Pages

Sunday, April 30, 2006

BAIT PUISI YANG INDAH

BAIT PUISI YANG INDAH


Oleh Shafie Abu Bakar

Keluh gemuruh
di dada kukuh
ialah pengakuan
ialah keyakinan
bermula dari lisan
menghunjam ke tangkai iman
di mana terlihat
di sana isyarat
ayat-ayat Allah
meliputi menyelubungi
Maha Suci.

* Sajak saya "Duniaku" tersiar di Tunas Cipta (TC) edisi Mei.

Wednesday, April 19, 2006

ADAKAH ESOK MASIH ADA?


Image hosting by Photobucket

Setingkat usia bertambah
dengan tanda tanya (?)
setitis insaf mengalur wajah
dengan tanda tanya (?)
adakah esok masih ada?
untuk beramal tanpa sudah
sebelum menjelang usia senja.

Syarifah Salha Syed Ahmad
19 April 2006.

Saturday, April 01, 2006

MAJLIS PENJELASAN ISU SEMASA

Semalam saya menghadiri majlis Penjelasan Isu Semasa anjuran JAKIM di Putra Jaya. Saya bersama kakitangan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan bertolak dari Hotel Concorde KLIA ke Putra Jaya pada jam 7.40 pagi, kerana pada Khamis sebelumnya kami bermalam di sana. Seterusnya pada jam 8.30 pagi bersarapan di Kafe Pusat Konvensyen Antarabangsa Putra Jaya (PICC) dan masuk ke Dewan Perdana PICC pada jam 9.00 pagi. Kami menunggu ketibaan Y.B Dato' Dr. Masyitah Ibrahim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Y.B Dato' Hj. Mohd Shafie Hj. Apdal, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Y.Bhg. Dato' Mustafa Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sehingga jam 9.35 pagi. Seterusnya mendengar sepatah dua kata daripada Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg Dato' Mustafa Abdul Rahman sebelum mendengar taklimat dan penjelasan isu semasa daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Hj. Mohd Shafie Hj. Apdal. Isu semasa yang menjadi fokus utama diperkatakan menjurus kepada fakta-fakta kenaikan harga produk petrolium, sebab-sebab dan implikasinya. Selain itu turut disentuh beberapa isu, saya kira sejak dahulu sudah diperkatakan namun menjadi semakin hangat dan terkini apakala perbincangan dan isu-isu tersebut masih enggan menerima perubahan meskipun telah banyak usaha dijalankan. Saya tertarik dengan satu pengucapan dan pengkajian yang telah dilaksana dan dinyatakan oleh Dato' Hj. Mohd Shafie Apdal berkaitan wang kerajaan yang telah banyak dibelanjakan untuk pembangunan pendidikan negara. Fakus utama, beliau menyorot kembali kebanyakan penuntut-penuntut universiti luar negara enggan pulang berkhidmat di tanahair. Sedangkan Malaysia amat memerlukan tenaga pakar dalam sesuatu bidang khususnya kedoktoran. Akibatnya, kerajaan Malaysia terpaksa mengimport beberapa orang tenaga pakar dari luar negara untuk menampung kekurangan tersebut. Lantaran itu, sejumlah besar kewangan negara terpaksa dialirkan kepada hal yang berkaitan demi memberi perkhidmatan dan sumbangan yang memuaskan kepada rakyat.

Tuntas saya menyimpulkan, andai kita pada hari ini asyik berbicara soal kenaikan harga barang, harga produk petrolium dan sebagainya daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara, usah menunding jari kepada sesiapa punca berlaku semua ini. Lihatlah kepada diri sendiri, sejauh mana kita mengamalkan sikap suka berjimat, tidak mementingkan diri sendiri dan menghormati hak-hak orang lain. Juga ingat-ingatlah pepatah Malayu "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri." Jangan mengharap yang indah-indah andai tidak berusaha mendapatkan yang indah. Usah pula mudah melatah, andai sekali tercuit dihimpit susah ingat-ingatlah kepada Allah.

Saya terfikir, pasti banyak peruntukan kewangan yang telah diberi oleh kerajaan Malaysia kepada pihak JAKIM untuk mengadakan program sehari tersebut dengan harap rakyat Malysia mengerti apa yang terjadi dekad ini. Tetapi saya juga tertanya-tanya, adakah ini akan memberi impak yang bagus kepada rakyat andai rakyat itu sendiri enggan mengubah nasib dan sikapnya? Bukankah lebih bagus mengubah dan memperbetulkan sikap sendiri daripada mengharap orang lain yang memperbetulkan sikap dan diri kita?

Pengalaman yang sekejap itu cukup bermakna kerana saya dapat melihat pelbagai perkara, pelbagai ragam manusia dan seronok mentafsir segala yang yang terjadi di depan mata. Lalu, teringin memanjangkan cerpen baru saya Kiamat Sudah Dekat menjadi sebuah novel. Ya, dengan harap cita-cita bukan angan-angan kosong tetapi harus disusuli dengan usaha kerana setiap pengalaman adalah ilham dari Yang Maha Pencipta.