Pages

Wednesday, August 08, 2007

Friday, July 06, 2007

Maaf

Maaf

Maaf saya tidak dapat menyediakan entri yang panjang dan menarik buat para pengunjung. Internet di rumah buat hal. Sudah dua bulan bayar bil internet tanpa dapat menggunakannya. Sudah buat aduan tapi masih belum ada perkembangan. Saya terpaksa curi-curi masa ke cc. Banyak perkara yang tidak kesampaian untuk saya paparkan di sini. Komputer di rumah pula baru saja keluar dari wad sakit. Semua hasil kerja dan karya-karya saya tidak dapat diselamatkan. Empat buah cerpen saya yang sudah siap (belum dihantar ke mana-mana media) terhapus. Koleksi sajak juga terhapus. Barangkali ada hikmah disebalik dugaan ini. Semoga dugaan yang menghimpun ini bisa menghimpunkan kembali idea-idea dan semangat saya untuk menghasilkan karya yang matang, baik, mantap dan jitu. Juga, diharap saya lebih berwaspada agar perkara begini tidak berulang kembali, atau jika berulang sekalipun semua karya-karya saya perlu dapat diselamatkan. Sepatutnya saya perlu 'back up' karya-karya saya di tempat yang lebih selamat. Tapi nasi sudah menjadi bubur. Ini peringatan buat diri saya dan anda juga jika masih belum berbuat demikian.

Tuesday, June 12, 2007

Subhanallah

Subhanallah

Apabila saya membaca kembali tafsiran ayat suci al-Quran daripada Surah ar-Rahman ayat 19-20, menyatakan bahawa lautan tidak bergaul antara satu sama lain (tidak bercampur) akibat tekanan fizikal dari segi ketumpatan, terimbau kembali kebesaran Allah di Bumi Mesir. Suatu tempat yang dinamakan Raksu Bahr.

Mengikut sejarah yang diceritakan, Raksu Bahr adalah pertembungan antara dua laut iaitu laut masin dan tawar. Barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapa ada pula dinamakan laut tawar sedangkan air laut sememangnya masin. Saya tidak jelas mengapa dinamakan begitu. Namun jika anda melihat kepada laut tersebut akan kelihatan dua jenis warna. Jika anda berdiri ke arah utara laut tersebut, air laut disebelah timur warnaya seperti air sungai manakala disebelah barat berwarna biru tua. Kita sedia maklum air sungai yang mengalir ke muara akhirnya akan berkumpul menjadi air laut. Tetapi laut tawar yang dilihat di Raksu Bahr ini tidak pula menjadi masin setelah berkumpul di laut.

Di sini juga pernah merakam peristiwa nabi Musa membelah laut dengan tongkat. Jelas, saya dapat melihat pertembungan dua laut tersebut antara laut masin dan tawar seperti ada garis pemisah antara keduanya. Raksu Bahr juga terkenal sebagai tempat perlancongan. Rumah-rumah di kawasan berkenaan sangat unik dengan reka bentuk yang menarik dan didiami oleh golongan elit. Di sekitar pantainya juga kelihatan kulit kerang yang memutih dengan saiz yang besar hampir menyamai besar sebiji telur ayam, malah ada yang lebih besar daripada itu. Saya sempat merakam kenangan, bergambar di Raksu Bahr tetapi tidak dapat dipaparkan di sini kerana foto-foto yang berlatar belakang suasana yang cantik itu telah disimpan oleh suami saya dan saya sendiri tidak dapat mengesan di mana foto-foto itu disembunyikan. Jika terjumpa nanti akan saya paparkan di sini.

Semasa Ummu Hani dan rakan-rakanya bertandang ke rumah Ahad lalu, mereka hanya dapat menatap dua album foto-foto saya semasa berada di Bumi Mesir. Foto-foto tersebut kebanyakan berlatar belakang Piramid, Spink dan Kubu Sollahuddin al-Ayyubi. Foto-foto berlatar belakang pantai 'Ajibah, Raksu Bahr dan lain-lain telah disimpan oleh Sang Pencuri Hati, suami yang dikasihi.


+ Anda tidak perlu menyatakan bahawa diri anda tidak dapat melihat dan menyaksikan kebenaran ciptaan Allah itu atas alasan anda tidak pernah ke Mesir, sebaliknya kebenaran dan kebesaran ciptaan Allah itu ada pada diri anda. Lihat tafsiran surah al-Qiyamah ayat 4 menyatakan tentang keunikan cap jari, surah an- Najmu ayat 45-46 (penentuan jantina bayi), peringkat pembesaran bayi dalam rahim (surah az-Zumar ayat 6) dan banyak lagi boleh kita perolehi dengan membaca al-Quran dan memahami tafsirannya. Semoga saya dan para pembaca budiman mendapat manfaat daripada entri yang ditulis ini. Salam ceria daripada saya.

Thursday, April 19, 2007

Abtologi Cerpen Dan sajak

Antologi Cerpen Dan Sajak

Saya kira, ini adalah hadiah bersempena Ulang Tahun Kelahiran saya yang ke-26 tahun. Antologi Cerpen dan Sajak, "Cinta Dan Rona Kinanah (CDRK) telah terbit dan telah mula dipasarkan di Mesir pada hari ini. Ini adalah antologi cerpen saya yang ketiga telah diterbitkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. Alhamdulillah dan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam usaha menerbitkan CDRK.

Antologi cerpen dan sajak ini turut menghimpunkan penulis-penulis Malaysia Timur Tengah seperti Amiza Khusyri, A. Ubaidillah, Asyrafdini, dan Nuralana.

Sekilas Bicara CDRK

Antologi Cinta dan Rona Kinanah, sebuah antologi cerpen dan sajak yang menghimpunkan 16 cerpen dan 10 sajak daripada sejumlah 15 penulis daripada Universiti Al-Azhar Mesir, Universiti Mu'tah Jordan dan Universiti of Jordan, THK, Jordan. Sebanyak 9 cerpen telah berjaya menembusi surat khabar dan majalah tanah air, manakala selebihnya adalah karya segar yang terpilih. Antologi ini mengungkap pelbagai tema dan persoalan dan ditulis oleh sekelompok penulis dengan latar belakang pengajian agama.

Dipasarkan di Mesir, Jordan dan Malaysia.

Harga Mesir - LE 6
Harga Malaysia - RM6 (tidak termasuk kos penghantaran) / RM 11 (termasuk penghantaran)
Harga Jordan - hubungi= asyraffdini@yahoo.com
untuk makluman harga.

Penjualan di Mesir sudah bermula sekarang, di Jordan sebaik saja antologi ini tiba ke sana, dan di Malaysia mulai akhir Julai, berdasarkan tempahan. Pembeli di Malaysia perlu membuat tempahan awal supaya stok mencukupi.

Untuk maklumat lanjut, layari

Kata-Kata Blurb

"Karya mereka rata-ratanya intim dengan isu semasa dan antarabangsa, berlatarkan dalam dan luar negara, ketara terpelihara moralnya, sarat dengan dakwah menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, dan pastinya berdenyut selari dengan nafas Islami. Antologi cerpen dan puisi ini adalah bukti kebangkitan para penulis berpendidikan Timur Tengah."
- Zaid Akhtar –

"...karya penulis berpendidikan Timur Tengah lebih rencam, murni, kaya dengan unsur tauhid dan dakwah. Kehadiran mereka amat dialu-alukan agar dapat memperkasa sastera Islam."
- Norizan Muslim, Editor Tunas Cipta –

"Saya tidak menjanjikan anda akan santai menelaah 16 cerpen dan 10 puisi ini atau tidak juga mudah mengimbas hasil tukangan 15 penulis seperti yang sering anda ulangi apabila membelek helaian novel popular atau selayang pandang membaca puisi cinta di majalah hiburan."
- Mohd Nazmi Yaakub, Pengantar


"Kebangkitan penulis-penulis ini perlu didakap, diberi perhatian dan diterima dengan lapang dada oleh semua pihak."
- Amiza Khusyri Yusof, Penyusun I –

"Kita berharap gelombang kebangkitan penulis Timur Tengah akan semakin gagah, sekaligus mempamerkan kesannya. Dengan sedikit kerendahan hati, barangkali, antologi ini, Antologi Cinta dan Rona Kinanah, adalah antara langkah-langkah pertama menuju ke arah itu."
- Mohd Zaki M.Noor, Penyusun II -

Thursday, April 05, 2007

Hati Penulis

Hati Penulis


Jika dalam hati tertanam semangat kepengarangan dan penulisan, sukar sesiapa membunuhnya. Kekangan bukan halangan dan sepi bukan mati. Sedang mencari jalan untuk memecahkan tembok penulisan. Semoga karya yang bakal lahir bisa meruntun jiwa insani.