Pages

Saturday, April 30, 2005

DI BAWAH RUNTUHAN ITU

FRAGMEN II
"Pesta Bintang-Bintang Harapan" itu diraikan penuh meriah. Kelihatan manusia bernama lelaki dan wanita datang berbondong-bondong membanjiri pesta itu. Bintang-bintang yang mengerdip menguntum senyuman sambil menggayakan pakaian yang genting dan anggun. Bintang-bintang yang mengerdip dan muda terasa amat anggun dan bergaya ditambah lagi dengan seri mekap yang tebal seinci.

FRAGMEN IV
Dia seorang doktor. Juga dari golongan Adam yang kacak dan tampan. Telah merawat ratusan pesakit disalah sebuah hospital di ibu kota. Sejak tamat universiti dalam ijazah kedoktoran, dia sering mengikuti anggota sukarelawan membantu mangsa-mangsa perang dan kebuluran. Dia pernah ke Bosnia ketika krisis Kosovo pada 1992, membantu etnik Albania, ke Ramallah dan kem pelarian di Jenin beberapa kali, ke Kashmir wilayah yang saban waktu bergolak, dan kali terakhir telah ke Baghdad.

Ada enam latar kesemuanya dalam cerpen saya ini. Suasana dan tempat yang berbeza. Tetapi mengakhiri episod hidup di bawah runtuhan yang sama. Masih berkisar seputar bicara konvensional masyarakat zaman ini. Namun ada perbandingan dan saya saratkan dengan nilai-nilai moral dan pengajaran. Pembaca berhak menilai dan mencari di mana titik perbezaan itu. Sekadar memaparkan dua fragmen yang berbeza (saya petik daripada fragmen II dan IV).

Saya soroti rentak hidup masyarakat zaman ini. Adakala kemewahan dan keasyikan mengejar kesenangan dunia buat manusia alpa menyembah Tuhan. Dalam golongan yang terbilang itu, tidak dinafikan masih ada sekeping hati yang tulus mengenal budi dan keagungan Ilahi. Namun, golongan itu segelintir cuma.

Cerpen saya ini tersiar dalam Majalah ANIS, Mei ini. Suatu penghargaan buat pemugar semangat diri untuk terus berkarya. Diri seorang penulis, khususnya saya yang terlalu mentah pengalaman ini, tiada apa yang dimahukan, cukup berpuas hati jika karya tersiar dalam apa jua media penerbitan tanahair. Penulis adalah juruhebah umat, yang seharusnya memiliki ilmu dan iman. Apa yang mahu disampaikan, itulah yang terkandung di dalam karya. Mencorak jiwa manusia bukan suatu kerja yang mudah dan inilah sebahagian caranya. Memasyarakatkan pembaca hasilnya kurang ketara, namun biarlah bicara pena mentafsir segala.

Hanya seorang penulis yang mengerti tujuan dan niat mereka. Mereka boleh memiliki apa yang mereka mahu. Namun untuk memiliki dan membetulkan sekeping hati, hanya kita sedaya cuba berusaha dan Allah yang berkuasa. Semoga jalan dan gambaran hidup yang dipaparkan di atas pentas pena, bisa membantu manusia menemui corong yang bercahaya lantaran meninggalkan dunia yang zulmat dengan dosa dan nista.

Di dada akhbar, nama seorang lelaki terpampang, menghiasi tiap bicara warga kota dan desa pada hari itu. Seorang doktor yang dikenali ramai. Telah kembali kepada Tuhan bersama jasad yang terpelihara. Terukir ketenangan di wajah yang jernih itu, meninggalkan nama buat titipan bicara di bibir manusia, bangsa, agama dan negara.

Saya tinggalkan fragmen ini buat penutup entri kali ini. Selamat membaca dan selamat berkarya!

Thursday, April 21, 2005

MUHAMMAD MUSTAFA

Ibunya Bernama Aminah
Ayahnya Bernama Abdullah
Dilahirkan Di Makkah Mukarramah
Ibu Susunya Halimatus Sa'diah

Ayahnya Meninggal Dunia
Tika Nabi Di Dalam Kandungan
Alangkah Sedih Pilunya
Ibunya Menjaga Baginda

Muhammad Mustafa

Semasa Di Dalam PerjalananPulang
Dari Maqam Suaminya
Aminah Jatuh Sakit Di Abwa'
Kembali Ke Alam Baqa'

Terpadam Api Biara Majusi
Runtuhlah Istana Kirsa Parsi
Makkah Diterangi Cahaya Putih
Tanda Lahir Nabi Anak Yatim

Anak Yatim Anak Yang Mulia
Dilindungi Allah Setiap Masa

Hidupnya Yatim, Yatim Piatu
Tiada Ayah Tiada Ibu
Hidupnya Yatim Yatim Piatu
Namun Dialah Manusia Agung

Salam Maulidur Rasul 12 Rabiul Awal 1426H

Thursday, April 14, 2005

PERTEMUAN

Semalam telah berlalu. Hari ini destinasi pesinggahan yang perlu dilumati dengan agenda harian yang manfaat agar hidup tidak menjadi sia-sia. Esok adalah laluan hidup yang harus diatur sebaik mungkin. Saya menerima e-mel daripada seorang sahabat. Juga saya kira dia adalah seorang kakak yang pernah memugar semangat, memberi nasihat dan tunjuk ajar. Hampir lima tahun kami tidak bertemu. Semenjak tamat alam persekolahan. Juga dalam tempoh itu saya tidak jemu mengutusinya meskipun tiada respon yang diberi. Semalam dan hari ini, khabar gembira telah datang, dia telah mengutusi saya via e-mel. Dia terjumpa e-mel saya sewaktu sedang melayari Internet. Dia bercerita perihal dirinya. Tidak saya sangka, dia sudah mempunyai dua orang cahayamata. Saya tumpang gembira. Dia lebih mesra dengan panggilan Kak Ngah itu tidak lokek bercerita pengalaman hidup sepanjang beberapa tahun ini. Dia yang saya kenali, masih begitu sikapnya. Sopan santun dan berlemah lembut. Khabarnya kepada saya, dia sekarang bekerja di PAAC BUSINESS INSTITUTE, sebuah kolej, mengajar moral dan pengajian Islam. Dia juga dalam usaha menyiapkan tesis M.A. Katanya kepada saya, dia bercadang untuk memilih tajuk tesis "Pemikiran Harun Yahya Dalam Penafsiran Ayat-Ayat Kauniyyah". Juga dalam usaha memikirkan masalah kajian untuk tajuk ini dan latar belakangnya, hepotesis dan objektif kajian. Saya tergakum dengan usahanya meskipun dia seorang ibu kepada dua anak, sentiasa ceria, aktif dan pandai pula membahagi masa. Dia juga sedang menunggu kelahiran cahayamata ketiga. Semoga Allah memberi perlindungan dan kebahagiaan kepadanya dan keluarga.
Betapa ukhuwah itu indah andai dibajai dengan rasa kasih, sayang, persefahaman, kejujuran dan keikhlasan lalu bercambahlah ranting-ranting keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Ukhuwah itu indai andai bertemu dan berpisah kerana Allah.

Sunday, April 03, 2005

ANTOLOGI CERPEN KKF

Antologi cerpen KKF [Khali Kota Fustat] bersama penulis Timur Tengah Malaysia sedang dipasarkan di Mesir sekarang ini. Antologi cerpen yang menghimpunkan penulis-penulis baru dan lama itu telah diterbitkan oleh Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir [KPKM]. KKF yang memuatkan 16 buah cerpen itu adalah hasil pena saya sendiri, A.Ubaidillah Alias, Amiza Khusyri Yusof, Masrati Mohammad, Faezatul Herda Mohd Azaman, Anizah Abu Samah (penulis Jordan) dan Mohd Zaki M. Noor. Tahniah kepada penyusun antologi ini A. Ubaidillah Alias di atas usaha dan kerja keras sehingga berjaya menerbitkan himpunan cerpen penuntut-penuntut Timur Tengah. Sekitar empat buah cerpen di dalam KKF telah tersiar di media perdana Di Malaysia. Selebihnya adalah cerpen-cerpen baru yang dicipta oleh penulis senior dan junior di Mesir. Kebanyakan junior yang terlibat adalah peserta Kem Latihan Penulis [KELAP] PMRAM. Terima kasih juga kepada Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir [PMRAM] atas izin terbit antologi ini. Empat cerpen saya telah dimuatkan di dalam antologi ini, lima cerpen daripada A.Ubaidillah Alias, dua daripada Masrati Mohammad dan Mohd Zaki M. Noor serta satu cerpen daripada Amiza Khusyri, Faezatul Herda dan Anizah Abu Samah. Sejunjung tahniah buat rafik di atas usaha anda semua dalam menjayakan antologi cerpen KKF ini. Semoga antologi ini bisa menjadi rujukan kepada penulis-penulis baru di Lembah Nil untuk masa akan datang.

Friday, April 01, 2005

TUNAS-TUNAS HARAPAN

Lima hari sudah berlalu. Seminar Penulisan Kreatif dan Esei anjuran Kem Latihan Penulis [KELAP] pada 27 Mac yang lalu berjalan dengan jaya dan ceria. Peserta yang mencecah angka 100 orang itu begitu bersemangat dan ceria-ceria. Seperti tahun-tahun sebelum ini juga, kala seminar penulisan dijalankan sambutan daripada peserta amat menggalakkan. Tahun ini tidak kurang hebat juga, malah kedatangan peserta semakin meningkat. Namun sukar untuk membuat jangkaan adakah bengkel penulisan kreatif kelak akan mendapat sambutan yang hangat seumpama ini. Ada juga dikalangan peserta-peserta yang menghubungi saya sehari dua selepas seminar tersebut. Ada yang membuat laporan terhadap perkembangan penulisan mereka. Ada yang meminta kalam-kalam nasihat dan dorongan daripada saya. Tak kurang juga ada yang mahukan bimbingan khusus daripada saya. Saya ini bukan insan yang hebat di persada penulisan. Sekadar membantu dan menunjukkan jalan berdasarkan pengalaman yang teramat sedikit ini. Segalanya bertitik tolak daripada kemahuan dan kesungguhan diri setiap individu.

Saya melihat dikalangan mereka punyai semangat dan keyakinan untuk berkarya. Seminar itu telah menemukan saya dengan seorang dua peserta yang berpotensi menjadi seorang penulis yang menjanjikan. Bahkan telah ada sebelum mereka menyertai seminar lagi. Mereka telah mula berkarya. Mereka sering bertanya dan tidak segan meminta tunjuk ajar. Insan sebegini yang saya lihat mempunyai semangat yang kental dan hebat. Mereka yang berani menyambut cabaran saya itu saya kira adalah insan-insan yang benar-benar terbuka minda dan mempunyai sekelumit kesedaran untuk menulis.

Namun saya tidak pasti, adakah semangat mereka yang berkobar-kobar itu sekadar ikutan atau dek kerana kata-kata semangat yang saya dorongkan untuk mereka. Jika kesedaran itu benar-benar hadir dalam benak mereka, saya tidak perlu bimbang. Mereka akan terus menulis meskipun tanpa kehadiran saya di Bumi Kinanah ini. Tetapi, jika sikap dan semangat yang mereka miliki pada hari ini hanya ikutan semata, nescaya apa yang dilakukan itu tidak akan kekal lama. Saya akan melihat dan menunggu kelahiran penulis-penulis baru di Timur Tengah ini. Saya agak cenderung meletakkan harapan kepada mereka yang menyertai bengkel kelak. Saya yakin dan percaya, hanya insan-insan itu yang benar-benar mahukan suatu anjakan paradigma dalam diri mereka. Itulah insan-insan yang semahunya mengubah sikap disamping mencari dan menilai kemampuan dan potensi diri. Mereka mahu mencungkil bakat dan yang pasti mereka tahu apakah tujuan mereka untuk menulis.

Saya pada hari ini, sudah dapat menilai dan mengenal pasti calon-calon penulis baru itu. Harapan saya untuk mereka agar bersabar, tekun dan gigihlah dalam menjejaki suatu mandala baru dalam hidup yang rencam dan berliku. Ini titik permulaan untuk mereka yang gigih berusaha. Akan ada sinar dan harapan untuk mereka yang tekun dan sentiasa sabar. Tiada jalan pintas menjadi seorang penulis melainkan akan mengharungi liku-liku dan jerit perih sebagai calon penulis baru. Semoga insan-insan seperti mereka tidak andar di tengah jalan. Biar kecewa, namun jangan sekali berputus asa dalam menjejak dunia sastera yang harus dipelihara.

Saya, sudah mula menumpukan perhatian untuk imtihan yang akan datang. Semoga usaha menjejaki ilmu dan kejayaan berhasil untuk sampai kepuncak.

Thursday, March 24, 2005

RESOLUSI DUNIA PENA, KASUS YANG KIAN SURAM

ARTIKEL SAYA DALAM SEGA (Suara Kampus Edisi Gabungan) 2005.
SEPUTAR 1996, penulisan di Mesir pernah berada di puncak. Kesungguhan penulis-penulis memartabatkan dunia pena dan sastera telah terlihat sehingga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka turun berpijak di tanah para Anbiya ini untuk merasmikan sebuah produk penulisan warga Azhari. “Sinar Di Harizon Nil” telah menemukan beberapa orang penulis yang menjanjikan dalam arena sastera seperti Ustaz Kamal Mohd Said, Ustaz Nazri Abdullah, Ustazah Marsirah Mustapah dan ramai lagi. Sejurus selepas itu, dunia pena semakin sepi sehingga muncul Mohd Nazmi Yaakob, yang cuba mengembalikan kegemilangan itu. Akhirnya beliau pesimis terhadap penulis-penulis Mesir setelah sedaya berusaha.

Mutakhir ini, penerbitan dalam kelompok organisasi mahasiswa Malaysia al-Azhar, menemukan jalan buntu. Suara kampus khususnya tidak lagi aktif beroperasi. Jika ada sekalipun, ibarat hidup segan mati tak mahu. Dimanakah penulis-penulis Mesir? Kesukaran menjejak penulis-penulis untuk mengisi kolum dalam sesebuah penerbitan suara kampus bagai sudah andar di tengah jalan. Perlu diingat penerbitan dalam sesebuah organisasi merupakan lambang keizzahan dan tanggungjawab kepimpinannya. Penerbitan dan penulisan menjadi tunjang utama penyebaran maklumat dan info. Bahkan penerbitan dan penulisan berfungsi sebagai medium dakwah kepada khalayak pembaca meskipun dakwah itu hanya tersebar seputar warga al-Azhar sahaja. Malah, mampu menjadikan sesebuah organisasi itu aktif dan dikenali ramai. Di kalangan ahli penerbitan dan penulisan pula, mampu mencerna semangat, tekad dan azam untuk memberi komitmen berterusan kepada kesatuan. Usaha dan kerjasama yang digarap dikalangan ahli bisa menjadi pemugar semangat dan tekad untuk memastikan kejayaan milik bersama di masa akan datang.

Mengapakah penulis-penulis enggan keluar daripada kantong diri yang bersifat matyai. Mengapakah hanya wajah-wajah dan nama-nama yang serupa dan sama sahaja menghiasi struktur organisasi atau susun atur sidang redaksi di dalam SEGA, WARTA dan Suara Kampus DPM atau BAKAN itu sendiri. Analogi saya: kebanyakan kita takut dikritik. Harus diingat, mandala penulisan dan sastera mengandungi ilmu kritikan. Kritikan itu menjadi satu vitaliti untuk pembangunan karya penulis. Malah cabang ilmu kritikan ini merupakan disiplin sastera Melayu. Meskipun lazimnya seorang kritikus sering melontar pandangan yang pedas dan tidak tersangkal namun, kebijaksanaan menerima kritikan itu harus dinilai dengan suatu penelitian dan pengamatan. Seorang kritikus yang baik pula sewajarnya mengkritik pada penelitian yang profesional berserta cadangan-cadangan bernas yang bisa membantu pembangunan diri individu yang dikritik.

Analogi kedua saya: dunia pena yang sunyi sepi ini barangkali dihuni oleh individu yang hanya menulis tatkala ada tawaran hadiah lumayan. Barangkali juga berupa ganjaran terhadap penat lelah berkerja di bawah suatu organisasi. Apakah kita menulis kerana kepentingan nama diri, bukan kepentingan nama agama. Sikap memandang enteng mandala penulisan ini akhirnya menatijahkan suatu kesan yang buruk kepada masyarakat di tanah air kelak. Ini bukan suatu perkara yang absurd jika kesedaran tidak dipupuk Lantaran itu, medium dakwah sukar mencari gagasan untuk berdifusi dalam aliran pemikiran masyarakat. Para penulis harus melatih diri untuk menumpahkan idea dan dakwat tinta di atas kertas. Ilmu dan pengalaman yang dimiliki sebagai penuntut al-Azhar itu sewajibnya dikongsi dan dicurahkan kepada khalayak pembaca. Penyertaan unsur-unsur ilmiah dalam karya-karya para penulis harus disambung semula.

Lebih daripada 320 ayat telah disebut di dalam al-Quran. Ini terbukti peri pentingnya perkhidmatan pena dalam menangani permasalahan masyarakat. Penulisan adalah wasilah penting bagi dakwah kerana ia tampak agam hingga zaman-berzaman. Justeru itu, ia menjadi khazanah berharga buat tatapan dan panduan generasi akan datang. Menyorot kembali tinta ulama terdahulu seperti Sayyid Qutb dan as-Syahid Hassan al-Banna, mereka membakar dan memugar semangat pemuda-pemudi dan masyarakat dengan dakwat pena. Betapa keazaman ulama-ulama terdahulu memelihara keunikan sastera Islam sehingga hasilnya telah dikecapi pada hari ini. Hasil pena insan-insan mulia ini telah kita gunakan untuk mengukuh dan memantapkan ilmu-ilmu di dada. Kesenangan menikmati karya-karya ulama terdahulu buat kita alpa untuk menilai kesedaran dan kesungguhan diri dalam memasak azam, minat dan rasa tanggungjawab terhadap penghasilan karya sendiri.

Kesusateraan Islam itu adalah hadiah yang ungul buat warga al-Azhar yang mempunyai keunikan dan kelebihan penguasaan ilmu dan suasana. Kesusateraan juga dinisbahkan kepadan umat yang tersurat dalam lipatan sejarah, iaitu satu umat yang lahir bersama permulaan risalah dari langit dan berkembang bersama para Nabi dan Rasul yang menyusuli di belakang dan kekal hingga ke hari kiamat.

Firman Allah yang berbunyi:
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah diri-Ku.” (al-Anbiya: 92).

Apakah lagi kemulian yang lebih utama daripada kemuliaan ini? Apakah keturunan yang lebih baik daripda keturunan ini? Apakah kekuatan yang lebih kekal daripada kekuatan ini? Tuntasnya, kekuatan mata pena merupakan faktor-faktor kebangkitan tamadun Islam yang unggul. Ketika umat dan dakwah yang satu ini berada di bumi, ia menggabungkan segenap daya usaha dan mencampurkannya dalam terusan kebaikan. Lantaran itu kesusasteraan Islam menjadi mulia, ia menyeru dan membina jati diri umat dan dakwah yang satu.

Ironinya, penulisan dan kesusasteran merupakan suatu perjuangan bervisi, berdasarkan landasan Allah dan ilmu yang realiti. Oleh itu, penulisan dan kesusasteraan membawa metod, matlamat, kejujuran, kekuatan dan pengorbanan. Mandala penulisan juga adalah kunci utama penyampaian masej dakwah, bergerak menurut landasan dan berusaha kearah satu matlamat.

Meskipun yang terkini telah lahir penerus perjuangan pena dalam kelompok mahasiswa al-Azhar, namun golongan itu terlalu sedikit. Masih tidak mencukupi untuk memantapkan dunia penulisan dikalangan penuntut al-Azhar khususnya. Lantaran itu, resolusi untuk dunia pena warga al-Azhar masih menemukan kasus yang kian suram. Ia bertaburan bak bintang-bintang di langit namun kerdipan-kerdipan itu masih boleh dibilang dengan jari. Sedangkan yang lainnya pula, semakin suram dan tidak mengerdip lagi di zaman kebejatan dan kebobrokan pemikiran umat kini.

Jangan membunuh potensi diri sendiri atau orang lain. Kesedaran terhadap rasa tanggungjawab kepada mandala penulisan harus dipupuk mulai saat ini. Sewajarnya kita bersikap optimis, konstruksi dan kritis dalam memastikan kelangsungan dunia pena di bumi Anbiya ini amnya dan bumi Malaysia khususnya. Oleh itu, lapangkan dada dan buka minda anda untuk menerima kritikan dan pandangan ini dengan rasa tasamuh. Jika tidak, usah bermimpi memiliki katarsis diri kerana ini adalah tanggungjawab yang terpundak di bahu dalam memerkasa keizzahan mahasiswa.

Wednesday, March 09, 2005

SAKIT ITU PENGHAPUS DOSA

Saya beransur pulih daripada demam yang mengejut. Dari kota Kaherah turun ke kota kecil Mansurah. Berulang-alik dalam seminggu dua yang lalu barangkali buat badan letih letai. Tiba di kota kecil Mansurah pada 6 Mac yang lalu. Sempat menghadiri majlis walimatul arus di tengah hari 7 Mac. Sedang menikmati hidangan, saya mula berasa tidak selesa. Tekak terasa perit. Segala yang dimakan terasa pahit. Sekembali daripada majlis itu, badan serasa sejuk. Demam mula menyerang. Setiap kali tiba pertukaran musim, saya akan diserang demam. Waduh! Betapa antibodi badan ini terlalu lemah barangkali. Tetapi tidak mengapa. Saya teringat akan pesanan seorang tok guru, katanya: jika sakit menimpa, ucapkan syukur. Jangan sekali meminta cepat disembuhkan. Jangan pula tetamu yang datang berziarah itu mengucapkan lafaz syifa. Mengapa sedemikian? Katanya lagi: sakit itu barangkali untuk menghapuskan dosa. Barangkali juga untuk mengangkat martabat seseorang hamba. Jika berdoa supaya dicepatkan akan sembuhnya, barangkali nanti dosa-dosa itu tidak terhapus. Barangkali juga nanti martabat seseorang hamba yang ditimpa musibah atau penyakit itu tidak akan terangkat. Begitu telah saya mengerti. Nikmat sihat itu jarang sekali diambil kira. Tatkala nikmat sihat itu ditarik, barulah manusia sibuk mengakrabi Pencipta.

Sayyidina Ali Karamallah Huwajhah, setiap hari akan tertanya-tanya, tidakkah Allah mahu memberi kesakitan kepadanya. Beliau sering merindui datangnya sakit. Tetapi, manusia hari ini sering pula merintih kala didatangkan oleh Allah musibah dan sakit. Sering pula tertanya-tanya, mengapa Allah turunkan ujian dan dugaan ini. Mengapa tidak diturunkan kepada insan lain. Tidak sayangkah Allah kepada kita? Begitu umat Muhammad s.a.w pada hari ini.

Saya pada hari ini, tidak dapat menghadirkan diri untuk mesyuarat KELAP di kota Kaherah. Mungkin ada hikmah-Nya yang tersembunyi. Saya sekarang sudah mula mahu berehat daripada dikejar ripuh dunia pena. Saya akan berehat seketika sehingga usai imtihan. Aktiviti penulisan sudah mula dikurangkan. Masih berbaki beberapa amanah. Bengkel cerpen AKAR masih belum terlaksana. Mahu mencari waktu yang senggang agar bengkel tersebut berjalan dengan jaya. Sehingga hari ini, saya telah menerima empat buah cerpen untuk dibengkelkan. Masih ada lagi yang mahu menghantar karya mereka. Saya alu-alukan. Jika tidak berkesempatan, ayuh! Sertai bengkel KELAP yang akan datang.

Kami sekadar membuka jalan. Jiwa-jiwa pena ini akan sentiasa berusaha menghadiahkan yang terbaik buat semua meskipun kami bukan yang terbaik untuk mengendalikan semua ini. Nantikan coretan saya dalam Fokus SEGA yang bakal diterbitkan. Juga jangan lupa mengambil intipati daripada kalam seorang penulis tamu dari Malaysia. Siapa ya? Akan anda ketahui nanti. Jangan lupa dan jangan ketinggalan untuk memiliki SEGA 2005.