Pages

Sunday, September 28, 2008

Menjelang Syawal

Oleh Syarifah Salha Syed Ahmad


DUA hari sudah berlalu. Rumput-rumput panjang keliling rumah masih belum habis dipangkas. Mesin rumput mula buat ragam. Sekejap berfungsi, sekejap tidak. Ada-ada saja ragamnya. Menjadikan kerja-kerja Tok banyak tertangguh.

Belakang Tok mula rengsa-rengsa dan anatomi tubuh juga turut menua. Tok tidak larat berlama-lama menyandang mesin. Dahulu sebelum Abang Farid belikan mesin, Tok pangkas rumput guna sabit saja. Tiga hari boleh siap. Badan Tok juga tidak sakit-sakit. Malah, bertambah sihat kerana sentiasa berpeluh.

Tok tidak suka biarkan kerja-kerjanya terbengkalai, sebab itu Tok terus pangkas rumput dengan sabit. Tok buat sikit-sikit hingga keliling rumah tampak bersih dan indah dipandang mata.

Tok tidak salahkan Abang Farid mahu beli mesin rumput. Barangkali, Abang Farid kasihan tengok Tok terbongkok-bongkok menyabit rumput. Sebab itu Abang Farid belikan mesin. Masa mula-mula beli tidak pula meragam. Semenjak dua menjak ni saja buat ragam. Sama dengan tubuh renta Tok yang kerap sakit-sakit dan meragam juga.

Tinggal dua hari saja, Syawal akan menjelma. Persiapan menjelang raya masih banyak belum dibereskan. Buluh untuk buat lemang dan panjut belum dicari. Daun pisang buat lapik isi buluh lemang juga belum disediakan. Kayu buat unggun api pula belum dikapak. Begitu Tok mencongak-congak kerja yang akan dilakukannya menjelang raya.

Tahun ini pelajar sekolah dapat cuti dua hari sebelum raya. Selepas raya hanya dapat cuti satu hari sahaja. Mujur Sabtu dan Ahad juga cuti. Menjadikan jumlah cuti raya kira-kira satu minggu. Alangkah gembira hati Muslih, cucu tunggal Tok kerana dapat berlama-lama berhari raya.

Hari ini Muslih berpuasa. Baru sembilan hari jumlah puasanya. Muslih mahu cukupkan sepuluh hari. Meski tidak sampai 30 hari berpuasa, Muslih tetap gembira kerana jumlah puasanya bertambah berbanding tahun lepas, hanya lima hari.

Tok lihat jarum jam menunjukkan pukul 8.00 pagi. Muslih masih cendera tidurnya. Melihat tampang Muslih yang comel dan tubuhnya yang tembun, buat hati Tok rasa kasihan. Tok tidak sampai hati mahu kejutkannya. Lagipun Muslih sudah solat subuh. Jika digerakkan awal pagi khuatir Muslih cari alasan untuk buka puasa. Muslih memang begitu, suka bangun lewat teangahhari apabila berpuasa. Muslih selalu cakap kepada Tok: kalau Leh bangun lewat sikit taklah rasa lama sangat posa. Leh letihlah, nak tunggu sampai berbuka nanti. Begitu alasan yang selalu Muslih berikan kepada Tok. Tok hanya mampu tersenyum dan bercanda pula: orang yang bangun lewat puasanya terbatal. Cuba tengok perut Leh yang kembung! Tentu banyak telan air liur. Tok suka benar 'menyakat' Muslih yang baru mencecah usia enam tahun itu. Tok suka lihat tampang Muslih kemerah-merahan apakala 'disakat'. Sambil senyum-senyum simpul, Muslih akan usap-usap perut buncitnya, macam perempuan mengandung empat bulan.

Sejak dilahirkan Muslih memang tinggal dengan Tok dan Nek. Tok merayu kepada Abang Farid dan Kak Soraya supaya jangan bawa Muslih tinggal di Kuala Lumpur. Tok khuatir Muslih akan membesar dengan cara budak-budak bandar. Lagipun Abang Farid sangat sibuk di hospital menguruskan pesakit. Kak Soraya pula sibuk mengajar di universiti. Sekejap kursus sana dan sekejap kursus sini, sebab itu Tok lebih senang lihat cucu yang sorang itu tinggal dengannya di kampung.

Tok buat semua itu untuk kesejahteraan mereka juga. Cuti hujung minggu boleh saja mereka pulang, jenguk Muslih. Setidak-tidaknya dapat juga jenguk Tok dan Nek yang sudah tua. Alhamdulillah, hasrat Tok tidak dibantah oleh Abang Farid dan Kak Soraya meskipun kedua-duanya berat hati mahu tinggalkan Muslih.

Tok tidak terniat mahu pisahkan mereka anak-beranak. Memisahkan orang anak-beranak memang pedih. Umpama kematian orang tersayang. Tok pernah merasai perit-pedih dipisah-pisahkan anak-beranak. Ketika itu, zaman penjajahan Bintang Tiga. Betapa hancur-luluh nubari saat Tok terpisah dengan kedua orang-tuanya. Bertambah pedih pilu saat Tok dikhabarkan akan berita pembunuhan kedua-dua ibu-bapanya.

Tahun ini Nek tidak akan buat banyak kuih. Kak Soraya maklumkan mahu beli 'kuih tunjuk'. Apa boleh buat, anak menantu mahu belikan, Nek menurut saja. Buat kuih banyak-banyak membazir pula. Cucu tidak ramai. Siapa pula mahu makan. Membazir juga amalan syaitan dan Nek teringat kalam Allah dalam Surah al-Israk ayat 27, "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu, adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat ingkar akan Tuhannya." Justeru, Nek ambil keputusan bersederhana sahaja dalam setiap perbuatan dan tingkah laku. Nek tidak mahu tergolong dalam golongan yang dimaksudkan oleh Allah dalam surah tersebut.

Malam ini Nek perlu bersihkan para-para yang bersawang. Cadar, langsir dan sarung kusyen yang dibasuh semalam perlu di pasang semula. Daun ketupat dianyam. Ayam kampung yang disembelih oleh Tok perlu dicabut bulunya. Abang Farid anak tunggalnya gemar amat makan ketupat cicah rendang ayam kampung. Menantunya Kak Soraya pula gemar makan ketupat cicah kuah kacang. Begitu Nek berkira-kira mahu menyudahkan kerja-kerjanya yang masih berbaki. Menjelang Syawal nanti, dapat juga Nek berehat dan memperbanyakkan amal ibadat di malam terakhir Ramadan. Esok, lemang kesukaan Tok dan cucunya, Muslih perlu dibakar. Namun entah bila Tok mahu ambil buluhnya. Nek tidak kuasa mahu paksa-paksa. Tahulah Tok membuat kerja-kerjanya. Begitu perkiraan Nek.

Hari ini langit cerah. Kepul-kepul awan yang memutih sangat indah dipandang. Tiada tanda-tanda bahawa hari ini akan hujan seperti selalu. Tok tidak mahu berlengah. Tinggal dua hari saja Aidilfitri akan menjelang. Tok mahu ke sungai ambil ruas buluh untuk buat lemang dan panjut. Muslih, suka benar makan lemang. Jika Muslih tahu Tok hendak ke sungai, tentu Muslih mahu ikut.

Tok masih berkira-kira mahu ajak Muslih atau tidak. Jika tidak ajak, tentu Muslih akan 'tunjuk rasa', mengurung diri dalam bilik dan tidak mahu makan walau sebutir nasi. Itu yang buat Tok rasa serba salah. Jika tidak diikutkan ragam cucu yang seorang itu, Tok juga yang akan dapat susah.

Tok ikat parang berserta sarungnya di pinggang dengan tali. Tok cuma pakai kain pelikat yang digulung hingga ke paras betis dan juga kemeja lusuh. Tok juga pakai kopiah yang sudah kekuningan dan dipenuhi tompok-tompok hitam. Tok terjengkit- jengkit pijak lantai rumah. Tok goncang tubuh Muslih perlahan-lahan. Tok bisik-bisik ke telinga Muslih beritahu hendak ke sungai. Mendengar begitu, Muslih cepat-cepat bangun, terpisat-pisat menuju ke bilik air lalu mencuci muka. Muslih ambil parang plastik yang Tok beli di kedai Tauke Chin tiga hari lepas, lalu ikat di pinggang serupa macam Tok buat.

"Leh, janji ya! Jangan bagi tau Nek."

Tok letak jari telunjuk atas bibir, beri isyarat supaya Muslih faham.

"Ok! Leh janji."

Muslih angguk-angguk tanda faham.

Tok dan Muslih berjalan senyap-senyap menuju ke sungai tanpa pengetahuan Nek. Jika Nek tahu Tok bawa Muslih, pasti Nek akan protes. Mujur Nek tidak nampak kerana ralit menyiram sayur-sayuran di kebun.

Sepanjang perjalanan, Tok bernyanyi kecil lagu Allahyarham S Jibeng, "Musafir di Aidilfitri." Hati Tok sangat girang. Tok mahu Muslih makan lemang yang dibuat oleh Nek. Nek memang pandai buat lemang. Cukup santan dan cukup rasa. Sebab itu lemang yang Nek buat sangat lemak dan sedap. Tambahan pula, Tok sendiri pandai kawal api supaya lemang tidak berkerak dan keras. Lembut apakala dimakan. Tok sedia maklum, lemang yang dibeli tidak sesedap seperti yang dibuat sendiri. Khuatir jadi seperti tahun lepas, lemang basi sebelum sempat dimakan. Apakan daya, tahun lepas Tok tidak berkesempatan cari buluh lemang kerana hujan turun lebat pada penghujung Ramadan.

Tok juga mahu Muslih lihat cahaya panjut pada malam raya. Tentu Muslih gembira. Sudah banyak tahun Tok tidak dapat pasang panjut pada malam raya. Juga kerana tidak sempat ambil ruas buluh akibat hujan.

Saat sampai di tebing sungai, Tok lihat rimbun pokok buluh tumbuh segar. Kelihatan beberapa rumpun buluh seperti baru saja dipangkas. Barangkali orang-orang kampung telah mengambilnya. Tok rapatkan diri ke perdu buluh lalu ketuk-ketuk batangnya.

"Kenapa Tok buat macam itu?"

Muslih juga ikut sama ketuk batang buluh dengan parang plastiknya.

"Oh! Tok mahu uji yang mana tua."

Tok tersenyum sambil tetak buluh sebatang demi sebatang. Buluh tumbang mencium bumi.

Tok rintis ranting dan daunnya yang berbulu-bulu. Tok ketam buluh ikut ruas hingga cukup sepuluh ruas. Bila sudah cukup Tok masukkan ke dalam guni beras. Tok jerut hujung guni dengan tali. Kemudian Tok ketam pula buluh yang lain sedepa- sedepa untuk dibuat panjut. Cukup lapan depa Tok ikat dengan akar pokok yang menjalar, di pangkal, tengah dan hujungnya.

"Eh-eh! Leh jangan sentuh buluh ni. Merenyam kulit tu nanti terkena miangnya."

Muslih tidak jadi menyentuh buluh-buluh yang sudah Tok ketam. Muslih bercangkung saja tengok Tok rintis ranting dan daun buluh tersebut.

Apakala sudah selesai, Tok pikul buluh-buluh yang sudah diikat ke atas bahu sebelah kanan. Tangan sebelah kiri pula menjinjing guni yang penuh berisi ruas buluh. Tok jalan perlahan-lahan. Muslih pula berjalan di depan. Tok pesan kepada Muslih supaya berhati-hati. Di kiri dan kanan susur jalan banyak akar-akar pokok, tunggul kayu dan tunggul buluh. Jika tersadung kaki, buruk padahnya.

"Leh, hati-hati! Jalan perlahan-lahan. Jangan berlari begitu."

Tok merungut-rungut lihat ragam cucunya yang sorang itu. Apa boleh buat. Ragam Muslih sama dengan Abang Farid masa kecil-kecil, sangat nakal dan tidak mahu dengar cakap. Namun, kala dewasa Abang Farid berjaya bergelar doktor. Tok sangat berharap Muslih juga akan jadi insan yang berguna dan berjaya kelak.

Muslih masih berlari-lari anak. Pokok-pokok renik di tepi-tepi jalan habis ditebas-tebas dengan parang plastik kesayangannya itu. Akibatnya, pokok-pokok renik itu kelihatan gondol. Hanya tinggal batang-batang yang berceracak. Daun-daunnya kelayuan menimpa bumi. Sambil-sambil menebas, Muslih bercakap-cakap seorang diri. Muslih memang begitu, suka bercakap sorang-sorang. Kadang-kadang kelihatan seperti bercakap dengan seseorang. Namun Tok sudah faham. Dunia kanak-kanak memang begitu. Tok tahu cucunya ada imaginasi sendiri. Kelak Tok yakin Muslih akan jadi orang yang berani bercakap depan khalayak.

"Tok! Cepat, Tok."

Muslih menggamit-gamit Tok yang keciciran di belakang.

"Tunggu, Leh!"

Tok teriak kuat-kuat. Tercungap-cungap.

Sesekali kedengaran batuk tua yang semakin menjadi-jadi. Tok tahu, kalau dulu Tok dengar nasihat Nek supaya berhenti merokok pada usia muda, tentu paru-paru Tok tidak rosak. Sekarang Tok sedar, batuk-batuk yang Tok alami adalah petanda paru-paru Tok sudah hitam dan rosak. Seperti kata Muslih: ayah kata orang yang hisap rokok paru-parunya hitam dan berkarat.

Tiba-tiba kaki Tok tersandung tunggul kayu. Ruas buluh yang Tok pikul dan jinjing terlepas. Serta-merta tangan Tok mengilas angin. Kaki kanan Tok tergelincir dan terpeletok lalu terpijak tunggul buluh yang runcing. Tok terjerembab mencium bumi sambil meraung kesakitan.

"Tok!"

Muslih toleh belakang. Bergegas menghampiri Tok.

"Leh."

Bibir Tok terketar-ketar menahan sakit. Tok terasa tapak kaki pedih. Mencucuk-cucuk dan bisanya terasa hingga ke tulang. Tok lihat darah keluar membuak-buak. Selipar Jepun yang dipakai bersalut darah, pekat dan likat. Tok sentap kaki yang membenam dalam buluh runcing. Kaki Tok meroyak luka dan darah keluar membuak-buak. Betapa sakit yang Tok rasa mula menjalar hingga ke jantung. Peluh-peluh memercik, merembes dan membasahi wajah Tok yang berkedut tua. Air mata yang bergenang, akhirnya mengalir dan gugur ke bumi.

Kalimah Allah disebut berulang-ulang. Berulang-ulang, hingga suara Tok semakin tenggelam. Tok langut ke langit perlahan-lahan. Mata Tok berbinau-binau. Tok toleh sekeliling lambat-lambat dan nampak wajah Muslih berlapis-lapis. Tok dengar namanya dipanggil berkali-kali, semakin sayup dan sayup sehingga suara itu tidak kedengaran lagi. Pandangan Tok semakin kelam hingga keadaan sekeliling menjadi zulmat. Kelopak mata Tok tertutup perlahan-lahan. Akhirnya terpejam rapat dan Tok tidak sedarkan diri.

Muslih goncang-goncang tubuh Tok sambil memangku kepalanya. Muslih terjerit dan terlolong minta tolong. Berkali-kali hingga tidak berdaya lagi. Muslih menangis dan terus menangis apabila melihat Tok terus-menerus menutup mata.

Nek di rumah termenung. Melayan nubari yang kacau-bilau. Berkali-kali Nek pesan kepada Tok supaya tidak membawa Muslih ke mana-mana. Nek sangat geram dengan sikap Tok yang tidak faham bahasa. Nek urut dada yang terasa panas sambil istighfar berkali-kali. Nek nekad tidak akan memarahi Tok apabila bersemuka nanti. Nek tidak mahu buat dosa pada bulan puasa. Nek terus bernekad sambil terus-menerus mengharap agar Tok lekas-lekas pulang bersama-sama Muslih, cucu kesayangannya.

©Berita Harian, Sabtu 27 September 2008

Salha: Slamat membaca! :)

+ Terima kasih kepada sidang editor Berita Harian, Sabtu yang menyiarkan Menjelang Syawal juga kepada anda yang sudi membaca.

Monday, September 15, 2008

Kelebihan Solat Sunat Tarawikh

Malam 16 - Allah subhanahuwata’ala tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17 - Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam 18 - Seru Malaikat : Hai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibubapa engkau (yang masih hidup atau mati)

Malam 19 - Allah Subhanahuwata’ala tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Wednesday, September 10, 2008

Dugaan Ramadhan

Puasa Kelima, saya diserang deman selsema yang teruk. Tak mampu berbuat apa-apa kerana kepala sakit teramat sangat, badan pula panas macam dipanggang atas api. Tak mampu nak baca al- Quran. Solat pun sambil duduk. Akhirnya saya terpaksa juga ke klinik. Apabila sudah makan ubat, terasa lega sedikit. Namun, malam Ahad saya tidak dapat tidur hingga ke pagi kerana diserang Athma. Berkali-kali saya sedut inhaler namun tiada kesan. Akhirnya pagi Ahad saya terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan. Satu jam saya di sana menyedut takungan inhaler yang lebih besar. Maka terbatallah puasa saya pada hari itu. Alhamdulillah, barulah dada terasa lapang dan senang untuk bernafas. Kemudian pada hari Isnin dan Selasa pula awal-awal pagi bertolak ke Juaseh menghadiri kursus. Dua hari berturut-turut berulang-alik dari pagi hingga petang. Hanya Allah yang tahu. Keadaan saya belum pulih sepenuhnya. Tergigil-gigil dalam bilik yang berhawa dingin diselang-seli batuk dan selsema yang tak henti-henti. Sangat tidak selesa. Terasa badan letih yang teramat sangat. Paksa diri juga memandu dan akhirnya dapat menamatkan kursus dengan jaya. Alhamdulillah, hari ini saya dapat menjalankan tugas seperti biasa meskipun batuk-batuk masih bersisa. Semoga hari-hari Ramadhan yang masih berbaki dapat dipenuhi dengan amal dan ibadah yang khusyuk kepada Allah.

+ Kelebihan Tarawikh malam ke- 11= Mereka yang bersolat tarawikh pada malamnya dikeluarkan ia dari dunia (mati), bersih daripada dosa seperti ia baharu dilahirkan.