Pages

Monday, June 22, 2009

UTUSAN SUKMA

Pagi tadi jam 8.30 hingga 1.30 petang saya menghadiri Majlis Utusan Sukma di SMKDUMA atas undangan PEN. Terima kasih kepada Pn. Hjh. Askiah Harun (Guru Besar SKAP)kerana memberi pelepasan kepada saya bagi menghadiri majlis tersebut. Setibanya di sana saya disambut oleh Kanda Nisah Haron dengan pelukan mesra (sejujurnya sudah agak lama juga kami tidak bersua muka). Tentunya tidak lupa bersalaman dan berpelukan dengan bonda Hjh. Mahaya Mohd Yassin yang senantiasa memberi dorongan, galakan dan nasihat agar saya terusan menulis. Sangat senang sekali bersapaan dengan Datin Sabarriah Shukur (Pemangku S/U Dua PEN), Pn. Nor Azah Aziz (Editor Kanan Utusan Publication) dan Kanda Zalilah (P. Pengurus Editorial juga Jurufoto YADIM) meskipun kami jarang sekali dapat bertemu.

Sangat selesa dengan ceramah kanda Nisah yang santai sambil-sambil bernazam. Tersentuh dengan kelembutan dan pengucapan bonda Mahaya yang penyayang. Terpesona dengan tutur bicara Pak Samad yang sangat bersantun dalam berbahasa.

Sejujurnya saya sangat selesa berada dalam ruang lingkup mandala sastera. Pelawalah saya menyertai apa jua aktiviti sastera, tentunya saya sedaya upaya menghadirkan diri. Bagi saya, dunia sastera dan penulisan banyak membantu saya menjadi manusia yang berhemat dan berhikmah. Kebenaran perasaan yang saya rasai itu tidak sia-sia kerana Pak Samad juga ada berkata demikian seperti yang sempat saya petik dalam pengucapannya pagi tadi:

"Kesusasteraan boleh menghematkan dan menghikmahkan manusia."

dan

"Tidak semua orang berbahagia dengan wang. Ada orang berasa senang dengan menulis kerana hasil tulisannya itu dapat dibaca oleh semua orang."

Benar, wang bukanlah perkara yang dapat memberi kepuasan dan kebahagiaan kepada diri saya sendiri. Tetapi, jika saya dapat menghasilkan satu karya sekalipun lalu dibaca oleh khalayak, itulah yang memberi kepuasan kepada diri kerana saya dapat berkongsi ilmu dan pengalaman bersama orang lain.

Kata-kata Pak Samad yang telus dan benar itu sangat saya senangi dan kerana itu juga saya amat menggemari karya-karya beliau.

Inilah buah tangan yang sempat saya beli seusai majlis.



No comments: