20 Mac lalu saya diminta menyampaikan ceramah dengan tajuk "Dakwah Dalam Penulisan", bersempena Mesyuarat Agung PEN kali ke-34. Justeru, begini dapat saya simpulkan melalui ceramah yang telah disampaikan. Hakikatnya, ini lebih kepada perkongsian ilmu.
Definisi Dakwah
1. Definisi Dakwah Menurut Bahasa
Menurut kamus besar bahasa arab:
دعا – يدعو- دعوة
ertinya : panggilan, ajakan, seruan
Menurut kamus dewan edisi ke empat:
- Penyebaran agama Islam.
- Penyebaran ajaran sesuatu agama: ~ Islamiah penyebaran agama Islam. Berdakwah menyebarkan ajaran sesuatu agama. pendakwah orang (golongan) yg menyebarkan ajaran sesuatu agama; mubaligh.
- Kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan; golongan ~ golongan (kumpulan) yg bergiat dlm dakwah
2. Definisi Dakwah Menurut Istilah
Ulama' memberikan definisi Dakwah dengan berbagai macam definisi, antaranya:
a. Menurut Syaikh Ali Makhfudh dalam kitab “Hidayatul Mursyidin“ mendorong manusia dan menyeru mereka kepada kebajikan dan mencegah mereka dari perbuatan mungkar.
b. Menurut Syaikh Muhammad Khidr Husain dalam kitab "Al-Dakwah ila al Ishlah":
Keupayaan untuk memotivasikani orang agar berbuat baik dan mengikuti petunjuk, dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar dengan tujuan mendapatkan kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Arahan Allah berkenaan dakwah
Allah SWT menyatakan di dalam firmanNya:
“Serulah manusia ke jalan Rabb-mu (Allah) dengan jalan hikmah (hujjah) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik” (an-Nahl 125)
“Hendaklah ada sekelompok diantara kamu yang mengajak kepada Islam (al-khair), menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar. Itulah orang-orang yang beruntung” (Ali Imran 104)
Bentuk- bentuk dakwah dalam penulisan
1. Penulisan yang menjayakan nilai-nilai ketuhanan, akidah dan tauhid.
2. Memandu manusia ke arah jalan yang lurus dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang syumul.
3. Menarik manusia ke arah ketakwaan kepada Allah s.w.t. Yakni ke arah apa yang Allah redha. Mengajak manusia mentaati Allah dan meninggalkan larangan-larangan-Nya.
Oleh kerana kejahatan lebih hampir kepada nafsu dan kesukaan manusia, maka dengan itu keperluan berdakwah kepada kebaikan sangat perlu dan dituntut.
“Syurga dipagari dengan perkara yang dibenci dan neraka dipagari dengan nafsu.” (Riwayat Muslim)
Oleh kerana itu juga Allah mengutuskan para rasul pada setiap zaman untuk menyampaian didikan dan amanah bahkan untuk menyempurnakan akhlak manusia. Menjadi lumrah dalam kehidupan, manusia perlu sentiasa dipimpin. Justeru manusia memerlukan pemimpin yang baik untuk memandu ke arah jalan yang benar dan diredhai Allah.
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak (manusia)."
4. Memandu manusia ke arah mengenal hakikat Pencipta Yang Maha Agung.
5. Mengenalkan manusia kepada keagungan Allah s.w.t dan memantapkan keimanan di dalam pemikiran manusia dalam menyembah Tuhan Yang Maha Agung.
6. Membantu manusia keluar daripada kekhilafan atau kesamaran dalam menemui jalan hidup yang benar dan diredhai Allah.
Penutup
Dakwah dalam penulisan berfungsi sebagai ilmu pendidikan yang mampu membimbing dan mengasuh jiwa bangsa ke arah pembentukan akhlak yang mulia. Ungkapan-ungkapan kerohanian berteras tauhid yang memaparkan keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t dan kemuliaan sifat-sifat Rasul terulung mampu mendorong manusia ke arah mengamalkan sifat-sifat terpuji. Kesan pengamalan tersebut menjadikan masyarakat dapat bergerak dan mengatur kehidupan dengan lebih teratur dan berdisiplin. Lantaran itu, penulisan-penulisan berunsur dakwah akan dapat dihasilkan dengan berkesan sekiranya penulis-penulis mempunyai kefahaman Islam yang mendalam.
Penjelasan dalam penulisan yang benar menjadikan persoalan dan isu yang kurang difahami oleh sesetengah masyarakat kebanyakannya kini dapat disampaikan dengan jelas dan betul, malah mampu menyebarkan kefahaman yang mendalam kepada masyarakat. Justeru, penulisan berunsur Islam dapat dilihat sebagai medium dakwah yang mampu menampal kelompangan dan dapat membantu meringankan tanggungjawab para ulama' untuk mengisi lohong-lohong yang tidak terisi sepenuhnya.
Akhirnya, menulislah sesuatu yang bergerak ke arah penyucian jiwa dan menangkis kemahuan nafsu yang sentiasa menggoda manusia ke jalan yang memusnahkan nilai-nilai insan yang mulia.
+ Semoga, sama-sama beroleh manfaat.
+ Kredit foto untuk Zalila Isa.
No comments:
Post a Comment