Pages

Tuesday, November 01, 2011

al- Fatihah

Kembali guru tercinta ke pangkuan Ilahi pada 31 Oktober 2011, Ustazah Khairah bt Hariz. Semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.



Ketika saya mengalami masalah pembelajaran tatkala hampir menduduki SPM, beliau mendatangi saya lalu bertanya masalah yang sedang saya hadapi. Setelah menceritakan kesukaran saya untuk menelaah kitab-kitab di kelas kerana suasana yang kurang enak maka beliau menempatkan saya di pondok bacaan sambil ditemani seorang sahabat. Beliau sangat ingin melihat saya berjaya dalam SPM. Begitu banyak kata-kata peransang dan harapan yang beliau curahkan kepada saya. Berkat keprihatinan beliau yang sungguh-sungguh ingin melihat saya berjaya, saya beroleh pangkat 1. Beliau juga menasihati saya supaya menyambung pengajian di Universiti al- Azhar, Mesir. Melihat ketokohan beliau yang mahir berbahasa Arab serta berilmu tinggi, saya berazam untuk menjadi seorang manusia berilmu sepertinya dan memasang tekad untuk ke al- Azhar. Terima kasih, ustazah. Jasamu kukenang sentiasa.

Thursday, October 20, 2011

Kursus KSSR

Aktiviti :Kursus Pendedahan Kurikulum Standard Sekolah Rendah Bagi Mata Pelajaran Bahasa Arab Tahun Dua Daerah Jelebu.

Tempat : PKG Kuala Klawang

Tarikh : 3 hingga 7 Oktober 2011

Masa : 8.00 pagi hingga 5.00 petang








Kredit foto: lujnahbans

Friday, September 02, 2011

Menjelang Aidilfitri

Saya didatangi dugaan kesihatan yang merosot dengan kesakitan yang tidak tertanggung. Kini beransur pulih. Mohon maaf zahir dan batin andai ada tulisan, nasihat atau teguran yang menyinggung perasaan. Semoga Ramadhan sudi hadir untuk tahun hadapan. Salam Syawal.

Wednesday, August 03, 2011

Catatan tertangguh

Saya mula berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Amar Penghulu (SKAP), Jelebu pada 29 Januari 2007 sebagai guru pelatih. Tamat latihan perguruan berasaskan sekolah pada bulan Jun 2008. Pendek kata, selama satu tahun enam bulan saya adalah guru pelatih. Saya disahkan perlantikan sebagai guru pada tanggal 1. 8. 2008. Disahkan dalam perkhidmatan pada bulan April 2011. Tempoh berkhidmat di SKAP hingga kini lebih kurang empat tahun. Pelbagai pengalaman suka duka saya tempuhi sepanjang bergelar guru dalam tempoh yang singkat ini. Hingga kini, tiga orang guru besar bersilih ganti menerajui kepimpinan SKAP. Soal masa, dapat saya katakan bahawa 12 jam tertumpu di sekolah. Cuti Sabtu dan Ahad bukanlah cuti untuk saya.

Saya percaya, ramai guru-guru mengalami pengalaman begini terutama guru-guru seangkatan saya dalam program j- QAF. Bekerja lebih masa menjadi satu perkara yang biasa. Peringkat awal, saya mengalami tekanan kerja yang agak teruk. Tambahan pula suami tiada disisi. Tiada teman rapat untuk saya meluahkan segala macam masalah yang menekan jiwa. Pun begitu, alhamdulillah emak dan abah menjadi orang yang setia mendengar luahan hati saya.

Saya pernah terfikir untuk berhenti daripada berkhidmat sebagai guru. Tugasan wajib yang menjadi 'co- business' perlu dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan. Tugasan tambahan pula bertimbun-timbun. Seolah-olah tiada yang faham bebanan kerja saya. Disebabkan saya 'orang baru' dalam dunia pendidikan, pendek kata segala tugas diserahkan kepada saya. Tambahan pula kata guru-guru senior, lepasan ijazah tentu lebih mahir melakukan segala macam kerja. Aduhai, kenyataan itu hanya menjadikan saya semakin terhenyak dengan tekanan.

Pulang dari sekolah, seluruh tubuh terasa letih-letai. Tiada sebarang aktiviti tambahan dapat saya lakukan kerana otak terasa sangat tepu dan tubuh terasa lesu. Paling menyedihkan, bahkan menjadikan saya semakin tertekan apakala saya tidak berhasil mencetuskan idea-idea baru dan langsung tidak mampu berkarya kerana berkarya adalah sebahagian daripada aktiviti harian yang sepatutnya saya lakukan. Jika diceritakan tentang asam garam kehidupan sebagai pendidik, sampai bila-bilapun tidak akan habis. Pun begitu, saya redha kerana ditakdirkan menjadi pendidik. Pekerjaan ini sangat mulia. Saya mula merasai kesukaran guru-guru saya mendidik. Apakala memandang wajah-wajah anak bangsa yang dahagakan ilmu, terbit rasa simpati di hati saya. Saya mulai belajar erti sabar, cekal dan tabah. Saya cuba menjadikan pekerjaan ini satu keseronokan. Saya berdikit-dikit mempelajari dan menimba ilmu perguruan daripada guru-guru senior.

Akhirnya, percubaan-cubaan yang dilakukan menjadikan saya benar-benar sayang akan profesion ini. Niat untuk berhenti kerja terus lupus dari hati. Saya kini lebih tenang menjalani rutin sebagai seorang guru berpendidikan agama yang sentiasa diuji. Saya faham, ujian adalah anugerah untuk mematangkan diri. Kerana ujian-ujian itu saya menjadi lebih dewasa dan kini saya menjadi rujukan dalam bidang-bidang tertentu. Barangkali kerana kesungguhan bekerja dan setelah bermacam yang saya lalui, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diberikan kepada saya. Sungguh! Saya terlalu kerdil dan terlalu muda untuk menerimanya. Betapa saya terasa segan dan malu melangkah kaki naik ke pentas menerima sijil yang sangat bermakna itu. Layakkah saya menerimanya? Masih banyak perkara perlu saya pelajari dan saya akan terus belajar selagi hayat dikandung badan. Benarlah, kesusahan itu sesuai dengan kadar kesabaran seseorang dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Bagi saya, ini adalah hadiah dan anugerah daripada Allah agar saya lebih mensyukuri. Anugerah ini saya jadikan sebagai pemugar semangat untuk saya lebih dedikasi dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai pendidik.



Saturday, July 16, 2011

Apa Pendapat Anda?

Tatkala membaca kumpulan puisi Pak Samad: Suara Dari Dinding Dewan, ada semangat yang kembali pulih. Demikian, salah satu cara untuk saya meminjam semangat atau mengembalikan semangat untuk menulis. Malah lebih kepada untuk mencetuskan idea. Apabila banyak membaca, tidak kira apa genre sekalipun, idea akan datang. Jika kurang membaca, idea sama sekali sukar untuk dicetuskan. Apabila idea sudah ada, proses penulisan tidak juga dapat diteruskan. Satu perkara yang sukar untuk diperolehi; ilham. Ya, bagi saya ilham itu kurniaan Allah. Jika tiada ilham, bagaimana boleh saya menumpahkan idea menjadi sebuah karya. Menulis bukan kerja yang mudah. Banyak proses perlu dilalui. Tetapi, jika kerap menulis segala proses menulis akan terasa sangat mudah dilakukan. Begitu juga dengan ilham. Saya pernah melalui fasa senang dan sukar untuk menulis. Yang menjadikan proses menulis itu satu kesenangan dan kesukaran adalah kerana ilham. Jika ada ilham tulislah apa sahaja. Pasti akan terasa mudah.

Saya melalui fasa senang untuk menulis pada tahun 2005. Pendek kata, ilham menulis datang mencurah-curah. Letak saja jemari pada papan kekunci, bermacam-macam ayat dapat ditulis. Setiap bulan ada saja karya yang tersiar di akhbar mahupun majalah. Tidak kira dalam apa situasi pun, pasti ada saja ilham tercetus sehingga saya tidak senang duduk jika tidak menulis. Saya menganalisis sendiri, mungkinkah semangat menulis yang tidak henti-henti itu menjadikan ilham sentiasa tercetus, bertali arus dan berantaian? Atau mungkinkah semangat menulis sebagai 'orang' baru' dalam dunia penulisan yang ghairah menembusi akhbar dan majalah yang menjadikan ilham datang tidak putus-putus? Mengapa sekarang saya sukar sekali untuk menulis walaupun banyak membaca?

Tiada sebarang dapatan terhadap analisis yang saya lakukan. Hanya menemukan andaian-andaian berikut:

1. Barangkali semasa mula-mula berkarya, semangat menulis berkobar-kobar kerana mahu menembusi akhbar dan majalah.- sekarang semangat menulis semakin surut kerana apa yang dicita sudah dapat.

2. Dahulu menulis kerana mahu bersaing dengan rakan-rakan penulis, kerana itu banyak karya dapat dihasilkan.- Sekarang tiada rasa untuk bersaing kerana hubungan dengan rakan-rakan penulis semakin jauh. Masing-masing sibuk dengan hal dan tanggungjawab sendiri.

3. Dahulu sangat kerap menulis, boleh dikatakan setiap hari, jadi sebab itulah ilham sentiasa menjelma- Sekarang jarang-jarang menulis (sebulan sekalipun belum tentu) sebab itu ilham sukar hadir. Kalau hadirpun terputus-putus sebab aktiviti menulispun asyik terputus-putus.

4. Masa hangat menulis dahulu, status diri masih solo (bergelar pelajar), tanggungjawab tak banyak sekadar makan, tidur, baca buku sebab itu banyak masa untuk menulis. - Sekarang status diri berkahwin, banyak tanggungjawab. Jaga anaklah, jaga suamilah, memasaklah, basuh kainlah dan bla,bla, bla.

5. Masa belajar dahulu tak banyak tekanan, sekadar tekanan untuk berhadapan dengan perperiksaaan sahaja.- Sekarang banyak tekanan. Antaranya tekanan sebagai guru. Banyak tugasan di sekolah. Perlu siapkan laporan prestasi muridlah, buat program itulah, inilah, kursuslah, mesyuaratlah, tugasan pentadbiran pun cikgu kena buat juga, sentiasa perlu kemaskini fail murid, fail guru. Perlu buat soalan peperiksaan bulananlah, pertengahan dan akhir tahunlah. Ujian PKSR lah. Tugasan sampingan pun perlu diambil kira. Jawatan sebagai S/U, jurulatihlah, penyelaraslah dan bla,bla,bla. Semunya terpundak atas bahu. Bila pulang ke rumah, badan letih letai. Kena layan anak dan suami pula. Alamatnya tiadalah aktiviti menulis dapat dijalankan.

6. Ini analisis terakhir. Dahulu saya rajin menulis. Ketepi semua lasan. Sekarang saya malas. Sebab itu banyak alasan.


Apa pendapat anda sebagai seorang penulis dan pembaca? Adakah anda pernah melalui fasa kesukaran ini?

Saya tolong jawabkan bagi pihak:

1. Nisah Haron= Itu semua alasan (sebab kanda Nisah selalu pesan jangan cari alasan untuk tidak menulis).


Tuesday, June 14, 2011

Petanda kiamat dan kedatangan Imam Mahdi

Antara petanda kiamat dan kedatangan Imam Mahdi:

1. Sabda Rasullulah s.a.w:

"Akan ada dua gerhana di bulan Ramadhan sebelum kedatangan Al-Mahdi."

(Ibnu Hajar Al-Haytami).







2. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Dan tinggalkanlah manusia-manusia yg buruk, yg seenaknya melakukan ZINA seperti himar(keldai), maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang."

(sahih Muslim).

3. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku 'al-Harj'. Sahabat bertanya, "Apakah al-Hajr itu wahai Rasulallah"? Rasulullah .sa.w menjawab, "Peperangan demi peperangan demi peperangan".

(H.R Ibnu Majah)

Monday, May 16, 2011

Guru Dan Tugas

Guru bukan sekadar mengajar anak bangsa mengenal A, B, C, malah tugas guru lebih berat daripada itu. Mengajar anak murid daripada seorang yang buta huruf kepada orang yang bijak pandai, memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Bertambah berat amanah sebagai guru adalah mendidik jiwa dan akhlak anak bangsa. Seringkali guru dipersalahkan kerana keruntuhan akhlak remaja dewasa ini berpunca daripada sekolah dan sikap tidak prihatin guru-guru. Ibu-bapa seringkali menyalahkan guru-guru apabila mendapati perilaku anak-anak mereka nakal dan sukar dikawal. Jika anak-anak mereka gagal di dalam peperiksaan atau lemah dalam pelajaran, ibu-bapa akan menyalahkan guru-guru. Ada segelintir daripada mereka tanpa segan silu menyalahkan guru dengan berkata, "apalah yang cikgu-cikgu buat di sekolah. Tak mengajarkah?" Tetapi apabila anak-anak cemerlang dalam pelajaran dan peperiksaan khususnya, ibu-bapa dan anak-anak itu sendiri dengan bangga berkata, "kejayaan ini adalah atas hasil usaha saya sendiri dan dorongan daripada ibu-bapa" dan "anak kami seorang yang tekun belajar dan kami sentiasa memantau dan memberi sokongan kepadanya hingga inilah hasilnya." Oh! Mudahnya menidakkan jasa guru. Sepatutnya, pelajar dan ibu-bapa harus faham bahawa guru adalah pemudah cara, bukan semua tugas terpundak dibahu guru. Tetapi kini, guru bukan pemudah cara sebaliknya gurulah yang menguruskan segala-galanya. Guru bersengkang mata, tidak tidur malam dikala pelajar dan ibu-bapa lena dan cendera tidur dek kerana merancang sesuatu program untuk pembangunan sahsiah dan akhlak pelajar jua kecemerlangan mereka. Guru juga bersengkang mata membuat data dan analisis untuk mengenalpasti punca kemerosotan pembelajaran dan akhlak pelajar. Bahkan guru jua yang mencari ubat dan penawar untuk segala macam penyakit akhlak pelajar. Guru juga bertindak sebagai pembantu tadbir yang tidak diiktiraf dalam menguruskan segala hal berkaitan surat-menyurat, mengemaskini sistem pengurusan fail dan kewangan pelajar. Tugas guru bertimbun-timbun. Meskipun ada orang kata senang menjadi guru kerana banyak cuti hakikatnya guru tidak pernah bercuti. Tugas guru 24 jam.

Meski apa pun yang orang kata tentang guru, saya gembira kerana terpilih menjadi guru. Saya tahu, hanya insan tertentu dan cukup istimewa sahaja dipilih menjadi guru. Paling penting, mandat sebagai guru ini bukanlah datang daripada KPM, tetapi daripada Allah S.W.T. Harapan saya, jika anda bukan guru, cubalah fahami tugas dan tanggungjawab guru. Janganlah memperkecilkan insan bergelar guru. Tanpa guru, anda kini tidak menjadi peguam, doktor, perdana menteri atau segala macam pekerjaan dan pangkat yang anda sandang kini. Belajarlah menghargai jasa guru. Meskipun guru pernah membuat silap dan salah, apakah tidak ada langsung jasa guru yang bisa melembutkan hatimu dan untuk dikenang.

Kepada guru-guruku, jasamu tidak pernah luput daripada ingatanku. Berbahagialah guru-guruku. Kepada guru-guruku yang telah kembali menemui Ilahi, semoga roh kalian dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Selamat Hari Guru! Sesungguhnya, Hari Guru untuk guru-guruku bukanlah pada tanggal 16 Mei setiap tahun, bahkan Hari Guru untuk guru-guruku adalah setiap hari kerana kalian sentiasa di hati.