Pages

Friday, January 25, 2008

Renung Sejenak



Berkata Imam Abu Hafs:

Keindahan adab luaran menggambarkan keelokkan adab dalaman.

+ Akan menjalani praktikum bermula 28 Januari- 2 Mei 2008.

Friday, January 18, 2008

Minda Pengarang: Karya sasterawan negara patut dipertimbang

Minda Pengarang: Karya sasterawan negara patut dipertimbang

TINDAKAN Kementerian Pelajaran untuk tidak menyenaraikan karya Sasterawan Negara (SN) sebagai antara buku yang dicadangkan untuk teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada 2010, memang wajar dikaji semula. Langkah tidak menyenaraikan karya SN dan penerima serta pemenang anugerah untuk buku teks yang baru dibuat Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran dengan alasan sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar. Dengan itu, PPK mencari penulis popular dan teks yang mendapat sambutan pelajar. Banyak pihak membantah tindakan itu, termasuk Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) yang berpendapat karya SN membawa nilai pendidikan dengan menyumbang kepada perkembangan pemikiran yang harus didedahkan kepada pelajar. Bagi Pena, teks baru Komsas tidak harus menjurus kepada penulis karya popular semata-mata dengan alasan untuk menarik minat pelajar, manakala karya sasterawan negara dikatakan berat dan tidak sesuai untuk pelajar. Sebenarnya, soal berat atau tidak, seharusnya tidak harus timbul kerana ia bergantung kepada pendekatan pengajaran oleh guru yang seharusnya kreatif. Mata pelajaran lain yang kelihatan sukar seperti sains dan matematik juga dipelajari. Jawatankuasa pemilik teks Komsas perlu meninjau kaedah digunakan bagi pengajian sastera di Barat, Amerika Latin, Jepun atau China kerana di sana hanya teks sastera bermutu dipilih untuk dikaji dan dipelajari. Karya boleh dipilih daripada tulisan sembilan Sasterawan Negara yang ada iaitu Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, A Samad Said, Arena Wati, Noordin Hassan, Muhammad Salleh, Abdullah Hussein dan S Othman Kelantan atau puluhan penerima South East Asia Write Award. Korpus karya sastera kita juga menawarkan tulisan yang menarik daripada Munsyi Abdullah, Ahmad Murad Nasaruddin, A Samad Ismail, Ishak Muhammad, Abdul Rahim Kajai, Hasan Ali, Abdul Rashid Ngah dan sebagainya. Kita berharap kementerian memberi pertimbangan supaya Komsas mengambil hasil sastera bermutu sebagai teks. Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas perlu pandai menilai sastera dan tahu hasil sastera yang boleh membentuk serta membangunkan minda pelajar. Kita tidak tahu mengapa hasil sasterawan negara yang mendapat anugerah tertinggi tidak disenaraikan untuk teks baru. Jika dikatakan buku itu berat, mengapa dulu buku Keluarga Gerilya hasil karya Pramoedya Ananta Toer yang dikatakan berat digunakan di sekolah. Mungkin pihak Kementerian Pelajaran mempunyai alasan tersendiri untuk lebih memilih penulis popular dan teks untuk menarik minat pelajar. Hakikatnya, teks dipilih bukanlah sekadar untuk menarik minat pelajar dalam Komsas kerana kita mahu memupuk serta memperkayakan elemen estetik yang boleh mematangkan pelajar untuk mengenal mana yang benar dan mana salah. Apakah soal berkaitan teks dibuat berdasarkan 'selera' pelajar semasa? Apakah tidak timbul nanti pelajar akan menganggap bahawa sastera bermutu rendah itulah sastera yang sebenar selepas disogokkan dengan karya penulis popular semata-mata dan bukan sesuatu yang lebih bermutu tinggi seperti karya sasterawan negara. Pemilihan teks sastera yang baik akan lebih membuka minda pelajar terhadap konsep sebenar sastera iaitu karya yang dapat memperkayakan pengalaman seni, pengalaman intelektual serta keupayaan mereka untuk menimbang dan memilih yang terbaik dalam kehidupan ini.

Saya sedang menekuni puisi-puisi penulis kawakan.

Sunday, December 16, 2007

AKIBAT MENJADI PENULIS







Semalam saya ke DBP bersama suami menghadiri Hadiah E-Sastera. com (HESCOM). Suami saya tercalon sebagai finalis cerpenis e-sastera.com. Meskipun tidak meraih apa-apa penghargaan, namun saya berpuas hati kerana suami saya prolifik menulis. Bahkan, suami sering mendorong saya agar sentiasa menulis. Tatkala, bersemuka dengan rakan-rakan penulis yang tidak pernah kering idea, rajin dan giat menulis, saya rasa teruja untuk kembali aktif menulis setelah hampir setahun tidak melihat karya sendiri di media perdana. Ada sesuatu yang sering buat saya berfikir tentang akibat menjadi penulis. Hakikat ini harus saya terima dan sekali sudah melangkah saya tidak akan menyesal. Sebaliknya, saya akan menyesal seumur hidup andai perjalanan saya ini andar ditengak jalan.

+ Akibat menjadi penulis saya sering menjadi manusia yang banyak barangkalinya.


+ Akibat menjadi penulis saya sering menjadi manusia yang sangat sensitif


+ Akibat menjadi penulis saya sering menjadi manusia yang bersikap empeti


+ Akibat menjadi penulis saya selalu tidak dapat tidur dengan nyenyak


+ Akibat menjadi penulis fikiran saya sering menjelajah ke alam khayalan


+ Akibat menjadi penulis jiwa saya sering tertekan apabila saya tidak berkesempatan untuk menulis dalam satu hari


+ Akibat menjadi penulis saya sering berasa rugi apabila melihat orang lain banyak berkarya sedangkan saya tidak begitu


+ Akibat menjadi penulis saya sangat banyak berfikir hingga terbawa-bawa ke dalam tidur


+ Akibat menjadi penulis saya berasa sangat rugi andai tidak dapat mencurahkan ilmu kepada insan lain

+ Akibat menjadi penulis saya sering menjadi manusia yang banyak tanda soal di dalam fikiran


+ Akibat menjadi penulis saya sering gusar memikirkan ke manakah hala tuju penulisan saya


- Inilah akibatnya apabila saya menjadi seorang penulis. Kata kawan saya, penulis boleh hidup seorang diri meskipun di sekeliling mereka ada ramai manusia. Maksudnya, penulis boleh hidup dengan dunia penulisannya yang sendiri-sendiri meskipun diasak kesibukan, kebisingan dan kecelaruan, kerana dunia penulis ada dimana-mana.


- Saya tidak pernah menyesal menjadi seorang penulis.

Saturday, November 24, 2007

Antologi Puisi dan Cerpen Karyawan Muda Darul Khusus

Antologi Puisi Karyawan Muda Darul Khusus "Epal Merah" yang menghimpunkan 10 orang penyair muda dengan 35 buah sajak. Mereka terdiri daripada :-

+ Syarifah Salha Syed Ahmad (empat buah puisi saya termuat di dalamnya)
+ Shazmee Rizal
+ Ida Munira
+ Nisah Haji Haron
+ Firdhaus Hassan
+ Sammaituha Najwa
+ Norsuriana Abd Razak
+ Asyraff Hafdzan Abdullah
+ Masliza Alias
+ Huzaifah Zulfakar


Antologi Cerpen "Sebelum Bintang Berjatuhan" pula menghimpunkan 11 buah cerpen karya 11 orang pengarang muda, termasuk saya sendiri. Mereka terdiri daripada : -

+ Ahmad Patria Abdullah
+ Nisah Haji Haron
+ Amiza Khusyri Yusof
+ Syarifah Salha Syed Ahmad ("Mereka Yang Tidak Berdosa" Dewan Siswa, Disember 2005)
+ Sammaituha Najwa
+ Anizah Abu Samah
+ Syazmee Rizal
+ Ida Munira Abu Bakar
+ Siti Jasmina Ibrahim
+ Asyraff Hafzan Abdullah
+ Nazri Alias

Kedua-dua buah buku ini ada dijual di: www.ujanailmu.com.my

Sunday, November 18, 2007

ASNS 2007




Hasrat untuk menulis keputusan penuh Anugerah Sastera Negeri Sembilan (ASNS) 2007 terpaksa saya batalkan kerana talian telefon buat ragam, menyebabkan saya tidak dapat online. Justeru saya ambil keputusan ke warung Internet untuk mencoret sepatah dua kata memandangkan selepas ini saya agak sukar untuk online kerana sedang berkursus di IPRM. Untuk mengetahui keputusan penuh ASNS 2007 sila ke Laman Web PEN.

Alhamdulillah, saya juga mendapat dua penghargaan bagi ketegori cerpen.

Pada malam anugerah tersebut saya sempat bersua muka dan bertanya khabar dengan rakan-rakan penulis seperti Kanda Elaira, Kanda Jasmina, Amiza Khusyri, Puan Mahaya dan Kanda Nisah yang sememangnya datang kepada saya lalu memberi naskhah antologi Puisi dan Cerpen Penulis Muda Darul Khusus yang memuatkan empat buah puisi dan satu cerpen saya.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Ilmuan dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007.



Sampai jumpa kembali dilain entri!

Thursday, November 01, 2007

Siapa penerima Anugerah Sastera Negeri Sembilan?

PADA malam 14 November ini akan berlangsung majlis penyampaian Anugerah Sastera Negeri Sembilan (NS) 2007 yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hassan.

Pada majlis tersebut juga akan terjawab siapa para pemenang yang meraih hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000 pada program Kerajaan Negeri Sembilan melalui Jawatankuasa Gerakan Membaca, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN).

Selain itu, pada majlis tersebut juga akan menyaksikan penganugerahan kepada penerima Anugerah Sastera NS yang akan membawa pulang wang tunai RM10,000, sepersalinan pakaian, cenderamata dan sijil.

Ia dianugerahkan kepada tokoh yang banyak menghasilkan karya kreatif dan nonkreatif yang bermutu serta turut merangsang pertumbuhan dan pendidikan sastera secara berterusan.
Sesungguhnya negeri itu tidak pernah kekurangan penulis malah sentiasa melahirkan karyawan yang membina nama dalam peta kesusasteraan tanah air.

Penyair Abdul Latiff Mohidin, Dharmawijaya, Rahimi NS, Agus Salim dan Mahaya Mohd Yassin telah lama mewarnai dunia puisi di Malaysia.

Begitu juga pengarang prolifik Abdul Latip Talib, misalnya, terus cemerlang menghasilkan tidak kurang daripada tujuh buah novel tahun ini.

Begitu juga dengan barisan pelapis yang semakin kukuh membina nama seperti Siti Jasmina Ibrahim, Nisah Haron, Amiza Khusyri Yusof, Ahmad Zafran Abdul Mutalib dan Syarifah Salha Syed Ahmad.

Walaupun nilai hadiah bagi setiap kategori dikekalkan, tahun ini Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Sembilan selaku penganjur majlis Anugerah Sastera NS telah menawarkan beberapa kategori baharu untuk dipertandingkan.

Ini diharapkan dapat menggalakkan penghasilkan karya-karya baharu pelbagai genre sama ada dalam bentuk buku ataupun karya eceran. Setiap penyertaan pada tahun 2007 dinilai berdasarkan karya-karya yang diterbitkan pada tahun 2005-2006 sahaja.

Ekoran daripada majlis Anugerah Sastera NS 2005, pihak penganjur telah menerima lebih banyak penyertaan pada tahun ini, sekaligus memberikan petanda positif terhadap perkembangan kesusasteraan di negeri ini.

Sementara itu, Hadiah Penghargaan Penggiat Sastera Negeri (RM3,000) pula adalah untuk tokoh atau institusi yang memberikan sumbangan cemerlang dalam menggerakkan sastera di negeri ini secara berterusan.

Bagi kategori tokoh penulis pula, terdapat enam kategori iaitu tokoh novel, tokoh cerpen, tokoh puisi, tokoh esei, tokoh drama dan tokoh karya remaja, yang masing-masing akan menerima RM2,000.

Untuk Hadiah Sastera Negeri kategori eceran (RM500 setiap satu), panel hakim akan memilih cerpen, puisi, drama dan esei sebanyak enam buah setiap satu sementara tiga karya kanak-kanak dan tiga karya remaja turut dipertandingkan dalam kategori ini.

Kategori buku menawarkan RM800 setiap satu dan dibahagikan kepada 14 kategori iaitu novel dewasa, novel remaja, novel kanak-kanak, kumpulan cerpen dewasa, kumpulan cerpen remaja, kumpulan cerpen kanak-kanak, kumpulan puisi dan kumpulan puisi remaja.

Dalam pada itu, kategori lain ialah kumpulan puisi kanak-kanak, kumpulan puisi tradisional, kumpulan drama radio, kumpulan drama televisyen, kumpulan esei/kritikan/pembangunan.

Pada tahun 2005, Allahyarham Dharmawijaya merupakan penerima Anugerah Sastera NS dan Allahyarham Salim Taib (Agus Salim), mantan Ketua Satu PEN menerima Hadiah Penggiat Sastera Negeri.


Sumber: Utusan Malaysia.

Friday, October 12, 2007

Salam Aidilfitri




Saya ditimpa kemalangan jalan raya pada jam 1.45 petang semalam bersama ibu dan adik perempuan. Kereta saya dilanggar dari arah yang bertentangan. Melihat keadaan kereta yang remuk teruk dengan tayar yang meletup dan pecah, semua menyangka saya, ibu dan adik sudah berada dalam keadaan kritikal. Alhamdulillah, kami tidak mengalami sebarang kecederaan. Syukur, Allah selamatkan kami.

+ Berhati-hati di jalan raya. Jangan kerana diri sendiri orang lain menjadi mangsa.

+ Sudah takdir Allah, meskipun saya mengelak tetapi terjadi juga. Pemandu yang melanggar kereta saya, cuba melarikan diri. Tetapi Allah Maha Adil, percubaan lelaki tersebut melarikan diri bersama keretanya tidak berjaya. Saya bersyukur kepada Allah kerana diberi kewarasan berfikir untuk mengawal kenderaan. Jika tidak, bagaimanakah keadaan saya ketika itu?

+ Salam Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.


Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam:



Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal, itulah puasa sepanjang masa".
(Hadis riwayat Muslim)


Maksudnya: "Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan ) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun."