Pages

Wednesday, September 23, 2009

Biarlah bersopan

Semalam ada seseorang yang tidak saya kenali menghubungi. Pendek kata nombor telefonnya tiada dalam simpanan saya. Saya tidak jawab panggilan tersebut. Minta maaflah, jika nombor tiada dalam simpanan memang saya tidak akan layan. Barangkali dia tidak puas hati, lalu mengirim sms. Begini yang tertera di skrin telefon bimbit:

"Hai!"

Saya tidak balas pun sms tersebut. Bagi saya, pengirim ini tentu belum matang atau barangkali seseorang yang tidak beretika dalam pergaulan. Dia tidak puas hati juga lalu mengirim sms kedua.

"Huhuhu!"

Hem, memang sahlah pengirim ini budak yang tidak cukup umur.
Petang ini ada panggilan daripada nombor yang sama tertera di skrin telefon bimbit saya. Seperti biasa saya tidak hiraukan. Selang beberapa minit saya terima lagi sms yang berbunyi begini:

"Boleh berkenalan?"

Alahai! Siapalah manusia yang tidak matang ini. Bukan sekali insiden sebegini berlaku. Malah, beberapa kali juga saya menerima panggilan dan sms yang menyatakan hasrat mahu berkenalan. Bukanlah saya ini sombong sehinga tidak mahu menambah kenalan. Namun saya tidak gemar perkenalan dengan cara yang kurang sopan ini. Ya, saya kira ini adalah cara yang kurang sopan. Sewajarnya, jika mahu berkenalan eloklah kita memperkenalkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum mahu berkenalan atau bertanyakan nama orang. Saya kira, orang yang 'main sembunyi-sembunyi' adalah orang yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab atas perbuatan sendiri.

Bukan tidak boleh memanfaatkan teknologi masa kini. Namun biarlah kena pada cara. Janganlah kerana teknologi yang canggih kita mengabaikan adab sopan sebagai orang Melayu terutamanya. Tatasusila dan cara berbasaan dengan orang pun perlulah dijaga. Paling penting, jangan jadikan teknologi pencetus segala macam fitnah dan buruk sangka.

Di sini saya sertakan nombor telefon bimbit orang yang menghubungi saya itu. Sesiapa yang ingin menambah kenalan, bolehlah berhubung dengan pemilik nombor telefon ini. Namun ingat, berkenalanlah engan cara yang paling beradab dan bersopan santun.

Ini nombornya: 0172734976

Friday, September 18, 2009

Ketupat

Setiap tahun menjelang raya, saya akan menganyam kira-kira 40 biji ketupat. Hanya saya dan abah yang tahu mengayam ketupat. Tahun ini, kami hanya buat nasi rebus sahaja memandangkan saya tidak lincah seperti tahun-tahun sebelumnya kerana saya ada si kecil. Abah pula sangat sibuk kerana saudara mara dari awal sudah membuat tempahan lemang. Kuih-muih tahun ini juga hanya 'kuih tunjuk' sahaja. Walau bagaimanapun, Syawal tahun ini disambut sederhana namun penuh makna.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Thursday, September 10, 2009

Orang Baru


Kepada rakan-rakan blogger yang masih belum tahu, saya maklumkan di sini bahawa saya selamat melahirkan cahaya mata pertama pada 26 Ogos lalu. Seorang puteri yang diberi nama Sayyidah Fatimah bt muhammad Zakir. Doakan kami sejahtera dan dimurahkan rezeki.


Saya kira ini adalah rezeki dan hadiah bersempena kalahiran cahaya mata. Cerpen dan esei saya masing-masing dalam Majalah Nur edisi Ogos dan Tunas Cipta edisi September. Terima kasih kepada editor!







Friday, August 21, 2009

Salam Ramadhan al- Kareem















Saya mengucapkan "Salam Ramadhan al- Kareem" buat semua pengunjung. Ampun dan maaf dipinta andai ada terkasar bahasa , tersilap bicara dan terlajak kata. Semoga Ramadhan tahun ini memberi erti yang cukup mendalam kepada kita.

Tuesday, August 18, 2009

Mekarlah Mawar

Jambangan mawar ini saya hadiahkan kepada seseorang yang istimewa di hati.



Lalu terlihat senyumannya yang mekar, semekar mawar yang mewangi ini. Dan saya lihat, hatinya berbunga girang kerana kekasih hati di sisi saat dia mengecapi bahagia di hati.

Tuesday, July 14, 2009

Hadiah Sastera Berunsur Islam ke- 12

Hadiah Sastera Berunsur Islam (HSBI) mula diadakan pada tahun 1987. HSBI dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Islam (YPI). Tujuan utama HSBI diwujudkan ialah untuk memberikan penghargaan kepada karya sastera yang berjaya menampilkan keperibadian realiti manusia yang menggalakkan kesedaran tentang fungsinya sebagai hamba dan khalifah Allah.

Senarai Pemenang

Kategori A : Cerpen

Tempat Pertama (RM5,000)

Nisah Haron - Aset Istiqamah

Tempat Kedua (RM4,000)

Hafizah Iszahanid - Lari dari Katrina

Tempat Ketiga (RM3,000)

Amiza Khusyri Yusof - Kasad

Saguhati (RM1,000)

Faisal Tehrani - Bulan Penuh di Saigon

Syarifah Salha Syed Ahmad - Tangisan Daerah Terpinggir

Serunai Faqir - Forum Rumah Tuhan

Kategori B : Puisi

Tempat Pertama (RM3,000)

Aminhad
- Suara Dari Cembul Akal
- Ikhtisar Pengembaraan Roh
- Di Masjid Tua Beijing Aku Terkenang

Tempat Kedua (RM2,000)

Fahd Razy
- Sebuah Pembunuhan di Kala Sunyi Malam
- Madrasah Muhasabah
- Taman Munajat

Tempat Ketiga (RM1,000)

Aminuddin Mansor
- Sungai-sungai Syurga
- Belati Iman
- Kembara, Kembali ke Jalan Pulang

Saguhati (RM500)

Abdullah Ab. Manaf
- Mencari Mutmainah
- Mengertikan Kita, Sang Khalifah
- Seulas Tazkirah Selunak Rasa

Jamaludin D
- Pasrah Kalimat Penuh Tawaduk
- Mengeja Makna Kebesaran-Mu
- Penuhi Lautan Sukma

Ahmad Sarju
- Suara Murni
- Berjiwa Besar
- Pintu Kalbu

+ Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 17 Julai 2009 di Dewan Bankuet, Tingkat 1, Dewan Bahasa Dan Pustaka jam 10.00 pagi.