Subhanallah
Apabila saya membaca kembali tafsiran ayat suci al-Quran daripada Surah ar-Rahman ayat 19-20, menyatakan bahawa lautan tidak bergaul antara satu sama lain (tidak bercampur) akibat tekanan fizikal dari segi ketumpatan, terimbau kembali kebesaran Allah di Bumi Mesir. Suatu tempat yang dinamakan Raksu Bahr.
Mengikut sejarah yang diceritakan, Raksu Bahr adalah pertembungan antara dua laut iaitu laut masin dan tawar. Barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapa ada pula dinamakan laut tawar sedangkan air laut sememangnya masin. Saya tidak jelas mengapa dinamakan begitu. Namun jika anda melihat kepada laut tersebut akan kelihatan dua jenis warna. Jika anda berdiri ke arah utara laut tersebut, air laut disebelah timur warnaya seperti air sungai manakala disebelah barat berwarna biru tua. Kita sedia maklum air sungai yang mengalir ke muara akhirnya akan berkumpul menjadi air laut. Tetapi laut tawar yang dilihat di Raksu Bahr ini tidak pula menjadi masin setelah berkumpul di laut.
Di sini juga pernah merakam peristiwa nabi Musa membelah laut dengan tongkat. Jelas, saya dapat melihat pertembungan dua laut tersebut antara laut masin dan tawar seperti ada garis pemisah antara keduanya. Raksu Bahr juga terkenal sebagai tempat perlancongan. Rumah-rumah di kawasan berkenaan sangat unik dengan reka bentuk yang menarik dan didiami oleh golongan elit. Di sekitar pantainya juga kelihatan kulit kerang yang memutih dengan saiz yang besar hampir menyamai besar sebiji telur ayam, malah ada yang lebih besar daripada itu. Saya sempat merakam kenangan, bergambar di Raksu Bahr tetapi tidak dapat dipaparkan di sini kerana foto-foto yang berlatar belakang suasana yang cantik itu telah disimpan oleh suami saya dan saya sendiri tidak dapat mengesan di mana foto-foto itu disembunyikan. Jika terjumpa nanti akan saya paparkan di sini.
Semasa Ummu Hani dan rakan-rakanya bertandang ke rumah Ahad lalu, mereka hanya dapat menatap dua album foto-foto saya semasa berada di Bumi Mesir. Foto-foto tersebut kebanyakan berlatar belakang Piramid, Spink dan Kubu Sollahuddin al-Ayyubi. Foto-foto berlatar belakang pantai 'Ajibah, Raksu Bahr dan lain-lain telah disimpan oleh Sang Pencuri Hati, suami yang dikasihi.
+ Anda tidak perlu menyatakan bahawa diri anda tidak dapat melihat dan menyaksikan kebenaran ciptaan Allah itu atas alasan anda tidak pernah ke Mesir, sebaliknya kebenaran dan kebesaran ciptaan Allah itu ada pada diri anda. Lihat tafsiran surah al-Qiyamah ayat 4 menyatakan tentang keunikan cap jari, surah an- Najmu ayat 45-46 (penentuan jantina bayi), peringkat pembesaran bayi dalam rahim (surah az-Zumar ayat 6) dan banyak lagi boleh kita perolehi dengan membaca al-Quran dan memahami tafsirannya. Semoga saya dan para pembaca budiman mendapat manfaat daripada entri yang ditulis ini. Salam ceria daripada saya.
No comments:
Post a Comment