Pages

Monday, July 31, 2006

PERTEMUAN

PERTEMUAN





Semalam, 30 Julai 2006 telah berlangsung Bengkel Penulisan Novel Dan Pelancaran Buku Penulis Daerah Jelebu di Hotel Sri Klawang. Bengkel tersebut telah menemukan kami ahli esastera, adik Ode, FahdRazy, Alana, Pak Latip dan saya sendiri.

Saya dan Pak Latip sudah tiba di Perkarangan Hotel Sri Klawang seawal jam 7.30 pagi. Maklum saja kami sebagai tuan rumah seharusnya tiba awal. Terima kasih kepada Pak Latip kerana sudi jadi driver saya, menjemput dan menghantar saya pulang...hehe.

Sambutan daripada peserta agak memuaskan meskipun segelintir yang berdaftar tidak dapat menghadirkan diri. Saya seperti biasa, duduk di meja pendaftaran untuk menguruskan hal-hal pendaftaran. Namun tugas saya diambil alih oleh Abang Syukri (suami Kak Nisah Haron) sekitar jam 9.00 pagi. Terima kasih kepada Abang Syukri kerana sudi membantu. Kata Abang Syukri "elok Salha masuk ke dalam dengar ceramah Puan Ainon sebab Salha penulis." Oh terharunya sebab ada orang memahami perasaan saya ketika itu yang sememangnya teringin sangat hendak mendengar ceramah Puan Ainon.

Memang sangat beruntung kepada peserta terawal kerana Puan Ainon tidak gemar menghukum mereka supaya menunggu peserta yang hadir lewat tiba. Juteru, mereka disajikan dengan pelbagai tips istimewa seputar dunia penulisan.

Sedang saya ralit mendengar ceramah Puan Ainon, tiba-tiba telefon bimbit saya bergetar. Rupa-rupanya adik Ode membuat panggilan. Katanya dia berada di hadapan Dewan Besar Kuala Klawang. Saya terus memberi panduan supaya adik Ode memandu terus ke hadapan dan lihat ke sebelah kanan. Tidak sukar mencari di mana letaknya Hotel Sri Klawang kerana kedudukannya amat stategik, di tepi jalan raya sahaja.

Saya pun menunggu adik Ode di perkarangan hotel. Tunggu-punya tunggu tidak juga saya nampak kelibat kenderaan yang dipandu oleh adik Ode.

Sebentar kemudian cik Alana yang cantik manis pula sampai. Kami sama-sama menunggu Ode. Bertuah betul adik Ode. Rupa-rupanya dia sudah beberapa ketika sampai dan menyorok dalam perut kereta Kancil hijau yang dipandunya.

Saya juga sempat memberi isyarat senyuman kepada adik FahdRazy yang tiba beberapa minit kemudian. Ketika itu saya dalam dewan seminar. Saya dan Alana duduk semeja manakala Ode dan Fahdrazy pula duduk semeja (meja sebelah kanan saya).

Selepas sesi rehat/ minum saya, FahdRazy, Puan Ainon, Cik Syikin (Editor PTS Fortuna.com) bercerita tentang pengalaman masing-masing dalam sesi forum. Forum tersebut dipengerusikan oleh Pak Latip. Sangat rancak dan respon peserta amat menggalakkan.

Dalam pertemuan itu saya, Alana, Ode, FahdRazy dan Pak Latip sempat menghasilkan sebuah sajak yang disambung-sambung oleh setiap orang antara kami dan seloka buat penghibur hati. Namun saya tidak dapat menyiarkan seloka di sini, jika anda mahu membacanya sila ke laman karya esasterawan saya.


Kabus yang menimbus
dan bukit yang tersepit di hujung
langit
tertanam di sini, dalam
rumah sukma kami.

FahdRazy
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


Puputkan pagi ukhuwwah yang paling dingin
biar akar bukitpun bisa
mengigil
dan memangggil
segenap landasan pena.

Or-there
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


Dari tubir sebuah pertemuan
Ada cebis-cebis kenangan
Mengetuk bisik insan
Menyua kasih nian kemesraan
Dalam mencari kekuatan antara kita
Satu persaudaraan
Melahir keharmonian.

Alana
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


Di atas bukit yang menghijau
kami lihat ukhuwwah yang segar
jua himpunan jemari tinta
dan perjuangan
setia bersama, di atas
landasan pena.

Syarifah Salha Syed Ahmad
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


Di sini kita bertemu
Menghimpun tekad dan semangat
Medan yang kita pilih ini
Menagih perjuangan dan pengorbanan
Menjanjikan satu harapan
Mari kita teruskan perjuangan
Tanpa menoleh ke belakang.

Abdullatip
30 Julai 2006
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


+ Saya sangat gembira dengan pertemuan yang bermakna ini.

+ Laporan penuh bengkel novel ini akan menyusul sehari dua lagi.



Saturday, July 29, 2006

AKTIVITI SAYA

AKTIVITI SAYA

Ogos ini aktiviti saya agak padat. Barangkali jarang dapat mencoret sesuatu. Namun saya berusaha agar dapat memaparkan entri baru. Setiap minggu ada agenda yang perlu diisi. Tiga daripadanya seputar agenda penulisan. Esok jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, saya berada di Hotel Sri Klawang untuk bengkel Novel. Saya diminta mengisi satu slot bersama Encik Abdul Latip Talib, Siti Jasmina Ibrahim, Sarina Mohd Sum dan FahdRazy, juga bertindak sebagai AJK pelaksana bagi program tersebut. Pada 4- 6 Ogos akan ke Port Dickson menyertai Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional. Semalam Encik Zamri Abd. Hamid (DBP) menghubungi saya kerana mahu kepastian sama ada saya dapat hadir atau tidak untuk Bengkel Novel Zon Selatan di Melaka (25-27 Ogos). Saya jawab: insya-Allah saya akan hadir. Encik Zamri tidak lupa juga berpesan agar saya membawa sinopsis novel semasa program itu nanti. Dalam ripuh-ripuh, saya terlupa menghantar sajak untuk diantologikan dalam Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional, Port Dickson. Saya tunggu respon daripada Sdr Lutfi Ishak, mana tahu jika sajak saya masih boleh diterima.

Monday, July 17, 2006

MENGENAL BIODATA IBLIS

MENGENAL BIODATA IBLIS






Nama: Iblis Laknatullah

Tarikh Lahir: Mula keengganannya sujud kepada Nabi Adam A.S.

Status Diri: Fasiq kelas pertama.

Agama: Kufur.

Tempat Tinggal: Hati-hati mereka yang lalai.

Tempat Tinggal Di Akhirat: Neraka Jahannam.

Kawasan Disukai: Tempat yang tidak diusahakan untuk mengingati Allah.

Arah Perjalanan: Tiada haluan. Bengkang-bengkok.

Isteri Di dunia: Wanita yang tidak menutup aurat.

Kaum Kerabat: Semua golongan yang menentang Islam.

Tempat Pertemuan: Pasar.

Musuh Ketat: Orang yang beriman dan bertaqwa.

Tugasan: Melalaikan orang daripada mengingati Allah, menggoda dan menyesatkan manusia.

Cita-cita: Supaya makhluk dunia menjadi kafir.

Pejabat Operasi: Tandas, bilik air dan tempat-tempat maksiat.

Rakan Kongsi: Golongan munafik dan syaitan dikalangan manusia.

Jenis Perkhidmatan: Menggalakkan manusia mengerjakan kemungkaran dan derhaka kepada Allah.

Tempoh Perkhidmatan: Hingga hari Kiamat.

Matlamat: Membawa manusia ke Neraka Jahannam.

Teman Sejawat: Orang yang suka mendiamkan diri daripada menyatakan kebenaran.

Makanan Kegemaran: Kotoran.

Yang Ditakuti: Orang yang beriman.

Yang Dibenci: Orang yang suka berzikir.

Kelemahan: Apabila orang membaca istighfar.

Alat Memerangkap Manusia: Wanita yang cantik.

Tugas yang disukai: Homoseks dan Lesbian.

Wednesday, July 12, 2006

DBP DAPAT KUASA HUKUM PIHAK CEMARKAN BAHASA

DBP DAPAT KUASA HUKUM PIHAK CEMARKAN BAHASA

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menjadi pengembang bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akhirnya diberi kuasa bertindak ke atas mana-mana pihak mencemarkan penggunaan bahasa kebangsaan itu termasuk pada papan tanda iklan.

Ketika ini, DBP hanya berfungsi sebagai organisasi mengembangkan bahasa dan sastera Melayu, tetapi tidak mempunyai kuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan berkenaan.

Sehubungan itu, Akta DBP 1959 (Pindaan 1995) akan dipinda akhir tahun ini bagi membolehkan agensi itu mendakwa semua pihak yang menggunakan bahasa kebangsaan tidak betul dari aspek tatabahasa.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim (gambar), ketika mengumumkannya semalam menegaskan, kerajaan tidak boleh lagi bertolak-ansur dengan pihak yang memandang remeh Artikel 152 Perlembagaan mengenai fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Bahasa Melayu seolah-olah tidak dihormati, apatah lagi dihayati sebagai bahasa penyatu masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Memperkasa Bahasa Kebangsaan di sini, semalam.

Mesyuarat dipengerusikan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Rais berkata, kementeriannya dan Kementerian Pelajaran sedang bekerjasama menyediakan kertas Kabinet mengenai pindaan akta itu. Akta itu dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun sebelum boleh dikuatkuasa tahun depan.

Beliau menjelaskan, pindaan akta itu bukan bertujuan mengambil alih kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab meneliti penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda iklan, sebaliknya berfungsi sebagai induk penggunaan bahasa Melayu dalam semua sektor.

"Bukan saja papan tanda iklan, malah penggunaan bahasa Melayu pada buku, media massa dan pelbagai sektor yang lain harus patuh pada akta ini," katanya.

Mengenai bentuk hukuman, Rais berkata, kedua-dua kementerian mengkaji untuk mengenakan denda yang agak tinggi bagi kesalahan itu.

Beliau juga berkata, kedua-dua kementerian akan menyediakan kertas cadangan mengenai Dasar Buku Negara yang antara lain mengkaji masalah penerbitan buku, termasuk kos kertas dan percetakan, selain mewujudkan Pekan Buku di ibu kota, bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pindaan akta itu melengkapkan usaha kedua-dua kementerian mendaulatkan bahasa Melayu dalam sektor awam dan swasta.

"Enam agensi di bawah kementerian saya digerakkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan bagi memastikan bahasa Melayu digunakan dengan betul," katanya.

Firdaus, ditemui selepas mesyuarat itu, berkata tanpa pindaan akta itu DBP hanya memberi nasihat tanpa boleh mendakwa pihak menggunakan bahasa Melayu secara salah.

"DBP seolah-olah menggigit tetapi tidak ada gigi. Dengan adanya pindaan akta ini, kami harap semua pihak akan lebih menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan berbangga menggunakannya," katanya.


Sumber: Berita Minggu.

Monday, July 10, 2006

PENULIS MUDA MENONJOL, MAPAN KONSISTEN

PENULIS MUDA MENONJOL, MAPAN KONSISTEN

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang memasuki tahun ke-21 memperlihatkan penguasaan penulis-penulis generasi baru yang mapan dan penulis baru dalam genre cerpen dan puisi.

HSKU dianjurkan oleh Kumpulan Utusan dan ditaja oleh ExxonMobil ini dianggap sebagai salah satu premis untuk menggali bakat-bakat baru dalam penulisan. Pada masa yang sama anugerah ini juga menjadi gelanggang penulis membimbing menerusi karya-karya yang dihasilkan.

Acara penyampaian hadiah HSKU akan diadakan pada 19 Julai ini di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. Hadiah-hadiah akan disampaikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Dalam kategori novel remaja misalnya, penulis baru Amer Hamzah L. Kadir (Kembara Amira) dan Abdul Latip Talib (Beraraklah Awan Pilu) membolot tempat pertama dan ketiga. Tempat kedua oleh penulis generasi baru yang prolifik, Siti Jasmina Ibrahim menerusi novel 6:20.

Tahun lalu kategori yang sama dimonopoli oleh penulis Mohd. Faisal Musa (Faisal Tehrani) yang mendapat tempat pertama dan kedua.

Selepas 20 tahun memberikan tumpuan kepada karya-karya dalam bahasa Melayu, tahun ini HSKU membuka laluan kepada karya dalam bahasa Inggeris. Laluan pertama menerusi kategori novel Inggeris.

Pemenang perintis kategori ini ialah Ti Chin Han (Fridge Horror) yang mendapat tempat pertama, Lee Su Ann (The Curse) tempat kedua dan Teoh Choon Ean (Nine Lives) tempat ketiga.

Penulis muda yang pernah muncul sebagai pemenang dalam HSKU yang lalu juga mengulangi kejayaan untuk anugerah kali ini. Antara yang memperlihatkan mutu karya yang konsisten ialah Ummi Hani Abu Hassan yang memenangi hadiah utama kategori cerpen remaja, Siti Hajar Mohd. Zaki memenangi hadiah penghargaan kategori cerpen remaja.

Berikut adalah keputusan penuh HSKU 2005:

KATEGORI NOVEL REMAJA

* Hadiah pertama (RM6,000)
Kembara Amira
(Amer Hamzah L. Kadir)

* Hadiah kedua (RM4,000)
6:20
(Siti Jasmina Ibrahim)

* Hadiah ketiga (RM3,000)
Beraraklah Awan Pilu
(Abd. Latip Talib)

KATEGORI NOVEL INGGERIS

* Hadiah pertama (RM6,000)
Fridge Horror
(Ti Chin Han)

* Hadiah kedua (RM4,000)
The Curse
(Lee Su Ann)

* Hadiah ketiga (RM3,000)
Nine Lives
(Teoh Choon Ean)

KATEGORI CERPEN REMAJA

* Hadiah Utama (RM2,500 setiap satu)
- Dia Berikan Tangannya
(Rahmat Purnama Mulya)
Mingguan Malaysia,
27 Mac 2005

- Kampung Hati Ayah
(Ummi Hani Abu Hassan)
Mingguan Malaysia,
3 Julai 2005

- Pelangi, Kami Ingin ke Sana
(Ariff Mohamad)
Mingguan Malaysia,
18 September 2005

KATEGORI CERPEN REMAJA

* Hadiah Penghargaan (RM800 setiap satu)
- Anak Gelandangan
(Mohd. Hashim Osman)
Mingguan Malaysia,
6 Februari 2005

- Cikgu Apik
(Siti Hajar Mohd. Zaki)
Utusan Melayu Mingguan,
2-8 Oktober 2005

- Gadis Bunga di Tasik Dal
(Zaharah Nawawi)
Mingguan Malaysia,
4 Disember 2005

- E-mel Seorang Lelaki
(Muhammad Lutfi Ishak)
Utusan Melayu Mingguan,
2-8 Januari 2005

- Mergastua dan Kotak Batu
(Zaharah Nawawi)
Mingguan Malaysia,
16 Januari 2005

- Rabiatul Adawiyah
(A. Ghani Abdullah)
Mingguan Malaysia,
8 Mei 2005

- Ratu Kosmetik
Mohd. Faizal Musa (Faisal Tehrani)
URTV,
15-31 Ogos 2005

KATEGORI CERPEN

* Hadiah Utama (RM2,500 setiap satu)
- Alkisah Ular... Ular & Ular
(Zainal Rashid Ahmad)
Mingguan Malaysia,
30 Januari 2005

- Hikayat Naga Gunung Cimayu
(Ghazali Lateh)
Mingguan Malaysia,
13 Mac 2005

- Psiko
(Nazel Hashim Mohamad)
Mingguan Malaysia,
24 Julai 2005

KATEGORI CERPEN

* Hadiah Penghargaan (RM800 setiap satu)
- Cerita-cerita Akhir
(Ummi Hani Abu Hassan)
Mingguan Malaysia,
9 Oktober 2005

- Kidung Akarku
Siti Salbiah Raduan (Tiras R)
Mingguan Malaysia,
10 Julai 2005

- Memaknakan Cinta
(Salina Ibrahim)
Utusan Melayu Mingguan

- Orang Berjasa
(Mohd. Affandi Hassan)
Mingguan Malaysia,
20 Mac 2005

- Osmosis
(Amaruszati Noor Rahim)
Mingguan Malaysia,
29 Mei 2005

- Pasir di Bawah Belati
Syed Mohd. Zakir Syed Othman
(S.M. Zakir)
Mingguan Malaysia,
4 September 2005

- Retorik
(Ramli Abdul Halim)
Mingguan Malaysia,
3 April 2005

KATEGORI PUISI

* Hadiah Utama (RM 1,000 setiap satu)
- Al-Andalus Menangis
Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy
(Fahd Razy)
Mingguan Malaysia,
10 Julai 2005

- Puisi Buat Umaira di Narathiwat
Wan Ahmad @ Wan Adnan Wan Daud
(Wadi Leta S.A.)
Mingguan Malaysia,
9 Oktober 2005

- Senja Terakhir di Multazam
Ali Haji Ahmad (Nora)
Utusan Melayu Mingguan,
9-15 Januari 2005

KATEGORI PUISI

* Hadiah Penghargaan (RM 500 setiap satu)
- Akar
Mohd. bin Abdullah (Hilmi Rindu)
WANITA,
Julai 2005

- Catatan Kecil buat Jiran yang Berpindah Jauh
Mohd. bin Abdullah (Hilmi Rindu)
Mingguan Malaysia,
27 Februari 2005

- Di Gerai Masa
(Nazim Mohd. Subari)
URTV,
1-15 April 2005

- Jika Ingin Mencari
(Nazim Mohd. Subari)
Mingguan Malaysia,
25 Disember 2005

- Kalau Kita Menjadi Kayu
(Abdul Rahim Idris)
Mingguan Malaysia,
27 Februari 2005

- Nafiri
Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah
(Kemala)
Mingguan Malaysia,
19 Jun 2005

- Sahabatku: Si Nadim Tak Bernama
(Zainal Rashid Ahmad)
Mingguan Malaysia,
14 Oktober 2005

KATEGORI KAJIAN & RENCANA SASTERA

* Hadiah Penghargaan - Kajian Sastera (RM 500 setiap satu)
- Rubiah dan Estetika Sastera Melayu
Sukri Mohamad Ali (Shukri Matt Ali)
Utusan Malaysia,
8 & 15 Mei 2005

- Tunggu Teduh Dulu: Citra Dakwah Islamiah Kontemporari
(Nisah Haron)
Pemikir,
Oktober-Disember 2005

* Rencana Sastera (RM500 setiap satu)
n Bina Bangsa Melalui Sastera
(Prof. Madya Dr. Noriah Taslim)
Mingguan Malaysia,
11 September 2005

- Sasterawan-Tentera: Posisi Baru Perjuangan Penulis Islam
Mohd. Faizal Musa (Faisal Tehrani)
Utusan Malaysia,
6 & 10 Jun 2005

Saturday, July 08, 2006

BENGKEL PENULISAN NOVEL

BENGKEL PENULISAN NOVEL




Majlis Kebudayaan Daerah Jelebu dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) akan mengadakan bengkel penulisan novel dan pelancaran novel karya penulis-penulis Jelebu pada ketetapan berikut:

Tarikh: 30hb Julai 2006 (Ahad)

Tempat: Hotel Sri Kuala Klawang, Jelebu.

Masa : 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Peserta: 40 orang sahaja.

Makanan dan minuman disediakan.

ATURCARA;

7.30 - 8.00 Pagi - Pendaftaran peserta

8.00 - 9.00 pagi - Majlis perasmian dan pelancaran novelkarya penulis-penulis Jelebu oleh YB Datuk Razak Mansur.

9.00 - 9.30 pagi - Kudapan

9.30 - 11.00 pagi - Bengkel 1 oleh Puan Nor Azah Abd Aziz

11.00 - 12.30 t.hari - Bengkel 2 oleh (akan diberitahu)

12.30 - 2.00 ptg - Rehat makan tengah hari dan solat zuhur.

2.00 - 4.00 ptg - Bengkel 3 oleh Puan Ainon Mohd

4.00 - 5.00 ptg - Majlis penutup dan penyampaian sijil

5.00 ptg - Bersurai/ minum petang

Sila hubungi Encik Abdul Latip Talib ditalian (017-6096714/ 06-4941331) untuk pendaftaran dan sebarang pertanyaan.

Wednesday, July 05, 2006

RAGAM MURID

RAGAM MURID





Apabila saya tiba diperkarangan sekolah setiap hari, pasti ada yang menyambut saya. Jika tidak seorang, dua orang atau tiga orang. Tidak kira lelaki atau perempuan. Salah seorang daripada mereka pasti ada. Kebiasaan yang perempuan akan memegang tangan saya. Lalu saya memimpin tangan mereka menuju ke bilik darjah. Setiap hari wajah-wajah yang berbeza akan menyambut saya. Tidak kurang juga wajah yang serupa pasti mengambil bahagian. Ini bukan pertandingan untuk menyambut seorang guru tiba ke sekolah. Ini juga bukan pertandingan yang dijalankan untuk menjadikan guru dan murid saling mesra dan berkasih sayang.

Saya sangat suka kepada kanak-kanak. Saya lebih suka mendekati dan mendidik mereka dengan kasih sayang, bukan herdikan dan tengkingan. Saya pernah melalui zaman persekolahan. Zaman kanak-kanak yang sedikit sebanyak sememangnya ada kenakalan dan kedegilan.

Apabila menjadi seorang guru, saya belajar untuk menjadi seorang yang tabah dan sabar. Bukan senang mengendalikan dan mendidik murid yang pelbagai ragam dan kerenah. Justeru, apa tujuan marah-marah. Hanya akan melelahkan diri sendiri.

Sewaktu di zaman persekolahan, saya lebih terkesan dengan didikan guru yang penyabar. Saya amat gerun dan tidak selesa jika guru marah-marah dan menengking ketika mengajar. Bagi saya, semua itu hanya akan menghilangkan kosentrasi saya terhadap apa yang diajar ketika itu.

Justeru apabila saya berada pada tempat seorang guru, saya cuba memahami perasaan seorang pelajar. Semua pelajar mahukan perhatian dan kasih sayang daripada guru-guru. Saya lebih suka menjadi ibu kepada anak-anak murid saya, dengan itu saya lebih selesa bergaul. Antara saya dan mereka tidak perlu ada jurang yang memisahkan.

Pernah pada suatu hari, seorang pelajar lelaki melengah-lengahkan kerja yang saya bekalkan di dalam bilik darjah. Saya agak geram juga kerana setiap hari dia akan buat perangai yang sama. Bila sudah tiba waktu rehat, barulah dia tergesa-gesa membuat kerja. Saat itu hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya. Akhirnya saya panggil dia ke hadapan supaya berjumpa saya. Saya ketika itu dikelilingi oleh pelajar perempuan. Berat mulut saya mahu memarahinya. Saya minta dia mendekati saya dan saya tenung matanya, lama. Dia serba salah. Sekejap memandang ke atas, sekejap memandang ke bawah, pandang ke kiri dan kanan. Dalam hati saya terbit rasa lucu melihat gelagatnya yang sebegitu. Akhirnya saya ketawa beranak-anak. Dia turut ketawa dan semua seisi kelas turut ketawa. Begitulah ragam murid-murid. Membuat hati saya sering terhibur meskipun kadangkala ada juga perkara yang membuat hati saya membengkak.

Dua hari lepas seorang pelajar baru buat hal di dalam bilik darjah. Dia pelajar lelaki. Baru seminggu bertukar sekolah. Dalam tempoh seminggu itu saya dapati dia seorang yang agak nakal juga. Suka mengusik kawan-kawan. Usikannya pula sering buat pelajar yang kena usik itu menangis.

Hinggalah pada hari tersebut seorang pelajar lelaki telah menjadi mangsa usikannya. Apa lagi, pelajar tersebut menangis dan mahu membalas pula. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan berlaku jika mereka ketika itu adalah pelajar lelaki yang berusia belasan tahun. Mujur mereka ini masih kecil. Saya tegur perbuatan pelajar yang suka mengusik itu. Pelajar yang terkena usikan juga saya tegur. Tetapi lain pula yang terjadi. Pelajar yang suka mengusik ini berkata begini " tak apa ustazah marah, saya nak balik sekarang." Aduh! Dia sudah merajuk pula. Ditegur salah tak ditegur pun salah. Akhirnya dia angkat punggung dan keluar dari bilik darjah. Ketika itu saya dapati pelajar yang lain menempelak pelajar tersebut. Kata mereka "hah! Pergilah balik, tak malu lawan cakap ustazah."

Baru seminggu bersama pelajar tersebut, saya rasa kesabaran ini benar-benar diuji. Saya biarkan dia melayan perasaannya ketika itu. Saya tahu, dia tidak akan pulang ke rumahnya. Saya teruskan pembelajaran. Saya lakukan suatu permainan menguji minda. Kemudian disusuli pula dengan permainan menguji kecekapan mendengar arahan. Semua pelajar bertepuk tangan dan gembira apabila mereka berjaya.

Rupa-rupanya permainan tersebut menarik perhatian pelajar yang suka mengusik itu. Saya lihat dia menyorok di sebalik pohon bunga kertas yang hampir dengan bilik darjah. Kemudian dia menghampiri pintu bilik darjah. Saya lihat hujung mata sahaja. Wah! Dia sudah mula ikut ketawa. Akhirnya tanpa malu dia masuk semula ke dalam bilik darjah.

Begitulah ragam murid-murid tahun satu yang saya sayangi.