Pages

Monday, July 31, 2006

PERTEMUAN

PERTEMUAN





Semalam, 30 Julai 2006 telah berlangsung Bengkel Penulisan Novel Dan Pelancaran Buku Penulis Daerah Jelebu di Hotel Sri Klawang. Bengkel tersebut telah menemukan kami ahli esastera, adik Ode, FahdRazy, Alana, Pak Latip dan saya sendiri.

Saya dan Pak Latip sudah tiba di Perkarangan Hotel Sri Klawang seawal jam 7.30 pagi. Maklum saja kami sebagai tuan rumah seharusnya tiba awal. Terima kasih kepada Pak Latip kerana sudi jadi driver saya, menjemput dan menghantar saya pulang...hehe.

Sambutan daripada peserta agak memuaskan meskipun segelintir yang berdaftar tidak dapat menghadirkan diri. Saya seperti biasa, duduk di meja pendaftaran untuk menguruskan hal-hal pendaftaran. Namun tugas saya diambil alih oleh Abang Syukri (suami Kak Nisah Haron) sekitar jam 9.00 pagi. Terima kasih kepada Abang Syukri kerana sudi membantu. Kata Abang Syukri "elok Salha masuk ke dalam dengar ceramah Puan Ainon sebab Salha penulis." Oh terharunya sebab ada orang memahami perasaan saya ketika itu yang sememangnya teringin sangat hendak mendengar ceramah Puan Ainon.

Memang sangat beruntung kepada peserta terawal kerana Puan Ainon tidak gemar menghukum mereka supaya menunggu peserta yang hadir lewat tiba. Juteru, mereka disajikan dengan pelbagai tips istimewa seputar dunia penulisan.

Sedang saya ralit mendengar ceramah Puan Ainon, tiba-tiba telefon bimbit saya bergetar. Rupa-rupanya adik Ode membuat panggilan. Katanya dia berada di hadapan Dewan Besar Kuala Klawang. Saya terus memberi panduan supaya adik Ode memandu terus ke hadapan dan lihat ke sebelah kanan. Tidak sukar mencari di mana letaknya Hotel Sri Klawang kerana kedudukannya amat stategik, di tepi jalan raya sahaja.

Saya pun menunggu adik Ode di perkarangan hotel. Tunggu-punya tunggu tidak juga saya nampak kelibat kenderaan yang dipandu oleh adik Ode.

Sebentar kemudian cik Alana yang cantik manis pula sampai. Kami sama-sama menunggu Ode. Bertuah betul adik Ode. Rupa-rupanya dia sudah beberapa ketika sampai dan menyorok dalam perut kereta Kancil hijau yang dipandunya.

Saya juga sempat memberi isyarat senyuman kepada adik FahdRazy yang tiba beberapa minit kemudian. Ketika itu saya dalam dewan seminar. Saya dan Alana duduk semeja manakala Ode dan Fahdrazy pula duduk semeja (meja sebelah kanan saya).

Selepas sesi rehat/ minum saya, FahdRazy, Puan Ainon, Cik Syikin (Editor PTS Fortuna.com) bercerita tentang pengalaman masing-masing dalam sesi forum. Forum tersebut dipengerusikan oleh Pak Latip. Sangat rancak dan respon peserta amat menggalakkan.

Dalam pertemuan itu saya, Alana, Ode, FahdRazy dan Pak Latip sempat menghasilkan sebuah sajak yang disambung-sambung oleh setiap orang antara kami dan seloka buat penghibur hati. Namun saya tidak dapat menyiarkan seloka di sini, jika anda mahu membacanya sila ke laman karya esasterawan saya.


Kabus yang menimbus
dan bukit yang tersepit di hujung
langit
tertanam di sini, dalam
rumah sukma kami.

FahdRazy
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


Puputkan pagi ukhuwwah yang paling dingin
biar akar bukitpun bisa
mengigil
dan memangggil
segenap landasan pena.

Or-there
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


Dari tubir sebuah pertemuan
Ada cebis-cebis kenangan
Mengetuk bisik insan
Menyua kasih nian kemesraan
Dalam mencari kekuatan antara kita
Satu persaudaraan
Melahir keharmonian.

Alana
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


Di atas bukit yang menghijau
kami lihat ukhuwwah yang segar
jua himpunan jemari tinta
dan perjuangan
setia bersama, di atas
landasan pena.

Syarifah Salha Syed Ahmad
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


Di sini kita bertemu
Menghimpun tekad dan semangat
Medan yang kita pilih ini
Menagih perjuangan dan pengorbanan
Menjanjikan satu harapan
Mari kita teruskan perjuangan
Tanpa menoleh ke belakang.

Abdullatip
30 Julai 2006
Hotel Sri Klawang, Jelebu.


+ Saya sangat gembira dengan pertemuan yang bermakna ini.

+ Laporan penuh bengkel novel ini akan menyusul sehari dua lagi.



No comments: