Pages

Wednesday, August 02, 2006

LAGI RAGAM MURID

Lagi Ragam Murid



Semalam, saya amat keletihan. Dalam kotak fikir sarat dengan pelbagai perkara yang minta dilunasi. Terubat seketika keletihan saya apakala tiga orang anak murid perempuan menyambut kedatangan saya di perkarangan sekolah. Mereka meminta izin kepada saya untuk membawa buku-buku yang penuh di tangan saya. Hingga tas tangan saya juga mahu di bawanya. Alangkah bahagianya jika suatu masa kelak saya mempunyai anak-anak yang begini akhlaknya. Jika semua anak murid beradab dan bersopan santun tidaklah guru-guru sakit jiwa. Seperti biasa selepas memberi ucapan salam, mereka membaca doa dan surah al-Fatihah. Saya masih ingat pesanan guru saya: mulakan pembelajaran murid-murid dengan bacaan surah al-Fatihah kerana itu adalah Ummul Kitab atau dikenali juga sebagai Ummul Quran, Ummul Furqan dan Sab'ul Mathani.

Tetapi, semalam murid-murid saya agak berlainan sedikit tingkah lakunya. Kebiasaan apabila mereke bising, saya akan bertanya dengan nada yang mendayu: tahun satu, ini kelas atau pasar? Lalu mereka akan menjawab dengan nada yang mendayu juga: kelas, ustazah. Mereka sudah faham, jika saya bertanya begitu bererti saya tidak suka mereka berbuat bising di dalam bilik darjah. Justeru itu mereka akan terus 'tutup mulut' setelah saya bertanya yang demikian. Jika ada juga yang berbuat bising, akan bersuaralah seorang dua dari kalangan mereka dan bertanyakan soalan yang sama: kawan-kawan, ini kelas atau pasar? Semalam mereka terlalu sukar 'tutup mulut'. Meskipun saya berpesan supaya jangan berbuat bising, tetapi kebisingan itu reda seketika cuma. Tangan mereka menulis kerja yang saya bekalkan tetapi mulut juga turut bercakap. Sungguh! Saya perlu banyak bersabar.

Untuk mengelakkan hati saya membengkak dengan sikap mereka, saya buat pengumuman supaya mereka beratur. Apa lagi sukalah mereka. Ada yang bertanya: ustazah, kita nak ke mana? Saya senyum sahaja apakala soalan itu diajukan kepada saya. Tahu apa yang saya lakukan kepada mereka? Saya minta ketua darjah menghampiri saya dan saya berpesan: Ummi (nama anak murid saya yang memegang jawatan ketua darjah), kamu dan kawan-kawan lain pergi ke setiap kelas jumpa cikgu yang mengajar dalam kelas itu. Kemudian kamu katakan kepadanya: cikgu, kami murid tahun satu didenda kerana kami buat bising di dalam kelas.

Setelah saya berpesan begitu mereka memandang saya dengan pandangan yang sayu. Aduh! Saya sangat lemah dengan pandangan anak murid yang meminta belas kasihan. Namun begitu mereka tetap melaksanakan arahan saya. Mereka agak takut-takut berani juga untuk masuk ke dalam setiap kelas. Tetapi berjaya juga kawal muka yang sudah merah-merah kerana malu dan terluncur juga ayat: cikgu kami didenda kerana buat bising dalam kelas.

Sekembali daripada setiap kelas, mereka terus berpusu mengelilingi saya. Saya lihat ada wajah-wajah kesal dan ada mata-mata yang merah menahan tangis. Saya bertanya: apa yang guru-guru setiap kelas lakukan kepada kamu? Mereka menjawab: cikgu dan ustaz pesan supaya minta maaf kepada ustazah. Mereka kata kami mesti janji supaya tidak akan buat bising lagi. Saya bersuara: oh begitu! Tapi kalau kamu buat bising lagi apa yang akan terjadi? Mereka jawab: kalau buat bising lagi kami akan masuk dalam api neraka. Aduh! Bijaknya murid-muridku. Saya pura-pura merajuk dan saya berkata: kalau ustazah tak mahu maafkan kamu macama mana? Mereka semua terdiam. Mereka pegang tangan saya dan meminta simpati: ustazah maafkanlah kami. Saya tidak sampai hati melihat mereka begitu. Akhirnya saya hulurkan tangan dan setiap orang daripada mereka mengucup tangan saya sambil berkata: ustazah, saya minta maaf dan janji tak buat bising lagi. Sebak rasanya hati ini.

Namun saya cukup sebak apakala seorang murid lelaki yang sangat terkenal dengan kenakalannya menghulur tangan kepada saya. Matanya berkaca dan dia mengucup tangan saya dengan juraian airmata. Terlalu! Sebaknya hati saya. Dia menangis teresak-esak dan meminta maaf serta berjanji tidak akan buat bising lagi. Murid-murid lain turut sebak. Ada yang berkata: ustazah, saya tak boleh tengok orang nangis sebab saya juga rasa nak menangis. Saya juga rasa mahu menangis ketika itu apakala terkenang sikap mereka yang adakala nakal dan adakala manja. Lalu saya usap kepala murid lelaki yang menagis itu dan saya kata kepadanya supaya jangan menagis lagi. Setelah itu dia duduk dan terus membuka buku sambil tangan menyeka airmata yang tak henti-henti keluar. Dia menundukkan wajah barangkali kesal di atas perbuatannya.

Untuk menghiburkan kembali hati mereka yang kesedihan, saya minta mereka menutup mata dengan sapu tangan. Saya kemaskan ikatan dan kemudian memegang tangan salah seorang daripada mereka lalu membawanya keluar daripada tempat duduk. Saya minta yang lain supaya jangan bersuara. Kemudian saya bawa beberapa orang lagi keluar daripada tempat duduk. Seterusnya saya dekatkan mereka dan minta mereka meneka siapakah rakan yang berada hampir dengan diri masing-masing. Untuk mengenal pasti, saya beri peluang mereka menyentuh wajah rakan masing-masing. Ada yang meneka dengan tepat siapa rakan yang hampir dengan mereka dan ada juga yang tekaannya tersasar.

Kesimpulan daripada permainan itu, saya nyatakan bahawa walaupun sudah lama saling mengenali tetapi mereka masih tidak mampu mengenali rakan-rakan dalam keadaan mata tertutup. Bagi yang meneka dengan tepat pula menunjukkan mereka prihatin terhadap rakan sekeliling.

No comments: