Plastik adalah komposisi sisa pepejal kedua yang paling tinggi dihasilkan selepas sisa makanan. Ia penyebab utama sistem perparitan tersumbat dan mencacatkan pemandangan alam sekitar.
Sifat plastik yang ringan, mudah diterbangkan dan sukar mereput adalah ancaman kepada hidupan di lautan dan dunia umumnya.
Secara purata dianggarkan sebanyak sembilan bilion plastik digunakan oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun dan sebahagian besarnya berakhir di lautan.
Kesedaran tentang bahaya penggunaan plastik harus dipupuk dalam diri setiap individu. Telah banyak kempen dijalankan. Sejauh mana keinginan dan amalan berterusan daripada kempen-kempen tersebut terlaksana, semuanya bergantung kepada individu itu sendiri.
KATAKAN TIDAK PADA PLASTIK SEKALI GUNA adalah kempen yang dijalankan bertujuan memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab masyarakat terhadap pencemaran plastik. Ramai pengusaha kedai runcit manyokong kempen ini. Dalam masa yang sama mereka mahukan perniagaan mereka menjadi tumpuan ramai.
Plastic Tide Turners Challenge Badge (PTTCB) anjuran Pandu Puteri Malaysia adalah satu usaha yang wajar dipuji. Tindakan ini bertujuan memujuk para pengusaha kedai runcit untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
Setiap ahli Pandu Puteri perlu mengunjungi sekurang-kurangnya tiga buah kedai untuk menggerakkan kempen ini. Setiap pengusaha kedai diberi penerangan tentang misi kempen KATAKAN TIDAK PADA PLASTIK SEKALI GUNA. Kemudian mereka mendengar penjelasan tentang bahaya penggunaan plastik. Seterusnya mereka diberi penerangan tentang langkah-langkah dan cadangan untuk mengurangkan penggunaan plastik. Antaranya, mereka boleh saja memujuk para pelanggan supaya membawa beg kitar semula untuk mengisi barang yang dibeli.
Disamping itu, mereka juga boleh mengambil inisiatif dengan menyediakan kemudahan bakul untuk memudahkan pembeli membawa barang ke kereta. Kaedah ini sesuai sebagai persediaan untuk pembeli-pembeli yang terlupa membawa beg kitar semula. Sekurang-kurangnya dapat memudahkan urusan pembeli.
Selain itu, pengusaha kedai juga dicadangkan menyediakan beg kertas seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara-negara barat. Pengusaha-pengusaha kedai roti dan kek misalnya, mereka telah lama memperkenalkan kaedah ini dan kita dapat menyaksikannya sekiranya membuat pembelian. Pun demikian, ada juga pengusaha kedai roti dan kek yang masih enggan mengamalkan inisiatif ini.
Tindakan yang demikian ini wajar dimulai oleh pengusaha-pengusaha kedai runcit itu sendiri. Kedai-kedai menjual barang hardware misalnya pun tidak terkecuali jika mempunyai kesedaran tentang ini. Sebagai pengusaha atau pemilik kedai, mereka yang mencorak interaksi bersama pelanggan atau pembeli. Jika amalan penggunaan plastik dikurangkan, pasti pelanggan juga secara tidak langsung akan turut memberi kerjasama. Hal ini kerana para pengusaha kedai atau peniaga berperanan sebagai penyumbang kepada ekonomi negara disamping pembeli yang berperanan sebagai penyumbang utama ekonomi dalam negara Malaysia.
Banyak lagi langkah-langkah dicadangkan antaranya, menghentikan pembelian straw plastik. Terdapat beberapa buah kedai runcit masih menjual straw plastik untuk kegunaan peniaga-peniaga gerai minuman atau restoran. Menukarkan pembelian straw plastik kepada straw kertas adalah tindakan yang bijak. Dan tentunya usaha ini akan menjadi ikutan ramai. Siapa lagi yang hendak memperkenalkan sesuatu produk baru jika bukan peniaga itu sendiri.
Justeru, adakah kalian berminat menjadi salah seorang peniaga yang wibawa sebagai penolong penyelamat bumi dan alam sekitar? Jika ya, ayuh mulakan amalan KATAKAN TIDAK PADA PLASTIK SEKALI GUNA. Sahut cabaran ini.
Sayyidah Fatimah binti Muhammad Zakir.