Rutin kerja sebagai seorang guru sangat sibuk. Tambahan pula saya seorang sahaja guru yang mengajar subjek Bahasa Arab di sekolah. Justeru, saya akan masuk ke kelas tahun satu hingga enam setiap hari berdasarkan peruntukan waktu yang ditetapkan. Disamping itu saya juga turut mengajar subjek Tilawah al-Quran Tahun satu hingga lima juga setiap hari. Jadi, dalam seminggu hanya kedapatan satu dua sahaja waktu senggang. Waktu senggang itulah memberi ruang kepada saya untuk menghela nafas. Pun begitu waktu senggang itu bukanlah waktu untuk berehat kerana itu adalah waktu untuk persediaan mengajar, kemaskini fail, buat kerja-kerja pentadbiran dan banyak kerja lain yang tidak tersebut di sini. Minggu ini pula saya ditugaskan membuat buku program untuk Majlis Malam Transformasi Gemilang SK Amar Penghulu. Memang inilah tugasan boleh dikatakan wajib dan berpencen untuk saya apabila ada majlis-majlis dan program-program di sekolah. Meskipun jadual waktu mengajar boleh dikatakan penuh, saya tidak terkecuali daripada mendapat tugasan yang berat dan memerlukan ketelitian. Tapi tak mengapa. Saya memang suka buat kerja yang melibatkan layout dan design. Mujur semasa menuntut di Universiti dahulu memang terlibat dengan kerja-kerja kepengarangan, pembikinan majalah dan penerbitan. Justeru, pengalaman sedia ada dapat dimantapkan supaya menjadi lebih pakar dalam bidang ini. Kepada penuntut-penuntut kolej atau universiti, usah menolak daripada melibatkan diri dengan kerja-kerja persatuan kerana kerja-kerja di bawah persatuan atau organisassi sangat membantu kalian untuk mengurus organisasi dan bekerja secara kolaborasi apabila terjun dalam dunia kerjaya kelak. Percayalah, jika kalian tidak ambil tahu tentang persatuan, tidak pernah mahu melibatkan diri dengan kerja-kerja berpesatuan nescaya akan terkial-kial, gelabah dan runsing apabila ditugaskan memegang sesuatu jawatan dan dimohon pula untuk menyempurnakannya. Percayalah, pengalaman adalah guru yang sangat baik untuk diri kita dan orang lain.
1 comment:
Salam...ustazah.terima kasih atas pengalaman tu..mohon izin berkongsi catatan ini
Post a Comment