Pages

Tuesday, March 02, 2010

Wajarkah?

Tugasan yang terpundak di bahu memang banyak membantu seseorang menimba pengalaman dalam bidang yang diceburinya. Bahkan akan menjadikan seseorang itu mahir dalam bidang yang dikuasainya. Namun begitu, kemahiran yang dimiliki oleh seseorang bukanlah alasan untuk dirinya memikul tugasan yang sama sepanjang tahun dan setiap tahun tanpa diberi peluang beralih untuk menimba pengalaman dalam bidang lain. Jika begitu, orang yang mahir akan terus mahir dan orang yang 'lepas tangan' akan terus 'lepas tangan' sedangkan kedua-duanya sangat rugi kerana kepelbagaian pengalaman tidak dapat dirasai. Masing-masing akan terus berada dalam 'zon selesa'. Tambah membebankan jika tugasan tersebut adalah tugasan yang berat, memerlukan urusan kerja yang rinci dan teliti berbanding seseorang yang memikul tugasan yang ringan, tidak memerlukan pelaksanaan kerja yang rinci dan rumit. Wajarkah ini berlaku? Barangkali ada sesiapa boleh memberi pandangan yang bernas dan memotivasikan?

Sebagai guru, bukan alasan untuk saya menolak sebarang tugas yang dipertanggungjawabkan. Namun, saya tidak menafikan urusan dan kerja-kerja pentadbiran banyak mengganggu sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Apabila guru-guru dibebani tugasan pentadbiran yang banyak, secara langsung mengganggu mood untuk mengajar dan anak murid juga akan hilang tumpuan untuk belajar. Barangkali boleh diwujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk kerja-kerja pentadbiran di sekolah supaya guru-guru dapat memberi banyak tumpuan kepada sistem P&P.

Terpulang kepada para pembaca untuk membuat ulasan atau komentar. Jika penulisan ini dianggap tidak profesional, saya kira itu adalah pendapat masing-masing. Saya tidak gemar membebel di sini. Jika tidak, boleh saja saya menulis panjang lebar dan rinci hingga pembaca terpengaruh dan bersetuju dengan kata-kata saya. Saya lebih selesa menulis secara umum dengan banyak lapis makna agar pembaca boleh mentafsirnya sendiri.

+ Tazkirah untuk diri sendiri pada hari ini.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadis riwayat Bukhari:

"Sebaik-baik manusia dikalangan kamu adalah sesiapa yang mempelajari al-Alquran dan dia mengajarkannya kepada orang lain".



Thursday, January 07, 2010

Pandangan Saya Tentang Dunia Penulis Muda Dalam Berita Harian, Semalam



Dunia penulis muda

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Badan korporat tidak beri sokongan jejas semangat berkarya

ANUGERAH penulis muda menjadi penanda aras dalam mengiktiraf kehadiran penulis baru dan menilai kualiti karya kelompok terbabit, selain berfungsi sebagai pendorong kepada penghasilan karya bermutu secara berterusan.

Malangnya, senario dunia penulisan sastera kini berbanding dekad 1990-an menyaksikan pengiktirafan terhadap penulis muda semakin kurang memberangsangkan ekoran semakin banyak badan korporat yang enggan bekerjasama bagi penyediaan dana.

Hadiah Sastera Siswa DBP-Bank Rakyat menyaksikan setiap tahun pengiktirafan khusus diberi kepada beberapa karya dalam Dewan Siswa dan Hadiah Khas Pengarang Muda - Sayembara Menulis Cerpen Esso-Gapena ke-10 pada 1996 menobatkan Raihani Mohd Saaid sebagai penerima.

Selain itu, Dewan Siswa juga pernah mengadakan Sayembara Menulis Cerpen Sekolah Rendah dan Menengah pada 2008, tetapi tidak lagi diteruskan pada tahun lalu.

Justeru, persaingan dalam dunia penulisan menjadi lebih sengit kerana penulis baru terpaksa bersaing dengan pengarang mapan sehingga boleh menyebabkan penulis muda terutama yang baru berjinak-jinak dengan sastera terpinggir.

Hakikatnya, senario itu berlaku akibat bidang sastera kurang mendapat perhatian dan sokongan daripada badan korporat untuk menaja anugerah penulis muda, sekali gus menjejaskan semangat golongan muda untuk memasuki gerbang alam penulisan kreatif berkenaan.

Penulis muda, Amran Ibrahim Rashidi, menyifatkan anugerah penulis muda wajar diadakan secara berterusan bagi menggalakkan kemunculan lebih ramai penulis muda dalam dunia penulisan tanah air kerana penganjurannya menjadi penyuntik semangat kepada penulis untuk terus berkarya.

“Malangnya, tidak ramai yang berminat menaja anugerah sedemikian kerana masyarakat lebih bertumpu memberi pengiktirafan kepada dunia hiburan. Justeru, tidak hairan sekiranya anugerah dan pentas untuk perkembangan dunia sastera kian terbantut,” katanya.

Amran melihat Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) adalah satu-satunya anugerah yang diadakan secara tekal dan tidak membezakan penulis muda atau mapan, sekali gus dapat menyekat peluang golongan muda tampil setara dengan penulis mapan.

“Bagi memastikan perkembangan sastera secara berterusan, sudah sampai masanya golongan penulis muda merangka strategi baru seperti melantik ejen sastera dan menubuhkan kelab pembaca atau peminat.

“Pihak bertanggungjawab pula perlu memberi kerjasama dalam menyemarakkan program sastera dengan memberi penghargaan kepada penulis muda seperti dinikmati penyanyi baru dalam dunia hiburan,” katanya.

Bagaimanapun, penulis muda yang juga guru, Syarifah Salha Syed Ahmad, pula menganggap kelompok penulis muda tidak perlu meletakkan anugerah sebagai pendorong utama untuk berkarya, sebaliknya melihat ia sebagai pemugar semangat untuk menulis dengan lebih baik.

“Saya melihat banyak cara untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada penulis muda agar berkarya seperti mengadakan pertemuan bagi berbincang dan menyumbang idea sesama sendiri . Ia boleh dianjurkan secara santai seperti di warung kopi,” jelasnya.

Syarifah Salha berkata, kekurangan anugerah penulis muda berlaku akibat badan korporat beranggapan penajaan program berunsur sastera tidak berbaloi dan kurang mendapat liputan media massa kerana bidang terbabit dipandang dingin masyarakat secara amnya.

Justeru, beliau yakin sekiranya pihak berkenaan dapat menaja acara sastera dengan hadiah lumayan, sudah tentu ia mendapat sambutan dan penyertaan ramai, sekali gus menarik minat remaja untuk bergiat dalam aktiviti sastera.

“Kelompok penulis muda perlu meyakini kebolehan dan nikmat menulis adalah anugerah tertinggi kurniaan Allah, sekali gus bakat yang diperoleh itu menjadi sia-sia sekiranya tidak dimanfaatkan kerana tanggungjawab menulis dan berdakwah melalui pena terletak di bahu kita.

“Anugerah dan pengiktirafan pula hanya sekadar bonus kepada penulis, manakala keutamaan perlu ditumpukan kepada usaha mengembalikan kandungan sastera kepada ilmu agar sastera dapat dimartabatkan ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.

Tuesday, December 29, 2009

Perjalanan Balik Hari

Sejak dua minggu berturut -turut saya bersama suami dan anak merentasi perjalanan yang jauh hanya dalam tempoh satu hari. 20 Disember lalu (Ahad) kami ke Ipoh, Perak. Memulakan perjalanan tepat jam 7.00 pagi dari Jelebu dan tiba di Ipoh jam 2.00 petang untuk menghadiri majlis walimah sepupu suami. Kami bertolak pulang jam 3.30 petang dan tiba sekitar jam 11.00 malam. Kasihan Si Kecil, tidur seharian di atas pangkuan. Mujur Si Kecil saya tidak meragam. Malamnya setiba di rumah, Si Kecil saya tidak terjaga daripada tidur seperti kebiasaan untuk menyusu. Barangkali terlalu keletihan. Dia lena hingga ke pagi.


Minggu lepas pula kami ke Fraser's Hill. Juga mengambil pendekatan 'balik hari'. Menghirup udara segar dari puncak bukit. Saya amat menggemari suasana dingin meskipun kurang baik untuk kesihatan saya yang senantiasa bersedia menyedut ventolin jika diserang lelah. Meskipun percutian 'balik hari' amat memenatkan, namun terasa puas kerana hanya cuti-cuti sekejap ini saja kami dapat bersama berbanding hari-hari biasa kerana hanya hujung minggu sahaja kami dapat bersama anak-beranak. Demi tuntutan hidup bermasyarakat, adakala kami terpaksa berbuat begini. Hari-hari cuti hujung minggu tidak semesti dapat dinikmati bermalaman kerana masa perlu dibahagi sama rata untuk keperluan diri, keluarga dan masyarakat setempat.








Thursday, December 24, 2009

Undangan Yang Tidak Dapat Dipenuhi

Akhir-akhir ini, banyak undangan untuk ke acara sastera tidak dapat dipenuhi. Hanya merancang, namun Allah jua penentu segala.

Tuesday, November 24, 2009

Bicara Cinta

Tersentuhnya dengan bicara ini:

jiwaku lahir di atas pantai matamu yang merintih, dalam matamu yang merintih itulah daku rasakan bahawa bumi impian bermula dengan semarak cahaya cinta.

Thursday, November 19, 2009

Umbara Sastera III di BH Hari Ini


DARI kanan; Nisah, Amiza Khusyri dan Syarifah Salha
bertindak sebagai panel Umbara Sastera III anjuran
Persatuan Penulis Negeri Sembilan.




Panel Umbara Sastera III berkongsi pengalaman dengan peserta

UMBARA Sastera III bertema Penulisan Sastera Islam berkonsep ala bicarawara, berjaya mendorong peserta melakukan kembara minda dengan pelbagai cara ekoran kesediaan panel berkongsi pengalaman bagi menggali idea bagi menghidupkan karya kreatif mereka.

Tiga penulis yang menjadi pemenang Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-12, dipilih sebagai panel program iaitu Nisah Haron, novelis terkenal yang juga pemenang tempat pertama kategori cerpen bagi pertandingan itu melalui cerpen, Aset Istiqamah.

Nisah berterus terang bahawa Aset Istiqamah dihasilkan bukan untuk menang, tetapi bagi memberi gambaran sebenar kepada masyarakat khususnya yang bukan berasal dari Negeri Sembilan mengenai apa sebenarnya yang terkandung dalam pembahagian harta mengikut Adat Perpatih.

“Ramai tidak faham dan sering keliru dengan beberapa undang-undang yang ditetapkan dalam adat ini. Malah, ada yang beranggapan sukar untuk berkahwin dengan perempuan dari negeri ini kerana takut hartanya akan menjadi hak isterinya jika diceraikan.

“Fahaman ini tidak tepat kerana wanita hanya menjadi ‘ibu soko’ atau pemegang amanah untuk menjaga harta keturunannya, tetapi kepimpinan dan undang-undang masih dikuasai lelaki yang dipilih ibu soko, lalu terhasil cerpen ini,” ujarnya pada acara anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) di Dewan D’Ark Senawang, baru-baru ini,

Selain itu, guru dan juga pemenang tempat ketiga kategori sama, Amiza Khusyri Yusof melalui cerpen, Kasad dan guru serta graduan Universiti Al-Azhar, Syarifah Salha Syed Ahmad yang mendapat tempat sagu hati bagi cerpen, Tangisan Daerah Terpinggir.

Amiza pula menyifatkan, kelahiran Kasad atau dalam bahasa Melayu bermaksud niat adalah gambaran sebenar pengalaman kebanyakan graduan Asia Barat apabila pulang ke tanah air sehingga mereka sering gusar akan penerimaan masyarakat masjid atau surau terutama generasi tua.

“Untuk menulis, kita memerlukan gambaran sebenar dan tepat. Saya cuba mengetengahkan dilema orang muda yang dipandang serong oleh imam masjid kampungnya kerana bimbang kedudukannya tergugat ekoran anak muda berkelulusan Universiti al-Azhar,” jelasnya.

Semua ahli panel berjaya menghidupkan suasana program melalui idea dan catatan pengalaman yang memberi ruang kepada peserta membina keyakinan diri ke arah menghasilkan karya kreatif bermutu berunsur Islam, serentak itu memberi kesegaran dan keunikan kepada sastera tanah air.

Ketua Satu Pen, Mahaya Mohd Yassin, mengakui bukan mudah untuk menarik ramai penyertaan dalam program Pen kerana tidak semua berminat dan mempunyai bakat dalam bidang berkenaan, tetapi penyertaan peserta dilihat semakin meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, minat menulis pencinta sastera negeri itu semakin meningkat terutama golongan pendidik menerusi program anjuran Pen seperti Umbara Sastera kerana pelbagai teknik dan gaya penulisan didedahkan penulis berpengalaman.

“Bagi melahirkan lebih ramai penulis terutama generasi muda, Pen sudah menyenaraikan banyak program berbentuk bimbingan dan latihan. Kami cuba bantu penulis muda mempelajari teknik

penulisan yang betul sehingga mampu menghasilkan karya berkualiti,” jelasnya.

Pen berharap langkah itu dapat mengelakkan berlakunya ketandusan penulis dalam bidang kesusasteraan dan serentak itu membolehkan berlakunya perkongsian idea secara langsung antara mereka yang berpengalaman dan peserta program, termasuk aspek kebahasaan.

Guru Sekolah Menengah Undang Rembau, Wan Salmah Wan Hassan, sudah terbabit dalam program berkenaan lebih lima kali kerana minat mendalam dalam bidang penulisan dan berkeinginan untuk berkarya serta ingin menimba melalui program itu.

“Saya memang berminat untuk menulis, malahan sedang dalam proses menyiapkan novel sulung yang berkemungkinan selesai tahun depan. Idea menulis novel timbul selepas beberapa kali menyertai program dan bengkel penulisan anjuran Pen,” ujarnya.

Editor PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, Syafiq Zulakifli, pula yakin bahawa program seperti Umbara Sastera membolehkan pendatang baru dalam dunia penulisan mempelajari proses berkarya kreatif dan berkongsi idea dengan panel yang berpengalaman.

“Saya sudah mula terbabit dalam dunia penulisan sejak belajar di Universiti al-Azhar lagi. Setakat ini sudah menghasilkan beberapa cerpen dan terkini, Ramadan Terakhir di Kaherah, diterbitkan dalam Berita Minggu, beberapa bulan lalu,” katanya.


Sumber: Berita Harian