Tengah hari ini saya didatangi oleh dua orang pegawai Pusat Kegiatan Guru (PKG), untuk melihat dan memantau sejauh mana pelaksanaan aktiviti Pusat Sumber Sekolah (PSS). Saya menyedari betapa kerdil dan kurangnya kemampuan diri untuk menggerakkan aktiviti PSS, memantau proses merekod buku-buku dan bahan-bahan bukan buku serta tugasan-tugasan lain yang melibatkan penggredan PSS. Sejujurnya, saya ditugaskan memegang jawatan sebagai Guru Perpustakaan dan Media (GPM)/ Penyelaras PSS dalam keadaan 'kosong' (kosong pengetahuan dan perlu memulakan kerja-kerja PSS yang terbengkalai sejak beberapa tahun lamanya) bermula tahun 2009. Apabila pertama kali menghadiri mesyuarat PSS (majoriti 'orang-orang lama') diperingkat daerah, saya tercengang-cengang. Tidak faham walau sedikitpun input-input yang disampaikan dan diperbincangkan dalam mesyuarat. Bertitik-tolak daripada ketidak fahaman itu saya menyelongkar dan menjelajahi dunia PSS secara atas talian. Tidak putus-putus bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada 'orang-orang lama'. Adakala tugasan yang berat ini menjadikan saya semacam berputus asa.
Tahun demi tahun jadual waktu mengajar bertambah dan sehingga kini saya masih diamanahkan menjawat jawatan ini. Sepanjang tempoh hampir empat tahun ini pernah saya menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan kepada guru besar. Namun kepercayaan dan keyakinan guru besar yang sangat mendalam terhadap saya telah menjadi penghalang untuk saya berbuat demikian. Bahkan guru besar juga adakala sanggup bersusah payah dan membantu meringankan kerja-kerja saya. Banyak perkara saya pelajari apabila berada dalam dunia PSS. Tidak dilupakan juga peranan dan bantuan rakan sejawat merangkap pembantu saya yang telah sama-sama bersengkang mata menjayakan dan menggerakkan aktiviti PSS. Hanya ini kemampuan yang dapat saya persembahkan kepada pihak sekolah dan PKG.
Kepada guru-guru GPM, kalian tentu lebih memahami tugasan yang digalas ini. Hanya yang pernah menjawat jawatan ini mampu merasai. Dapatkah kalian bayangkan seorang guru GPM mengajar sehingga 39 waktu seminggu? Jika kalian di tempat saya, apakah yang bakal kalian lakukan?
Kepada pegawai PKG En. Rusli dan Pn. Ayu, terima kasih kerana memahami dan memberi sokongan. Saya berazam untuk melakukan yang lebih baik daripada sekarang.
No comments:
Post a Comment