Beberapa hari yang lau, saya berada di Terengganu. Menghantar rombongan perkahwinan adik perempuan di Marang. Pelbagai perkara tampak di mata. Betapa bumi Allah ini sangat luas dan menempatkan pelbagai jenis makhluk. Betapa terbayang oleh saya bagaimanakah orang-orang terdahulu berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain hanya dengan berjalan kaki atau hanya menunggang seekor unta. Betapa para nabi dan muhadis terdahulu melalui pelbagai rintangan dan dugaan hanya semata-mata untuk menyampaikan dakwah dan mencari sepotong hadis. Oh! Teknologi kini banyak memudahkan urusan manusia. Pun begitu, banyak juga melalaikan. Segalanya bergantung kepada kebijaksanaan manusia untuk mengurus dan mengendalikan teknologi itu sendiri. Jika tersilap langkah, hanya mengundang dosa tanpa disedari. Allah yang merencana perjalanan dan ketentuan ini. Esok, saya akan ke Institut Pendidikan Guru, Kampus Raja Melewar Seremban. Bakal mengikuti Bicara Karya Penulis-Penulis Negeri Sembilan. Juga agenda utama adalah Mesyuarat Agung PEN kali ke-36. Saya akan mengemudi keseluruhan program tersebut kerana saya adalah Juruacara keseluruhan program, insya-Allah dengan izin Allah jua. Segalanya atas kehendak Allah jika Dia menginginkan sesuatu terjadi. Para pembaca, dijemput beramai-ramai hadir untuk sama-sama kita berada di bawah majlis ilmu yang sangat disukai oleh para malaikat yang bakal menebarkan sayapnya.
No comments:
Post a Comment