Pages

Tuesday, November 16, 2010

Salam Aidiladha


Aidiladha atau Hari Raya Korban mengajar manusia akan erti pengorbanan, ketaatan, keimanan dan kasih sayang. Ia bermula dengan pergorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. ketika Baginda hendak menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Inilah pengorbanan teragung dalam sejarah manusia. Seperti yang diketahui bahawa Nabi Ismail a.s adalah anak kesayangan Nabi Ibrahim dan Baginda mendapat anaknya ini dalam usia yang telah lanjut. Tatapi apabila diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya mengorbankan anaknya, Nabi Ibrahim bersedia melaksanakan perintah ini dan Nabi Ismail pula penuh kerelaan dan kesabaran menurut perintah Allah s.w.t. Oleh kerana ketaatan dan kepatuhan Nabi Allah Ibrahim a.s serta keimanan yang kukuh terhadap Allah s.wt. maka Allah memerintahkan agar penyembelihan Nabi Ismail ditebus dengan seekor kibas yang besar. Demikian ujian Allah terhadap Nabi Ibrahim a.s.

Hakikat Aidil Adha atau hari raya korban lebih besar ertinya dan lebih tinggi nilai darjatnya berbanding dengan Aidil Fitri. Sejajar dengan kedudukan itu masa bertakbir dipanjangkan bermula dari malam hari raya hinggalah ke hari yang keempat iaitu hari ketiga belas Zulhijjah yang dinamakan hari-hari tasyrik. Di samping bertakbir ummat Islam melakukan ibadah korban pada hari-hari tersebut.

+ Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan Salam Aidiladha kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Semoga Aidiladha disambut dengan penuh keimanan dan kesyukuran.

Sunday, October 31, 2010

Di Bawah Pohon Howthorn


Cerita tentang pengembaraan Elly, Michael dan Peggy merupakan kisah hidup sebenar tentang zaman kebuluran di Ireland yang diceritakan semula dengan jelas dan jujur. Di Bawah Pohon Hawthorn menggambarkan keazaman untuk hidup dan kekuatan serta kasih sayang tiga orang kanak-kanak pada zaman sukar ini. Peristiwa ini berlaku pada akhir 1880-an, dan menyebabkan kebuluran yang teruk yang memusnahkan Ireland. Kentang bertukar menjadi hitam dan busuk, dan rakyat tiada apa-apa untuk dimakan. Elly, Michael dan Peggy bersendirian di rumah kecil mereka. Tidak beberapa lama sebelum itu, ibu bapa mereka keluar mencari kerja dan makanan, tetapi tidak kunjung pulang. Kini, mereka terpaksa berjuang untuk diri mereka sendiri. Setelah terdesak dan untuk mengelakkan daripada dihantar ke rumah perlindungan untuk orang miskin, mereka keluar untuk pergi mencari nenek saudara mereka yang belum pernah ditemui sebelum ini tetapi pernah mendengar tentang mereka melalui cerita emak mereka. Dalam pengembaraan itu mereka menyaksikan kemusnahan yang disebabkan oleh kebuluran - orang ramai berebut-rebut makanan, kanak-kanak terbiar, orang ramai berbaris panjang di dapur sup untuk oang miskin, peminta sedekah, kematian dan anjing liar. Diketuai oleh Elly yang berumur dua belas tahun, mereka terpaksa mencari makanan untuk mengalas perut, melindungi diri mereka dan mencari jalan untuk ke Castlelaggart."

+ Membaca novel ini, seperti saya di bawa mengembara dan menjejaki kisah hidup sebenar masyarakat Ireland yang berlaku pada akhir 1880-an. Kisah tragis yang menyentuh perasaan. Barangkali, sangat janggal berlaku kepada anak-anak kecil di negara kita pada hari ini. Tergambar oleh pemikiran saya tentang pondok buruk, hujan lebat dengan kilat sabung menyabung, Peggy yang digigit anjing liar dan kesukaran meredah halangan dan rintangan oleh tiga orang anak kecil demi mencari sebuah kehidupan. Apakah yang perlu dilakukan andai ia terjadi dalam kehidupan kita dan anak-anak kita? Selamat membaca!


Tuesday, September 28, 2010

Isu bahasa di FB

Ketika rakan-rakan menjemput saya menyertai rangkain Facebook (FB), saya sekadar mendiamkan diri dan berfikir berkali-kali sama ada mahu menyertainya atau tidak. Apabila memilih untuk menyertai apa jua rangkaian secara atas talian, sewajarnya saya harus memberikan komitmen. Sebelum ini telah banyak rangkaian yang saya sertai antaranya Friendster, HI5, Tagged dan Shelfari. Ternyata, rangkaian itu hanya menjadi umpama laman sesawang yang sekali-sekala sahaja mendapat perhatian daripada saya. Faktor utama, saya sedikit cerewet ketika berkomunikasi melalui tulisan. Lantaran itu, saya cepat jemu andai sesuatu rangkaian dipenuhi bahasa yang carca marba dan tulisan-tulisan yang aneh-aneh. Ini persoalan berbahasa yang saya maksudkan. Persoalan tentang isu memartabatkan bahasa. Saya tidak kisah jika mahu menulis atau bertutur menggunakan loghat negeri masing-masing. Tetapi saya sangat kisah jika ada yang sengaja menulis dengan memendekkan perkataan demi perkataan hingga menjadi ayat yang langsung tidak saya fahami. Bahkan sangat kisah jika ada yang merojakkan bahasa. Oh! Terlebih dahulu saya memohon maaf andai ada yang terasa hati. Saya ini insan biasa. Tetapi saya ada impian yang barangkali tidak semua ada pada insan lain. Barangkali impian ini juga sangat dipandang remeh oleh golongan dan insan-insan tertentu. Impian saya, memartabat dan mempertahankan bahasa.

Persoalan memartabatkan bahasa ini melibatkan semua golongan bukan ditujukan kepada orang-orang sastera, penulis-penulis, orang-orang bahasa ataupun kakitangan DBP. Ini adalah tanggungjawab individu. Terus terang, saya tidak mahu bersikap skeptikal terhadap sesiapa sahaja terutama rakan taulan dan sahabat handai yang mengenali diri ini. Tetapi ini adalah langkah berjaga-jaga. Saya tidak mahu perkenalan dengan rakan-rakan baru berakhir dengan kekecewaan. Saya juga tidak mahu ukhuwwah yang terjalin dengan sahabat handai berakhir dengan rasa sakit hati atau isu kata-mengata.

Tolonglah, menulis atau taip perkataan dan ayat yang betul ketika berkomunikasi sama ada di FB atau melalui khidmat pesanan ringkas (sms). Bukankah lebih mudah menulis dengan ayat yang betul dan penuh. Bukan tidak boleh memendekkan perkataan, tetapi biarlah betul. Jangan sampai kita merosakkan bahasa.

Ada ramai kenalan belum saya sahkan sebagai rakan di FB. Terutama kenalan yang tidak pernah saya kenali. Saya tidak memadam senarai nama mereka . Barangkali suatu hari nanti saya akan mengesahkan mereka sebagai rakan di FB. Saya sekadar mengambil langkah berhati-hati memilih rakan. Saya tidak mahu kecewa untuk kali kedua. Ya, kecewa kerana laman Fb saya dipenuhi bahasa yang tunggang langgang. Janganlah anda beranggapan saya ini terlalu ego dan sombong. Janganlah kecil hati andai saya jarang memberi respon. Inilah cara dan pendirian saya. Kita saling menghormati. Apabila berkawan dan bersahabat, sewajarnya kita menghormati hak orang lain. Ya, anda boleh menulis apa sahaja di laman FB anda. Tetapi harus diingat, anda tentunya berkenalan dan bersahabat. Kasihanilah saya yang menjadi rakan FB anda sedang saya tidak tahu membaca singkatan-singkatan perkataan dan ayat-ayat yang anda tulis. Jika anda tersiksa atau bosan membaca tulisan saya di FB yang panjang atau sedikit janggal membaca tulisan baku saya ini, terserahlah. Keputusan ditangan anda dan saya juga wajar melakukan sesuatu.



Maafkan saya. Saya hanya insan biasa yang belajar untuk menulis dan berbahasa dengan betul.



Thursday, September 23, 2010

Ya Allah, berikan saya kekuatan

Ada banyak perkara dan insiden berlaku kepada saya dan keluarga sepanjang hampir sembilan bulan ini. Sebolehnya saya tidak mahu mengenangkannya. Bermula kisah di tempat kerja, di rumah hingga kisah di Aidilfitri. Sejujurnya saya memilih berhibernasi dari sebarang aktiviti online sepanjang tempoh tersebut. Maafkan saya, terutama kepada rakan-rakan penulis dan sahabat handai yang sentiasa memberi sokongan dan mahu melihat entri baru di blog ini. Berikan saya sedikit masa lagi untuk memulihkan semangat dan jiwa yang hampir hilang.

Sunday, July 11, 2010

Allah Maha Berkuasa.

Hari ini genap satu bulan empat hari, adik terlantar di hospital. Tujuh hari dimasukkan ke wad ICU Institut Kaji saraf, HKL kemudian tiga hari di wad CCU dan baki hari yang berikutnya hingga kini dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban. Melihat keadaan adik yang kritikal pada peringkat awal hanya mengundang duka dan nestapa kepada kami sekeluarga. Tambahan pula setelah doktor mengesahkan laporan kesihatannya. Hanya Allah yang tahu hati kami sekeluarga terutama emak yang melahirkan ketika diberitahu adik mengalami kecederaan dan perdarahan dalam otak kanan dan otak kiri. Pun begitu, Allah Maha berkuasa. Adik yang diramalkan koma/ lumpuh seumur hidup kini telah menunjukkan respon dan reaksi yang positif. Terkini, adik kembali sedar dan mampu menggerakkan anggota badannya seperti kedua-dua kaki dan tangan. Paling menggembirakan, ingatan adik tidak hilang seperti yang dijangkakan. Adik mampu mengingati banyak perkara termasuk hari, haribulan dan peristiwa yang mengakibatkan dirinya terlantar di hospital selama satu bulan ini. Kini, kami rasa bahagia dan gembira kerana adik sudah mampu menyebut dan memanggil "emak, abah, along, angah, alang dan ateh". Adik juga tidak lupa pada anak buahnya (anak saya- Sayyidah Fatimah) yang kini berusia sepuluh bulan. Didoakan semoga adik segera sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Monday, May 17, 2010

Kembali Beraksi Di Gelanggang

Sambutan Hari Guru di sekolah pada tahun ini mengembalikan nostalgia lama saya terhadap permainan bola jaring. Permainan ini menjadi kegemaran saya sejak di sekolah rendah. Permainan ini juga pernah mengundang tragedi yang tidak dapat saya lupakan hingga kini. Peristiwa itu berlaku ketika pasukan sekolah saya (SMRA Kuala Klawang) sedang berentap dengan pasukan lawan. Saat sedang berentap di gelanggang, saya ditolak kasar oleh salah seorang daripada pemain pasukan lawan sehingga saya jatuh terduduk. Akibatnya saya mengalami kecederaan dalaman dan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk sembuh. Bertitik tolak daripada peristiwa itu, saya mengambil keputusan untuk 'berpencen.' Minat terhadap permainan bola jaring dikuburkan dan saya beralih kepada permainan bola tampar.

Meskipun kini setelah dua tahun bergelar guru penasihat merangkap jurulatih pasukan bola jaring sekolah, saya tidak pernah beraksi di gelanggang bola jaring. Saya sekadar mengajar teknik-teknik asas permainan kepada pasukan sekolah dan aksi sebenar di gelanggang diajar oleh jurulatih pembantu.Trauma terhadap peristiwa yang mengakibatkan kehidupan saya menjadi agak rumit itu masih bersisa. Berkali-kali juga saya menolak jawatan sebagai guru penasihat dan jurulatih pasukan bola jaring sekolah. Jika boleh, saya tidak mahu melibatkan diri dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan permainan bola jaring. Namun, setelah memikirkan amanah yang diberi, saya redha dan cuba membuang trauma yang menghantui.

Hari ini, entah mengapa saya kembali beraksi sebagai pemain bola jaring. Meskipun sepuluh tahun telah berlalu, ternyata skill bermain masih menguasai diri dan peristiwa yang menjadi rahsia dalam diri saya selama sepuluh tahun ini terbongkar akhirnya. Saat bermain, terasa jiwa lapang dan girang hingga saya terlupa tentang peristiwa itu. Barangkali juga kerana permainan ini adalah acara suka-suka bersempena sambutan hari guru. Saya mahu menikmati sambutan ini sepuas-puasnya. Pun begitu, masih mengawal pergerakan dan aksi saya tidak selincah dahulu. Setelah permainan tamat, saya tidak bercadang untuk kembali aktif bermain pada masa akan datang meskipun beberapa orang guru senior memberi galakan.







Wednesday, April 28, 2010

Terima Kasih

Terima kasih kepada editor Tunas Cipta (TC), Tuan Ruslan, Sdr Rashiqah dan mereka yang terlibat dalam pembikinan TC edisi Mei 2010. Terima kasih kerana menerbitkan artikel tentang diri saya dalam edisi ini.