rujukan yang menyatakan beliau dilahirkan pada tahun 780 Masihi. Beliau meninggal dunia pada tahun 850 Masihi. Al- Khuwarizmi adalah salah seorang ilmuan Islam dalam bidang matematik dan geografi.

Beliau tidak hanya menguasai ilmu-ilmu tersebut malah telah membuat pembaharuan kerana penciptaan ilmu algebranya. Buku karangan beliau yang paling terkenal adalah al- Jabr wa al- Muqabalah. Al- Jabr bermaksud cara mengira huruf sebagai pengganti angka manakala al- Muqabalah bermaksud menolak suatu nilai yang sama dalam perbandingan. Buku ini telah menjadi panduan dan rujukan ilmuan barat dan mereka telah menggunakan nama al- Khuwarizm sebagai algoritma-logaritma sebagai salah satu bentuk gerak kerja dalam ilmu algebra.

Buku yang menceritakan tentang ilmu logaritma ini telah dibiayai oleh Khalifah Abbasiyah, Abdullah al- Ma'mun, putera kepada Khalifah Harun al- Rasyid. Khalifah Abdullah ini merupakan pemimpin yang sangat mencintai ilmu dan menyokong para ulama sehingga kerajaan Islam pada zamannya mencapai kemajuan yang sangat pesat. Antara ayat dan kata-kata yang terkandung dalam buku ini seperti katanya:" Imam al- Ma'mun, Amir al- Mukminin memerintahkan saya untuk menerangkan sesuatu yang masih samar dan memudahkan sesuatu yang sukar. Beliau juga memarintahkan saya supaya mengarang sebuah buku yang ringkas tentang pengiraan algebra dan perbandingan. Hal ini kerana orang ramai sangat memerlukannya dalam melakukan pembahagian harta pusaka, wasiat, pembahagian hartanah, perniagaan dan transaksi. Mereka juga memerlukannya untuk mengukur tanah dan keluasan sungai ketika mereka handak membersihkannya."

Buku ini juga ada membincangkan secara khusus tentang darab, tambah, tolak dan bahagi.

Penyelesaian persamaan yang telah dilakukan oleh al- Khuwarizmi sejak lebih 1,000 tahun yang lalu:

5 X - 5= 15

5 X = 15+5

5 X = 20

X = 20 bahagi 5= 4

Antara warisan atau hasil karya al- Khuwarizmi ialah buku Ilustrasi al- Ardh, buku al- 'Amal bi al- Usturlab, buku al- Jam' wa al- Tarh dan buku yang paling terkenal, al- Jabr wa al- Muqabalah.

Demikian sedikit perkongsian ilmu pada hari ini. Sampai di sini dahulu. Awal pagi esok saya perlu ke Sekolah Menengah Dato' Undang Musa al- Haj untuk mempengerusikan Majlis Tilawah Al- Quran, bagi katogeri sekolah menengah, lelaki.

Wassalam.

Friday, January 26, 2007

Yang Manis Tidak Selalu Indah, Yang Pahit Tidak Selalu Kelat

Yang Manis Tidak Selalu Indah, Yang Pahit Tidak Selalu Kelat

Banyak yang manis dan pahit sepanjang berada di IPRM. Saya suka mengenang yang pahit, kerana yang pahit sering buat saya sentiasa berjaga-jaga, insaf dan mengingatkan saya supaya tidak kufur dengan nikmat Tuhan. Tentunya yang pahit itu menuntut kesabaran. Peringkat pertama sudah tamat. Selebihnya saya akan memulakan kuliah pada cuti bulan lima akan datang.

Fitrah manusia suka yang manis-manis dan yang indah-indah. Saya tidak menafikan semua itu. Namun, adakala yang manis-manis dan yang indah-indah itu sering memudaratkan. Yang pahit pula tidak semestinya kelat kerana yang pahit itu adalah ubat dan penawar.

Barangkali ramai yang tidak tahu mengapa seseorang itu memilih sesuatu perkara yang dirasakan buruk olehnya tetapi baik bagi orang yang memilih. Sebelum ini ramai yang kurang senang bila Dato' Siti Nurhaliza berkahwin dengan Dato' Khalid Mohd Jiwa. Namun, sekarang ramai yang sudah akur.

Barangkali ramai juga yang tidak tahu apa tujuan saya menulis di blog ini. Iya, saya tidak pernah menyatakan dalam entri-entri sebelum ini mengapa saya menulis sama ada di blog atau di mana-mana sahaja. Bermula aksara 2006 hingga menjelang aksara 2007 jarang sekali saya memaparkan penulisan-penulisan berbentuk sastera. Saya juga jarang menyiarkan karya-karya saya di sini. Mungkin kerana itu ramai yang tidak tahu apa sebenarnya ingin saya tulis di blog ini.

Apa yang saya tulis ini sudah sampai kepada kemuncak maksud. Barangkali ramai yang masih tidak tahu atau tidak faham. Seringkali sasterawan dikaitkan dengan bahasa yang sukar dimengertikan. Percakapan seseorang sasterawan juga tidak secara langsung. Sasterawan gemar beranalogi, berfalsafah dan gemar memikirkan sesuatu yang lain dan berbeza daripada orang lain. Perkara ini satu kebenaran yang tidak perlu disangkal.

Seperti Nisah Hj. Haron, Faisal Tehrani, Mawar Syafei, SM. Zakir, Shamsudin Othman, Nazmi Yaakob dan Zaid Akhtar, ramai yang tidak tahu tujuan mereka menulis di blog atau di mana sahaja. Tidak kurang juga ramai yang tidak tahu atau barangkali tidak kenal dengan Ghafirah Idris, Ida Munira, Siti Hajar Mohd Zaki, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, Salman Sulaiman, WB Rendra, Lutfi Ishak, Amiza Khusri, Fahd Razy, Nimoiz TY dan ramai lagi. Barangkali lebih ramai yang kenal dengan Pak Samad (S.N A.Samad Said). Itupun hanya kenal nama tidak pada rupa atau kenal rupa tetapi tidak tahu nama.

Mereka yang saya sebutkan di atas adalah rakan, sahabat, guru, pembimbing bagi diri saya. Meskipun kami berbeza usia, kerjaya, matlamat, tujuan dan pendapat, namun begitu kami pernah duduk semeja, makan bersama dan pernah melakukan aktiviti yang sama dalam kumpulan dan kelompok yang sama. Namun persamaan kami yang paling ketara meskipun berbeza jantina adalah kerana kami seorang penulis.

Cukuplah dengangan lagu yang saya sediakan untuk halwa telinga pengunjung. Saya tidak menyediakan perkhidmatan memilih irama dan lagu. Saya juga tidak menyediakan koleksi nasyid pilihan atau lagu-lagu artis pilihan kerana saya bukan kumpulan nasyid Hijaz, UNIC atau Raihan. Saya juga bukan M.Nasir, Mawi atau Jaclyn Victor. Ambillah apa yang memberi manfaat. Jika tidak ada yang bermanfaat, saya memohon maaf, di atas kesempatan waktu yang sedikit dan jarang terluang untuk menyediakan sesuatu yang sangat bermanfaat untuk diri kalian. Jika punyai masa yang terluang dengan kapasiti tenaga yang banyak, akan saya cuba menghiburkan kalian supaya tidak bosan.

Selamat membaca dan semoga terhibur! :)

Wednesday, January 10, 2007

Diserang

Diserang

Saya orang ke empat yang diserang. Sebelum itu bapa saya menjadi mangsa pertama. Sedaya upaya bapa saya melawan serangan hingga tiga hari bapa saya terlantar di kamarnya. Mangsa kedua pula adik lelaki saya yang berusia 22 tahun. Namun dia berjaya melawan serangan dan tidak rebah. Ketiga adalah adik lelaki saya yang berusia 15 tahun. Dia agak teruk diserang, sehingga suaranya berubah menjadi sangat garau dan kasar. Namun dia juga mampu bertahan meskipun hampir rebah. Sekarang saya pula diserang. Sudah tiga hari saya diserang. Puas saya melawan serangan. Akhirnya saya akur dan terpaksa juga ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Mereka kata saya tidak kuat kerana setiap kali diserang demam pasti akan ke klinik juga.

Setelah mendapat suntikan barulah saya mampu bertahan. Kepala tidak sakit teruk seperti sebelum ini. Tubuh juga sudah mampu bersolat dalam keadaan berdiri. Meskipun mereka kata saya tidak kuat, namun saya bersyukur kerana masih mampu mendirikan solat lima waktu. Saya tidak membiarkan diri terlantar di atas katil sepanjang masa. Sempat juga saya menjahit pakaian, hadiah hari perkahwinan tempoh hari. Tiga helai daripadanya sudah hampir siap. Cuma kain belum di pasang zip dan getah untuk bahagian pinggang.

Hari ini, saya mampu menaip dan mengemas kini blog. Syukur, alhamdulillah. Syukur juga kepada Allah kerana demam kali ini saya tidak diserang Asma yang teruk. Hanya subuh tadi saya diserang Asma. Tetapi tidak teruk seperti kebiasaan. Saya sangat khuatir Asma menyerang kerana apakala batuk dan selsema pasti saya akan mengalaminya. Namun kali ini tidak seperti selalu.

+ Saya berjangkit demam daripada Pak Latip. Selepas menziarahinya Ahad lalu, saya pula yang kena. Hehe...sekadar bergurau. Kalau Pak Latip baca entri ini, jangan marah!

Monday, December 04, 2006

Berwacana

Berwacana




Sabtu lalu, saya hadir dalam majlis WACANA MEMBINA PEMIKIRAN DALAM KARYA bertempat di Pusat Kaunseling, Terminal One Shopping Complex Seremban. Banyak perkara dan maklumat baru diperolehi. Sangat tertarik saya dengan penyampaian dan penampilan Dr. Amida Abdulhamid atau lebih mesra dengan panggilan Kak Anis. Antara perkara yang diwacanakan:

1. Tiga aspek penting dalam penulisan sama ada berbentuk kreatif ataupun deskriptif- ialah logos (masej), ethos (ketrampilan penulis) dan pathos (mentaliti/emosi pembaca).

2. Menyampaikan pemikiran dalam karya melalui:
+ Kalimah- subjektif/objektif
+ Kalimah yang sugestif sifatnya
+ Imageri (gambaran)
+ Jukstaposisi (meletakkan dua fenomena seiring)
+ Dualisme (dua perwatakkan yang berbeza untuk seorang watak)
+ Satira
+ Fantasi
+ Wacana
+ Ketegangan
+ Humor

3. Manipulasi bahasa dan makna untuk meyampaikan maksud cerita dalam tulisan.

Aspek penting yang dapat saya pelajari terangkul dalam satu makna bahawa untuk menghasilkan sesebuah karya peri penting adalah masej yang ingin disampaikan agar dapat dikupas oleh pembaca akan maknanya.





Seperkara yang sangat penting sentiasa saya semat dalam hati adalah menulis! Menulis! Menulis!. Jika tidak menulis, sia-sia sahaja apa yang telah dipelajari.

Friday, December 01, 2006

Anugerah

Anugerah






Anugerah Satu:

Tiada istilah buruk dan dukacita dalam ketentuan Ilahi. Buruk yang disangka itu datang dari hati manusia. Dukacita yang diterima datang daripada perasaan manusia. Namun hakikat yang terjadi, buruk atau baik bagi pandangan manusia adalah di atas ketentuan Ilahi. Lupakah kita yang memberi dan menganugerahi sesuatu adalah Allah S.W.T?

Jarang sekali manusia mahu mensyukuri sesuatu yang dirasakan buruk pada dirinya. Apabila ditimpa kesakitan, manusia sering mengeluh. Lupakah kita akan rayuan Saiyidina Ali Karamallah Hu Wajhah, yang sering meminta ditimpa sakit?

Ketahuilah, sakit yang dirasakan derita dan malapetaka oleh manusia itu ada dua nikmat. Pertama: Allah mahu mengangkat darjat seseorang manusia di sisi-Nya. Kedua: sakit itu penghapus dosa. Oleh kerana itu, apabila seseorang di antara kamu ditimpa sakit, usahlah kamu mendoakannya agar cepat sembuh kerana doa itu bisa menghalanginya daripada diangkat darjat di sisi Allah. Juga bisa menghalangi dosa-dosanya daripada terhapus.

Anugerah Dua:

Setiap yang baik dan menggembirakan hati-hati manusia, tentunya diterima sebagai nikmat yang terindah. Seperti datangnya seseorang kepada kamu dan menyatakan berita gembira kepada kamu. Atau mungkin kamu dianugerahi darjah dan pingat kebesaran. Atau mungkin kamu dianugerahi kekayaan dan kemewahan hidup. Semua perkara itu kamu terima sebagai anugerah yang tidak terhingga peri nikmat-Nya.

Anugerah Tiga:

Nikmat kesenangan, kemewahan, kemiskinan, kesusahan, kegembiraan dan kesedihan yang datang silih berganti adalah anugerah daripada Allah S.W.T. Lupakah kita Allah pencatur sekalian alam? Lupakah siapa kita di sisi-Nya? Siapa kita yang berhak membuat penilaian dan berani pula berkata: mengapalah aku sering ditimpa ujian yang sebegini rupa? Beristighfarlah. Tahukah kita, hanya dengan berkata begitu tanpa sedar telah menggugat keimanan dan aqidah kepada Allah? Beristighfarlah.

Jadilah manusia dan hamba yang sering bersyukur dengan nikmat Allah S.W.T walaupun sedikit. Selak kembali lembaran ayat suci Al-Quran yang barangkali sering kita baca namun terlupa untuk menilai maknanya.


"Jika kamu bersyukur (berterima kasih) nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu, tetapi jika kamu kafir (tiada berterima kasih), sesungguhnya siksaanKu amat keras." (Surah Ibrahim-ayat: 7).

Semoga yang ditulis ini dapat memberi peringatan dan pengajaran kepada diri saya dan anda semua

Saturday, November 18, 2006

Syukur Atas Rahmat Tuhan

Syukur Atas Rahmat Tuhan




Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada pengunjung setia blog ini kerana baru sekarang saya berkesempatan mengemas kini laman ini.

Dikesempatan ini juga saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat esasterawan yang hadir pada majlis perkahwinan saya pada 12 November 2006.

Terima kasih kepada pengasas esastera.com Drirwan dan isterinya cikgu Hasimah. Tidak saya sangka Drirwan dan cikgu Hasimah hadir pada malam akad nikah dan esok harinya turut hadir juga. Terima kasih juga kepada Sdr Dahri, Ode, Alana (pengapit saya) dan Anizah yang hadir pada majlis tersebut. Terima kasih Kepada kakak Nisah Haron dan suami beserta anak-anaknya. Kedatangan kalian adalah satu penghargaan dan hadiah yang paling berharga buat diri saya dan suami.

Meskipun telah bergelar isteri, namun tanggungjawab saya terhadap penulisan tetap berjalan seperti biasa. Alhamdulillah, saya dikurniakan pasangan yang memahami minat dan perjuangan saya. Terima kasih kepada suami saya Muhammad Zakir Md.Saad kerana menyokong minat dan perjuangan saya.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada emak, abah, adik-adik dan kaum kerabat yang bertungkus lumus menjayakan majlis pernikahan saya dan suami.

Terima kasih kepada bapa mertua saya beserta kaum keluarga yang hadir. Tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada Pak Latip, Mak Engku dan kaum kerabat yang hadir bagi pihak suami.

Alhamdulillah, segala-galanya berjalan lancar.

Terima kasih kepada semua yang hadir.