Pages

Friday, February 04, 2005

BERJALAN, MELIHAT DAN MENTAFSIR

+ Semalam saya ke Port Said. Bersama rakan-rakan dan housemate ditemani oleh dua pasang suami isteri. Sengaja mahu bermesra dan mencipta kenangan bersama teman-teman serumah. Bukan senang ke sana ke mari secara beramai-ramai bersama teman-teman serumah. Sesekali mahu juga menikmati suasana indah di bumi orang. Apa yang kami beli di sana? Pakaian khususnya jubah dan sempat juga membeli sotong di pasar. Dalam perjalanan pulang, kami singgah di tepi pantai. Bergambar kenang-kenangan dan bermain-main dengan riak-riak buih di gigi air. Sesekali terkagum melihat ombak menghempas pantai. Teringat peristiwa Thunami, bagai gerun pula lantaran hati berbisik: beginilah kekuasaan Allah. Berjalan, melihat dan mentafsir harus seiring. Ingin berehat sebentar daripada dikejar keripuhan kota kecil Mansurah sambil mencari ilham baru. Jika kuliah sudah bermula, peluang ini tidak akan hadir lagi.

+ Hari ini, sesuatu telah menemukan saya tentang ragam manusia. Acapkali manusia sebagai pembaca mahu tahu tentang tips-tips untuk menulis cerpen. Mahu jadi terkenal katanya. Oh! Begitu hasratnya. Dalam hati begitu sedih, adakah saya ini buat insan lain berkobar-kobar untuk menulis semata-mata ingin mendapat nama? Mengapa harus begitu? Berkali-kali saya katakan: jika mahu tahu tips-tips menulis cerpen, pastikan anda sudah mula menulis cerpen. Akan saya lihat hasilnya dan akan saya ajarkan tips-tipsnya, secetek pengetahuan yang saya ada. Menulis bukan untuk mendapat nama. Menulis bukan untuk suka-suka. Kerja-kerja menulis amat berat dan berliku. Penulis adalah pembimbing untuk diri sendiri dan masyarakat. Saya berharap, kepada sesiapa yang berhasrat ingin menjadi penulis, tanya kepada diri anda: apakah tujuan anda menulis? Adakah semata-mata ingin mencari nama?

Anugerah tuhan yang diperturunkan kepada seorang penulis bukan semudah yang ditafsirkan kerana bertahun malah ada puluhan tahun berhempas pulas mempelajari, mendalami serta mempertajamkan bakat tersebut. Ketekunan yang tidak pernah reda, akan membawa diri seorang penulis melangkah lebih jauh. Oleh itu, usah lekas megah diri kerana anugerah itu ibarat sebutir pasir antara selaut mutiara. Tidak tahu segigih mana usaha manusia menggilapnya menjadi mutiara. Sejujur saya mengingatkan diri sendiri dan anda semua, menulislah kerana kesedaran. Menulis bukan untuk mencari nama. Namun seorang penulis perlu mendapat nama agar karya dapat dibaca oleh khalayak pembaca sebagai jalan dakwah seorang penulis. Bagaimana mahu berdakwah melalui penulisan andai karya anda hanya terceruk dan tersimpan dihelaian kertas dan buku. Bersama memugar dan menyadur kesedaran, sastera membina manusia berfikir, beretika, menghalusi pertimbangan, bersikap adil dan saksama dan dapat menjiwai dan membayangkan perasaan orang lain. Penulis juga adalah pelukis gambaran kehidupan masyarakat lantas memandu dan memberi imbangan kepada dunia seseorang yang sering tersesat dalam dunia yang rumit dan agak kacau ini. Inilah juga tanggungjawab kita sebagai penulis yang sewajarnya menyerapkan nilai-nilai moral dalam hasil karya. Menulis bukan untuk suka-suka dan berfantasi ria. Penulis perlu mengkaji, terjun dalam masyarakat lalu mengadun dan menggarap idea dan pengalaman itu menjadi sebuah karya untuk ditatap oleh khalayak pembaca.

Apabila khalayak pembaca membaca sesebuah karya seorang penulis khususnya penulis-penulis baru abad ini, segelintir daripada mereka akan berkata: saya macam pernah membaca cerpen ini. Tak kurang juga ada yang berkata: ini mesti cerpen yang diciplak. Apa perasaan anda sebagai seorang penulis jika kata-kata ini meresap ke corong telinga anda? Pertama kali saya mendengar seorang pembaca mengkritik karya seorang penulis muda tanah air (saya kagum dengan penulis ini), semacam telinga berasap juga. Namun saya tunggu, sejauh mana kritikan ini akan terjadi untuk kesekian kalinya. Saya kira, pengalaman dikritik pasti dirasai oleh semua golongan penulis. Saya sendiri, sewaktu mengikuti begkel cerpen di bawah kendalian Amiza Khusyri, ada peserta berkata: cerpen ini sama macam cerpen Faisal Tehrani bertajuk “Di bawah Batu.’ Saya sendiri tidak pernah membaca cerpen saudara Faisal itu. Dan ada yang berkata, saya menciplak cerpen itu. Waduh! Amat bisa tuduhan itu buat saya.

Barangkali kerana kurang faham, khalayak pembaca sewenang-wenang mentafsir karya seorang penulis. Tidak dinafikan, ramai dikalangan penulis-penulis baru, agak gemar membawa tema yang sama (tema yang pernah di bawa oleh penulis lain). Tema ini agak klise. Namun, di sadur dalam bentuk yang menyegarkan. Sehingga cerpen itu tampak menarik. Seorang penulis baru, mana mungkin dapat mencipta identiti sendiri. Pasti karya yang terhasil akan cenderung menyerupai gaya bahasa dan langgam penceritaan penulis yang diminatinya. Sudah pasti kala mahu menulis, bertimbun-timbun bahan rujukan di kiri kanan meja. Sudah tentu juga banyak membaca kerana mahu tahu gaya bahasa dan teknik penceritaan yang biasa di bawa oleh penulis-penulis lain. Hasilnya, cerpen yang terhasil itu, semacam menyerupai frasa-frasa dan diksi-diksi penulis mapan dan kawakan. Menulis perlu berguru. Meskipun guru itu hanyalah sebuah buku. Justeru, jika mahu menjadi penulis, rajin-rajinlah membaca dan rajin-rajinlah menulis. Begitu pernah dikatakan oleh Saudara Nazmi Yaakob sewaktu saya mengikuti begkel cerpen yang dikendalikannya. Begitu juga pernah kak Mawar memuji Saudara Nazmi dan Zaid Akhtar dalam e-melnya kepada saya: mereka saya lihat rajin membaca dan menulis.

+ Buat khalayak pembaca, dunia sastera sememangnya kaya dengan kritikan. Terima kasih kepada anda yang berani mengkritik. Di sana terlihat hasrat anda yang mahukan sebuah karya yang bagus untuk dibaca. Asyik menikmati dan mengkritik karya orang, bila lagi mahu menghasilkan karya sendiri?

+ Kepada diri saya sendiri, masih banyak kekurangan yang perlu ditampung. Masih banyak kelemahan yang perlu dibaiki. Masih banyak kesilapan yang tidak wajar diulangi.

+ Kepada rakan-rakan penulis, barangkali sudah tiba masanya mencari sebuah tema yang agak ganjil. Namun saya tidak tahu bagaimana, kerana dunia ini sendiri adalah sebuah cerpen dan lakonan. Sering memaparkan tema kekeluargaan, percintaan, masyarakat dan sebagainya (yang sering pula dijadikan tema dalam karya seseorang penulis). Begitulah hakikatnya.

+ Saya, akan terus berjalan, melihat dan mentafsir ragam manusia. Barangkali akan menemukan saya idea yang baru.

No comments: