Pages

Thursday, March 24, 2005

RESOLUSI DUNIA PENA, KASUS YANG KIAN SURAM

ARTIKEL SAYA DALAM SEGA (Suara Kampus Edisi Gabungan) 2005.
SEPUTAR 1996, penulisan di Mesir pernah berada di puncak. Kesungguhan penulis-penulis memartabatkan dunia pena dan sastera telah terlihat sehingga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka turun berpijak di tanah para Anbiya ini untuk merasmikan sebuah produk penulisan warga Azhari. “Sinar Di Harizon Nil” telah menemukan beberapa orang penulis yang menjanjikan dalam arena sastera seperti Ustaz Kamal Mohd Said, Ustaz Nazri Abdullah, Ustazah Marsirah Mustapah dan ramai lagi. Sejurus selepas itu, dunia pena semakin sepi sehingga muncul Mohd Nazmi Yaakob, yang cuba mengembalikan kegemilangan itu. Akhirnya beliau pesimis terhadap penulis-penulis Mesir setelah sedaya berusaha.

Mutakhir ini, penerbitan dalam kelompok organisasi mahasiswa Malaysia al-Azhar, menemukan jalan buntu. Suara kampus khususnya tidak lagi aktif beroperasi. Jika ada sekalipun, ibarat hidup segan mati tak mahu. Dimanakah penulis-penulis Mesir? Kesukaran menjejak penulis-penulis untuk mengisi kolum dalam sesebuah penerbitan suara kampus bagai sudah andar di tengah jalan. Perlu diingat penerbitan dalam sesebuah organisasi merupakan lambang keizzahan dan tanggungjawab kepimpinannya. Penerbitan dan penulisan menjadi tunjang utama penyebaran maklumat dan info. Bahkan penerbitan dan penulisan berfungsi sebagai medium dakwah kepada khalayak pembaca meskipun dakwah itu hanya tersebar seputar warga al-Azhar sahaja. Malah, mampu menjadikan sesebuah organisasi itu aktif dan dikenali ramai. Di kalangan ahli penerbitan dan penulisan pula, mampu mencerna semangat, tekad dan azam untuk memberi komitmen berterusan kepada kesatuan. Usaha dan kerjasama yang digarap dikalangan ahli bisa menjadi pemugar semangat dan tekad untuk memastikan kejayaan milik bersama di masa akan datang.

Mengapakah penulis-penulis enggan keluar daripada kantong diri yang bersifat matyai. Mengapakah hanya wajah-wajah dan nama-nama yang serupa dan sama sahaja menghiasi struktur organisasi atau susun atur sidang redaksi di dalam SEGA, WARTA dan Suara Kampus DPM atau BAKAN itu sendiri. Analogi saya: kebanyakan kita takut dikritik. Harus diingat, mandala penulisan dan sastera mengandungi ilmu kritikan. Kritikan itu menjadi satu vitaliti untuk pembangunan karya penulis. Malah cabang ilmu kritikan ini merupakan disiplin sastera Melayu. Meskipun lazimnya seorang kritikus sering melontar pandangan yang pedas dan tidak tersangkal namun, kebijaksanaan menerima kritikan itu harus dinilai dengan suatu penelitian dan pengamatan. Seorang kritikus yang baik pula sewajarnya mengkritik pada penelitian yang profesional berserta cadangan-cadangan bernas yang bisa membantu pembangunan diri individu yang dikritik.

Analogi kedua saya: dunia pena yang sunyi sepi ini barangkali dihuni oleh individu yang hanya menulis tatkala ada tawaran hadiah lumayan. Barangkali juga berupa ganjaran terhadap penat lelah berkerja di bawah suatu organisasi. Apakah kita menulis kerana kepentingan nama diri, bukan kepentingan nama agama. Sikap memandang enteng mandala penulisan ini akhirnya menatijahkan suatu kesan yang buruk kepada masyarakat di tanah air kelak. Ini bukan suatu perkara yang absurd jika kesedaran tidak dipupuk Lantaran itu, medium dakwah sukar mencari gagasan untuk berdifusi dalam aliran pemikiran masyarakat. Para penulis harus melatih diri untuk menumpahkan idea dan dakwat tinta di atas kertas. Ilmu dan pengalaman yang dimiliki sebagai penuntut al-Azhar itu sewajibnya dikongsi dan dicurahkan kepada khalayak pembaca. Penyertaan unsur-unsur ilmiah dalam karya-karya para penulis harus disambung semula.

Lebih daripada 320 ayat telah disebut di dalam al-Quran. Ini terbukti peri pentingnya perkhidmatan pena dalam menangani permasalahan masyarakat. Penulisan adalah wasilah penting bagi dakwah kerana ia tampak agam hingga zaman-berzaman. Justeru itu, ia menjadi khazanah berharga buat tatapan dan panduan generasi akan datang. Menyorot kembali tinta ulama terdahulu seperti Sayyid Qutb dan as-Syahid Hassan al-Banna, mereka membakar dan memugar semangat pemuda-pemudi dan masyarakat dengan dakwat pena. Betapa keazaman ulama-ulama terdahulu memelihara keunikan sastera Islam sehingga hasilnya telah dikecapi pada hari ini. Hasil pena insan-insan mulia ini telah kita gunakan untuk mengukuh dan memantapkan ilmu-ilmu di dada. Kesenangan menikmati karya-karya ulama terdahulu buat kita alpa untuk menilai kesedaran dan kesungguhan diri dalam memasak azam, minat dan rasa tanggungjawab terhadap penghasilan karya sendiri.

Kesusateraan Islam itu adalah hadiah yang ungul buat warga al-Azhar yang mempunyai keunikan dan kelebihan penguasaan ilmu dan suasana. Kesusateraan juga dinisbahkan kepadan umat yang tersurat dalam lipatan sejarah, iaitu satu umat yang lahir bersama permulaan risalah dari langit dan berkembang bersama para Nabi dan Rasul yang menyusuli di belakang dan kekal hingga ke hari kiamat.

Firman Allah yang berbunyi:
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah diri-Ku.” (al-Anbiya: 92).

Apakah lagi kemulian yang lebih utama daripada kemuliaan ini? Apakah keturunan yang lebih baik daripda keturunan ini? Apakah kekuatan yang lebih kekal daripada kekuatan ini? Tuntasnya, kekuatan mata pena merupakan faktor-faktor kebangkitan tamadun Islam yang unggul. Ketika umat dan dakwah yang satu ini berada di bumi, ia menggabungkan segenap daya usaha dan mencampurkannya dalam terusan kebaikan. Lantaran itu kesusasteraan Islam menjadi mulia, ia menyeru dan membina jati diri umat dan dakwah yang satu.

Ironinya, penulisan dan kesusasteran merupakan suatu perjuangan bervisi, berdasarkan landasan Allah dan ilmu yang realiti. Oleh itu, penulisan dan kesusasteraan membawa metod, matlamat, kejujuran, kekuatan dan pengorbanan. Mandala penulisan juga adalah kunci utama penyampaian masej dakwah, bergerak menurut landasan dan berusaha kearah satu matlamat.

Meskipun yang terkini telah lahir penerus perjuangan pena dalam kelompok mahasiswa al-Azhar, namun golongan itu terlalu sedikit. Masih tidak mencukupi untuk memantapkan dunia penulisan dikalangan penuntut al-Azhar khususnya. Lantaran itu, resolusi untuk dunia pena warga al-Azhar masih menemukan kasus yang kian suram. Ia bertaburan bak bintang-bintang di langit namun kerdipan-kerdipan itu masih boleh dibilang dengan jari. Sedangkan yang lainnya pula, semakin suram dan tidak mengerdip lagi di zaman kebejatan dan kebobrokan pemikiran umat kini.

Jangan membunuh potensi diri sendiri atau orang lain. Kesedaran terhadap rasa tanggungjawab kepada mandala penulisan harus dipupuk mulai saat ini. Sewajarnya kita bersikap optimis, konstruksi dan kritis dalam memastikan kelangsungan dunia pena di bumi Anbiya ini amnya dan bumi Malaysia khususnya. Oleh itu, lapangkan dada dan buka minda anda untuk menerima kritikan dan pandangan ini dengan rasa tasamuh. Jika tidak, usah bermimpi memiliki katarsis diri kerana ini adalah tanggungjawab yang terpundak di bahu dalam memerkasa keizzahan mahasiswa.

No comments: