Pages

Friday, May 24, 2013

Emas: Mulakan Langkah Pertama

Dalam semua aspek kita diingatkan supaya berpegang kepada dua perkara iaitu al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Pada zaman nabi, emas dan perak dijadikan sebagai matawang untuk sistem jual beli. Oleh kerana itu, pada zaman nabi harga seekor kambing adalah dengan nilai 1 dinar. Setelah 1400 tahun berlalu, emas tetap bernilai malah tiada matawang fiat yang dapat menandingi kehebatan emas. Untuk pengetahuan, sehingga Januari 2013 Amerika Syarikat adalah negara nombor satu yang menyimpan harta rizab emas paling tinggi sebanyak 8133.5 tan emas = 76.3%. Manakala Malaysia adalah negara ke 50 dengan jumlah rizab 36.4 tan emas = 1.5% (alahai, sikit sahaja). 

Sumber: Word Gold Council

Justeru, membuat pilihan yang bijak akan membawa hasil yang menyenangkan hati. Saya telah melakukannya, kalian bagaimana?

Kelebihan membeli emas di Public Gold (PG):

1. Tiada kos upah kerana PG adalah sebuah syarikat (tempatan) pengeluar emas (kilang melebur dan menempa sendiri).
2. Nilai susut yang rendah serendah 4.5% mengikut jenis emas. Berbanding kedai emas nilai susut sekitar 20%-45%.
3. Beroperasi 24 jam secara online, jadi boleh membuat belian pada masa yang anda suka.
4. Harga emas semasa mengikut harga emas dunia, berubah setiap 20 minit. Justeru boleh pantau harga emas di laman web Public Gold. 
5. Harga jualan jauh lebih rendah dan harga belian jauh lebih tinggi dari kedai-kedai emas kerana tidak terikat dengan harga Persatuan Peniaga Barang Kemas Malaysia (FGJAM).
6. Beli emas dapat emas. Tak perlu risau, hatta anda membeli emas dengan nilai 1 juta sekalipun maka kuantiti emas yang anda perolehi bertepatan dengan nilai 1 juta.
7. Bukan syarikat yang menawarkan skim pelaburan cepat kaya. Tetapi PG adalah syarikat pengeluar dan penjual emas.
8. Harga jualan dan harga belian dipaparkan sebelah-menyebelah. Di kedai emas, hanya harga jualan dipaparkan dan harga belian tidak dipaparkan. Jika dipaparkan nescaya anda akan terkejut dan tidak mahu beli emas.
9. Mempunyai 17 cawangan di seluruh Malaysia. Justeru, jika membuat belian anda boleh pilih mahu ambil barang di cawangan yang anda suka. 
10. Boleh jual semula emas yang anda beli di PG walaupun emas bercalar, tergores, bengkok atau kemek.
11. Stok sentiasa ada kerana PG ada kilang emas sendiri.
12. Mempunyai pengedar diseluruh Malaysia justeru memudahkan urusan pembelian.

Kita diberi pilihan untuk membuat pilihan. Manusia yang bijak akan memilih dan membeli barang yang bernilai untuk selama-lamanya dan tidak akan luput walau seribu tahun sekalipun.

Fakta tentang emas disebut pada 12 tempat dalam al-Quran. Justeru, emas bukan sekadar bernilai di dunia, malah di akhirat.

Usah bertangguh. Mulakan langkah pertama yang bijak. Layari Public Gold Marketing Sdn.Bhd.

Syarifah Salha Syed Ahmad
PG032141
Your Introducer.


+ Jika berminat membeli emas, hubungi saya di talian 0126687355.

Friday, April 19, 2013

Ke Arah Jiwa Murabbi






Akhir-akhir ini terlihat banyak perkara perlu saya baiki. Saya mahu lebih akrab dengan Allah. Memperbaiki kelemahan yang sedia ada sangat dituntut. Adakala urusan dunia banyak melalaikan daripada mengingati Allah. Ada saja gangguan tertentu yang dijadikan alasan untuk mengetepikan ibadah-ibadah sunat. Sedangkan ibadah-ibadah sunnat berfungsi menutup kelompangan ibadah-ibadah wajib.  Justeru, saya berazam untuk lebih memperbanyakkan nilai tambah khatam al-Quran. Azam ini juga saya kongsikan bersama. 

Tips Khatam al-Quran setiap tiga bulan sekali:

1. Pastikan sepuluh juzuk al-Quran dibaca dalam tempoh satu bulan.
2. Setiap satu juzuk mengandungi 20 muka surat.
3. Bahagikan bacaan paling kurang 1 muka setengah, lagi baik dua muka surat setiap kali selepas solat fardu setiap hari.
4. Bermaksud, lima kali solat  sehari bersamaan 10 muka surat.
5. 10 muka surat darab 20 hari= 10 x 20= 200 muka surat.
6. Dalam tempoh 20 hari sudah boleh khatam 10 juzuk.
7. Bagi kaum hawa, baki 10 hari dari 30 hari sebulan boleh dihabiskan dengan membaca baki ayat yang masih belum di baca.
8. Pendek kata, setiap kali selepas solat fardu boleh saja membaca 2 muka surat atau lebih. Maklum saja, bagi yang bekerja mungkin sukar melaksanakan di tempat kerja.
9. Justeru, jika satu bulan boleh membaca 10 juzuk maka dalam tempoh tiga bulan tentu boleh khatam 30 juzuk. Malah, tak sampai tiga bulan mampu khatam 30 juzuk.
10. Jika dapat melakukan lebih baik daripada ini, alhamdulillah.

+ Meningkatnya usia saya pada hari ini diharap dapat terus melaksanakan azam ini.

Semoga sama-sama melaksanakan dan sama-sama beroleh manfaat.






Wednesday, March 13, 2013

Kerja Tangan, Anugerah Allah

Antara minat saya, ini sebahagiannya. Hasil kreatif yang tidak pernah saya pelajari dalam mana-mana kelas kraftangan sekalipun. Tidak pernah mendapat bimbingan khusus atau secara formal. Apa sahaja yang terlintas dalam kepala, asalkan yang elok-elok inilah hasilnya. Namun begitu, kesukaan membaca majalah-majalah dan laman sesawang yang memberikan tips dan informasi dalam kerja-kerja tangan seperti ini, sangat membantu untuk menghasilkan sesuatu yang memberi kepuasan kepada diri sendiri dan orang lain.




Thursday, February 21, 2013

Cermin Muslim Beriman


Seorang Muslim yang benar-benar beriman, jelas terpancar pada raut wajah dan setiap perlakuannya segala kejernihan dan ketenangan. Tutur katanya mengandungi hikmah dan dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang mendengarnya. Bual bicaranya sangat sopan dan tidak pula menyakiti hati orang lain. Dia juga sentiasa berasa cukup dengan apa yang dimilikinya. Ini boleh dilihat melalui kesederhanaan hidupnya. Tidak berlebih-lebihan sama ada dari sudut percakapan atau harta benda. Dia juga sentiasa menghormati orang lain. Bahkan sering merendah diri dan tidak pula mencari-cari kesalahan orang lain. Malah, memelihara dan menutupi keaiban saudara semuslimnya dengan tidak bercerita dan menghebahkan kepada pengetahuan umum. 


Sabda Rasulullah S.A.W apabila ditanya oleh seorang sahabat siapakah individu Muslim yang paling baik lantas Baginda menjawab,
“Individu Muslim yang baik ialah orang lain akan merasai selamat daripada kejahatan lidahnya dan tangannya.”
(Riwayat Muslim)

Dalam riwayat at-Tabrani pula, Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah S.A.W,
“Wahai Rasulullah, apakah perbuatan atau amalan yang paling afdal?”
Lantas Baginda menjawab antaranya ialah,
“Orang Muslim lain merasai selamat, aman dan tenteram daripada kejahatan lidah engkau.”

Semoga kita sama-sama beramal dengan akhlak seorang Muslim seperti yang dianjurkan oleh Islam. 

Saturday, February 16, 2013

Perjalanan

Beberapa hari yang lau, saya berada di Terengganu. Menghantar rombongan perkahwinan adik perempuan di Marang. Pelbagai perkara tampak di mata. Betapa bumi Allah ini sangat luas dan menempatkan pelbagai jenis makhluk. Betapa terbayang oleh saya bagaimanakah orang-orang terdahulu berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain hanya dengan berjalan kaki atau hanya menunggang seekor unta. Betapa para nabi dan muhadis terdahulu melalui pelbagai rintangan dan dugaan hanya semata-mata untuk menyampaikan dakwah dan mencari sepotong hadis. Oh! Teknologi kini banyak memudahkan urusan manusia. Pun begitu, banyak juga melalaikan. Segalanya bergantung kepada kebijaksanaan manusia untuk mengurus dan mengendalikan teknologi itu sendiri. Jika tersilap langkah, hanya mengundang dosa tanpa disedari. Allah yang merencana perjalanan dan ketentuan ini. Esok, saya akan ke Institut Pendidikan Guru, Kampus Raja Melewar Seremban. Bakal mengikuti Bicara Karya Penulis-Penulis Negeri Sembilan. Juga agenda utama adalah Mesyuarat Agung PEN kali ke-36. Saya akan mengemudi keseluruhan program tersebut kerana saya adalah Juruacara keseluruhan program, insya-Allah dengan izin Allah jua. Segalanya atas kehendak Allah jika Dia menginginkan sesuatu terjadi. Para pembaca, dijemput beramai-ramai hadir untuk sama-sama kita berada di bawah majlis ilmu yang sangat disukai oleh para malaikat yang bakal menebarkan sayapnya.
 
 
 

Tuesday, January 08, 2013

Kenangan 2012


Beberapa peristiwa penting sempat jua dirakam sepanjang tahun 2012. Pun begitu, tidak semua dapat diabadikan dalam blog ini. Antara yang terpenting adalah walimatulurus adik perempuan saya Syarifah Aminah bt Syed Ahmad dengan pasangannya Muhammad Zulazmi bin Abdul Hamid. Kanda di sini mendoakan agar jodohmu kekal bahagia menuju ke syurga.

Mengapa pula majlis tersebut sangat bermakna buat saya dan keluarga? Bukan sekadar menerima kedatangan orang baru dalam keluarga kami, tetapi majlis tersebut dikendalikan dan diuruskan oleh saya sedari awal. Terima kasih kepada emak dan abah kerana menyerahkan seluruh kepercayaan kepada saya dan suami untuk menguruskan walimah tersebut. Bahkan, yang menggembirakan itu adalah apabila orang-orang kampung dapat dikumpulkan, sama-sama bergotong royong memasak sejak Khamis (13/12/12) hingga Ahad (15/12/12). Terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara-mara dan masyarakat kampung Chenor, Jelebu atas sokongan dan kerjasama yang diberikan. Selepasa ini, tidak tahu bila pula akan mengadakan majlis walimah kerana tiga orang adik yang belum berkahwin adalah lelaki. Juga tidak pasti adakah masyarakat kampung sanggup bergotong-royong atau tidak memandangkan generasi yang kuat azam dan semangat kerjasama untuk memasak adalah golongan yang sudah berusia. Generasi muda kampung setakad ini belum mewarisi kepakaran memasak seperti generasi tua hari ini.

Penutup tirai 2012 kami memilih pusat percutian Bukit Fraser sebagai tempat untuk melepaskan lelah dan penat setelah berhempas pulas beberapa bulan untuk persediaan walimatulurus. Diharap 2013 ini kami dikurniakan rezeki yang melimpah ruah, diberi kesihatan dan dipelihara keselamatan dan dilipat gandakan amalan dan kebajikan.


 Bunga telur buatan tangan sendiri.
 Sebahagian drpd dua ratus kuntum yang dibuat.
 Jika berkenan dan nak buat tempahan, silakan.
Hasil yang telah siap. Empat pahar kesemuanya. Dua lagi tidak dapat dipaparkan.
 Bunga pasu ini juga digubah sendiri.
Bunga hiasan atas katil turut mendapat sentuhan kreatif saya.
Sebahagian drpd 13 dulang hantaran yang telah siap. Juga gubahan tangan sendiri.
 Dekorasi ilham saya. Tabir berlangsir juga dijahit sendiri.
 Gabungan warna hijau dan silver.
 Proses membungkus telur rebus.
 Sahabat saya, Siti Aisyah yang rajin membantu.
 Gotong-royong memasak.
Daging masak apa ya? Saya dah lupa.
Foto sebelum akad nikah, 14 Disember 2012.
 Syarifah Aminah dan Muhammad Zulazmi
Foto di Bukit Fraser.
Percubaan memanah yang tidak kurang hebat. Tak sangka pandai pula memanah.

In syaa Allah, entri akan datang bakal memaparkan beberapa foto terpilih. Jumpa dilain hari!

Saturday, November 24, 2012

Bertemu Kembali

Lama sungguh saya tidak berkesempatan mengemaskini entri blog ini. Selepas Ogos sangat sibuk dengan aktiviti sekolah. Kini, tugas guru bukan sahaja mengajar, namun serba-serbi perlu dilakukan. Pengisian markah imtihan bukan sekadar secara manual bahkan online. Ditambah pula dengan tugas-tugas pentadbiran. Saya ada menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai GPM, namun ditolak. Justeru saya bawakan perkara ini dalam mensyuarat guru sebelum cuti persekolahan yang lalu. Saya mohon kepada guru besar dan GPK 1 agar mempertimbangkan jawatan GPM. Sama ada melantik guru lain sebagai GPM atau mohon dikurangkan minit mengajar. Tidak terurus oleh saya kerana minit mengajar 41 waktu seminggu. Saya kira, guru besar perlu menggunakan kuasa veto untuk menyelesaikan masalah ini. Ini sampai kepada tahap saya sangat tidak mampu menjawat jawatan GPM. Namun pelbagai alasan diberikan oleh guru besar dan hanya seorang guru sahaja yang sanggup mengambil alih tugas saya, pun bersyarat. Mendengar syarat itu guru besar terus membuat keputusan jawatan GPM dikekalkan kepada saya. Sungguh! Saya kira ini tidak wajar. Walau bagaimanapun, saya cuba-cuba memujuk GPK 1 supaya dapat berbincang semula dengan guru besar. Tunggu dan lihat sahaja sesi persekolahan awal tahun depan, sama ada ditugaskan jawatan lain atau masih sebagai GPM.

Sekarang saya sibuk pula dengan persediaan majlis perkahwinan adik perempuan yang akan berlangsung bulan 12 ini. Sebagai anak sulung, saya merangkap pengurus majlis. Jika ada kesempatan akan saya muat naik foto-foto persediaan majlis. Bunga pahar dan hantaran dibuat sendiri mengikut kreativiti saya berdasarkan citarasa bakal pengantin. Sampai berjumpa kembali dilain waktu!