Pages

Wednesday, August 03, 2011

Catatan tertangguh

Saya mula berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Amar Penghulu (SKAP), Jelebu pada 29 Januari 2007 sebagai guru pelatih. Tamat latihan perguruan berasaskan sekolah pada bulan Jun 2008. Pendek kata, selama satu tahun enam bulan saya adalah guru pelatih. Saya disahkan perlantikan sebagai guru pada tanggal 1. 8. 2008. Disahkan dalam perkhidmatan pada bulan April 2011. Tempoh berkhidmat di SKAP hingga kini lebih kurang empat tahun. Pelbagai pengalaman suka duka saya tempuhi sepanjang bergelar guru dalam tempoh yang singkat ini. Hingga kini, tiga orang guru besar bersilih ganti menerajui kepimpinan SKAP. Soal masa, dapat saya katakan bahawa 12 jam tertumpu di sekolah. Cuti Sabtu dan Ahad bukanlah cuti untuk saya.

Saya percaya, ramai guru-guru mengalami pengalaman begini terutama guru-guru seangkatan saya dalam program j- QAF. Bekerja lebih masa menjadi satu perkara yang biasa. Peringkat awal, saya mengalami tekanan kerja yang agak teruk. Tambahan pula suami tiada disisi. Tiada teman rapat untuk saya meluahkan segala macam masalah yang menekan jiwa. Pun begitu, alhamdulillah emak dan abah menjadi orang yang setia mendengar luahan hati saya.

Saya pernah terfikir untuk berhenti daripada berkhidmat sebagai guru. Tugasan wajib yang menjadi 'co- business' perlu dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan. Tugasan tambahan pula bertimbun-timbun. Seolah-olah tiada yang faham bebanan kerja saya. Disebabkan saya 'orang baru' dalam dunia pendidikan, pendek kata segala tugas diserahkan kepada saya. Tambahan pula kata guru-guru senior, lepasan ijazah tentu lebih mahir melakukan segala macam kerja. Aduhai, kenyataan itu hanya menjadikan saya semakin terhenyak dengan tekanan.

Pulang dari sekolah, seluruh tubuh terasa letih-letai. Tiada sebarang aktiviti tambahan dapat saya lakukan kerana otak terasa sangat tepu dan tubuh terasa lesu. Paling menyedihkan, bahkan menjadikan saya semakin tertekan apakala saya tidak berhasil mencetuskan idea-idea baru dan langsung tidak mampu berkarya kerana berkarya adalah sebahagian daripada aktiviti harian yang sepatutnya saya lakukan. Jika diceritakan tentang asam garam kehidupan sebagai pendidik, sampai bila-bilapun tidak akan habis. Pun begitu, saya redha kerana ditakdirkan menjadi pendidik. Pekerjaan ini sangat mulia. Saya mula merasai kesukaran guru-guru saya mendidik. Apakala memandang wajah-wajah anak bangsa yang dahagakan ilmu, terbit rasa simpati di hati saya. Saya mulai belajar erti sabar, cekal dan tabah. Saya cuba menjadikan pekerjaan ini satu keseronokan. Saya berdikit-dikit mempelajari dan menimba ilmu perguruan daripada guru-guru senior.

Akhirnya, percubaan-cubaan yang dilakukan menjadikan saya benar-benar sayang akan profesion ini. Niat untuk berhenti kerja terus lupus dari hati. Saya kini lebih tenang menjalani rutin sebagai seorang guru berpendidikan agama yang sentiasa diuji. Saya faham, ujian adalah anugerah untuk mematangkan diri. Kerana ujian-ujian itu saya menjadi lebih dewasa dan kini saya menjadi rujukan dalam bidang-bidang tertentu. Barangkali kerana kesungguhan bekerja dan setelah bermacam yang saya lalui, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diberikan kepada saya. Sungguh! Saya terlalu kerdil dan terlalu muda untuk menerimanya. Betapa saya terasa segan dan malu melangkah kaki naik ke pentas menerima sijil yang sangat bermakna itu. Layakkah saya menerimanya? Masih banyak perkara perlu saya pelajari dan saya akan terus belajar selagi hayat dikandung badan. Benarlah, kesusahan itu sesuai dengan kadar kesabaran seseorang dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Bagi saya, ini adalah hadiah dan anugerah daripada Allah agar saya lebih mensyukuri. Anugerah ini saya jadikan sebagai pemugar semangat untuk saya lebih dedikasi dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai pendidik.



No comments: