Pages

Saturday, November 24, 2012

Bertemu Kembali

Lama sungguh saya tidak berkesempatan mengemaskini entri blog ini. Selepas Ogos sangat sibuk dengan aktiviti sekolah. Kini, tugas guru bukan sahaja mengajar, namun serba-serbi perlu dilakukan. Pengisian markah imtihan bukan sekadar secara manual bahkan online. Ditambah pula dengan tugas-tugas pentadbiran. Saya ada menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai GPM, namun ditolak. Justeru saya bawakan perkara ini dalam mensyuarat guru sebelum cuti persekolahan yang lalu. Saya mohon kepada guru besar dan GPK 1 agar mempertimbangkan jawatan GPM. Sama ada melantik guru lain sebagai GPM atau mohon dikurangkan minit mengajar. Tidak terurus oleh saya kerana minit mengajar 41 waktu seminggu. Saya kira, guru besar perlu menggunakan kuasa veto untuk menyelesaikan masalah ini. Ini sampai kepada tahap saya sangat tidak mampu menjawat jawatan GPM. Namun pelbagai alasan diberikan oleh guru besar dan hanya seorang guru sahaja yang sanggup mengambil alih tugas saya, pun bersyarat. Mendengar syarat itu guru besar terus membuat keputusan jawatan GPM dikekalkan kepada saya. Sungguh! Saya kira ini tidak wajar. Walau bagaimanapun, saya cuba-cuba memujuk GPK 1 supaya dapat berbincang semula dengan guru besar. Tunggu dan lihat sahaja sesi persekolahan awal tahun depan, sama ada ditugaskan jawatan lain atau masih sebagai GPM.

Sekarang saya sibuk pula dengan persediaan majlis perkahwinan adik perempuan yang akan berlangsung bulan 12 ini. Sebagai anak sulung, saya merangkap pengurus majlis. Jika ada kesempatan akan saya muat naik foto-foto persediaan majlis. Bunga pahar dan hantaran dibuat sendiri mengikut kreativiti saya berdasarkan citarasa bakal pengantin. Sampai berjumpa kembali dilain waktu!

Wednesday, August 08, 2012

Ejaan Yang Betul

Setelah membuat semakan di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), ejaan yang betul untuk bulan Ramadan adalah "Ramadan" bukan "Ramadhan" seperti kebiasaan yang ditulis oleh kebanyakann orang termasuklah tulisan saya sebelum ini. Ejaan "tarawikh" kebiasaan yang ditulis oleh kebanyakan orang adalah salah dan ejaan sebenar yang betul adalah "tarawih". Ejaan untuk ucapan hari raya yang betul pula adalah "Aidilfitri" bukan "Idulfitri" atau "Eidulfitri". Semoga kita terus peka dengan ejaan dan istilah terkini. Semoga kesilapan dan kesalahan dapat diperbetulkan. 

Ramadan= betul
Ramadhan= salah
Tarawih= betul
Tarawikh= salah
Aidilfitri= betul
Idulfitri/ Eidulfitri= salah

Biasakan yang betul,
betulkan yang biasa.
(meminjam kata-kata Pn. Hjh Mahaya bt Mohd Yasin).

Selamat menggandakan amalan di penghujung Ramadan. Ya Allah, semoga aku dapat bertemu dengan Ramadan di tahun-tahun akan datang. Alangkah, berbahagia jika Ramadan sentiasa bersama kita sepanjang tahun.

Tuesday, July 24, 2012

Allahumma Balighna Ramadhan

Syukur kepadaMu Ya Allah, kerana memanjangkan umurku untuk bertemu Ramadhan kali ini. Semoga amal ibadahku berlipat ganda. Semoga Ramadhan kali ini bukan yang terakhir buat diriku. Permudahkan Ya Allah segala urusanku di dunia dan juga akhirat. 

Salam Ramadhan buat semua saudara muslim di seluruh dunia.

"May Allah bless you on the occasion of Ramadhan."


Tuesday, June 26, 2012

HLP yang sukar

Hari ini secara purata sudah masuk sepuluh kali saya cuba membuat permohonan HLP (Hadiah Latihan Persekutuan).  Sangat meletihkan. Bangun tengah malam di saat anak-anak sedang nyenyak tidur, bangun sebelum subuh dan asalkan ada masa terluang di sekolah saya akan mengakses laman web KPM untuk permohonan HLP. Minggu lepas dimaklumkan laman ini tidak dapat diakses kerana ada masalah teknikal. Minggu ini pula tak tahulah apa masalah sebenar yang berlaku. Tarikh tutup permohonan pada 4 Julai, minggu hadapan. Setiap hari tak berjaya melengkapkan permohonan kerana maklumat yang dipaparkan ada masalah. Entah bila masalah ini akan selesai. Mengapalah susah sangat? Jika sampai tarikh tamat masih tak berjaya mohon disebabkan masalah teknikal itu, adakah pihak KPM akan melanjutkan tarikh permohonan? Jika tidak melalui HLP barangkali dah lama saya ada Ijazah Sarjana. Dek kerana saya ini bekerja di bawah KPM, saya ingin mencuba perkhidmatan yang ditawarkan. Mana tahu ada rezeki mungkin terpilih. Tapi dah berhari-hari begini keadaannya semacam berputus asa pula. Barangkali saya perlu membuat keputusan dan pilihan yang lebih tepat. Doakan saya berjaya membuat permohonan HLP.

Saturday, June 09, 2012

Fenomena Transit Zuhrah

Tarikh : 6/6/2012
Maksud Fenomena Transit Zuhrah:  satu fenomena astronomi iaitu planet Zuhrah melintas diantara Matahari dan Bulan dan dapat dilihat pada permukaan Matahari. 
+ Semasa transit, Planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu tompok hitam kecil melintas di permukaan Matahari (MOSTI, 2012)









































Sumber: CISDEL.COM

Monday, May 21, 2012

Akibat Banyak Ketawa

Sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak rancangan TV berunsur jenaka yang sengaja dibua-buat. Ketawa yang keterlaluan akan mematikan hati.


                                                       


Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :


Maksudnya : "Janganlah kamu banyak ketawa kerana sesungguhnya dengan banyak ketawa ianya akan mematikan hati kamu".

Hadis Riwayat Ibnu Majah.


Ayuh contohi ketawa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.
Para sahabat pernah berkata “Ketawa segala nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak.”


                                  
Menyorot kembali kecelaruan dan kepincangan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat Islam khususnya dewasa ini, kita sering dihidangkan dengan bermacam program dan rancangan yang acapkali melalaikan. Membentuk generasi soleh dan solehah harus bermula dari rumah dan tunjangnya adalah ibu-bapa. 
Bagaimana anak-anak akan menjadi generasi yang soleh dan solehah jika tunjangnya tunggang-langgang dan sering melakukan perkara-perkara yang melalaikan? Meskipun sesuatu perkara itu dianggap remeh dan terlalu kecil kesannya, tetapi dalam jangka masa yang panjang ia akan membawa impak yang sangat besar dalam diri anak-anak. Bagaimana mahu mendidik anak-anak supaya taat menunaikan solat diawal waktu jika ibu-bapa sering melewat-lewatkan solat? 
Bagaimana mahu menerapkan kedalam jiwa anak-anak bahawa kebersihan itu sebahagian daripada iman jika ibu-bapa tanpa segan silu membuang sampah keluar dari jendela kereta. Segalanya bermula daripada sikap ibu-bapa. Betapa sukar mencorak jenerasi soleh dan solehah dengan keindahan budi pekerti kerana ibu-bapa harus memulakan dan membetulkan segala sikap yang kurang sopan dan kurang baik itu. 
Bukan sekadar berkongsi rasa dan gembira sahaja bahkan manusia dituntut untuk sering memperingatkan antara satu sama lain khususnya untuk diri sendiri.

Wednesday, May 16, 2012

Selamat Hari Guru

Pengalaman yang sukar saya lupakan hingga kini sewaktu mengaji Muqaddam. Berminggu-minggu saya membaca namun tidak juga lancar. Sedia maklum, apabila tidak lancar guru saya tidak akan mengalihkan bacaan saya ke muka surat seterusnya. Oleh kerana itu saya ponteng mengaji tiga hari. Namun tembelang saya pecah apabila guru saya itu datang ke rumah kerana bimbangkan saya. Akibatnya saya dihambat oleh abah dengan rotan. Bermula hari itu saya terus hafaz dan lancar membaca dan khatam al-Quran pada usia 7 tahun. Kini, guru mengaji saya telah lama meninggal dunia.

Selamat Hari Guru kepada guru-guru saya, warga pendidik dan sesiapa sahaja yang pernah mencurahkan ilmu kepada saya secara langsung mahupun tidak langsung.










Wednesday, May 09, 2012

Pemantauan

Tengah hari ini saya didatangi oleh dua orang pegawai Pusat Kegiatan Guru (PKG), untuk melihat dan memantau sejauh mana pelaksanaan aktiviti Pusat Sumber Sekolah (PSS). Saya menyedari betapa kerdil dan kurangnya kemampuan diri untuk menggerakkan aktiviti PSS, memantau proses merekod buku-buku dan bahan-bahan bukan buku serta tugasan-tugasan lain yang melibatkan penggredan PSS. Sejujurnya, saya ditugaskan memegang jawatan sebagai Guru Perpustakaan dan Media (GPM)/ Penyelaras PSS dalam keadaan   'kosong' (kosong pengetahuan dan perlu memulakan kerja-kerja PSS yang terbengkalai sejak beberapa tahun lamanya) bermula tahun 2009. Apabila pertama kali menghadiri mesyuarat PSS (majoriti 'orang-orang lama') diperingkat daerah, saya tercengang-cengang. Tidak faham walau sedikitpun input-input yang disampaikan dan diperbincangkan dalam mesyuarat. Bertitik-tolak daripada ketidak fahaman itu saya menyelongkar dan menjelajahi dunia PSS secara atas talian. Tidak putus-putus bertanya dan meminta tunjuk ajar daripada 'orang-orang lama'. Adakala tugasan yang berat ini menjadikan saya semacam berputus asa. 

Tahun demi tahun jadual waktu mengajar bertambah dan sehingga kini saya masih diamanahkan menjawat jawatan ini. Sepanjang tempoh hampir empat tahun ini pernah saya menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan kepada guru besar. Namun kepercayaan dan keyakinan guru besar yang sangat mendalam terhadap saya telah menjadi penghalang untuk saya berbuat demikian. Bahkan guru besar juga adakala sanggup bersusah payah dan membantu meringankan kerja-kerja saya. Banyak perkara saya pelajari apabila berada dalam dunia PSS. Tidak dilupakan juga peranan dan bantuan rakan sejawat merangkap pembantu saya yang telah sama-sama bersengkang mata menjayakan dan menggerakkan aktiviti PSS. Hanya ini kemampuan yang dapat saya persembahkan kepada pihak sekolah dan PKG. 

Kepada guru-guru GPM, kalian tentu lebih memahami tugasan yang digalas ini. Hanya yang pernah menjawat jawatan ini mampu merasai. Dapatkah kalian bayangkan seorang guru GPM mengajar sehingga 39 waktu seminggu? Jika kalian di tempat saya, apakah yang bakal kalian lakukan? 

Kepada pegawai PKG En. Rusli dan Pn. Ayu, terima kasih kerana memahami dan memberi sokongan. Saya berazam untuk melakukan yang lebih baik daripada sekarang.