Pages

Tuesday, June 20, 2006

SEKITAR MAJLIS PERTEMUAN CENDOL PULUT E-SASTERA 17 JUN DI SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN

SEKITAR MAJLIS PERTEMUAN CENDOL PULUT E-SASTERA 17 JUN DI SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN

Oleh Ilhami

MEDAN SASTERA NEGARA WAJAR DIPERHEBAT


SEREMBAN: Medan perjuangan sastera Negara amat wajar diperhebatkan selaras dengan perkembangan semasa bagi membantu meninggikan nilai kemanusiaan apatah lagi menyahut seruan untuk meningkatkan modal insan sebagai teras pembangunan Negara.


Intipati ucapan itu jelas terkandung di dalam ucaptama khas yang dilakukan oleh Pengasas eSastera, Prof Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas ketika berbuat demikian di Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) yang diadakan di Dewan Asy-Syatibi, Maahad Tahfiz As-Saidiyyah, Jalan Senawang – Paroi, di sini pada 17 Jun baru lalu.


Hampir 20 orang aktivis sastera khususnya termasuk ahli-ahli eSastera dan penggiat seni yang memang mempunyai banyak pengalaman mengasas dan menganjurkan berbagai-bagai kegiatan seni di negeri ini.


Antara mereka yang hadir adalah Admin Berita di eSastera, Saudara Dahrie Zakaria, Penggiat Seni dan Pengasas Karyawan Muda Negeri Sembilan (KEM9), Saudara Izle Ismail (Seremban), Pemenang Naib Juara Deklamasi Sajak Negara, Saudara Ilham Din (Rembau).


Tidak ketinggalan juga adalah Penulis Syarifah Salha Syed Ahmad Al-Habshee (Jelebu), Penulis Nuralana (Kuala Pilah), Penulis Muhammad Zakir Saad (Kuala Lumpur), Saudara Mohd Haniff Romainoor (Kuala Lumpur), Saudara Mohd Fairus Zainal Abidin (Kuala Lumpur) dan Puan Fauziah Hitam (Kuala Pilah).


Majlis itu juga mendapat sokongan padu dari Puan Mazlinda Mohd Nor, Sub-Senior Editor di sebuah akhbar harian unggul Negara Brunei Darussalam yang sedang bercuti di Kuala Pilah, Penyajak Hisham Hasan, Penyanyi Lagu Puisi, Saudara Ija atau AR Gobel dan Penyanyi Lagu Puisi, Saudari Shelly.


Dalam ucapannya juga, beliau yang lebih lebih mesra dengan panggilan Dr Irwan telah membentangkan idea-idea terbaharunya di dalam memperkasakan lagi eSastera yang kini sudah mendapat tempat di kalangan pelayar-pelayar internet di merata negara.


Beliau menjelaskan kepada majlis itu bagaimana perubahan pesat yang berlaku di dalam dunia internet di mana kalangan penggiat sastera juga perlu melibat dan mengambil peluang luas dan terbuka itu untuk menyampaikan mesej kepada seluruh warga masyarakat jagat.


Tegasnya, beliau amat bimbang dengan persaingan berat sebelah pasti berlaku jika kalangan penggerak seni dan sastera tidak menceburi medan alam maya di internet yang menawarkan pakej langit terbuka dan lebuh raya maklumat.


"Ramai di kalangan penggiat seni yang amat kagum dengan kecepatan media internet bergerak laju menyampaikan mesej seseorang penyair atau penulis itu melalui karyanya yang disalurkan menerusi gerakan internet khususnya di eSastera.


"Kerana itu, saya mempelawa semua kalangan pengiat seni dan sastera agar sama-sama menggabungkan diri dengan eSastera yang selama ini bergerak pantas di alam maya, tidak pernah cuba-cuba untuk bertembung dengan mana-mana pihak di alam nyata, sebab matlamat kita adalah untuk sama-sama bersaing secara sihat dalam usaha memperkayakan kesusasteraan negara," tambahnya.


Beliau yang juga menjadi Admin Komuniti Penyair di eSastera menyatakan rasa gembira dan syukurnya ekoran kejayaan eSastera mendapat keyakinan agensi-agensi kerajaan yang menjaga untuk menerbitkan sebuah majalah sastera online yang lebih berdayamaju dalam masa terdekat.


Di akhir majlis, Dr Irwan telah menghadiahkan cenderahati; sebuah buku antologi puisinya sendiri berjudul SEMELAR dengan ditandatanganinya kepada mereka (selain dari ahli eSastera) yang telah menyumbangkan tenaga untuk mengisi slot di dalam majlis berkenaan.


Negeri Sembilan sangat nostalgic pada Dr Irwan


SEREMBAN: "Negeri Sembilan mempunyai nilai nostalgic yang amat tinggi pada perjuangan eSastera khususnya," demikian tegas Pengasas eSastera.com, Prof Dr Ir Wan Abu Bakar Wan Abas.


Setakat ini, jelasnya, sudah beberapa kali eSastera mengadakan program rasmi dan tidak yang dikendalikan oleh Penulis Haji Abdul Latip Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Latip dari Jelebu.


Malah, menurutnya, e-novel pertama di dunia berdasarkan kepada kemampuan eSastera menyelenggara 12 penulis untuk menyiap dan menerbitkan novel Hostel: Debaran Kedua yang menulis di internet, juga telah dilancarkan di Kuala Kelawang yang terletak di Jelebu.


Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) yang diadakan di sini pada 17 Jun baru lalu.


"Saya secara peribadi mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga kepada penggiat seni dan sastera di Negeri Sembilan di atas sokongan padu yan diberikan selama ini sehingga memungkinkan ita semua dapat bersama-sama bekerjasama menjayakan kegiatan sastera antara alam maya dan nyata," tegasnya lagi.


Terima kasih eSastera, ujar Pengasas KEM9


SEREMBAN: Pengasas Karyawan Muda Negeri Sembilan (KEM9), Saudara Izle Ismail melahirkan rasa penghargaannya di atas kesanggupan pihak eSastera yang datang ke Negeri Sembilan bagi sama-sama memeriahkan medan kesusasteraan di negeri ini.


Saudara Izle menyatakan perkara itu di dalam Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) yang diadakan di Dewan Asy-Syatibi, Pusat Pendidikan As-Saidiyyah, Jalan Senawang - Paroi, di sini pada 17 Jun lalu.


Beliau yang mempunyai banyak pegalaman 'pahit' ketika melahirkan perasaan seninya terhadap kebobrokan dan kebejatan yang berlaku di persekitaran hidup, ada ketikanya pernah dihalang dan ditahan.


Ketika ditanya tentang perkara tersebut, beliau hanya mahu menceritakan sedikit sahaja daripadanya kerana 'itu merupakan cerita lama dan pengalaman amat bermakna' namun perjuangan ini mesti diteruskan.


"Syukur dan terima kasih kami kerana pada hari ini dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang kewujudan dan kegiatan eSastera di mana semua gerakan di alam nyata dan alam maya adalah untuk memajukan kegiatan seni dan sastera negara.


Beliau juga telah mendapat penjelasan terperinci dari Pengasas eSastera, Prof Dr Irwan Abu Bakar ketika mengambil kesempatan untuk bertanyakan soalan di dalam sesi Diskusi eSastera dalam majlis tersebut.


Semangat yang masih kental di dalam memperjuangkan sesi dan sastera di negeri ini khususnya terbukti apabila sanggup pulang dari programnya di Gua Musang, Kelantan ke sini hanya semata-mata untuk bersama meraikan kehadiran eSastera.


"Jika eSastera sanggup datang ke Negeri Sembilan,kenapa pula saya tidak sanggup pulang ke negeri saya sendiri menyambut kehadiran eSastera," tegasnya di dalam ucapan pengenalannya sebelum mendeklamasikan sebuah sajak yang sangat menarik.


Saudara Izle juga menyatakan rasa terharunya bila setiap kali bertemu dengan rakan-rakan yang sama-sama mengasas dan menggerakkan KEM9 namun sehingga ke hari ini masing-masing membawa haluan sendiri tetapi hari ini kelihatannya mereka masih lagi aktif.


Beliau sempat menyebutkan beberapa nama terutamanya mereka yang dapat hadir di dalam MPCP seperti Saudara IlhamDin, Saudara Hisham Abu Hasan dan Saudara Ija atau lebih dikenali sebagai AR Gobel.


Saudara Dahrie penuh bergaya


SEREMBAN: Admin Komuniti Berita dan Berbicara Sastera di eSastera, Saudara Mohd Dahrie Zakaria telah tampil cemerlang dengan penuh bergaya mantap ketika mendeklamasikan sebuah puisi cintanya berjudul Reformasi.


Beliau yang merupakan 'orang kiri' Pengasas eSastera, Dr Irwan Abu Bakar telah berbuat demikian dalam Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) yang diadakan dekat sini, baru-baru ini.


(Orang kiri adalah kerana beliau duduk di sebelah kiri ketika Dr Irwan memandu! Tetapi di dalam eSastera, beliau adalah orang kanan; mengikut kata Dr Irwan baru-baru ini di Seremban selepas Puan GB Hashimah)


Saudara Dahrie telah mendeklamasikan sajak berkenaan dengan penuh perasaan dan semangatnya memang memuncak ketika itu, sehingga semua pihak terkagum melihat persembahan yang sangat bermakna pada nilai cinta seorang pemuda kepada kesayangannya yang kini saling rindu-merindui menjelang hari bahagia bersama yang entah bila masanya.


Di dalam majlis itu, kelihatan beliau amat rajin mencatat sesuatu dengan penuh asyik dan merakamkan gambar-gambar menarik untuk diabadikan sebagai kenangan dalam dokumentasi eSastera setentunya.


Beliau yang menghafaz sajak tersebut rupa-rupanya sangat suka kepada kanak-kanak kerana kelihatan beliau kerapkali terlihat melayan-layan peserta paling muda, 'Sasterawati eSastera Generasi Perubah' seawal usia setahun empat bulan, Anakanda Puteri 'Atif Alifah Ismail yang juga turut memeriahkan suasana majlis pada petang itu dengan keletahnya yang memikat Saudara Dahrie.


TITIPAN SAHABAT ESASTERA


SEREMBAN: Tidak dapat hadir ke sesuatu majlis tidak bermakna mereka tidak boleh bersama. Perkara ini dapat dibuktikan ketika berlangsungnya Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) yang diadakan di Dewan Asy-Syatibi, Pusat Pendidikan As-Saidiyyah, dekat sini, baru-baru ini.


Inilah yang dikatakan hubungan yang sangat intim memang sentiasa terjalin sesama ahli eSastera meskipun ada di antara mereka tidak pernah bertemu. Berikut adalah sebahagian daripada Salam Sastera melalui sms daripada mereka yang tidak hadir ke MPCP.


"Saya harap pertemuan ini dapat mengeratkan lagi Silatur-Rahim. Saya minta maaf tidak dapat hadir kerana ada hal tidak dapat dielakkan. Kirim salam pada semua." - PAK LATIP (NEGERI SEMBILAN)


"eSastera adalah masa depan sastera. Selagi teknologi maya bergerak ke hadapan, selagi itu eSastera ada masa depan. Sastera konvensional akan ketinggalan jika terus berdegil dan enggan mengakui dunia yang telah berubah. Berkarya di alam siber panjang daya hayatnya. Percayalah. Mari bersama membina seniority di eSastera.com sebelum anda terpaksa merangkak sujud padanya lambat launnya." - ANBAKRI (KELANTAN)


"Temu bertamu, jarang-jarang selalu. Kerap bertemu, kan hilang madu."

PAK AHKARIM (KEDAH)


"Salam sastera buat semua. Cendol enak? Jangan lupakan saya. Tidak dapat datang. Sekarang saya di DBP sedang berbengkel membuat pemetaan buku teks yang akan ditulis.


Sarang kelulut di bawah rumah,

anak kera di atas peti,

cendol pulut enak dijamah,

teman eSastera tetap di hati.- RIMANILZAH (PERAK)


"Saya dalam perjalanan balik Kelantan. Pukul 5.10 baru sampai KLIA. Selamat berjumpa kepada semua warga eSastera. Abadikan ini sebagai satu untaian kenangan yang tidak dapat dilupakan. INGAT TEKA-TEKI, INGAT ESASTERA.- Nimoizty AK5263, SIBU - KLIA. NIMOIZTY (SARAWAK)


"Jauh bertandang si anak raja,

di tengah laman duduk bersila,

salam perkenalan daripada saya,

buat warga eSastera semuanya.


Kirim salam semua. Terima kasih kerana menjemput saya. Berhati-hati di jalan raya. Ingatlah saya yang tersayang ha ha ha - Muhd Iqbal aka kingbinjai." - KINGBINJAI (SELANGOR)


"Selamat bersantai sastera. Semoga ikatan ukhwah Silatur-Rahim terbenih dan tumbuh melata demi sebuah perjuangan suci murni. Jangan lupa pesan nenda: Segalanya dilakukan harus berpada-pada. Segalanya ada batas susila. Ketika kita canda gembira ada saudara yang nestapa. Anyway semoga sukses adanya. Salam untuk semua." - BRIRASA (KEDAH)


"SAYANG yang menggunung, lambaklah pada agamamu, RINDU yang memuncak, timbunkanlah pada keimanan, KASIH yang melimpah, siramkanlah pada ketaqwaan, CINTA yang membara, semarakkanlah hanya pada-Nya." - UMMU HANI ABU HASSAN (KEDAH)


"Salam. Sila hantarkan cerpen dan sajak untuk Antologi Palestin kini masih dibuka hingga akhir Julai. Semua keuntungan untuk Rakyat Palestin. Semoga eSastera terus melahirkan penulis-penulis yang mampu mengIslahkan minda rakyat." - NAFA (UIA, SELANGOR)


"Salam ingatan kepada semua rakan-rakan yang hadir. Selamat berpuisi untuk Tabung Palestin. Semoga usaha kita diperkenankan Ilahi. Maaf kerana tidak dapat hadir." - SALEHA AHMAD (PERLIS)


"Hidup memerlukan pengorbanan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula menentukan kejayaan dan kejayaan akan menentukan kebahagiaan." - IDA NARDIEL (MELAKA)


Penyair Nimoizty membuat panggilan ketika majlis berlangsung


SEREMBAN: Ketika itu, jam 5.50 petang. Beliau baharu sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang namun di masa yang sama, masih berkesempatan untuk 'menyampaikan ucapan' di dalam Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) yang berlangsung di sini.


Itulah sikap ambil berat dan rasa kebersamaan yang ditunjukkan oleh Penyair Berpotensi, Nik Mohd atau lebih dikenali dengan nama penanya sebagai Nimoizty, pernah menjadi Johan Penyair Alam Siber anjuran eSastera untuk dua tahun berturut-turut pada 2003 dan 2004.


Beliau yang kembali bercuti ke kampong kelahirannya di Kelantan itu dalam perjalanan dari sebuah maktab perguruan di Mukah, Sarawak adalah seorang pensyarah di maktab itu.


Difahamkan dari gossip kawan-kawannya di eSastera tentang percutian Sdr Nimoizty kali ini yang dipercayai mempunyai 'agenda' besar di dalam hidupnya; walau bagaimanapun beliau tidak menyatakan dengan tepat apbila ditanya disoal melalui sms sebelum berita ini ditulis.


Ketika beliau membuat panggilan masuk ke MPCP, Pengasas eSastera, Prof Dr Irwan sedang bercakap di sesi terakhir lalu memberhentikannya untuk membuka ruang berinteraksi secara langsung dengan Nimoizty di udara.


Mereka sempat bertanya khabar di mana slot pertemuan di udara ini amat menarik perhatian semua hadirin kerana majlis itu berjaya memanfaatkan kemudahan teknologi maklumat yang ada.


Antara yang dapat didengar melalui sistem pembesar suara ke dalam majlis itu, beliau sempat berucap secara spontan: "Salam pada semua. Tahniah kerana dapat hadir di dalam pertemuan ini. Saya berharap dengan pertemuan ini akan menyuntik serta membangkitkan semangat untuk terus menulis di kalangan kita bersama. Terima kasih."


Beliau sedang popular dengan buku barunya, sebuah antologi puisi berjudul Jalan Baru yang kata pengantarnya ditulis oleh penulis dari Rusia, Dr Victor, boleh dipesan melalui pesanan online di Kedai eSastera melalui
http://www.esastera.com/kedai dengan harga hanya RM12.


'Dr Irwan sudah ada 10 cucu' - Muhammad Zakir


SEREMBAN: "Isteri kesayangan Prof Dr Irwan, Cikgu Hashimah tidak dapat hadir bersama-sama dalam majlis kita pada petang ini kerana sibuk dengan 10 orang cucu mereka," begitulah seperti yang disebutkan oleh Penulis, Saudara Muhammad Zakir Saad.


Beliau sempat menyatakan perkara itu ketika diminta mengisi satu slot di dalam Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) yang diadakan di sini pada 17 Jun baru lalu.


Katanya, beliau yang berkerja di Universiti Malaya di Jabatan Keselamatan, sangat ditakuti oleh banyak pihak kerana memang antara bidang kuasa kerjanya adalah untuk mencari dan mengawasi gerak-geri mereka yang tertentu.


Stail beliau bercakap sambil tersenyum itu, banyak mengundang tanda-tanya di kalangan semua yang hadir di dalam MPCP pada petang itu, kerana tidak dipastikan kebenaran kenyataan yang disebutkan olehnya.


Apatah lagi jika kita membaca tulisan-tulisan Saudara Muhammad Zakir terutamanya cerpen yang banyak mengungkapkan isu-isu yang boleh diketawakan kerana bayak diisi dengan unsur-unsur jenaka.


Kita tidak sangka, ujarnya, umur Dr Irwan sudah menjangkau 55 tahun sedangkan jika kita melihat beliau sekarang ini, masih kelihatan muda, tetapi sudahpun mempunyai 10 orang cucu!


"Saya memang begini suka buat lawak dan bergurau," katanya secara tidak semena-mena seolah-olah mengetahui gejolak hati para hadirin yang sedang mengikuti ucapan ringkasnya pada petang itu.


Mengakhiri ucapannya, beliau telah membacakan sebuah puisi kasih yang ditulis oleh Pak Irwan Abu Bakar yang ditulis pada 12 Feb 2001 yang dipetik dari SEMELAR; sebuah Antologi Puisi Irwan Abu Bakar yang kata pengantar ditulis oleh Penyair T Alias Taib.


Apabila kusunting mawar

kusunting wanginya bersama durinya

bercintalah aku dengan wangi dan duri

sekala khayal mengendus sekala bisa tercucuk

dalam mahsyuk dan rajuk

kebahagiaan dunia.


Tandatanya yang timbul sebaik sahaja mendengar kenyataan Muhammad Zakir tentang Dr Irwan sudah mempunyai 10 cucu, akhirnya terjawab jua bila Dr Irwan menafikannya.


"Tidak benar, saya belum mempunyai cucu!" tegas Dr Irwan di awal ucapan di dalam slot khasnya di akhir MPCP.


Semua hadirin memandang pada wajah lucu dan bersahaja milik Saudara Muhammad Zakir yang masih 'maintaince' sahaja ketika itu lalu ketawa-ketawa tanpa berbunyi apa-apa. Beliau hanya bergurau bagi menghidupkan majlis.


Dua lepasan Mesir meriahkan pertemuan


SEREMBAN: Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) yang diadakan di Dewan Asy-Syatibi, Pusat Pendidikan As-Saidiyyah, Jalan Senawang–Paroi dekat sini turut dimeriahkan oleh dua lepasan Uiversiti Al-Azhar Mesir.


Mereka berdua adalah penulis muda yang sangat berbakat terutamanya di dalam bidang penulisan kreatif mutakhir ini di mana karya-karya mereka seringkali tersiar di dada-dada akhbar perdana mahupun di majalah sastera online, eSastera.


Kehadiran Ustazah NurSuriana Abdul Razak dari Kuala Pilah dan Ustazah Syarifah Salha Syed Ahmad Al-Habshee (Jelebu) telah membuktikan kalangan agama juga tidak pernah tersisih atau menyisihkan diri dari medan kesusasteraan Islami dan Melayu sejak turun temurun.


NurSuriana atau lebih dikenali sebagai Nuralana juga turut mengajak Ibunda dan Adindanya untuk mendapat dapat merasai sama nikmat bersastera di dalam MPCP pada petang 17 Jun lepas.


Rupa-rupanya Ibundanya, Ustazah Fauziah Haji Hitam juga adalah warga eSastera yang seringkali muncul di dada laman itu dengan sajak-sajak yang memikat rasa pembaca.


"Saya teringin juga menulis sajak-sajak ini selepas melihat Nuralana begitu rajin berbuat demikian," jawabnya bila ditanya siapa yang menulis dahulu antara beliau dan anaknya.


Di dalam MPCP, Nuralana telah mendeklamasikan sajak berjudul Sejernih Mutiara Ibunda hasilkarya Ibundanya sendiri, Fauziah Haji Hitam dengan diiringi muzik latar oleh Saudara Ija atau AR Gobel.


Ibundaku,

Engkaulah penyeri istana ratu hidupku

Senyum manis dikau bisa jadi penawar kalbu

Ketegasan asuh didikmu buatku kecapi tangga ilmu

Benarlah 'Syurga itu di bawah telapak kaki ibu'.


Terkini, sajak Nuralana yang bartajuk Gapura Salehudin telah dilagukan oleh Penyair Airmas dari Taiping, Perak yang boleh didengar di Komuniti Penyair dengan iringan muzik latar.


Sementara itu, Syarifah Salha pula telah menyampaikan sebuah sajaknya yang pernah tersiar di laman e-sasterawannya di eSastera berjudul Sekebun Wangian Itu.


Meskipun beliau menyatakan 'sejujurnya saya hanya tahu bikin sajak tetapi tidak pandai untuk mendeklamasikannya' tetapi semua hadirin terpikat juga dengan butir perkara dan biji bicara yang singgung lewat puisinya itu.


Johan berganda deklamasikan sajak qasidah


SEREMBAN: Suasana Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) pada petang itu telah bertukar irama kepada gelek budaya padang pasir bila salah seorang jemputan, Saudara IlhamDin telah mendeklamasikan sebuah sajaknya mengikut nada lagu qasidah yang sangat merdu dan menarik hati sesiapa sahaja yang mendengarnya.


Beliau yang pernah muncul sebagai Naib Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Peringkat Malaysia telah muncul dengan sajak berjudul Hamba dan Tuhan:-


Hamba adalah tuhan dalam ketuhanan diri

Tuhan adalah Tuhan dalam ketuhanan hamba

Dikata berpisah kita fakir

Dikata bersatu kita kafir.


Saudara IlhamDin yang juga pernah memenangi pertandingan seumpama itu sebanyak tiga kali di Johor dan tiga kali juga di Negeri Sembilan adalah antara penggerak seni dan sastera yang sama-sama mengasaskan Karyawan Muda Negeri Sembilan (KEM9) sekitar 1990an dulu.


Beliau juga menyeru kepada semua mereka yang terlibat di dalam bidang sastera khususnya agar dapat memanfaatkan semua kemudahan teknologi yang ada bagi menaikkan lagi nama baik sastera negara khasnya.


"Kita sedar suara kita tidak berapa sedap atau merdu, jadi kita gunalah kemudahan sistem pembesar suara yang canggih yang kita miliki bagi membolehkan suara kita didengar dengan baik dan lebih berkesan," tegasnya berdasarkan pengalamannya yang luas di dalam bidang tersebut.


Ketika bersalaman di akhir pertemuan, Dr Irwan sempat menyatakan rasa penghargaannya kepada Saudara IlhamDin kerana amat tertarik dengan persembahan tersebut.


"Saya tidak pernah mendengar sajak yang dideklamasikan dalam irama qasidah seperti tadi," kata Dr Irwan sambil tersenyum penuh erti.


Salam dari Pak EP dan Puan Nisah Haron


SEREMBAN: Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) yang diadakan di Dewan Asy-Syatibi, Maahad Tahfiz As-Saidiyyah, Jalan Senawang – Paroi, di sini pada 17 Jun baru lalu turut mendapat sokongan padu dari mereka yang tidak dapat hadir.


Antara mereka adalah dari Dr Shahrom Hashim atau lebih dikenali dengan nama mesranya, Pak EP dari Subang Jaya dan Penulis Peguam Puan Nisah Haron dari Seremban, Negeri Sembilan.


Turut menghantar sms ucapan tahniah itu termasuk Admin Komuniti Sasterasms di eSastera, Saudara Amir Mukhriz, Penulis Yusuf Harun dari Keratong, Pahang dan Penulis Hirne dari Melaka.


Pak EP menyatakan: "Salam pada semua yang hadir. Ribuan kemaafan kerana tidak dapat hadirkan diri... Terpaksa uruskan tempat anak buat latihan mengajar di Kedah. EP ingin membuat seumbangan sebanyak RM250.00. Salam EP."


"Salam Takzim saya pada semua. Terima kasih atas undangan. Andai ada izin Tuhan, saya sampai. Jika bukan itu rencana-Nya, pada lain ketika kita bertentang mata," ucapan dari Puan Nisah Haron.


"Bersama-sama kita mevariasikan medium pengkaryaan supaya sastera lebih mudah sampai kepada khalayak dengan alternative kaedah yang pelbagai. Salam sastera sms," tegas Saudara Amir Mukhriz.


Saudara Yusuf Harun pula mengucapkan terima kasih atas jemputan kepadanya dan berharap dapat bersama di lain kali serta tidak lupa menyampaikan salam taaruf pada semua.


Hirne pula menyatakan: Kepada semua, berbahagia dan bergembira di pertemuan ini. Sungguh jauh di mata di hati kenang sentiasa.


Sementara itu dari pagi hingga sebelum majlis bermula, tabung sms penganjur telah menerima titipan sahabat eSastera yang sempat dirakamkan di dalam buku program yang diedarkan pada semua hadirin.


Mereka adalah Pak Latip (Negeri Sembilan), Anbakri (Kelantan), Pak Ahkarim (Kedah), Rimanilzah (Perak), Nimoizty (Sarawak), Kingbinjai (Selangor), Brirasa (Kedah), Ummu Hani Abu Hassan (Kedah), Nafa (UIA, Selangor), Saleha Ahmad (Perlis) dan Ida Nardiel (Melaka).


Semua ucapan mereka telah dimasukkan ke dalam berita bertajuk Titipan Sahabat Esastera bersama-sama di alam laporan ini.


Dua lagu puisi berkumandang di MPCP


Majlis Pertemuan Cendol Pulut (MPCP) turut diserikan dengan dendangan dua buah lagu puisi bertajuk Cuba Kau Renungkan yang dinyanyikan oleh Saudara Ija atau lebih dikenali dengan nama AR Gobel dan Doa oleh Penyanyi Shelly.


Saudara AR Gobel yang pernah aktif bersama-sama dengan Karyawan Muda Negeri Sembilan (KEM9) kini bertugas di Kelantan dan Terengganu sebagai Pengurus Pemasaran Syarikat Telekomunikasi dan Shelly pula adalah Mahasiswi di UiTM serta pernah menjadi penyanyi latar untuk teater Puteri Gunung Ledang (PGL) di Istana Budaya, tidak lama sebelum ini.


Iringan muzika untuk kedua-dua lagu tersebut yang telah dipopularkan oleh dan Zubir Ali telah dilakukan oleh Saudara Ija dengan begitu menarik sekali.


Antara lirik lagu-lagu itu adalah:-


CUBA KAU RENUNGKAN

Cuba kau memandang

Ke dalam diri sendiri

Cuba kau renungi

Sekitaran hidup ini

Cuba perhatikan

Nasib tiap manusia

Pasti kau mendapati

Titiap satu berbeza

Pasti kau akui

Keagungan Maha Esa

Cuba kau bertanya

Dari mana asal kita

Cuba menjawabnya

Dengan fikiran terbuka

Cuba kau bandingkan

Perawakan manusia

Pasti kau mendapati

Titiap satu berbeza

Akan pasti kau akui

Keagungan Maha Esa

Chorus

Langkahmu langkahku mungkin tak sehaluan

Caraku caramu banyak perbezaan

Nyanyiku nyanyimu nadanya berlainan

Mimpimu mimpiku warnanya bertentangan

Satu perkara yang tak berbeza

Kita sama di sisi Maha Esa


Manakala lirik lagu DOA:-

Tuhanku

Dalam termanggu ku sebut nama Mu

Biar susah sungguh

Mengingat Kau penuh syahwi

Tuhanku

Cahaya Mu panas suci

Bagai kerdip lilin

Di kelam sunyi

Tuhanku

Aku hilang bentuk

Kembara di negeri asing

Tuhanku

Pintu Mu ku ketuk

Aku tak bisa berpaling



Sumber:E-sastera.com.


No comments: