Ramai rakan seangkatan senasib dengan saya kerana perkahwinan jarak jauh (PJJ) menuntut kesabaran dan pengertian. Ada rakan seangkatan yang bertugas di Negeri Sembilan sedangkan suami dan anak-anak pula tinggal di Kelantan. Rakan sejawat saya yang bertugas di Negeri Sembilan misalnya baru melangsungkan perkawinan sebulan lalu, suami bekerja dan menetap di Kedah. Saya telahpun merasai pahit manis perkahwinan jarak jauh. Dua tahun saya dan suami melalui hari-hari dengan sendiri-sendiri. Peranan dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri hanya terlaksana pada hujung minggu. Hanya pada hujung minggu saya berperanan memasak dan menghidangkan makanan untuk suami. Pendek kata segala tanggungjawab sebagai isteri hanya dapat dilaksanakan pada hujung minggu sahaja. Setelah genap dua tahun usia perkahwinan, kami berbincang dan membuat keputusan untuk tinggal sebumbung. Terpaksalah kami ambil jalan tengah untuk memastikan keadilan dapat dirasai bersama. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami. Kini, suami saya tidak lagi perlu memandu sejauh 2 jam untuk bergegas ke tempat kerja. Tidak lagi perlu bangun seawal 4.30 pagi. Saya dan suami masing-masing ke tempat kerja memakan masa sekitar 30 minit. Berbanding dulu saya ke tempat kerja sekitar 10 minit. Meskipun jarak perjalanan saya ke tempat kerja bertambah, dengan jalan yang bengkang-bengkok dikelilingi bukit bukau namun saya berpuas hati atas keadilan yang kami pilih ini. Tidak adil andai saya terus membiarkan suami ke tempat kerja pada setiap pagi isnin dengan jarak perjalanan yang jauh melebihi 100 kilometer. Alhamdulillah, kami masih diberi ruang dan peluang untuk hidup sebumbung berbanding rakan-rakan dan sahabat handai yang entah bila dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Catatan setelah berpindah ke rumah baru.
Jelebu- Seremban- Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment