Pages

Thursday, October 27, 2005

CATATAN SEBELUM PULANG

Ramadhan kunantikan Ramadhan
kemulian Ramadhan yang turunya al-Quran
bulanku Ramadhan

Ramadhan pelepasan siksaan
ibadah berpuasa ujian kesabaran
ganjaran Ramadhan

Bulan seribu bulan
hanyalah sebulan
siang malam keberkatan

Akhirnya Ramadhan Syawalpun menjelang
tasbih tahmid berkumandang

Bergema takbir di satu Syawal
bergema satu lambang kekuatan amalan
kemenangan... kemenangan

Yang keruh bersama dijernihkan
yang jauh didekatkan
yang hitam diputihkan
bersalam-salaman
bermaaf maafan
jadikan amalan telus ikhlas berzaman

Syawal menyaksikan
amalan Ramadhan
atma turut bergema

Jangan lupa pada yg tiada disisi kita
Manakan tahu esok lusa kita bersama







Rabu
+ 23 Ramadhan 1426/ 26 Oktober 2005
Semalam saya dikunjungi beberapa orang rakan dari kalangan pelajar-pelajar Negeri Sembilan. Turut serta Yang Dipertua BAKANS bersama isteri dan anak. Itu kunjungan terakhir mereka sebelum saya pulang ke tanahair. Sempat mereka menitip kalam nasihat dan tasyji' buat diri saya.

+ Sahabat saya Syarifah Mariam, katanya dia sedih kerana saya akan pulang. Sebetulnya jiwa saya juga bergalau dengan rasa kesedihan untuk meninggalkan Ardil Kinanah ini. Permukiman sementara selama empat tahun banyak meninggalkan kenangan pahit manis dalam jiwa sebagai penuntut ilmu. Masih saya ingat azam yang dipasak dalam jiwa semasa berada di KLIA pada tanggal 5/9/2001. Tiga azam dan cita-cita itu telah saya pahat dalam hati. Namun hanya satu sahaja azam dan cita-cita yang tercapai. Dua yang berbaki masih tidak berjaya saya dakap. Namun ini bukan yang terakhir, masih ada jalan untuk mendakap cita-cita.

+ Kerja-kerja mengemas barang untuk dibawa pulang ke tanahair sudah hampir sempurna.Hari ini saya ada mau'id dengan Timbalan Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan DPMM, adik Siti Amirah Abd Wahab, mahu berbincang seputar dunia penulisan dan penerbitan. Barangkali ini sumbangan terakhir untuk DPMM sepanjang berada di Mesir. Walau bagaimanapun, tidak bererti kala sudah pulang tidak memberi sumbangan. Dapat menyumbang idea juga dikira sumbangan.

+ Beberapa hari yang lalu, kak Nisah Haron ada menghubungi via emel. Memaklumkan bengkel cerpen, PEN yang bakal dijalankan pada 18/11/2005, insya-Allah jika tiada aral melintang. Amiza Khusyri juga memaklumkan via sms. Insya-Allah, doakan saya berkesempatan menghadiri bengkel tersebut. Hari yang berbaki, Khamis, Jumaat dan Sabtu telah ada agenda yang diatur. Insya-Allah malam Sabtu, selepas solat sunat tarawikh akan bertolak ke mator dan flight dijangka berlepas pada jam 1.00pagi 30/10/2005. Jika berkesempatan saya akan menulis untuk entri terakhir sebelum pulang ke tanahair. Jika tiada kesempatan, ini adalah entri terakhir dan saya akan berehat beberapa waktu sebelum menyambung entri yang seterusnya setelah berada di Malaysia kelak.

+ Kanak-kanak lelaki penjual tisu di kota Kaherah tidak dapat saya temui. Ia, barangkali itulah yang akan berlaku kerana saya tidak akan ke kota Kaherah lagi. Namun begitu, saya telah menemuinya dalam cerpen saya SURATAN RAMADHAN. Ada beberapa orang rakan memaklumkan mereke bertemu kanak-kanak itu. Petemuan mereka barangkali sebagai pengantara untuk melepaskan hajat saya bertemu si kecil.

Salam Ramadhan dan salam Syawal daripada pengembara pena, Diari Online.





Saturday, October 22, 2005

PENULIS ADALAH PENDAKWAH

HAMKA adalah akronim daripada Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amirullah, seorang tokoh penulis, sasterawan, ulama dan pendakwah Islam yang progresif, menjadi sanjungan masyarakat Nusantara. Tidak asing menyebut nama ini kerana beliau dikenali lewat karya-karya berunsur dakwah dan kaya dengan falsafah keagamaan juga kasih sayang. TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK, DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH, MERANTAU KE DELI dan antologi cerpen DI DALAM LEMBAH adalah himpunan karya-karya yang banyak menerapkan nilai-nilai keagamaan. Justeru sasterawan ini banyak berjasa kepada masyarakat dunia kerana segenap kehidupannya dibaluti dengan rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap dakwah melalui pena.

Tokoh penulis ini tidak sekadar bijak mencerna idea dan pandangan di tubir pena bahkan seorang yang bijak berpidato hal-hal agama dan politik Minangkabau. Tuntas bakat itu diperkemas dengan jitu lalu terhasil majalah pertamanya KHATIBUL UMMAH pada tahun 1925. Sejujur saya menyorot kembali kegemilangan HAMKA ini bertujuan menerapkan setitis rasa sedar dan ingat kembali kepada sejarah kegemilangan tokoh-tokoh penulis Islam. Menulis adalah satu jihad begitu harus kita fahami andai rasa tanggungjawab itu saban hari mengasak jiwa dan sensitiviti sebagai umat Islam sentiasa segar dalam roh mukmin. Andai tiada yang telus meluah pandangan, tiada yang sudi memindahkan ilmu dalam dada di atas kertas, bagaiman nikmat Islam itu telah kita kecapi pada hari ini.

Saya merungkai perkara ini dalam persepsi sebagai seorang mahasiswa al-Azhar. Kita adalah jambatannya yang menjadi penghubung antara dua bahasa., Bahasa Ibunda (Bahasa Melayu) dan Bahasa Syurga (Bahasa Arab). Bukankah kita bertanggungjawab memindahkan ilmu-ilmu di dalam kitab turas ke dalam penulisan kreatif? Dalam penulisan kreatif itu ada ilmu bantunya. Lantaran ilmu bantu itu wajar dicedok melalui pembacaan dan pemahaman daripada kitab-kitab yang terkandung di dalamnya hal-hal dan perbincangan agama. Di situlah kelebihan yang akan kita perolehi. Menjadi seorang penulis yang tidak hanya kaya seni bahasa semata bahkan menjadi tokoh agama yang bijak menyalur ilmu melalui pena. Mengapa harus dipersia bakat dan ilmu yang ada. Mana mahu ditumpahkan ilmu dalam dada jika tidak di atas kertas. Menjadi seorang yang bijak berbicara hasilnya akan tampak agung andai disusuli bicara sufi sebatang pena. Begitu sewajarnya jalan yang kita lalui ini harus dipenuhi rasa sedar dan insaf terhadap penindasan yang berlaku pada agama, bangsa dan negara Islam dekad ini. Di sinilah peranan merancakkan aksi di atas pentas pena wajar di ambil perhatian. Peri penting mengenal makna penulis sebagai pendakwah itu sudah terpupuk dalam jiwa bermula saat dan detik ini.

Saya tinggalkan rasa tanggungjawab dari lantunan jemari pengembara pena untuk entri kali ini semoga menjadi kenangan dan perhatian generasi hari ini dan mendatang: Rentak kalam menari gundah, perit mengungkap sebaris kalimah, biar resah menyemai dakwah, tulus pena tidakkan berubah, mendapat nusrah dan hikmah daripada Allah. Terus berjuang hingga titisan darah yang terakhir!

Monday, October 10, 2005

MENCARI SESUATU YANG HILANG

Hampir sebulan saya di kota Kaherah. Sekarang sedang melengkapkan diri menerima pertukaran musim saifi kepada syita'. Hawa dingin sudah mula menyengat sumsum tulang. Seorang demi seorang rakan-rakan seperjuangan, sekuliah dan sepenulisan mula beransur pulang ke tanahair. Demikian itu rasa sepi menyelinap ke dasar hati. Saya akan ditinggalkan oleh mereka meskipun sedikit masa lagi saya akan meninggalkan rakan-rakan yang lain jua. Saya berkira-kira dan melayan fikir perkara utama yang perlu saya lakukan sekembali ke tanahair kelak. Tanggungjawab kepada keluarga sedang menanti. Itu perkara utama yang perlu saya pikul. Soal pekerjaan, hanya perlu berusaha dan selebihnya Allah yang berhak menentukan. Manusia sekadar merancang Allah jua yang merencana segala.
Saat-saat dan detik-detik yang berbaki ini saya gunakan sebaiknya di kota Kaherah ini. Baki seminggunya pula akan saya habiskan di kota kecil Mansurah. Kemudian akan meninggalkan seribu macam kenangan di sana. Begitu saya merancang. Semoga Allah memperkenankan perancangan ini.
Sebetulnya saya mencari sesuatu yang hilang. Saya tidak mencari idea yang hilang. Saya juga tidak mencari barang yang hilang. Namun saya mencari seorang kanak-kanak yang hilang. Hilang daripada pandangan mata. Sebulan berada di kota kaherah ini masih belum kami bersua. Mahu tahu siapa kanak-kanak itu? Dia adalah seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia mencecah lima tahun. Seorang kanak-kanak lelaki. Juga seorang penjual tisu. Saya mahu berbual dengannya. Kebiasaan dia bersama ibunya berada di seberang jalan berhadapan Masjid Musa. Namun hingga kini saya tidak nampak kelibatnya.
Saya hanya mampu memasang hajat agar bisa bertemu dengannya sebelum pulang ke Mansurah. Ada sesuatu yang ingin ditanya. Persolan itu akan terjawab dalam cerpen baru saya. Saya titipkan kenangan, pengajaran dan tauladan buat diri sendiri juga khalayak pembaca dalam cerpen tersebut. Sudah hampir kepada tiga muka Microsof Word. Hanya perlu menumpahkan idea untuk beberapa muka sahaja lagi. Seterusnya peram untuk beberapa hari. Semak dan edit hingga berpuas hati. Diharap agar cerpen kali ini bisa menghantar sejuta rasa keinsafan dalam diri saya jua anda semua. Doakan saya tekal menulis.

Wednesday, October 05, 2005

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN

Ramadhan al-Karim...
Allahu Akram...Allahu Akram...Allahu Akram
Saya masih berada di kota Kaherah mencicipi rahmat salam kunjungan Ramadhan untuk tahun ini. Syukur kerana masih diberi kesempatan oleh al-Khaliq merasa nikmat berpuasa dan menggandakan ibadah. Semalam baru usai MAT BAKANS kali ke-24. Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar. Tanpa disangka, saya menjadi ahli sidang terbaik. Itu suatu penghargaan buat saya. Barangkali ini adalah kali terakhir saya terlibat secara formal dengan program-program BAKANS sebelum pulang ke tanahair. Sempat melontar satu dua pandangan dan cadangan untuk kemaslahatan semua anak-anak Negeri Sembilan di Perlembahan Nil ini.
SKENS (Suara Kampus Edisi Negeri Sembilan) juga telah diterbitkan. Hampir dua tahun SKENS tidak dapat diterbitkan atas sebab-sebab tertentu. Alhamdulillah, akhirnya berjaya jua diterbitkan. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada editor-editor SKENS yang telah bertungkus lumus dalam memastikan SKENS dapat diterbitkan pada tahun ini. Fokus SKENS pada kali ini, berkisar PENYELEWENGAN PENULISAN ISLAM. Kepada anak-anak Malaysia, Mesir jangan ketinggalan, dapatkan SKENS segera! Nikmati hasil pena saya dalam Fokus utama, KORUPSI PENULISAN SUATU PENGKAJIAN. Anda juga boleh menikmati hasil pena penulis tamu SKENS, Nisah Haji Haron dan Akhi Masrawi.
Hanya ini catatan saya untuk entri kali ini.

Thursday, September 29, 2005

DUA CERPEN TERSIAR SERENTAK

Kata-kata nenek Junah ada benarnya. Sejauh manakah saya telah membina manusia berfikir, beretika, berjiwa yang halus pertimbangan dan adil serta saksama dalam menghalusi perasaan orang lain.

Dalam merentas arus dunia tanpa sempadan, manusia sering disajikan dengan pelbagai arca kehidupan yang serba moden dan berteknologi tinggi. Manusia sering hilang pertimbangan dan waras akal lantaran minda diselaputi oleh gambaran kekayaan dan kesenangan hidup. Justeru, saya sedaya menyelami kisah benar dan realiti kehidupan yang berlaku pada warga tua hari ini. Pengalaman menziarahi warga tua di rumah Seri Kenanga, Seremban pada tahun 2001 saya adaptasi menjadi sebuah cerpen. Saya adalah seorang anak, anda adalah seorang anak dan kita adalah seorang anak yang sewajarnya menyalurkan rasa kasih dan cinta kepada insan mulia yang telah melahirkan, membesarkan dan mendidik. Mereka adalah ayah dan ibu yang wajib diberi perhatian. Kisah Disebalik Teratak Itu ada cerita di dalamnya. Ada siri yang mahu dipaparkan. Selamat membaca!

Cerpen ini tersiar dalam Majalah Dewan Agama Dan Falsafah Oktober 2005.

Wazni, anak yang baik itu cukup derita. Derita menanggung sengsara atma. Bertambah derita kala doktor mengesani penyakit barah otaknya sudah ditahap kritikal. Saat itu, mereka bertiga usai mengerjakan haji. Sekembali ke tanahair, kata Wazni-lambaian Kaabah menggamit-gamit. Lalu matanya terpejam.

Kekayaan tidak dapat membeli harga selaut kasih dan sayang jua keharmonian yang diidamkan oleh setiap insan. Manusia hanya mampu merancang, namun Allah jua yang merencana segala. Cerpen Lambaian Kaabah ini adalah ilham yang lahir rentetan daripada pembacaan saya terhadap cerpen Ghafirah Idris: Telah Diberinya Hati. Ia, cerpen ini memang ada pengaruh cerpen Ghafirah. Namun, saya ada cara tersendiri menyampaikan idea dan gagasan pemikiran. Saya terdorong menyalurkan idea ini semoga khalayak pembaca mendapat manfaat daripadanya. Salam karya!

Cerpen ini tersiar dalam Majalah I OKtober 2005.

Monday, September 19, 2005

SEMPADAN JARAK BUKAN PEMISAH

Oleh Syarifah Salha Syed Ahmad ( kolumnis Buletin Kelap Karyawan Islam Kelantan (KERIS) Kaherah, Mesir.


"Duhai hati tegaplah menunjang semangat, tetaplah menumpang perasaan. Perjuangan ini jauh perjalanannya, dugaan ini memang getir, namun ini bukan lapis sedih paling akhir."

INI bicara sahabat karib saya yang dihantar via sms dari Jordan. Jika anda memiliki antologi KKF pasti pernah melihat nama Anizah Abu Samah dalam antologi itu. Iya, dia adalah sahabat termuda saya dalam mandala penulisan yang pernah melewati batas-batas waktu di alam persekolahan. Dahulu sewaktu menghuni dorm 4.5 aras empat, Maahad Ahmadi Gemencheh Negeri sembilan, kami tidak pernah berbicara soal penulisan mahupun sastera sehingga saya meninggalkannya dengan janji yang kami bina mahu bertemu di Ardul Kinanah. Namun dua tahun selepas itu saya hampa, kedatangannya tak kunjung tiba. Dia telah menjejakkan kaki ke Dataran Syams. Lama kami saling menyepi merawat luka dan duka yang membungkal dalam sukma. Penghujung tahun 2002 kami berutusan kembali. Merancang untuk bertemu pada penghujung bulan enam 2003 saat sama-sama pulang bercuti. Namun sekali lagi hampa kerana sekembali saya bercuti ke tanahir dia pulang ke Jordan tergesa-gesa. Aksara 2004 telah menemukan kami dalam ruang lingkup medan pena yang tidak terjangkau oleh kami akan minat yang sama ini. Hari ini kami bukan lagi seorang kakak dan seorang adik yang tiada pertalian darah, namun kami adalah rafik yang mempunyai pandangan yang sama, perjuangan yang serupa dan impian yang seiring.

Bukan ini yang mahu saya ceritakan. Tetapi akrab persahabatan dalam arena yang sama itu yang ingin saya ladeni. Memupuk minat yang sama tampak mudah, namun usaha yang serupa itu likunya berbeza metah. Meskipun dibatasi sempadan namun itu bukan pemisah sebuah perjuangan. Bicara-bicaranya yang dilayangkan pada saya terlalu indah. Saya kagum dengan seorang adik ini. Juga kagum dengan usaha gigihnya mengenal dunia pena yang tidak kurang asing namun dipandang sepi. Berjuang seorang diri tidak semudah berjuang dalam 'jamaah'. Dataran Syams yang menghimpunkan anak-anak Malaysia itu tidak gah seperti Perlembahan Nil yang menghimpunkan puluhan penulis-penulis pucuk muda yang sering disajikan dengan pelbagai aktiviti penulisan. Hidangan bengkel penulisan pula bukan satu kepelikan di sini. Adakah kehebatan kita pada hari ini kerana berhimpun dalam satu fikrah dan 'jamaah' yang sama? Kesukaran yang kita tempuhi dalam arena penulisan pada hari ini tidak setanding dengan mereka yang berjuang seorang diri. Hanya dia seorang telah hidup selepas Sdr Zaid Akhtar meninggalkan Dataran Syams itu. Hidup pada erti kata lain bernyawa dalam nafas dan degup jantung sebatang pena. Sering juga dia membuat permintaan dan permohonan agar pembimbing-pembimbing penulisan Perlembahan Nil ini berkunjung ke sana lalu mengadakan aktiviti-aktiviti penulisan. Namun, hanya Sdr Amiza Khusyri sahaja selaku penulis yang menempa nama berjaya mengadakan aktiviti penulisan di sana lewat tahun 2003 yang lalu. Begitu harapan seorang penulis baru Dataran Syams yang mengiginkan bimbingan dan panduan dalam arena yang dipandang sepi ini.

Lantaran itu, kecewa menyalut nubari saya. Namun saya abaikan. Telah banyak aktiviti penulisan dan bengkel-bengkel penulisan diadakan di dini. Masih tidak cukupkah andai memberi alasan; saya belum bersedia untuk terusan menulis. Atau logikkah menghimpun alasan; saya malu, takut dikritik dan tidak berani kerana saya tidak sehebat penulis lain. Bagaimana pula 'dia' yang saya kenal dan saya akrabi itu mampu berjuang seorang diri tanpa sebarang bimbingan dan panduan secara khusus melalui bengkel-bengkel dan aktiviti-aktiviti penulisan seperti di sini? Usaha dan kegigihan itu yang paling utama. Andai tidak disajikan mampukah berdiri utuh untuk menilai cebisan ilmu yang disaluti debu-debu tanah gersang ini? Hargailah selaut tinta, seluas sahrawi yang mengandungkan titisan tinta para ulama terdahulu. Kitalah penerusnya. Bukankah menulis itu satu jihad? Andai tidak sudi menyumbang tenaga dan bakti menyambung perjuangan yang suci ini, usah menunding jari dan melontar kata nista, sindir perli kepada mereka yang mahu mencambahkan bakat serta minat dalam seni pena dan sastera. Saya tinggalkan anda semua pada kali ini dengan sebuah ungkapan; Duhai hati, usah gentar mengendong cemuh, usah serik menilai sabar, perjuangan ini likunya kecewa, namun ini bukan lapis alas berputus asa. "BIAR KECEWA JANGAN PUTUS ASA"- Salam dari lantunan jemari pengembara pena.






Saturday, September 17, 2005

FESTIVAL KONVOKESYEN DAN ULASAN ANTOLOGI SJM

Saya usai menghadiri Festival Konvokesyen Dan Anugerah Mahasiswa Cemerlang kali ke-14 pada tahun ini pada 14 September yang lalu. Terima kasih kepada penganjur, PMRAM selaku badan bertindak yang menjaga kebajikan mahasiswa-mahasiswa Malaysia al-Azhar. Terima kasih juga kepada ajk pelaksana yang telah bertungkus lumus menjayakan Festivel Konvokosyen tersebut. Tahniah kepada semua yang bergelar graduan. Kenangan itu tidak akan saya lupakan.

Meskipun ripuh dalam persediaan menghadirkan diri ke majlis tersebut saya sempat mengkhatami Antologi Cerpen Salju Jabal Musa. Inilah pengalaman membaca antologi cerpen penulis-penulis muda yang cukup menarik. Memang selayaknya Esastera.com menghimpunkan karya-karya lima penulis muda ini untuk tatapan khalayak pembaca khususnya peminat sastera.

Membaca cerpen Sdr Amiza Khusyri buat saya lebih memahami prinsip dan perjuangannya dalam medan pena. Sentiasa segar dengan tema perjuangan membela maruah agama, mengangkat dan memartabatkan Islam dan Bahasa Syurga (Bahasa Arab). Di sini kekuatan Amiza, berusaha membuka mata khalayak pembaca demi menitipkan satu kesedaran dan kepekaan yang sewajibnya dimiliki oleh umat Islam. Ternyata Amiza mempunyai daya sensitiviti yang amat kuat terhadap pergolakan dan penindasan yang berlaku pada dunia Islam hari ini. Katanya kepada saya 'Salha, kita adalah mujahidin sastera'. Lalu saya faham begitu perjuangannya mempertahankan nasib agama, umat dan negara Islam dewasa ini. Justeru, itulah kesedaran yang dimilikinya dari dahulu hingga kini. 'Salju Jabal Musa, Pengemis Tua Di Masjid Hussein dan Cahaya Zulmat' punyai motiv yang sama namun jalan cerita dan persembahannya disadur dengan bahasa yang tenang dan lancar...cukup indah.

Kala membaca cerpen-cerpen Sdr Fahd Razy, 'Enigma Dunia, Suara Dari Rahim dan Tiga Mini Cerpen Malam 31' buat saya seolah dipandu menuju ke satu destinasi yang amat menggerunkan. Satu persatu imaginasi yang cukup kuat dihantar dalam deru nafas hujung penanya lalu terhasil sebuah gambaran kehidupan dunia yang cukup menyentuh perasaan. Kekuatannya menampilkan cerpen cereka sains dengan mengangkat isu-isu dan fenomena semasa ternyata membuktikan kepekaan dan ketajaman mindanya mencipta realiti kehidupan dalam imaginasi yang cukup tinggi bersesuaian dengan dirinya sebagai seorang pelajar perubatan. Saya kagum dengan penulis muda ini, mempunyai jiwa kental menelusuri dan memupuk semangat kecintaan terhadap perjuangan mencari pembelaan oleh satu nyawa, bangsa dan dunia.

'Telah diberinya hati' karya Sdr Ghafirah Idris, pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2004 cukup menyentuh perasaan. Begitu juga cerpen 'Warkah Derita Dari Tanah Setinggan dan Revolusi Versailles' mengenalkan saya pada jiwa Ghafirah yang mudah tersentuh dengan sesuatu perkara yang menjentik naluri kemanusiaan dan kasih sayang. Tidak hairanlah penulis muda yang tidak asing ini sering menggondol anugerah-anugerah sastera lantaran gaya pengucapan, penyampaian dan langgam penceritaan yang cukup tersusun diselangi lenggok bahasa yang indah dan menawan hati khalayak pembaca. Membaca karya-karya Sdr Ghafirah semacam menemukan saya dengan dirinya yang dilimpahi kasih dan sayang terhadap sarwajagat. Demikian akan terdidik jiwa jika membaca karya-karya Sdr Ghafirah. Telus menulis berpaksi kesedaran!

Saya gemar membaca puisi-puisi Sdr Ida Munira. Jarang sekali saya meladeni cerpen-cerpen penyair muda ini. Membaca cerpen 'Puisi Adinda Hati, Hilang Yang Ingin Jumpa dan Warkah Cinta Untuk Ibu' telah menemukan saya semangat kepenyairannya yang tidak pernah padam. Pasti terselit puisi-puisi indah dalam cerpen dan puisi-puisi tersebut bukan sebuah tampalan dan tempelan. Tetapi mengandung makna yang amat dalam untuk merungkai kisah sebuah cerita yang punyai pertalian dan rantaian peristiwa bersadur indah bahasa sebuah puisi. Begitu perbezaan seorang penyair apabila menulis sebuah cerpen berbanding seorang penulis yang menulis dalam ruang lingkup genre cerpen sahaja. Sungguh! Lenggok tari tulisan jelas tidak dapat menyembunyikan dirinya sebagai seorang penyair. Itulah kekuatan dan kelebihan beliau, punyai jiwa kepenyairan dan kepengarangan. Terlalu! Cerpen-cerpen yang sungguh unik itu menyedarkan saya betapa sastera adalah seni yang terlalu indah.

Karya-karya Sdr NimoizTY pula seperti 'Nur Pengabdian, Mencapai Sebuah Resolusi dan Merungkai Egoisme' adalah karya-karya yang memaparkan pergolakan jiwa. Ini identiti dan kekuatan yang dimilikinya sehingga apabila melihat tajuk-tajuk cerpen tersebut sudah jelas dapat mentafsir dan merungkai makna yang ingin disampaikan. Saya tidak akan menggunakan istilah barangkali untuk mentafsir bicara penanya, kerana apabila membaca karya-karya Sdr Nimoiz semacam begitu saya mengenalinya; seorang yang dipenuhi rasa pengabdian pada Tuhan, kaya dengan semangat mencari sesuatu yang jarang sekali manusia memburu dan memikirkannya. Demikian apabila membaca karya-karya seorang penulis secara tidak langsung kita mengenal dirinya, prinsip dan perjuangan yang dimilikinya. Penyair muda ini juga seorang yang berpotensi tinggi menggarap rasa hati dan lapis sedar bukan melalui puisi sahaja bahkan berjaya menghantarnya melalui bakat kepengarangan dalam cerpen.

Hanya ini ulasan saya sebagai seorang pembaca, peminat sastera dan pengembara pena yang mahu mencari realiti objektif bersama rasa sedar yang bersalut demi menghalusi catatan pengembaraan kehidupan sebatang pena yang kadangkala tiada pembelaan.