Pages

Tuesday, May 17, 2005

WARKAH ELEKTRONIK UNTUK MIR II

Terima kasih Mir kerana membalas warkah elektronikku. Sekarang aku mengerti, mengapa kau bertindak begitu. Namun Mir aku kesal dengan sikapmu kerana terlalu cepat mentafsir tingkah laku manusia. Katamu kau memaafkan kawan-kawanku tetapi dalam bicaramu itu aku tahu ada luka dan dendam. Katamu kau mahu bersahabat dengan orang-orang yang ikhlas namun pernahkah kau tahu keikhlasan itu terlalu sukar dinilai. Terlau cepat kau mentafsir keikhlasan hati dan budi manusia. Mir, aku tidak dapat menerima alasanmu yang begini Mir. Mengapa pula jika kau enggan berkawan dengan orang-orang yang tidak ikhlas aku turut menjadi mangsa? Mengapa jika mahu menjauhkan diri daripada mereka kau turut membuang aku, sedangkan antara aku dan mereka, hanya aku yang mengerti tiap bicara dan tingkah lakumu. Mengapa harus diputuskan ikatan ukhuwah ini sedang kita sudah lama bersaudara. Mir, kasih sayangku padamu tidak lebih daripada kasih sayang seorang adik kepada abang. Kau pernah berkata dan pernah memugar semangatku. Katamu hidayah Allah ada di mana-mana. Hidayah Allah juga barangkali akan disampaikan melalui seseorang manusia sebagai pengantara tanpa sedar. Itu kata-katamu Mir. Tetapi mengapa begini Mir? Katamu kau tidak mahu berkawan dengan orang-orang yang membunuh dan melemahkan semangatmu. Adakah aku membunuh semangatmu? Katamu tidak. Oleh itu mengapa kau bunuh dan padam memori kita. Mengapa kau buang aku dari kantong emelmu?

Mir sesuatu mahu aku sampaikan, jangan terlalu mudah mentafsir diri ini. Kau mahu menjaga hakmu tetapi pernahkah kau tahu sejauh mana kau menjaga hak sahabatmu dan adikmu ini. Tika kau mahu kau utusi aku Mir. Tika kau enggan kau buang aku. Beginikah sikapmu yang aku kenal Mir? Mir mengapa kau berubah hanya kerana sedikit kekejian yang terpalit di wajahmu. Sudah aku katakan, dengan rendah diri dan hina aku harungi kepayahan demi membersihkan kekejian yang terpalit di wajahmu itu. Ah! Kerana kau tidak pernah tahu dan tidak pernah melihat usahaku itu, terlalu senang kau mentafsir. Kau berpesan agar aku menjaga kesihatan dan pelajaran. Tetapi tahukah kau, kesihatanku akan terganggu kerana bicaramu ini Mir. Pelajaranku juga sekarang ini entah kemana kerana sikapmu. Mir, terus terang aku katakan, kau telah membunuh jiwa dan semangatku. Mir, aku berdoa semoga Allah menemukanmu dengan jalan kebenaran. Aku tidak meminta kau tahu sedalam mana usaha ini membersihkan namamu. Namun biarlah kematianku nanti merungkai segala. Mir, cukup sampai di sini. Warkah elektronikku yang terakhir.

Sebelum mengundur diri ingin kunyatakan, aku sekarang terlantar di wad. Aku hanya menunggu masa untuk kembali menemui Pencipta Agung. Hanya papan kekunci ini peneman setiaku dan Dinalah yang menaip semua yang terbuku di hatiku. Aku mengerti Mir, kala saat gembira kau hadir berkongsi tawa, namun saat aku derita terlantar gering menghitung jarum saat, kau hilang entah kemana. Mir, semoga kau bahagia.

Lilin yang bercahaya itu sudah mulai malap.

Salam Ukhuwah,
Ain Syafika
Mu'tah
THE HASHEMITE KINGDOM OF JORDAN.

No comments: