Pages

Thursday, August 31, 2006

SALAM ULANG TAHUN KEMERDEKAAN

SALAM ULANG TAHUN KEMERDEKAAN


Untuk Negaraku Malaysia, Salam Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke-49 tahun. Semoga kaki yang berpijak di atas perutmu adalah kaki-kaki yang mendapat izin dan restu daripada Allah untuk terus menghuni rumah hatimu. Kepada saudara-sadara Islamku di seluruh dunia, kupanjatkan doa agar Allah S.W.T melindungi dan merahmati hidup kalian walau di mana berada.

Sunday, August 27, 2006

KUCING, KAMBING DAN AYAM JUGA

KUCING, KAMBING DAN AYAM JUGA

Entri kali ini aku memilih untuk menggunakan kata ganti nama pertama, 'AKU'. Bukan apa, aku rasa 'AKU' lebih sesuai berbanding 'SAYA'. Tapi untuk entri kali ini sahaja. Juga untuk entri-entri yang aku rasakan sesuai untuk aku berkata 'AKU'.

Jangan difikirkan tentang 'AKU' yang tiba-tiba mahu berkata 'AKU'. Tapi aku berharap yang membaca entri ini sudi membaca apa yang mahu aku tulis selepas ini.

Aku mulakan kisah aku. Aku sangat suka memelihara binatang ternakan. Aku ada tiga ekor kucing. Aku ada 11 ekor kambing. Ayam aku pula sangat tidak terkira berapa ekornya. Meskipun ada memelihara ayam, namun aku tidak suka bercerita tentang ayam. Bukan kerana 'ayam' banyak maksud. Tetapi, ayam aku memang tak faham bahasa aku, hanya faham bahasa abah aku sahaja. Aku hanya suka bercerita tentang haiwan-haiwan yang faham bahasa aku.

Aku memang selalu bercakap dengan kucing dan kambing aku. Aku ini bukanlah macam Eddie Murphy yang boleh bercakap dengan semua haiwan seperti dalam filem Dr. Dolittle dan Dr. Dolittle 2.

Paling seronok, setiap kali aku bercakap dengan haiwan-haiwan peliharaan aku ini, haiwan-haiwan ini akan memberi respon yang baik. Apabila aku panggil nama seekor demi seekor, haiwan-haiwan peliharaan aku ini akan memandang aku dan membunyikan suara kucing dan kambingnya.

Jika aku tanya: Comel (nama kucing aku), nak makan ke? Comel akan jawab: iya (dalam bahasa kucingnya yang berbunyi 'miau').

Kucing aku yang bernama Comel, mulutnya sangat leter. Kalau aku bercakap memang dia akan menjawab dan beri respon. Memang mulutnya bising macam 'mulut Murai'.

Kucing aku yang namanya Black pula, boleh tahan juga mulutnya. Tapi tidaklah seleter mulut Comel. Cuma Black yang kurus kering ini memang suka cari gaduh. Kalau makan pula, Black tidak akan makan dengan puak-puak kucing. Tapi Black akan makan dengan puak-puak manusia. Maksud aku Black akan makan disebelah aku. Kalau aku sediakan lauk yang istimewa sekalipun untuk Black, Black tidak akan makan kecuali duduk sekali disebelah aku atau ahli keluarga aku.

Seekor lagi kucing aku namanya Epok (nama manjanya. Nama asal Tompok). Epok ini badannya sangat montel. Bulunya lembut dan bersih (sebab Epok rajin mandi, tak takut air berbanding Black dan Comel yg jarang mandi sebab takut air).

Epok ni berlagak sikit dengan aku. Sombong konon. Tapi bila nak makan friskies, Epok akan cari aku. Mula berlegar, pusing-pusing dan sondol kepalanya pada kaki aku. Itu tanda Epok sedang kelaparan. Epok tak suka makan nasi dengan ikan. Makanan Epok hanya friskies dan sekali-sekala sahaja akan makan nasi dan ikan. Epok sangat pendiam dan susah sekali nak dengar suaranya.

Tapi semua kucing aku memang bagus. Sebab kucing-kucing aku suka tidur dengan aku. Faham bahasa aku. Manja dan mengada-ngada. Aku suka perangai dan ragam kucing-kucing aku.

Kambing aku pula, tak larat aku nak taip namanya di sini. Aku sebutkan sebahagian sahaja. Ada yang bernama Bujang, Lapok, Amoi, Labu, Do, Me dan lain-lain. Dalam banyak-banyak kambing aku ni, aku suka yang namanya Labu. Warna kulitnya memang sama sangat-sangat dengan warna buah Labu. Nama kambing-kambing tu Emak aku yang berikan. Mak aku kalau bab meletak nama kambing memang expert.

Aku suka kepada Labu sebab Labu ni mengada-ngada. Suka terkinja-kinja, Sekejap turun dan sekejap naik atas tangga rumah. Labu jadi ketua mengajar adik-beradiknya yang lain turun naik tangga.

Pernah satu hari (sebenarnya banyak hari), kepala labu tersepit dicelah Reban. Tak sabar sangat nak keluar reban, konon nak ikut jalan pintas akhirnya kepala tersebit. Apa lagi kecoh satu reban sebab Labu terjerit dan terlolong minta dilepaskan kepalanya.

Sekarang kaki sebelah kanan Labu patah akibat tersepit dicelah pintu rumah. Ha, padan muka kau Labu degil sangat. Dah banyak kali pesan tapi tak nak dengar cakap orang. Aku, emak dan abah serta adik-adik tak fasal-fasal jadi doktor, merawat. Bila kaki Labu sudah berbalut, Labu tak dapat lagi nak buat adegan stunt. Tunggulah kaki sembuh dulu Labu. Labu tak habis menuntut lagi dah pandai-pandai tunjuk lagak.

Memang seronok kalau binatang peliharaan boleh faham cakap manusia. Memang senang didik anak-anak kucing dan anak-anak kambing daripada didik anak-anak manusia.

Aku, emak dan abah punyai citarasa yang sama. Suka kepada haiwan. Aku suka kucing, emak suka kambing dan abah suka ayam. Adik-adik aku juga sebenarnya sangat suka kepada haiwan. Kami sekeluarga memang suka kepada haiwan.

Ekonomi rumah pun dah semakin meningkat sebab abah aku terpaksa menyara anak-anaknya yang ramai dikalangan manusia dan binatang peliharaan. Gaji aku tiap-tiap bulan pun aku peruntukkanlah sedikit untuk binatang-binatang kesayangan aku ni. Perlu beli friekies untuk kucing aku, biskut untuk kambing aku dan jagung ayam untuk ayam aku.

Aku memang 'tabik' kepada abah sebab abah adalah seorang ayah yang baik dan sangat suka beri makan kepada anak-anak ayam, kambing dan kucing, sehingga ada anak ayam kami yang pengsan kerana terlalu kenyang.

Selepas ini aku memang sibuk. Banyak kerja perlu aku bereskan. Jadi tataplah entri aku ini puas-puas. Kalau berkesempatan dan banyak masa senggang, aku akan update blog aku ni. Jumpa lagi!

Saturday, August 19, 2006

ANTOLOGI PUISI GRUP KARYAWAN LUAR NEGARA: AL ANDALUS MENANGIS

Antologi Puisi Grup Karyawan Luar Negara: Al Andalus Menangis


Bakal terbit!!!

Antologi puisi pertama Grup Karyawan Luar Negara berjudul Al Andalus Menangis bakal berada di pasaran tidak lama lagi. Menampilkan hampir 130 buah puisi daripada 20 orang penulis muda GKLN termasuklah:

1) Assyaffa (Dublin, Ireland)
2) Asyrafdini (Amman, Jordan)
3) Ainun Nazrin KZ (Dublin, Ireland)
4) Atikah Azit (Dublin, Ireland)
5) Bint Al-Huda Kamarudin (Dublin, Ireland)
6) Fahd Razy (Dublin, Ireland)
7) Fazleen Razali (KMB)
8) Fieza Nur (Dublin, Ireland)
9) Firrus Hayat (Cork, Ireland)
10) Hafez Iftiqar (Melbourne, Australia)
11) Ida Sakinah Muhammad (Southampton, UK)
12) Kausar Jiwa (Loughborough, UK)
13) Khadijah Khalilah Abdul Rashid (Morocco)
14) Khairiah Jaafar (Dublin, Ireland)
15) Mardhiah Masharuddin (Galway, Ireland)
16) Mohd Bakri Bakar (Dublin, Ireland)
17) Muharikah (Dundee, Scotland)
18) Nur Firdaus Mohd Rus (Moscow, rusia)
19) Nurani Haza (Auckland, New Zealand)
20) Syarifah Salha Syed Ahmad (Al Azhar, Mesir)


Nantikan kemunculannya!

Tuesday, August 15, 2006

DR RAIS MARAH GELAGAT AMANI

Dr Rais Marah Gelagat Amani

DI atas alasan apa sekalipun, ungkapan "It will sound stupid, if I speak Malay" mendatangkan rasa dukacita dan kemarahan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang menganggapnya terang-terangan menghina bahasa bahasa dan budaya Melayu.


Ungkapan itu antara perkataan yang dikeluarkan pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM19), Sharifah Amani semasa berucap selepas menerima trofi kemenangannya dari pelakon veteran, Rubiah Suparman dan Datuk Rahim Razali.

Perkataan lain yang dikeluarkan pelakon muda ini ialah, "Lets do it more often if filem ini dikatakan mencemarkan budaya." Ucapannya yang dianggap sebagai kurang ajar itu mengejutkan hampir seluruh yang hadir di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dan sekali gus merosakkan acara FFM19.

Dr Rais yang ditemui media selepas acara itu berlangsung, berkata ucapan Sharifah Amani yang dirujuknya sebagai 'bintang filem perasan' itu, sebagai terlalu merendahkan reputasi bangsa dan bahasa sendiri.

"Sebutan yang dikeluarkan pemenang tertentu mungkin lantaran rasa 'gubra' lantas merendahkan bahasa dan bangsa sendiri. Saya harap bintang filem seperti ini jangan diajak ke atas pentas lagi untuk memberi ucapan.

"Sebab apa yang disebutkan itu terlalu merendahkan reputasi bangsa dan bahasa sendiri. Jadi kalau seorang bintang filem berperasaan begitu, masa depan filem tempatan kurang dapat saya apitkan dengan kejayaan," katanya lagi.

Tambah Dr Rais lagi, beliau memang duka cita dengan gelagat 'bintang filem itu' dan yakin perasaan itu akan turut dirasai penonton yang menonton siaran langsung FFM19.

"Caranya mencemarkan keadaan. Tentu sekali penonton seluruh tanah air memberi reaksi yang sama. Jadi sebelum surat mencurah-curah (menyatakan tidak puas hati) kepada saya, lebih saya buat pengumuman yang saya sendiri dukacita di atas gelagat bintang filem seperti itu," katanya.


Menurutnya, walaupun bagaimana emosi pun, sebagai seorang pelakon, sekurang-kurang jiwa berpijak di bumi nyata, tidak sepanjang masa melihat bintang di langit. "Kalau seorang (dari kaum) India dia tak mengatakan "sound stupid, to speak Indian or Tamil", (sedangkan) dia seorang Melayu dia mengatakan "sound stupid, if I speak Malay".

"Tidak ada cara lain yang paling dahsyat saya rasa, bagi seseorang pelakon menyatakan sedemikian, di khalayak ramai dan seantero tanah air. Saya harap ibu bapanya mengajar sedikit budi bahasa. Belajar bagaimana bercakap dan tidak mengeluarkan kata-kata yang menghina bangsa dan bahasa sendiri."

Macam mana seronok pun, takkan kita hilang punca. Kalau nak menjatuhkan bahasa sendiri tak usah sebut kepada orang ramai. Kami di kementerian (Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan) mengajar orang berbudi bahasa, berbahasa dengan baik.

"Tapi bintang filem naik pentas, lanyak bahasa sendiri, lanyak bangsa sendiri. Ini saya tidak boleh maafkan!" sambungnya lagi. Sehubungan itu, Dr Rais memberi amaran kepada semua pihak yang menganjurkan, kalau masih ada perkara seperti ini, lebih baik jangan diadakan.

"Sebab mahu tak mahu, kerajaan Malaysia terbabit dalam anjuran ini. Orang memandang kerajaan, orang memandang KeKKWa. Ini yang orang tak faham. Jadi saya mohon penganjur berbudi bahasa dan kalau tidak boleh bercakap, jangan bercakap," katanya sambil menyerahkan isu itu kepada PFM untuk mengambil tindakan sewajarnya.


Sumber:Berita Minggu, 15 Ogos 2006.

Thursday, August 10, 2006

KENANGAN DI COSTA-RICA

KENANGAN DI COSTA- RICA




Rata-rata penulis yang mengikuti seminar Persuratan dan Peradaban Nasional di Port Dickson 4-6 Ogos lalu, melaporkan pengalaman yang hampir sama di blog masing-masing. Biar saya menulis catatan polos ini dari sudut yang berbeza. Semasa di sana saya di tempatkan dalam Bengkel Pantun. Pembimbingnya adalah Cikgu Ali Badron. Meskipun saya menggemari pantun namun saya tidak mahir bikin pantun yang mempunyai lapan rima. Kebiasaan hanya berjaya menghasilkan empat rima sahaja.

Tips ini diberikan oleh Cikgu Ali untuk menjadi seorang pemantun yang baik:

+ Pantun perlu mempunyai:

1. Nilai sejarah.
2. Nilai moral.
3. Menggambarkan persekitaran atau alam
4. Andaian yang munasabah.

Contoh:

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.

* Menurut Cikgu Ali, dari Pulau Pandan memang dapat dilihat Gunung Daik. Justeru Pulau Pandan dan Gunung Daik berada dalam lingkaran yang sama. Inilah yang dikatakan pantun yang mempunyai andaian yang munasabah.

+ Pantun yang baik adalah:

1. Baris pertama dan kedua mempunyai kaitan.
2. Ada cerita ataupun kisah.
3. Perkataan yang mudah-mudah dan senang difahami.

+ Pantun yang kurang baik atau bersalahan:

1. Baris pertama dan kedua tiada kaitan.

Contoh:

Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Sungguh jauh beribu batu
Hilang di mata di hati jangan.

* Pucuk pauh dan anak sembilang tiada kaitan dan persamaan yang boleh dijodohkan dan dijadikan rantaian kisah.

2. Tiada cerita ataupun tiada kisah.

+ Pantun yang lemah:

1. Setiap baris ada kaitan tetapi rima tidak sama.

+ Pantun yang baik dari sudut pengadilan:

1. Baris pertama dan kedua ada kaitan.
2. Ada cerita atau kisah.
3. Rima di tengah dan di hujung untuk pembayang dan maksud adalah sama.

Contoh:

Tumbuh tinggi pohon kelapa
Masak tua dibuat santan
Indah budi kerana bahasa
Indah bahasa apa gerangan?


+ Format pertandingan pantun:

1. Mesti ada soalan yang harus ditanya.
2. Intonasi seperti pantun yang dibacakan oleh Nordin Ahmad (Pantun dagang Pak Malau), bukan intonasi yang biasa diperdengarkan dalam pertandingan pantun (intonasi yang tinggi di hujung suara).
3. Jangan bertanya: Kalau tuan bijak pandai (yang seumpamanya) kerana melanggar nilai estetika.
4. Jangan guna bahasa baku kerana akan menghilangkan keindahan pantun.

Demikian catatan ringkas untuk Seminar Persuratan yang telah berlangsung. Mungkin ada tips-tips yang tertinggal tidak dapat saya catatkan. Ini adalah kenangan yang sangat berharga, kerana saya memperolehi sesuatu yang sangat bermakna.

Wednesday, August 02, 2006

LAGI RAGAM MURID

Lagi Ragam Murid



Semalam, saya amat keletihan. Dalam kotak fikir sarat dengan pelbagai perkara yang minta dilunasi. Terubat seketika keletihan saya apakala tiga orang anak murid perempuan menyambut kedatangan saya di perkarangan sekolah. Mereka meminta izin kepada saya untuk membawa buku-buku yang penuh di tangan saya. Hingga tas tangan saya juga mahu di bawanya. Alangkah bahagianya jika suatu masa kelak saya mempunyai anak-anak yang begini akhlaknya. Jika semua anak murid beradab dan bersopan santun tidaklah guru-guru sakit jiwa. Seperti biasa selepas memberi ucapan salam, mereka membaca doa dan surah al-Fatihah. Saya masih ingat pesanan guru saya: mulakan pembelajaran murid-murid dengan bacaan surah al-Fatihah kerana itu adalah Ummul Kitab atau dikenali juga sebagai Ummul Quran, Ummul Furqan dan Sab'ul Mathani.

Tetapi, semalam murid-murid saya agak berlainan sedikit tingkah lakunya. Kebiasaan apabila mereke bising, saya akan bertanya dengan nada yang mendayu: tahun satu, ini kelas atau pasar? Lalu mereka akan menjawab dengan nada yang mendayu juga: kelas, ustazah. Mereka sudah faham, jika saya bertanya begitu bererti saya tidak suka mereka berbuat bising di dalam bilik darjah. Justeru itu mereka akan terus 'tutup mulut' setelah saya bertanya yang demikian. Jika ada juga yang berbuat bising, akan bersuaralah seorang dua dari kalangan mereka dan bertanyakan soalan yang sama: kawan-kawan, ini kelas atau pasar? Semalam mereka terlalu sukar 'tutup mulut'. Meskipun saya berpesan supaya jangan berbuat bising, tetapi kebisingan itu reda seketika cuma. Tangan mereka menulis kerja yang saya bekalkan tetapi mulut juga turut bercakap. Sungguh! Saya perlu banyak bersabar.

Untuk mengelakkan hati saya membengkak dengan sikap mereka, saya buat pengumuman supaya mereka beratur. Apa lagi sukalah mereka. Ada yang bertanya: ustazah, kita nak ke mana? Saya senyum sahaja apakala soalan itu diajukan kepada saya. Tahu apa yang saya lakukan kepada mereka? Saya minta ketua darjah menghampiri saya dan saya berpesan: Ummi (nama anak murid saya yang memegang jawatan ketua darjah), kamu dan kawan-kawan lain pergi ke setiap kelas jumpa cikgu yang mengajar dalam kelas itu. Kemudian kamu katakan kepadanya: cikgu, kami murid tahun satu didenda kerana kami buat bising di dalam kelas.

Setelah saya berpesan begitu mereka memandang saya dengan pandangan yang sayu. Aduh! Saya sangat lemah dengan pandangan anak murid yang meminta belas kasihan. Namun begitu mereka tetap melaksanakan arahan saya. Mereka agak takut-takut berani juga untuk masuk ke dalam setiap kelas. Tetapi berjaya juga kawal muka yang sudah merah-merah kerana malu dan terluncur juga ayat: cikgu kami didenda kerana buat bising dalam kelas.

Sekembali daripada setiap kelas, mereka terus berpusu mengelilingi saya. Saya lihat ada wajah-wajah kesal dan ada mata-mata yang merah menahan tangis. Saya bertanya: apa yang guru-guru setiap kelas lakukan kepada kamu? Mereka menjawab: cikgu dan ustaz pesan supaya minta maaf kepada ustazah. Mereka kata kami mesti janji supaya tidak akan buat bising lagi. Saya bersuara: oh begitu! Tapi kalau kamu buat bising lagi apa yang akan terjadi? Mereka jawab: kalau buat bising lagi kami akan masuk dalam api neraka. Aduh! Bijaknya murid-muridku. Saya pura-pura merajuk dan saya berkata: kalau ustazah tak mahu maafkan kamu macama mana? Mereka semua terdiam. Mereka pegang tangan saya dan meminta simpati: ustazah maafkanlah kami. Saya tidak sampai hati melihat mereka begitu. Akhirnya saya hulurkan tangan dan setiap orang daripada mereka mengucup tangan saya sambil berkata: ustazah, saya minta maaf dan janji tak buat bising lagi. Sebak rasanya hati ini.

Namun saya cukup sebak apakala seorang murid lelaki yang sangat terkenal dengan kenakalannya menghulur tangan kepada saya. Matanya berkaca dan dia mengucup tangan saya dengan juraian airmata. Terlalu! Sebaknya hati saya. Dia menangis teresak-esak dan meminta maaf serta berjanji tidak akan buat bising lagi. Murid-murid lain turut sebak. Ada yang berkata: ustazah, saya tak boleh tengok orang nangis sebab saya juga rasa nak menangis. Saya juga rasa mahu menangis ketika itu apakala terkenang sikap mereka yang adakala nakal dan adakala manja. Lalu saya usap kepala murid lelaki yang menagis itu dan saya kata kepadanya supaya jangan menagis lagi. Setelah itu dia duduk dan terus membuka buku sambil tangan menyeka airmata yang tak henti-henti keluar. Dia menundukkan wajah barangkali kesal di atas perbuatannya.

Untuk menghiburkan kembali hati mereka yang kesedihan, saya minta mereka menutup mata dengan sapu tangan. Saya kemaskan ikatan dan kemudian memegang tangan salah seorang daripada mereka lalu membawanya keluar daripada tempat duduk. Saya minta yang lain supaya jangan bersuara. Kemudian saya bawa beberapa orang lagi keluar daripada tempat duduk. Seterusnya saya dekatkan mereka dan minta mereka meneka siapakah rakan yang berada hampir dengan diri masing-masing. Untuk mengenal pasti, saya beri peluang mereka menyentuh wajah rakan masing-masing. Ada yang meneka dengan tepat siapa rakan yang hampir dengan mereka dan ada juga yang tekaannya tersasar.

Kesimpulan daripada permainan itu, saya nyatakan bahawa walaupun sudah lama saling mengenali tetapi mereka masih tidak mampu mengenali rakan-rakan dalam keadaan mata tertutup. Bagi yang meneka dengan tepat pula menunjukkan mereka prihatin terhadap rakan sekeliling.