Pages

Wednesday, May 09, 2012

Pemantauan

Tengah hari ini saya didatangi oleh dua orang pegawai Pusat Kegiatan Guru (PKG), untuk melihat dan memantau sejauh mana pelaksanaan aktiviti Pusat Sumber Sekolah (PSS). Saya menyedari betapa kerdil dan kurangnya kemampuan diri untuk menggerakkan aktiviti PSS, memantau proses merekod buku-buku dan bahan-bahan bukan buku serta tugasan-tugasan lain yang melibatkan penggredan PSS. Sejujurnya, saya ditugaskan memegang jawatan sebagai Guru Perpustakaan dan Media (GPM)/ Penyelaras PSS dalam keadaan   'kosong' (kosong pengetahuan dan perlu memulakan kerja-kerja PSS yang terbengkalai sejak beberapa tahun lamanya) bermula tahun 2009. Apabila pertama kali menghadiri mesyuarat PSS (majoriti 'orang-orang lama') diperingkat daerah, saya tercengang-cengang. Tidak faham walau sedikitpun input-input yang disampaikan dan diperbincangkan dalam mesyuarat. Bertitik-tolak daripada ketidak fahaman itu saya menyelongkar dan menjelajahi dunia PSS secara atas talian. Tidak putus-putus bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada 'orang-orang lama'. Adakala tugasan yang berat ini menjadikan saya semacam berputus asa. 

Tahun demi tahun jadual waktu mengajar bertambah dan sehingga kini saya masih diamanahkan menjawat jawatan ini. Sepanjang tempoh hampir empat tahun ini pernah saya menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan kepada guru besar. Namun kepercayaan dan keyakinan guru besar yang sangat mendalam terhadap saya telah menjadi penghalang untuk saya berbuat demikian. Bahkan guru besar juga adakala sanggup bersusah payah dan membantu meringankan kerja-kerja saya. Banyak perkara saya pelajari apabila berada dalam dunia PSS. Tidak dilupakan juga peranan dan bantuan rakan sejawat merangkap pembantu saya yang telah sama-sama bersengkang mata menjayakan dan menggerakkan aktiviti PSS. Hanya ini kemampuan yang dapat saya persembahkan kepada pihak sekolah dan PKG. 

Kepada guru-guru GPM, kalian tentu lebih memahami tugasan yang digalas ini. Hanya yang pernah menjawat jawatan ini mampu merasai. Dapatkah kalian bayangkan seorang guru GPM mengajar sehingga 39 waktu seminggu? Jika kalian di tempat saya, apakah yang bakal kalian lakukan? 

Kepada pegawai PKG En. Rusli dan Pn. Ayu, terima kasih kerana memahami dan memberi sokongan. Saya berazam untuk melakukan yang lebih baik daripada sekarang.  


Thursday, April 19, 2012

Allah, berkati hidupku

Syukur kepada Ilahi, atas nikmat usia ini
Masih dapat melihat dunia
Dimohon ibadatku dapat diganda
Bertambah amalan dan iman di dada
Moga matiku dalam redha.


Terima kasih kepada suami, sahabat handai dan rakan taulan atas tanda ingatan yang kekal abadi.

Tuesday, April 17, 2012

Suntingan terakhir

Ini adalah hari terakhir kerja-kerja suntingan dilakukan untuk buku cenderamata Malam Transformasi Gemilang SK Amar Penghulu. Setelah berbuas hati dengan dummy yang ada di tangan saya, barulah buku cenderamata boleh dicetak. Esok, pihak percetakan akan mula mencetak. Semoga segala urusan berjalan lancar. Kerja yang memerlukan ketelitian ini sangat menuntut komitmen dan pengorbanan. Meskipun saya keletihan berulang-alik dari sekolah ke kedai percetakan, diselangi tuntutan wajib hadir mesyuarat untuk program sekolah peringkat daerah tetapi saya gembira dapat menyempurnakan tugas ini. Terima kasih kepada rakan-rakan sejawat yang memberi bantuan dan sokongan. Kepuasan terhadap sesuatu kerja adalah apabila kita dapat menyempurnakannya hingga ke akhir dan dapat melihat hasilnya. Semoga Malam Transformasi Gemilang yang akan diadakan Jumaat ini berjalan dengan lancar.  

Wednesday, April 04, 2012

Tugasan Wajib vs Tugasan Sampingan

Rutin kerja sebagai seorang guru sangat sibuk. Tambahan pula saya seorang sahaja guru yang mengajar subjek Bahasa Arab di sekolah. Justeru, saya akan masuk ke kelas tahun satu hingga enam setiap hari berdasarkan peruntukan waktu yang ditetapkan. Disamping itu saya juga turut mengajar subjek Tilawah al-Quran Tahun satu hingga lima juga setiap hari. Jadi, dalam seminggu hanya kedapatan satu dua sahaja waktu senggang. Waktu senggang itulah memberi ruang kepada saya untuk menghela nafas. Pun begitu waktu senggang itu bukanlah waktu untuk berehat kerana itu adalah waktu untuk persediaan mengajar, kemaskini fail, buat kerja-kerja pentadbiran dan banyak kerja lain yang tidak tersebut di sini. Minggu ini pula saya ditugaskan membuat buku program untuk Majlis Malam Transformasi Gemilang SK Amar Penghulu. Memang inilah tugasan boleh dikatakan wajib dan berpencen untuk saya apabila ada majlis-majlis dan program-program di sekolah. Meskipun jadual waktu mengajar boleh dikatakan penuh, saya tidak terkecuali daripada mendapat tugasan yang berat dan memerlukan ketelitian. Tapi tak mengapa. Saya memang suka buat kerja yang melibatkan layout dan design. Mujur semasa menuntut di Universiti dahulu memang terlibat dengan kerja-kerja kepengarangan, pembikinan majalah dan penerbitan. Justeru, pengalaman sedia ada dapat dimantapkan supaya menjadi lebih pakar dalam bidang ini. Kepada penuntut-penuntut kolej atau universiti, usah menolak daripada melibatkan diri dengan kerja-kerja persatuan kerana kerja-kerja di bawah persatuan atau organisassi sangat membantu kalian untuk mengurus organisasi dan bekerja secara kolaborasi apabila terjun dalam dunia kerjaya kelak. Percayalah, jika kalian tidak ambil tahu tentang persatuan, tidak pernah mahu melibatkan diri dengan kerja-kerja berpesatuan nescaya akan terkial-kial, gelabah dan runsing apabila ditugaskan memegang sesuatu jawatan dan dimohon pula untuk menyempurnakannya. Percayalah, pengalaman adalah guru yang sangat baik untuk diri kita dan orang lain.

Saturday, March 10, 2012

Rindu Bertandang



 Petang ini saya dengan tiba-tiba terasa rindu seperti mahu membaca karya-karya terbaru Azizi Hj Abdullah. Namun itu mustahil dan kerinduan ini saya ubati dengan membaca semula novel Allahyarham, 'Kawin-Kawin'. Inilah novel Allahyarham yang pertama saya baca ketika usia 22 tahun. Betapa terlewatnya saya mengenali karya-karya beliau. Saya bukanlah insan yang tepat untuk berbicara tentang beliau. Namun, rasa kagum dan kehilangan yang masih menghuni hati sukar saya gambarkan.  Pemergian beliau pada 21 Ramadhan 1432 Hijrah bersamaan 11 Ogos 2011 menjadi satu kehilangan besar kepada perjalanan sastera bangsa di Malaysia. Meskipun sepanjang hayatnya beliau tidak menerima Anugerah Sasterawan Negara, namun terbukti kehebatan seorang sasterawan bukan terletak kepada anugerah. Sebaliknya sejauh mana karya-karyanya terus 'hidup' dalam jiwa rakyat merentas zaman ke zaman. Justeru, ini salah satu jalan untuk saya berbahagi rasa. Semoga hasil tangan dan minda beliau akan terus merakyatkan rakyat di Malaysia kerana Azizi mempunyai sentimen semulajadi yang kuat terhadap kehidupan yang ditanam dalam karya-karyanya.




Tuesday, February 07, 2012

Sollu alaika ya Rasulullah- Jaulah tempat bersejarah

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad s. a. w, pemimpin terulung dan pendidik teragung. Bersempena ulang tahun kelahiran baginda s.a.w, saya bersama suami dan anak-anak berkunjung ke masjid Tengkera, Melaka. Tujuan utama untuk berziarah dan beriktiqaf. Jaulah ke destinasi pertama ini memerlukan kami menginap di rumah persinggahan sementara di Durian Tunggal pada malamnya.

Sejarah Masjid Tengkera:

Masjid Tengkera merupakan sebuah masjid yang terletak di Tengkera dalam daerah Melaka Tengah, Melaka. Dibina pada tahun 1728 dan merupakan masjid bersejarah kerana dibina pada zaman pemerintahan Belanda. Masjid ini juga adalah masjid yang kedua tertua di Malaysia selepas Masjid kampung Hulu di Melaka.

Masjid ini mempunyai keunikan senibina dan reka bentuk lantaran membuktikan Islam telah bertapak di Melaka sejak 600 tahun yang lalu. Pada asalnya, masjid ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Indonesia. Masjid ini telah diperbaharui dua kali pada tahun 1890 dan 1910.

Pada jam 12.30 tengah hari, meneruskan perjalanan menuju ke Masjid Kampung Hulu, Melaka dan solat zuhur sebelum menuju ke rumah penginapan di Durian Tunggal, Melaka.
























Disamping itu, kami turut ke Pulau Besar, menziarahi maqam Sultanul Arifin. Dari jeti Anjung Batu untuk sampai ke Pulau Besar, perkhidmatan feri dan bot disediakan. Kami memilih feri memandangkan anak-anak masih kecil, justeru faktor keselamatan harus diambil kira. Sampai sahaja di jeti, para penumpang boleh sahaja memilih samaada mahu berjalan kaki menuju ke Pulau Besar atau menggunakan perkhidmatan van yang disediakan. Oleh kerana cuaca panas, ketika itu sekitar jam 12.30 tengah hari, tentunya kami memilih perkhidmatan van dan yang unik, van-van yang membawa penumpang ke Pulau Besar bergerak mengundur oleh kerana jalan di jeti tersebut sehala (muat sebuah van sahaja). Makan tengah hari di sana, solat seterusnya menziarahi maqam. Usai menziarahi maqam, kami memilih berjalan kaki (400 meter) sambil mengendong anak menuju ke jeti Pulau Besar untuk pulang ke penginapan kedua Alisya Homstay, jalan Semabok berhampiran Bandar Hilir, Melaka.

Saya akhiri catatan jaulah ini dengan ucapan selamat membaca, tiba masa untuk pulang ke Seremban. Jumpa kembali di lain entri.






+ Catatan ini perlu disiapkan di sini oleh kerana apabila tiba di rumah saya tidak dapat online kerana masalah internet yang tidak dapat dielakkan. Justeru ada foto-foto yang belum sempat di edit dan terus saya muat naik daripada kamera yang bersaiz foto 8mp. Foto-foto akan di edit jika ada masa terluang di tempat kerja.