Pages

Saturday, December 31, 2005

SALAM ULANG TAHUN

Salam ulang tahun buat yang telah banyak berjasa kepada saya. Budimu tidak akan saya lupa sampai bila-bila. Kehadiranmu telah banyak membantu saya mencerna idea. Di atas dadamu saya ukir bermacam kenangan. Dalam kotak memorimu saya simpan seribu kepahitan, jerit perih, hingga akhirnya saya bertemu dan beroleh kebaikan. Salam Ulang Tahun Diari Online.

Thursday, December 29, 2005

SEMBANG-SEMBANG

Sembang-sembang mememang seronok. Tapi mesti berisi. Bukan sembang kosong. Ramai sembang tentang Mawi. Sana-sini riuh tentang Mawi. Konsert sana, konsert sini, pasti ada Mawi. Pendek kata, makan Mawi, tidur Mawi, tudung Mawi, iklanpun Mawi. Semua sebut tentang Mawi.

Apa kaitan dengan Mawi dan dunia hari ini? Alahai, Mawi memang hebat. Apa tidaknya, boleh bawa gempak seluruh alam. Mawi banyak bawa perubahan dalam dunia seni. Memang Mawi hebat. Remaja sana-sini sebut-sebut nama Mawi. Potongan rambut juga ikut Mawi. Ah! Bagus juga ada Mawi. Sedikit-sebanyak, dunia hari ini banyak berubah.

Barangkali itu cara Mawi berdakwah. Mungkin itu cara Mawi ubah sikap dan pemikiran anak-anak muda. Biarlah Mawi dengan cara Mawi. Asalkan mawi bahagia, anak-anak muda akan senang hati.

Sembang sana-sini, sembang berempat saja. Saya sembang-sembang dengan Nisah Hj Haron. Sembang-sembang dengan Amiza Khusyri. Sangat seronok sembang dengan Puteri Eleira. Kami berempat sembang-sembang. Tapi bukan sembang fasal Mawi. Kami sembang tentang dunia penulisan hari ini. Kami sembang-sembang seputar aktiviti PEN. Banyak juga kami sembang. Dari pagi santak ke petang. Bersambung-sambung.

Penat sembang kami makan. Kemudian sembang lagi. Berhenti solat dan sembang kembali. Akhirnya sembang kami sudah jadi mesyuarat. Bukankah mesyuarat itu sembang-sembang? Tapi sembang yang berisi. Ada agenda dan protokol sendiri. Itulah tujuan mesyuarat. Mahu cari kata sepakat.

Saya tidak suka mesyuarat. Kerana itu saya kata kami sembang-sembang. Mesyuarat yang komplek dan berkesan, adalah mesyuarat yang tidak lama. Hanya sekitar satu jam setengah. Itu adalah mesyuarat yang bagus.

Sembang kami memang macam mesyuarat. Tapi mesyuarat kami santai. Tidak penat dan tidak pening kepala. Tidak protokol. Saya suka mesyuarat yang begini. Oh! Silap. Saya tidak suka sebut mesyuarat. Saya suka sembang-sembang. Sembang-sembang yang lebih bagus daripada mesyuarat. Memang seronok. Tambahan pula kami sembang-sembang sastera.

Tuesday, December 20, 2005

BUDAYA YANG DIPINGGIRKAN

Saya tidak melepaskan peluang ke UKM untuk menyaksikan PESTA PERSUKUAN ADAT PEPATIH DAN MASAKAN TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN pada 17 dan 18 Disember 2005. Saya ke sana bersama Nisah Hj Haron. Pesta ini julung kalinya berlangsung di luar Negeri Sembilan. Sebelum ini, Seri Menanti adalah tapak utama tumpuan orang ramai apabila berlangsungnya pesta ini. Namun, tahun ini menemukan sedikit kelainan apabila pesta ini diadakan di luar Negeri Sembilan. Tujuan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus mengadakan pesta ini di luar Negeri Sembilan untuk memberi peluang dan memperkenalkan kepada orang ramai tentang Adat Pepatih. Masyarakat luar Negeri Sembilan khususnya sering meletakkan pandangan kurang senang terhadap Adat Pepatih yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan sejak beratus tahun yang lampau. Justeru pesta ini memberi peluang dan ruang kepada orang ramai untuk bertanya dan mengajukan sebarang kemusykilan tentang Adat Pepatih melalui Wacana Adat yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato' Seri Maharaja Dato' Haji Khalid Bin Bonget, Tiang Balai Penghulu Luak Ulu Muar pada 17 Disember tersebut. Orang ramai juga berpeluang mendengar ceramah adat yang disampaikan oleh beberapa orang panel terkemuka yang menyentuh pelbagai perspektif pada 18 Disember lalu. Selain itu, program yang berlangsung selama dua hari ini turut mengagendakan acara-acara yang menarik seperti Pameran Adat, Kraftangan dan Jualan, Demonstrasi Adat dan Masakan, Permainan Tradisional Negeri Sembilan dan Persembahan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan.

Saya kira sesuatu yang istimewa dalam majlis ini apabila orang ramai turut dibekalkan dengan kertas kerja pada setiap ceramah dan wacana adat yang dijalankan. Saya menggemari cara ini kerana dapat membantu orang ramai membuat rujukan disamping menambah maklumat dan pengetahuan terhadap Adat pepatih yang sering mendapat tohmahan.


Saya suka memetik kata-kata Nisah Hj Haron "tak tahu bertanya" dalam ceramah yang disampaikannya pada 18 Disember lalu. Saya kira konsep ini harus dipegang oleh masyarakat untuk memastikan salah faham dan salah persepsi terhadap sesuatu dapat dihakis.


Masyarakat pada hari ini khususnya generasi muda tidak lagi mengamalkan adat yang diamalkan orang-orang terdahulu. Justeru tidak hairan jika melihat keruntuhan akhlak dan kepincangan cara hidup muda-mudi berlaku pada hari ini. Hal ini kerana mereka sudah jauh daripada nilai-nilai kemasyarakatan dan kebudayaan. Hal ini juga berpunca daripada sebilangan masyarakat pada hari ini sering meminggirkan nilai-nilai budaya daripada hidup mereka. Peri penting adat ini kerana, di dalamnya terkandung pelbagai peraturan dan amalan mulia yang dapat membentuk tatasusila dan cara hidup masyarakat khususnya generasi muda dewasa ini.


Kata-kata perbilangan seperti 'alam terkembang menjadi guru, adat bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah' jelas menggambarkan bahawa adat sering diguna pakai oleh masyarakat untuk membentuk masyarakat yang unggul dan mulia. Bahkan adat dan syarak adalah benteng kekuatan masyarakat kerana kaya dengan nilai-nilai murni. Ini juga bersesuaian dengan Forum Kebudayaan Generasi Muda yang dibincangkan oleh ahli panel pada 17 Disember 2005 di Dewan Bahasa dan Pustaka yang lalu. Saya juga ke sana mendengar pandangan dan pendapat daripada Untaya Sankar SB, SM Zakir, Nisah Hj Haron dan beberapa panelis yang lain. Tuntas saya melihat dua program yang berbeza ini ada perkaitan dan persamaan dari sudut sosial, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan.


Saya kira, pengalaman berharga ini tidak mampu diceritakan sepenuhnya kerana terlalu banyak yang saya perolehi sepanjang berada di UKM dan DBP. Biarlah kata-kata perbilangan di bawah ini mengungkap dan mentafsir segalanya;


-ADAT TAK LAPUK DEK HUJAN TAK LEKANG DEK PANAS
-GEMUK BERPUPUK, SEGAR BERSIRAM, DIANJAK LAYU DICABUT MATI.
-NEGERI BERPAGAR UNDANG, KAMPUNG BERPAGAR PUSAKA
-ADAT BERSENDI HUKUM, HUKUM BERSENDI KITABULLAH
-ADAT DIKELEK, SYARAK DIJUNJUNG
-SYARAK MENGATA, ADAT MEMAKAI
-PADA ADAT MENGHILANGKAN YANG BURUK, MENIMBULKAN YANG BAIK
-PADA SYARAK MENYURUH BUAT YANG BAIK, MENEGAH BUAT YANG JAHAT
-PERTAMA KATA ALLAH
-KEDUA KATA RASUL
-KETIKA KATA PUSAKA
-KEEMPAT KATA TUA MUAFAKAT
-KELIMA KATA BETEROMBA
-KEENAM KATA BERSALSILAH


Kata-kata saya pula; jangan mengeji pada yang hina, jangan mengata sekilas pandang, bersangka baik dapat pahala, tak tahu kita bertanya, tak faham kaji bersama, bukan adat sebarang adat, adat kita tinggalan pusaka, murni adat kerana muafakat, sepakat kata berkat, selisih faham pincang, murni kata dek mulia, murni bahasa dek indah, murni sahsiah dek amal, murni adat dek peraturan, murni agama dek percaya.


Selamat membaca!

Tuesday, December 06, 2005

SAKIT HATI

Apa perasaan anda bila hati disakiti? Tentu sakit. Tapi pernahkah anda terfikir perasaan orang yang anda sakiti? Sudah tentu sakit juga. Malah lebih daripada itu. Apa tidaknya, jika orang sakitkan hati anda sekali, balasan untuk sakit hati itu anda pulangkan dua kali ganda sakitnya.
Cerita pasal sakit hati memang menyakitkan. Lebih sakit daripada penyakit barah hati. Sebab bila sakit itu sudah semakin banyak, menebal dan membengkak, hati akan jadi hitam, hodoh dan teramat sakit. Sakit hati lahir daripada sikap manusia yang hatinya sakit. Bila hatinya sakit, dia akan menyakiti hati orang lain pula. Susah juga mahu merawat orang yang hatinya sakit. Memang payah.
Ada manusia pandai pura-pura. Bila berada depan kita cukup baik. Pandai pula berlaut madu berpantai gula. Tetapi sikap sebenar terbongkar bila berada di belakang kita. Macam-macam yang dia kata. Sebab itu ramai manusia jadi sakit hati dengan dia. Bila penyakit hati sudah merebak, akan timbul umpat dan keji. Tak kurang juga fitnah melata. Yang tak wujud diadakan. Yang sedikit ditokok tambah.
Memang pelik. Apa tujuan manusia hidup? Ada pula suka menunjuk-nujuk. Suka menindas yang miskin. Yang kaya diagung-agungkan. Lalu wujud pula istilah diskriminasi. Bila manusia ada perasaan iri hati, hatinya akan sakit. Mulalah tunjuk lagak dan kuasa. Dunia bagai dia yang punya. Tak ingat TUHAN sentiasa ada. Memerhati setiap masa.
Apalah guna jadi manusia kalau hidup sentiasa menyakitkan hati orang. Bukan hati seorang manusia sahaja yang akan sakit, hati anak cucunya juga akan sakit. Hidup ini kan bersaudara. Rasulullah s.a.w pernah bersabda: TIDAK BERIMAN SESEORANG DARIPADA KAMU SEHINGGA DIA MENGASIHI SAUDARANYA SEPERTI MANA DIA MENGASIHI DIRINYA SENDIRI.
Bagaimana mahu mengasihi saudara jika hati sentiasa sakit? Ruang kosong itu dipenuhi dengan rasa sakit. Tiada tempat untuk meletakkan rasa sayang dan kasih. Justeru jika hati rasa sakit. Cepat-cepatlah merawatnya.

DO sedang sakit hati sebab idea menulis terganggu berkali-kali. Tapi DO tetap begini :).

Wednesday, November 30, 2005

TERLEWAT YANG TIDAK SEMPAT

Saya sudah terlewat bercerita dan menulis dalam blog ini. Baru hari ini saya berkesempatan menukar paparan info terkini untuk blog ini. Pagi tadi saya menerima sms daripada Amiza Khusyri. Dia memaklumkan cerpennya MADRASAH IMAN tersiar di Majalah I keluaran Disember. Saya kira dia adalah rafiq yang begitu gigih dan tekal menulis. Saya menghormatinya sebagai rakan penulis yang jauh lebih matang dan terkehadapan daripada saya. Tahniah Amiza!
Sebelum menuju ke pekan Kuala Klawang, saya sempat mengedit dan mengemas kini cerpen-cerpen dan folder-folder yang terdapat dalam komputer. Kemudian mengemas diri. Sampai di pekan saya ke kedai foto. Seterusnya berjalan menuju beberapa buah kedai buku dan majalah. Pastinya saya mahu membeli sesuatu di sana. Saya belek-belek majalah yang ada di situ. Saya belek Majalah I, ada cerpen Amiza di dalamnya. Saya belek-belek pula Majalah Dewan Siswa. Alhamdulillah, rupanya ada nama saya tertera di dalamnya. Cerpen saya MEREKA YANG TIDAK BERDOSA tersiar dalam majalah ini, keluaran Disember. Sebelum ini editor DS Sdr Majdan memaklumkan cerpen tersebut akan disiarkan November lalu. Namun barangkali atas sebab-sebab tertentu cerpen tersebut tidak dapat disirkan pada November lalu. Walau bagaimanapun, terima kasih kepada Sdr Majdan kerana menyiarkan cerpen saya dalam DS keluaran Disember ini.
Sebelum ini saya tidak sempat membuat catatan Bengkel Cerpen PEN yang diadakan pada 20 November 2005. Saya sudah terlewat mencatat. Memang terlewat dan tersangat tidak sempat. Namun begitu, akan saya coretkan di sini sedaya mampu idea yang lahir ini buat tatapan kalian. Khususnya kepada rafik-rafik di Timur Tengah yang menantikan catatan Bengkel Cerpen PEN.
Saya bertemu Nisah Hj.Haron, Mawar Syafei, Serunai Faqir, Amiza, Khairunnasriah dan ramai lagi. Mereka begitu gigih menulis. Mereka mahu menguji sejauh mana potensi diri yang terkini. Saya gembira bertemu mereka. Dapat juga saya jumpa kak Mawar yang cantik manis. Perkenalan kami sebelum ini hanya via emel. Namun, hari itu telah menemukan saya segalanya. Semangat dan cita-cita. Rasa cinta pada dunia pena bersama mereka yang satu rasa, satu pandangan, satu matlamat dan cita-cita. Kami berdiskusi, memberi dan menerima pandangan. Alangkah bahagia andai bengkel cerpen acapkali diadakan. Bertemu penulis-penulis yang Mapan, muda, baru mencipta nama dan sebagainya telah memberi satu inspirasi dalam hati. Meskipun ripuh, diburu oleh masa namun saya faham, masih belum terlewat meskipun terkadang tidak sempat. Saya belum terlewat untuk menyusun langkah yang tidak kemas. Saya belum terlewat menggandakan usaha. Saya perlu menjadi manusia yang sempat memburu masa. Kita belum terlewat meskipun tidak sempat.

Thursday, November 17, 2005

ENTRI EDISI TANAHAIR

+ Baru hari ini saya berkesempatan meluangkan masa untuk mencatat sesuatu dalam blog ini. Sekembali ke tanahair saya dilingkari ripuh yang pelbagai. Ripuh dengan persediaan menyembut Aidilfitri. Ripuh menghadiri walimah rakan sebaya. Ripuh ke sana ke mari menziarahi kaum keluarga. Ripuh juga melayan tetamu yang datang tidak putus-putus. Ripuh juga menyiapkan cerpen terbaru untuk bengkel cerpen PEN pada 20 November 2005 ini. Tambahan pula modem saya buat ragam lalu menyukarkan saya untuk online. Walau bagaimanapun alhamdulillah atas kesempatan mencatat yang diberikan oleh Allah pada hari ini.
+ Agenda yang telah diatur:
18 November 2005: Menghadiri Majlis Anugerah Sastera Negeri Sembilan di Seremban.
19 November 2005: Menghadiri Majlis Perkumpulan Sanak Saudara sebelah ibu di Kampung Simpang Gelami, Jelebu.
20 November 2005: Menghadiri Bengkel Cerpen PEN di Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan bertempat di Terminal One Shopping Centre.
+ Saya baru maklum keputusan Hadiah Pena Karyawan PMRAM 2005 (HPKP). Saya menyertai dua genre; cerpen dan sajak. Katogeri cerpen yang dipertandingkan;13 cerpen. Katogeri Sajak; 21 sajak. Katogeri Artikel: 7 artikel. Berikut saya senaraikan keputusan tempat pertama hingga tempat ketiga sahaja:
Berikut adalah keputusan pertandingan artikel
Tempat Pertama :
Bahaya Islam Liberal; pembawaan dan infeksi
Oleh Mohd Nurul Hisyam bin Mohamed

Tempat kedua :
Hukuman Hudud Untuk Pencuri
Oleh Omar bin Md Rasib

Tempat ketiga :
Kiamat Dan Tunjang Aqidah
Muhammad Solahuddin Salleh
Berikut adalah keputusan pertandingan cerpen

Tempat Pertama:
Iman yang Sebahagian Lagi
Oleh Mohd Zaki Md. Noor

Tempat Kedua:
Sebuah Suratan
Oleh Noorul Hidayah Neemat

Tempat Ketiga:
Debat Evolusi
Oleh Syarifah Salha Syed Ahmad
Berikut adalah keputusan pertandingan sajak

Tempat Pertama
Pertiwi
Oleh Syarifah Salha Syed Ahmad

Tempat Kedua
Dia yang kukenali semalam
Oleh Omar Md Rasib

Tempat Ketiga
Kuasa Bukan Milik Kita
Oleh Mohd Amin bin Ahmad

+ Tahniah kepada mereka yang berjaya memenangi HPKP 2005. Setelah diteliti saya dapati mereka yang memenagi HPKP 2005 terdiri daripada ahli Kem Latihan Penulis PMRAM (KELAP). Tahniah sekali lagi. Tidak sia-sia (KELAP) ditubuhkan. Kredit wajar diberikan kepada Sdr Nazmi Yaakob atas usaha menubuhkan KELAP pada tahun 2002. Sehingga kini KELAP masih bergerak aktif. Terima kasih juga kepada panel hakim; Sdr Zaid Akhtar (hakim cerpen), Sdr A.Ubaidillah Alias (hakim artikel) dan Sdr Madihah Nabihah (hakim sajak) atas penilaian kalian. Demikian sahaja catatan ringkas untuk entri kali ini. Jika ada masa senggang saya akan ke cc lagi sementara menunggu modem dibaik pulih. Terima kasih kepada para pengunjung atas kesudian melawat blog ini. Terima Kasih juga atas ucapan tahniah kalian terhadap karya saya yang tersiar di Berita Minggu 30 Oktober 2005 yang lalu. Sampai jumpa kembali!

Thursday, October 27, 2005

CATATAN SEBELUM PULANG

Ramadhan kunantikan Ramadhan
kemulian Ramadhan yang turunya al-Quran
bulanku Ramadhan

Ramadhan pelepasan siksaan
ibadah berpuasa ujian kesabaran
ganjaran Ramadhan

Bulan seribu bulan
hanyalah sebulan
siang malam keberkatan

Akhirnya Ramadhan Syawalpun menjelang
tasbih tahmid berkumandang

Bergema takbir di satu Syawal
bergema satu lambang kekuatan amalan
kemenangan... kemenangan

Yang keruh bersama dijernihkan
yang jauh didekatkan
yang hitam diputihkan
bersalam-salaman
bermaaf maafan
jadikan amalan telus ikhlas berzaman

Syawal menyaksikan
amalan Ramadhan
atma turut bergema

Jangan lupa pada yg tiada disisi kita
Manakan tahu esok lusa kita bersama







Rabu
+ 23 Ramadhan 1426/ 26 Oktober 2005
Semalam saya dikunjungi beberapa orang rakan dari kalangan pelajar-pelajar Negeri Sembilan. Turut serta Yang Dipertua BAKANS bersama isteri dan anak. Itu kunjungan terakhir mereka sebelum saya pulang ke tanahair. Sempat mereka menitip kalam nasihat dan tasyji' buat diri saya.

+ Sahabat saya Syarifah Mariam, katanya dia sedih kerana saya akan pulang. Sebetulnya jiwa saya juga bergalau dengan rasa kesedihan untuk meninggalkan Ardil Kinanah ini. Permukiman sementara selama empat tahun banyak meninggalkan kenangan pahit manis dalam jiwa sebagai penuntut ilmu. Masih saya ingat azam yang dipasak dalam jiwa semasa berada di KLIA pada tanggal 5/9/2001. Tiga azam dan cita-cita itu telah saya pahat dalam hati. Namun hanya satu sahaja azam dan cita-cita yang tercapai. Dua yang berbaki masih tidak berjaya saya dakap. Namun ini bukan yang terakhir, masih ada jalan untuk mendakap cita-cita.

+ Kerja-kerja mengemas barang untuk dibawa pulang ke tanahair sudah hampir sempurna.Hari ini saya ada mau'id dengan Timbalan Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan DPMM, adik Siti Amirah Abd Wahab, mahu berbincang seputar dunia penulisan dan penerbitan. Barangkali ini sumbangan terakhir untuk DPMM sepanjang berada di Mesir. Walau bagaimanapun, tidak bererti kala sudah pulang tidak memberi sumbangan. Dapat menyumbang idea juga dikira sumbangan.

+ Beberapa hari yang lalu, kak Nisah Haron ada menghubungi via emel. Memaklumkan bengkel cerpen, PEN yang bakal dijalankan pada 18/11/2005, insya-Allah jika tiada aral melintang. Amiza Khusyri juga memaklumkan via sms. Insya-Allah, doakan saya berkesempatan menghadiri bengkel tersebut. Hari yang berbaki, Khamis, Jumaat dan Sabtu telah ada agenda yang diatur. Insya-Allah malam Sabtu, selepas solat sunat tarawikh akan bertolak ke mator dan flight dijangka berlepas pada jam 1.00pagi 30/10/2005. Jika berkesempatan saya akan menulis untuk entri terakhir sebelum pulang ke tanahair. Jika tiada kesempatan, ini adalah entri terakhir dan saya akan berehat beberapa waktu sebelum menyambung entri yang seterusnya setelah berada di Malaysia kelak.

+ Kanak-kanak lelaki penjual tisu di kota Kaherah tidak dapat saya temui. Ia, barangkali itulah yang akan berlaku kerana saya tidak akan ke kota Kaherah lagi. Namun begitu, saya telah menemuinya dalam cerpen saya SURATAN RAMADHAN. Ada beberapa orang rakan memaklumkan mereke bertemu kanak-kanak itu. Petemuan mereka barangkali sebagai pengantara untuk melepaskan hajat saya bertemu si kecil.

Salam Ramadhan dan salam Syawal daripada pengembara pena, Diari Online.





Saturday, October 22, 2005

PENULIS ADALAH PENDAKWAH

HAMKA adalah akronim daripada Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amirullah, seorang tokoh penulis, sasterawan, ulama dan pendakwah Islam yang progresif, menjadi sanjungan masyarakat Nusantara. Tidak asing menyebut nama ini kerana beliau dikenali lewat karya-karya berunsur dakwah dan kaya dengan falsafah keagamaan juga kasih sayang. TENGGELAMNYA KAPAL VAN DER WIJCK, DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH, MERANTAU KE DELI dan antologi cerpen DI DALAM LEMBAH adalah himpunan karya-karya yang banyak menerapkan nilai-nilai keagamaan. Justeru sasterawan ini banyak berjasa kepada masyarakat dunia kerana segenap kehidupannya dibaluti dengan rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap dakwah melalui pena.

Tokoh penulis ini tidak sekadar bijak mencerna idea dan pandangan di tubir pena bahkan seorang yang bijak berpidato hal-hal agama dan politik Minangkabau. Tuntas bakat itu diperkemas dengan jitu lalu terhasil majalah pertamanya KHATIBUL UMMAH pada tahun 1925. Sejujur saya menyorot kembali kegemilangan HAMKA ini bertujuan menerapkan setitis rasa sedar dan ingat kembali kepada sejarah kegemilangan tokoh-tokoh penulis Islam. Menulis adalah satu jihad begitu harus kita fahami andai rasa tanggungjawab itu saban hari mengasak jiwa dan sensitiviti sebagai umat Islam sentiasa segar dalam roh mukmin. Andai tiada yang telus meluah pandangan, tiada yang sudi memindahkan ilmu dalam dada di atas kertas, bagaiman nikmat Islam itu telah kita kecapi pada hari ini.

Saya merungkai perkara ini dalam persepsi sebagai seorang mahasiswa al-Azhar. Kita adalah jambatannya yang menjadi penghubung antara dua bahasa., Bahasa Ibunda (Bahasa Melayu) dan Bahasa Syurga (Bahasa Arab). Bukankah kita bertanggungjawab memindahkan ilmu-ilmu di dalam kitab turas ke dalam penulisan kreatif? Dalam penulisan kreatif itu ada ilmu bantunya. Lantaran ilmu bantu itu wajar dicedok melalui pembacaan dan pemahaman daripada kitab-kitab yang terkandung di dalamnya hal-hal dan perbincangan agama. Di situlah kelebihan yang akan kita perolehi. Menjadi seorang penulis yang tidak hanya kaya seni bahasa semata bahkan menjadi tokoh agama yang bijak menyalur ilmu melalui pena. Mengapa harus dipersia bakat dan ilmu yang ada. Mana mahu ditumpahkan ilmu dalam dada jika tidak di atas kertas. Menjadi seorang yang bijak berbicara hasilnya akan tampak agung andai disusuli bicara sufi sebatang pena. Begitu sewajarnya jalan yang kita lalui ini harus dipenuhi rasa sedar dan insaf terhadap penindasan yang berlaku pada agama, bangsa dan negara Islam dekad ini. Di sinilah peranan merancakkan aksi di atas pentas pena wajar di ambil perhatian. Peri penting mengenal makna penulis sebagai pendakwah itu sudah terpupuk dalam jiwa bermula saat dan detik ini.

Saya tinggalkan rasa tanggungjawab dari lantunan jemari pengembara pena untuk entri kali ini semoga menjadi kenangan dan perhatian generasi hari ini dan mendatang: Rentak kalam menari gundah, perit mengungkap sebaris kalimah, biar resah menyemai dakwah, tulus pena tidakkan berubah, mendapat nusrah dan hikmah daripada Allah. Terus berjuang hingga titisan darah yang terakhir!

Monday, October 10, 2005

MENCARI SESUATU YANG HILANG

Hampir sebulan saya di kota Kaherah. Sekarang sedang melengkapkan diri menerima pertukaran musim saifi kepada syita'. Hawa dingin sudah mula menyengat sumsum tulang. Seorang demi seorang rakan-rakan seperjuangan, sekuliah dan sepenulisan mula beransur pulang ke tanahair. Demikian itu rasa sepi menyelinap ke dasar hati. Saya akan ditinggalkan oleh mereka meskipun sedikit masa lagi saya akan meninggalkan rakan-rakan yang lain jua. Saya berkira-kira dan melayan fikir perkara utama yang perlu saya lakukan sekembali ke tanahair kelak. Tanggungjawab kepada keluarga sedang menanti. Itu perkara utama yang perlu saya pikul. Soal pekerjaan, hanya perlu berusaha dan selebihnya Allah yang berhak menentukan. Manusia sekadar merancang Allah jua yang merencana segala.
Saat-saat dan detik-detik yang berbaki ini saya gunakan sebaiknya di kota Kaherah ini. Baki seminggunya pula akan saya habiskan di kota kecil Mansurah. Kemudian akan meninggalkan seribu macam kenangan di sana. Begitu saya merancang. Semoga Allah memperkenankan perancangan ini.
Sebetulnya saya mencari sesuatu yang hilang. Saya tidak mencari idea yang hilang. Saya juga tidak mencari barang yang hilang. Namun saya mencari seorang kanak-kanak yang hilang. Hilang daripada pandangan mata. Sebulan berada di kota kaherah ini masih belum kami bersua. Mahu tahu siapa kanak-kanak itu? Dia adalah seorang kanak-kanak dalam lingkungan usia mencecah lima tahun. Seorang kanak-kanak lelaki. Juga seorang penjual tisu. Saya mahu berbual dengannya. Kebiasaan dia bersama ibunya berada di seberang jalan berhadapan Masjid Musa. Namun hingga kini saya tidak nampak kelibatnya.
Saya hanya mampu memasang hajat agar bisa bertemu dengannya sebelum pulang ke Mansurah. Ada sesuatu yang ingin ditanya. Persolan itu akan terjawab dalam cerpen baru saya. Saya titipkan kenangan, pengajaran dan tauladan buat diri sendiri juga khalayak pembaca dalam cerpen tersebut. Sudah hampir kepada tiga muka Microsof Word. Hanya perlu menumpahkan idea untuk beberapa muka sahaja lagi. Seterusnya peram untuk beberapa hari. Semak dan edit hingga berpuas hati. Diharap agar cerpen kali ini bisa menghantar sejuta rasa keinsafan dalam diri saya jua anda semua. Doakan saya tekal menulis.

Wednesday, October 05, 2005

AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN

Ramadhan al-Karim...
Allahu Akram...Allahu Akram...Allahu Akram
Saya masih berada di kota Kaherah mencicipi rahmat salam kunjungan Ramadhan untuk tahun ini. Syukur kerana masih diberi kesempatan oleh al-Khaliq merasa nikmat berpuasa dan menggandakan ibadah. Semalam baru usai MAT BAKANS kali ke-24. Alhamdulillah majlis berjalan dengan lancar. Tanpa disangka, saya menjadi ahli sidang terbaik. Itu suatu penghargaan buat saya. Barangkali ini adalah kali terakhir saya terlibat secara formal dengan program-program BAKANS sebelum pulang ke tanahair. Sempat melontar satu dua pandangan dan cadangan untuk kemaslahatan semua anak-anak Negeri Sembilan di Perlembahan Nil ini.
SKENS (Suara Kampus Edisi Negeri Sembilan) juga telah diterbitkan. Hampir dua tahun SKENS tidak dapat diterbitkan atas sebab-sebab tertentu. Alhamdulillah, akhirnya berjaya jua diterbitkan. Terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada editor-editor SKENS yang telah bertungkus lumus dalam memastikan SKENS dapat diterbitkan pada tahun ini. Fokus SKENS pada kali ini, berkisar PENYELEWENGAN PENULISAN ISLAM. Kepada anak-anak Malaysia, Mesir jangan ketinggalan, dapatkan SKENS segera! Nikmati hasil pena saya dalam Fokus utama, KORUPSI PENULISAN SUATU PENGKAJIAN. Anda juga boleh menikmati hasil pena penulis tamu SKENS, Nisah Haji Haron dan Akhi Masrawi.
Hanya ini catatan saya untuk entri kali ini.

Thursday, September 29, 2005

DUA CERPEN TERSIAR SERENTAK

Kata-kata nenek Junah ada benarnya. Sejauh manakah saya telah membina manusia berfikir, beretika, berjiwa yang halus pertimbangan dan adil serta saksama dalam menghalusi perasaan orang lain.

Dalam merentas arus dunia tanpa sempadan, manusia sering disajikan dengan pelbagai arca kehidupan yang serba moden dan berteknologi tinggi. Manusia sering hilang pertimbangan dan waras akal lantaran minda diselaputi oleh gambaran kekayaan dan kesenangan hidup. Justeru, saya sedaya menyelami kisah benar dan realiti kehidupan yang berlaku pada warga tua hari ini. Pengalaman menziarahi warga tua di rumah Seri Kenanga, Seremban pada tahun 2001 saya adaptasi menjadi sebuah cerpen. Saya adalah seorang anak, anda adalah seorang anak dan kita adalah seorang anak yang sewajarnya menyalurkan rasa kasih dan cinta kepada insan mulia yang telah melahirkan, membesarkan dan mendidik. Mereka adalah ayah dan ibu yang wajib diberi perhatian. Kisah Disebalik Teratak Itu ada cerita di dalamnya. Ada siri yang mahu dipaparkan. Selamat membaca!

Cerpen ini tersiar dalam Majalah Dewan Agama Dan Falsafah Oktober 2005.

Wazni, anak yang baik itu cukup derita. Derita menanggung sengsara atma. Bertambah derita kala doktor mengesani penyakit barah otaknya sudah ditahap kritikal. Saat itu, mereka bertiga usai mengerjakan haji. Sekembali ke tanahair, kata Wazni-lambaian Kaabah menggamit-gamit. Lalu matanya terpejam.

Kekayaan tidak dapat membeli harga selaut kasih dan sayang jua keharmonian yang diidamkan oleh setiap insan. Manusia hanya mampu merancang, namun Allah jua yang merencana segala. Cerpen Lambaian Kaabah ini adalah ilham yang lahir rentetan daripada pembacaan saya terhadap cerpen Ghafirah Idris: Telah Diberinya Hati. Ia, cerpen ini memang ada pengaruh cerpen Ghafirah. Namun, saya ada cara tersendiri menyampaikan idea dan gagasan pemikiran. Saya terdorong menyalurkan idea ini semoga khalayak pembaca mendapat manfaat daripadanya. Salam karya!

Cerpen ini tersiar dalam Majalah I OKtober 2005.

Monday, September 19, 2005

SEMPADAN JARAK BUKAN PEMISAH

Oleh Syarifah Salha Syed Ahmad ( kolumnis Buletin Kelap Karyawan Islam Kelantan (KERIS) Kaherah, Mesir.


"Duhai hati tegaplah menunjang semangat, tetaplah menumpang perasaan. Perjuangan ini jauh perjalanannya, dugaan ini memang getir, namun ini bukan lapis sedih paling akhir."

INI bicara sahabat karib saya yang dihantar via sms dari Jordan. Jika anda memiliki antologi KKF pasti pernah melihat nama Anizah Abu Samah dalam antologi itu. Iya, dia adalah sahabat termuda saya dalam mandala penulisan yang pernah melewati batas-batas waktu di alam persekolahan. Dahulu sewaktu menghuni dorm 4.5 aras empat, Maahad Ahmadi Gemencheh Negeri sembilan, kami tidak pernah berbicara soal penulisan mahupun sastera sehingga saya meninggalkannya dengan janji yang kami bina mahu bertemu di Ardul Kinanah. Namun dua tahun selepas itu saya hampa, kedatangannya tak kunjung tiba. Dia telah menjejakkan kaki ke Dataran Syams. Lama kami saling menyepi merawat luka dan duka yang membungkal dalam sukma. Penghujung tahun 2002 kami berutusan kembali. Merancang untuk bertemu pada penghujung bulan enam 2003 saat sama-sama pulang bercuti. Namun sekali lagi hampa kerana sekembali saya bercuti ke tanahir dia pulang ke Jordan tergesa-gesa. Aksara 2004 telah menemukan kami dalam ruang lingkup medan pena yang tidak terjangkau oleh kami akan minat yang sama ini. Hari ini kami bukan lagi seorang kakak dan seorang adik yang tiada pertalian darah, namun kami adalah rafik yang mempunyai pandangan yang sama, perjuangan yang serupa dan impian yang seiring.

Bukan ini yang mahu saya ceritakan. Tetapi akrab persahabatan dalam arena yang sama itu yang ingin saya ladeni. Memupuk minat yang sama tampak mudah, namun usaha yang serupa itu likunya berbeza metah. Meskipun dibatasi sempadan namun itu bukan pemisah sebuah perjuangan. Bicara-bicaranya yang dilayangkan pada saya terlalu indah. Saya kagum dengan seorang adik ini. Juga kagum dengan usaha gigihnya mengenal dunia pena yang tidak kurang asing namun dipandang sepi. Berjuang seorang diri tidak semudah berjuang dalam 'jamaah'. Dataran Syams yang menghimpunkan anak-anak Malaysia itu tidak gah seperti Perlembahan Nil yang menghimpunkan puluhan penulis-penulis pucuk muda yang sering disajikan dengan pelbagai aktiviti penulisan. Hidangan bengkel penulisan pula bukan satu kepelikan di sini. Adakah kehebatan kita pada hari ini kerana berhimpun dalam satu fikrah dan 'jamaah' yang sama? Kesukaran yang kita tempuhi dalam arena penulisan pada hari ini tidak setanding dengan mereka yang berjuang seorang diri. Hanya dia seorang telah hidup selepas Sdr Zaid Akhtar meninggalkan Dataran Syams itu. Hidup pada erti kata lain bernyawa dalam nafas dan degup jantung sebatang pena. Sering juga dia membuat permintaan dan permohonan agar pembimbing-pembimbing penulisan Perlembahan Nil ini berkunjung ke sana lalu mengadakan aktiviti-aktiviti penulisan. Namun, hanya Sdr Amiza Khusyri sahaja selaku penulis yang menempa nama berjaya mengadakan aktiviti penulisan di sana lewat tahun 2003 yang lalu. Begitu harapan seorang penulis baru Dataran Syams yang mengiginkan bimbingan dan panduan dalam arena yang dipandang sepi ini.

Lantaran itu, kecewa menyalut nubari saya. Namun saya abaikan. Telah banyak aktiviti penulisan dan bengkel-bengkel penulisan diadakan di dini. Masih tidak cukupkah andai memberi alasan; saya belum bersedia untuk terusan menulis. Atau logikkah menghimpun alasan; saya malu, takut dikritik dan tidak berani kerana saya tidak sehebat penulis lain. Bagaimana pula 'dia' yang saya kenal dan saya akrabi itu mampu berjuang seorang diri tanpa sebarang bimbingan dan panduan secara khusus melalui bengkel-bengkel dan aktiviti-aktiviti penulisan seperti di sini? Usaha dan kegigihan itu yang paling utama. Andai tidak disajikan mampukah berdiri utuh untuk menilai cebisan ilmu yang disaluti debu-debu tanah gersang ini? Hargailah selaut tinta, seluas sahrawi yang mengandungkan titisan tinta para ulama terdahulu. Kitalah penerusnya. Bukankah menulis itu satu jihad? Andai tidak sudi menyumbang tenaga dan bakti menyambung perjuangan yang suci ini, usah menunding jari dan melontar kata nista, sindir perli kepada mereka yang mahu mencambahkan bakat serta minat dalam seni pena dan sastera. Saya tinggalkan anda semua pada kali ini dengan sebuah ungkapan; Duhai hati, usah gentar mengendong cemuh, usah serik menilai sabar, perjuangan ini likunya kecewa, namun ini bukan lapis alas berputus asa. "BIAR KECEWA JANGAN PUTUS ASA"- Salam dari lantunan jemari pengembara pena.






Saturday, September 17, 2005

FESTIVAL KONVOKESYEN DAN ULASAN ANTOLOGI SJM

Saya usai menghadiri Festival Konvokesyen Dan Anugerah Mahasiswa Cemerlang kali ke-14 pada tahun ini pada 14 September yang lalu. Terima kasih kepada penganjur, PMRAM selaku badan bertindak yang menjaga kebajikan mahasiswa-mahasiswa Malaysia al-Azhar. Terima kasih juga kepada ajk pelaksana yang telah bertungkus lumus menjayakan Festivel Konvokosyen tersebut. Tahniah kepada semua yang bergelar graduan. Kenangan itu tidak akan saya lupakan.

Meskipun ripuh dalam persediaan menghadirkan diri ke majlis tersebut saya sempat mengkhatami Antologi Cerpen Salju Jabal Musa. Inilah pengalaman membaca antologi cerpen penulis-penulis muda yang cukup menarik. Memang selayaknya Esastera.com menghimpunkan karya-karya lima penulis muda ini untuk tatapan khalayak pembaca khususnya peminat sastera.

Membaca cerpen Sdr Amiza Khusyri buat saya lebih memahami prinsip dan perjuangannya dalam medan pena. Sentiasa segar dengan tema perjuangan membela maruah agama, mengangkat dan memartabatkan Islam dan Bahasa Syurga (Bahasa Arab). Di sini kekuatan Amiza, berusaha membuka mata khalayak pembaca demi menitipkan satu kesedaran dan kepekaan yang sewajibnya dimiliki oleh umat Islam. Ternyata Amiza mempunyai daya sensitiviti yang amat kuat terhadap pergolakan dan penindasan yang berlaku pada dunia Islam hari ini. Katanya kepada saya 'Salha, kita adalah mujahidin sastera'. Lalu saya faham begitu perjuangannya mempertahankan nasib agama, umat dan negara Islam dewasa ini. Justeru, itulah kesedaran yang dimilikinya dari dahulu hingga kini. 'Salju Jabal Musa, Pengemis Tua Di Masjid Hussein dan Cahaya Zulmat' punyai motiv yang sama namun jalan cerita dan persembahannya disadur dengan bahasa yang tenang dan lancar...cukup indah.

Kala membaca cerpen-cerpen Sdr Fahd Razy, 'Enigma Dunia, Suara Dari Rahim dan Tiga Mini Cerpen Malam 31' buat saya seolah dipandu menuju ke satu destinasi yang amat menggerunkan. Satu persatu imaginasi yang cukup kuat dihantar dalam deru nafas hujung penanya lalu terhasil sebuah gambaran kehidupan dunia yang cukup menyentuh perasaan. Kekuatannya menampilkan cerpen cereka sains dengan mengangkat isu-isu dan fenomena semasa ternyata membuktikan kepekaan dan ketajaman mindanya mencipta realiti kehidupan dalam imaginasi yang cukup tinggi bersesuaian dengan dirinya sebagai seorang pelajar perubatan. Saya kagum dengan penulis muda ini, mempunyai jiwa kental menelusuri dan memupuk semangat kecintaan terhadap perjuangan mencari pembelaan oleh satu nyawa, bangsa dan dunia.

'Telah diberinya hati' karya Sdr Ghafirah Idris, pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil 2004 cukup menyentuh perasaan. Begitu juga cerpen 'Warkah Derita Dari Tanah Setinggan dan Revolusi Versailles' mengenalkan saya pada jiwa Ghafirah yang mudah tersentuh dengan sesuatu perkara yang menjentik naluri kemanusiaan dan kasih sayang. Tidak hairanlah penulis muda yang tidak asing ini sering menggondol anugerah-anugerah sastera lantaran gaya pengucapan, penyampaian dan langgam penceritaan yang cukup tersusun diselangi lenggok bahasa yang indah dan menawan hati khalayak pembaca. Membaca karya-karya Sdr Ghafirah semacam menemukan saya dengan dirinya yang dilimpahi kasih dan sayang terhadap sarwajagat. Demikian akan terdidik jiwa jika membaca karya-karya Sdr Ghafirah. Telus menulis berpaksi kesedaran!

Saya gemar membaca puisi-puisi Sdr Ida Munira. Jarang sekali saya meladeni cerpen-cerpen penyair muda ini. Membaca cerpen 'Puisi Adinda Hati, Hilang Yang Ingin Jumpa dan Warkah Cinta Untuk Ibu' telah menemukan saya semangat kepenyairannya yang tidak pernah padam. Pasti terselit puisi-puisi indah dalam cerpen dan puisi-puisi tersebut bukan sebuah tampalan dan tempelan. Tetapi mengandung makna yang amat dalam untuk merungkai kisah sebuah cerita yang punyai pertalian dan rantaian peristiwa bersadur indah bahasa sebuah puisi. Begitu perbezaan seorang penyair apabila menulis sebuah cerpen berbanding seorang penulis yang menulis dalam ruang lingkup genre cerpen sahaja. Sungguh! Lenggok tari tulisan jelas tidak dapat menyembunyikan dirinya sebagai seorang penyair. Itulah kekuatan dan kelebihan beliau, punyai jiwa kepenyairan dan kepengarangan. Terlalu! Cerpen-cerpen yang sungguh unik itu menyedarkan saya betapa sastera adalah seni yang terlalu indah.

Karya-karya Sdr NimoizTY pula seperti 'Nur Pengabdian, Mencapai Sebuah Resolusi dan Merungkai Egoisme' adalah karya-karya yang memaparkan pergolakan jiwa. Ini identiti dan kekuatan yang dimilikinya sehingga apabila melihat tajuk-tajuk cerpen tersebut sudah jelas dapat mentafsir dan merungkai makna yang ingin disampaikan. Saya tidak akan menggunakan istilah barangkali untuk mentafsir bicara penanya, kerana apabila membaca karya-karya Sdr Nimoiz semacam begitu saya mengenalinya; seorang yang dipenuhi rasa pengabdian pada Tuhan, kaya dengan semangat mencari sesuatu yang jarang sekali manusia memburu dan memikirkannya. Demikian apabila membaca karya-karya seorang penulis secara tidak langsung kita mengenal dirinya, prinsip dan perjuangan yang dimilikinya. Penyair muda ini juga seorang yang berpotensi tinggi menggarap rasa hati dan lapis sedar bukan melalui puisi sahaja bahkan berjaya menghantarnya melalui bakat kepengarangan dalam cerpen.

Hanya ini ulasan saya sebagai seorang pembaca, peminat sastera dan pengembara pena yang mahu mencari realiti objektif bersama rasa sedar yang bersalut demi menghalusi catatan pengembaraan kehidupan sebatang pena yang kadangkala tiada pembelaan.

Saturday, September 03, 2005

DEBAT EVOLUSI

[Disumbangkan untuk Tebloid Mahasiswa Malaysia]

I

KISAH lima tahun lalu masih aku ingati. Hingga kini masih mencari selulur kasih yang pernah lerai di tangkai hati. Demi menyelamatkan akidahmu aku hampir-hampir tertangkap dan saat getir itu telah memisahkan kita. Meskipun begitu, keyakinan yang bersalut dalam sukma buatku masih menunggu kepulanganmu. Ya, di sini...di tebing Selat Bosphorus ini kita pernah bertemu. Ini Selat Bogazici, nama jolokan serata dunia. Aku gemar sekali kau menyebutnya begitu. Selat ini pemisah Benua Asia dan Benua Eropah, juga telah merakam detik perpisahan kita. Perpisahan yang kau cipta kala hujahmu mula goyah, lalu debat kita jadi kaku. Dan aku, masih berpegang dengan janjimu; kita bertemu di selat ini lima tahun akan datang.

II

Katamu; aku menyokong teori itu. Makhluk hidup memindahkan sifat-sifat mereka dari satu generasi kepada generasi berikutnya, oleh itu ia berubah. Sebagai contoh, zirafah telah berubah daripada rusa dengan memanjangkan leher sedikit demi sedikit, dari satu generasi ke satu generasi ketika cuba mencapai dahan yang lebih tinggi. Begitu hujah pertamamu. Nah! Itu teori yang mengarut. Lamarck penyokong Darwin yang menguar-uarkan. Adakah kau melihat zirafah lahir daripada perut ibunya berbentuk rusa? Kau diam setelah persoalanku itu menikam waras akalmu.

Adakala, aku tidah tegar mengerasimu begitu. Namun, aku amat gusar melihatmu semakin hayut bersama teori evolusi itu. Aku sendiri kala itu hampir goyang. Mujur gerakan anti Darwin yang beroperasi secara senyap bersama beberapa orang rafik telah memandu perjalananku. Meski Universiti Mimar Sinan sudah berada di bawah pengaruh organisasi haram Marxisme dan pemikiran berhaluan kiri, namun aku tidak tegar meletakkan diriku sebagai penganut Ateis. Tidakkah kau mengerti, jantungku hampir gugur saat kau mengutaran hujahmu yang sebegitu kepadaku. Sungguh! Hatiku menangis kerana Republik Turki telah menyaksikan kehilangan gadis tegar sepertimu. Aku kagum denganmu, saat kerajaan sekular Turki menyekat wanita memakai tudung di tempat-tempat awam, kau jauh dari golongan itu. Tetapi, mengapa ketegaran dan keteguhan imanmu hancur hanya kerana pengaruh evolusi yang karut marut itu?


III

Hujahmu yang kedua: asal sesuatu spesis adalah spesis yang lain. Lalu aku jelaskan padamu; pergantungan kepada imaginasi semata pasti belum kukuh untuk menguatkan teori itu. Teori evolusi itu adalah kesilapan Darwin dan Lamarck, kerana pada zaman mereka hidupan hanya dapat dikaji dengan teknologi yang amat primitif dan pada peringkat yang amat tidak mencukupi. Lapangan sains seperti genetik dan biokimia belum wujud. Teori mereka hanya bergantung penuh kepada keupayaan imaginasi yang terbatas. Sayangku Emine, di mana mahu kau lontarkan penemuan Mendel pada 1900 itu; ilmu sains genetik, kemudian telah menemui stuktur gen dan kromosom seterusnya penemuan molekul DNA pada tahun 1950-an. Suntikan apakah yang telah mengalir dalam darah mudamu hingga begitu celaru penilaian dan pemahamanmu. Lantaran itu kau tersenyap. Hanya menelan liur bersama serba kesal menghempap nubari. Kecerdikanmu itu, bukan begitu harus dikendalikan. Sudah aku katakan; berpaksi pada kebenaran, keyakinan dan penglihatan yang cukup menghantar bukti nyata bahawa Tuhan Maha Pencipta.

Sambungan seterusnya boleh dilihat dalam "Akhbar Mahasiswa" September ini.

Wednesday, August 31, 2005

KERANAMU MALAYSIA








Keranamu Malaysia kukirim suara hati bersama pawana lalu, melagukan gemersik puisi Merdeka khas buatmu.

PERTIWI

Engkau tanahair milik pribumi berbudi
Pernah mengemis, meminta mengharap
jejeran omongan bukan sebarangan
pada pedagang bangsa, memanjat dan berteduh
juga merangkak di lorong beronak bisa
demi mengutip sengsara, menutup nista
dari semaian-semaian petani haram
yang menabur bebenih racun dalam minda anak bangsa
di sini jua pribumi...
pernah mengeram kesumat
di atas sabil jihad
rela derita sudi berkorban
sepakat di dalam bakti
berjuang meskipun mati
jatuh terjerembab tidak sekali
asalkan nusa gemilang panji terjulang
tiada lain bahkan di sini
ada keharuman memancar
dari pusara pada memanik jiwa yang basah
belasungkawa, dalam tegar menyemat azimat
dengan satu timbunan nekad
lalu berkubu jasadi dalam lembaran pertiwi
kisah watan tanah merdeka dekad ini.



Syarifah Salha Syed Ahmad
12:01 am-Mansurah, Egypt.

**==Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke - 48

Sunday, August 21, 2005

TILAWAH AL-QURAN TIRU 'AF'?

PETIKAN BERITA DARIPADA UTUSAN ONLINE

Majoriti pemenang setuju konsep tilawah diubah

KUALA TERENGGANU 19 Ogos - Rata-rata pemenang Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-48 bersetuju supaya konsep tilawah itu pada masa depan diubah termasuk menggunakan pendekatan program realiti seperti Akademi Fantasia (AF).
Menurut mereka, langkah itu perlu bagi memberi nafas baru untuk menarik lebih ramai golongan muda supaya mendekati program berkaitan dengan bidang pembacaan al-Quran.
Imej kontemporari yang lebih ceria dan segar wajar diterapkan agar penganjuran majlis tilawah sentiasa relevan dan seiring dengan perkembangan semasa memandangkan program-program realiti menjadi kegilaan remaja masa kini.
Pemenang tempat ketiga bahagian qariah, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman, 23, mencadangkan supaya menggunakan sistem pengkritik selepas qari atau qariah memperdengarkan bacaan masing-masing.
Katanya, pengkritik tersebut terdiri daripada hakim profesional yang akan menilai pembacaan qari atau qariah berdasarkan tajwid, taranum (lagu), fasohah dan suara.
"Bagi saya langkah ini tidak akan menjatuhkan maruah seseorang qari atau qariah malah ia akan menjadi lebih telus dan orang di luar sana pun dapat mempelajari cara bacaan al-Quran yang betul,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Akhbar Utusan Malaysia semalam melaporkan seorang qari tilawah al-Quran peringkat kebangsaan kali ini mencadangkan supaya tilawah itu meniru konsep program realiti Akademi Fantasia (AF) agar ia lebih segar dan berupaya menarik minat golongan muda.
Peserta dari Perlis, Pisol Yusob yang juga merupakan johan bahagian qari tilawah kali ini berkata, ini termasuk 'mengurung' peserta untuk diberi latihan mengenai teknik dan bacaan yang betul.
Ditanya mengenai cara menentukan pemenang, Sharifah Khasif turut mengesyorkan, markah sebanyak 70 peratus akan ditentukan oleh barisan hakim profesional manakala 30 peratus lagi diserahkan kepada pengundi luar melalui penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS).
"Saya setuju kalau menggunakan SMS kerana pengundi di luar sana pun ada kalangan mereka yang arif dengan bidang al-Quran. Mereka juga mempunyai hak untuk menentukan pemenang supaya keputusan yang dibuat tidak dipertikaikan selepas itu.
"Saya percaya pendekatan baru sebegini mampu memberi impak yang baik kerana ia sudah tentu mempunyai peminatnya tersendiri,'' jelas peserta Perak yang kini masih menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu.
Naib johan bahagian qariah, Hanimzah Jalaludin, 23, bersetuju menggunakan pendekatan pengkritik sebagai satu pembaharuan pada dalam majlis tilawah akan datang.
"Komen pengkritik yang terdiri daripada kalangan hakim profesional boleh digunakan sebagai satu panduan agar peserta dapat mempertingkatkan mutu bacaan masing-masing pada masa depan.
"Bagaimanapun kritikan atau teguran yang dilontarkan itu mestilah dalam bentuk membina supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak,'' kata peserta Pahang yang pernah menjadi johan Tilawah al-Quran peringkat negeri pada tahun lepas dan tahun ini.
Dalam perkembangan sama, pemenang ketiga bahagian qari, Shamsul Ariffin Supian, 41, turut bersetuju jika penganjuran majlis tilawah menampilkan kritikan hakim secara terbuka.
"Tidak ada salahnya jika kita mencuba sesuatu yang baru asalkan ia tidak tersasar dari matlamat kita untuk memartabatkan ayat-ayat suci al-Quran,'' kata peserta Perak yang bertugas sebagai guru dan berpengalaman dalam bidang kemahiran khas al-Quran Sekolah Menengah Agama Kerian itu.

Tilawah al-Quran tidak perlu tiru konsep AF - Nik Aziz

KOTA BHARU 19 Ogos - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat, tilawah al-Quran tidak perlu meniru konsep program realiti Akademi Fantasia (AF).
Sebaliknya, kata beliau, apa yang perlu diutamakan ialah mengamalkan ajaran terkandung dalam kitab suci tersebut.
"Saya tak berfikir macam itu. Lagu-lagu ini bagi saya perkara kedua, yang pertama amalkan ajaran al-Quran, bukan sekadar lagu...,'' katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Pejabat Pas Kelantan di Jalan Tok Pati, di sini.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas diminta mengulas cadangan seorang qari tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, Pisol Yusob supaya tilawah itu meniru konsep AF kerana ia lebih segar dan berupaya menarik minat golongan muda mengikutinya.
Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz yang mengakui tidak pernah menonton rancangan AF bagaimanapun berkata, sekiranya cadangan tersebut diambil kira, masalah seperti tenaga pengajar dan pelbagai masalah lain akan timbul.
"Pemilihan pendengar (rancangan AF) ikut ceritanya bolehlah, fasal semua orang boleh dan suka menyanyi, tetapi qari (tilawah al-Quran) ini siapa dia kita harap jadi hakim. Dalam seluruh Malaysia ini, berapa orang sangat reti (pandai) tajwid dan sebagainya...,'' ujar beliau.


Thursday, August 18, 2005

CINTA

Kuselam laut sunyiku
Mengungkai duka lara
Bagai menghitung malam yang panjang
Akhirnya kusedar subuh menjelang

Dulu cinta mengadun gembira
Semalam budi dipatah cinta
Entah esok menderita
Lusa mungkin dicarik luka.

Syarifah Salha Syed Ahmad

Kota kecil Mansurah.


Tuesday, August 16, 2005

LAYAR MERDEKA

Layar Merdeka




Tertera dalam layar merdeka dekad lalu
Daerah itu pernah dijajah
pernah digenggam lumat haloba dan kesumat
Sebuah bangsa yang enggan mengerti derita
Anak watan bernama Malaysia


Kolam tangis itu memecah tembok kesabaran
Membanjiri tanah pusaka warisan berzaman
Dalam desir semilir lesu...bersaksi
Awanan mendung, mencurah tangis di medan ma'rakah
dan bumi basah...litup bertompok cecair merah

Bertahun menanti aman dalam benak bermunajat
Agar al-Khaliq mendengar rintih, mulus sekeping hati
Dalam mencari lafaz hamdalah kala pasrah meratap
Detik atma luluh direntap...tragis daerah sejarah
dan zikir membasah dua bibir melafaz
safi sebaris kalimah...Allahu Akbar!!!

Semilir sejarah membolos corong daerah zulmat
48 tahun berlalu bumi reda digoncang debar dan getar
Hilang gigil...aman bertandang
Menjulang panji perjuangan dalam alur jejantas silam
Berkibar layar merdeka ditiup angin rahmat
Dan detik itu tinggal sejarah
Terukir di kanvas memori silam
Lalu saat ini menyambut kelahiran dalam daerah aman
Meski getarnya bisa bertandang di hujung zaman
Dan detik itu menyulam kembali bebongkah
Resah garisah tercungap melafaz...merdeka dihujung nyawa
Tersekat kerongkong dalam menitip kalimah
Suci lafaz sebaris Syahadah.




Syarifah Salha Syed Ahmad

Universiti al-Azhar, Mesir.


Wednesday, August 10, 2005

JEREBU SEMAKIN TERUK

Petikan daripada Berita Harian Online.


PUTRAJAYA: Keadaan jerebu bertambah buruk dan dijangka berterusan beberapa hari lagi dengan lima kawasan - Pelabuhan Klang, Kuala Selangor, Shah Alam, Petaling Jaya serta di sini, semalam, mencatat kualiti udara berbahaya. Pegawai Indonesia pula semalam memberi amaran kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan yang menyebabkan jerebu teruk di Malaysia, akan menjadi lebih buruk pada minggu-minggu akan datang.






Imej satelit mendedahkan lebih daripada 220 titik panas akibat pembakaran hutan bagi membersihkan tanah di wilayah Kalimantan Barat kelmarin dan keadaan semakin buruk semalam.Sehingga jam 5 petang, Kuala Lumpur dan Tanjung Malim, Perak merekod kualiti udara sangat tidak sihat manakala enam kawasan lagi mencatat kualiti udara tidak sihat.Berikutan itu, Kementerian Pelajaran mengarahkan semua sekolah di kawasan yang mencatat Indeks Pencemaran Udara (API) melebihi 400 ditutup manakala sekolah di kawasan API melebihi 300 boleh ditutup mengikut budi bicara pengetua dan guru besar. Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Noor Rezan Bapoo Hashim, berkata pihaknya sudah mengedarkan pekeliling supaya semua sekolah di ibu negara ditutup hari ini dan esok.






Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam turut menangguhkan semua kuliah selama empat hari mulai hari ini sehingga Ahad. Dalam tempoh itu, pelajar dinasihatkan mengulang kaji serta menyiapkan tugasan di kolej kediaman atau di rumah masing-masing.Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga menghentikan sementara penggunaan polis pengiring bermotosikal bagi mengelak mereka terdedah kepada keadaan berjerebu.Sejak tiga hari lalu, peratusan pesakit yang mendapat rawatan penyakit yang bersangkut paut dengan kualiti udara seperti asma, batuk, selesema, sakit kerongkong dan radang mata, dilaporkan meningkat secara mendadak.Malah, lima klinik di kawasan yang teruk mengalami jerebu melaporkan kes asma meningkat pada tahap membimbangkan, iaitu daripada 8.3 peratus kepada 150 peratus.Menteri Sumber Asli dan Alam sekitar, Datuk Seri Adenan Satem bagaimanapun berkata, kerajaan akan hanya mengisytiharkan darurat apabila bacaan API mencecah 500.Adenan berkata, Kabinet bersetuju Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengumumkan bacaan API setiap hari bagi membolehkan orang ramai mengambil langkah perlu.Kabinet juga mengarahkan Adenan serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui, mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan di Indonesia bagi menangani masalah itu dalam jangka pendek dan panjang. "Kita akan meminta Jakarta menandatangani Perjanjian Jerebu Lintas Sempadan Asean kerana Indonesia satu-satunya negara yang belum berbuat demikian," katanya.Perjanjian itu antara lain menghendaki negara anggota bekerjasama mencegah jerebu melalui kawalan kebakaran, mewujudkan sistem amaran awal, bertukar maklumat dan teknologi serta menyediakan bantuan bersama.

Tuesday, August 09, 2005

ULASAN BENGKEL DAN PENGEMBARAAN

+ Saya mohon maaf kepada pengunjung-pengunjung blog ini atas keterlewatan menulis entri-entri baru. 1 Ogos lalu saya sudah berada di kota Kaherah dalam persediaan mengendalikan bengkel cerpen dan sajak. Bengkel tersebut diadakan pada 3 Ogos bertempat di rumah Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri Sembilan. Program bermula pada jam 8.45 pagi dan berakhir pada jam 9.30 malam. Bengkel tersebut telah menemukan saya bakat-bakat baru dalam arena penulisan. Dua orang daripada mereka adalah peserta yang pernah menghadiri bengkel cerpen pada tahun lepas, Sdr Omar Md Rasib dan Sdr Abd Kadaer Zailani Mohd Ramzi. Baki yang lain adalah peserta-peserta KELAP (Kem Latihan Penulis) yang pertama kali menyertai bengkel cerpen di sini. Dikalangan mereka ada yang menampilkan cerpen berlatar luar negara, Jepun ada juga yang membawa skop penceritaan berbentuk satira, perjuangan, kekeluargaan, percintaan dan sebagainya. Keberanian menggarap cerita dan mengolah dengan pelbagai teknik, wajar mendapat pujian. Tidak kurang juga bakat yang dimiliki oleh mereka yang mencipta sajak wajar diambil kira. Namun usaha ini hanya akan dapat dipastikan kelangsungannya andai mereka konsisten menulis. Bukan suatu kepelikan melihat ramai peserta hadir di dalam bengkel penulisan. Kepelikan itu terlihat apabila ramai peserta bengkel berhenti menulis dan tidak rancak menulis setelah usai menghadiri bengkel. Adakah semangat kepenulisan mereka telah dibunuh dengan pelbagai komentar yang pedas-pedas dan berbisa sehingga ada yang panas punggung dan muka merona merah? Atau masing-masing berprasangka bahawa diri tidak punyai bakat dan jalan yang dilalui untuk menuju villa sastera terlalu berliku dan amat sukar?

Sewajar kita memahami sastera itu di dalamnya ada kritikan. Kritikan membina bersandar ilmu itu lebih utama berbanding kritikan yang melulu dan hanya mengikut logik akal. Tanpa kritikan mutu sesebuah karya tidak dapat dinilai. Peri penting kritikan itu diterima oleh penulis-penulis untuk membantu diri dalam membaiki dan mempertingkatkan mutu dan nilai sastera dalam penulisan mereka. Oleh itu, andai semangat kepengarangan itu telah dipancung dan dibunuh wajar menghidupkan kembali dengan azam dan usaha yang tidak pernah mati. Patah akan tumbuh, hilang akan berganti. Begitu semangat dan azam harus dipupuk agar yang patah itu ditumbuhi oleh tunas-tunas cekal dan kental jiwa yang baru. Hilang semangat yang lari bertempiaran pula wajar digamit dan diseru agar menempel kembali di dinding nubari. Meskipun yang patah kering dibakar mentari, tunas yang tumbuh pastikan menghijau. Walau semangat telah patah terkulai layu, pastikan bertunas azam, menghijau dan subur andai selalu disiram. Begitu sedikit gambaran yang dapat saya paparkan terhadap tunas-tunas baru yang sedang bercambah dalam arena penulisan lingkungan anak watan Malaysia di Mesir.

+ Pada 7 Ogos pula, saya bersama anak-anak Negeri Sembilan memenuhi waktu cuti mengembara melihat keindahan dan keagungan ciptaan al-Khaliq ke Fayyum dan Syalalat. Terkagum melihat Tasik Qaruun yang terbentang luas sekilas pandang seperti laut lepas yang luas terbentang. Di sini sejarah silam telah membuktikan tinggalan yang dilihat pada hari ini adalah balasan ciptaan Tuhan terhadap hambanya yang tamak dan haloba. Akhirnya tenggelem bersama harta-harta yang menggunung dan diagungkan itu. Perjalanan merentasi sahrawi menggamit minda saya membuka kotak imbau, betapa sirah rasul-rasul terdahulu tercatat di dalamnya kesukaran dan keperitan dalam menyampaikan ajaran dan perintah ALLAH.

Terkagum lagi diri ini apakala melihat air terjun (Syalalat) berada di tengah-tengah kontang sahrawi menderu deras bak air yang turun dari gunung. Hanya al-Khaliq Yang Maha Besar dan Berkuasa menciptakan sesuatu diluar jangkauan pemikiran manusia. Hanya DIA yang mengetahui hikmah dan rahsia disebalik penciptaan alam yang terbentang ini. Begitu saya bercerita dan mencatat untuk entri kali ini. Teruskan membaca untuk entri yang akan datang!



Saturday, July 30, 2005

CATATAN PENGEMBARAAN

23 Julai 2005
2.30 pg: Dari dataran komplek penginapan pelajar-pelajar Malaysia Mesir, Hayyu 'Asyir Kaherah, bertolak ke Matroh.

24 Julai 2005
4.15 pg: Solat subuh berjemaah
11.30 pg: Sampai di Matroh
1.30 tgh: Makan tengahari & solat jama' taqdim
3.00 ptg: Lawatan ke
- Bahru Ajibah
- Bahru Cleopatra
7.00 mlm: Lawatan ke Bazar Libya
9.30 mlm: Solat jama' takkhir, khidmat diri & makan malam


25 Julai 2005
6.30 pg: Bertolak ke Siwa (sarapan pagi)
9.30 pg: Lawatan sekitar Siwa
- Jabal Mouta
- Kolam Cleopatra
- Kota Lama Siwa
- Jazira Fatmas
- Makan tengahari & solat
7.30 ptg: Bertolak ke Matroh
10.30 mlm: Makan malam- khidmat diri- solat- rehat

26 Julai 2005
7.00 pg: Sukaneka mahabbah di sekitar pantai
11.45 pg: Bertolak pulang
2.00 ptg: Singgah di Muzium al-'Alamin
11.00 mlm: Sampai di Kaherah


Firman Allah S.W.T:
"Katakanlah: Berjalanlah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibatnya orang-orang yang mendustakan itu"

Alam ciptaan Allah S.W.T yang terbentang luas ini sesungguhnya menyimpan pelbagai rahsia keajaiban dan khazanah yang tersendiri. Segala-galanya terkandung dalam ilmu Allah Yang Maha Luas. Justeru, saya menfaatkan lawatan ini sebagai suatu pengembaraan yang amat berharga.

Pengenalan Matroh dan Siwa

Matroh merupakan sebuah pekan pantai, tempat Ratu Cleopatra dan Mark Anthony suatu ketika dahulu mempunyai sebuah istana. Matroh atau nama asalnya Marsi Matroh terletak di barat laut Mesir. Jarak ke Matroh adalah 600 km dari kaherah, mengambil tempoh sembilam jam perjalanan. Perjalanan menuju ke Matroh ini dikelilingi padang pasir dan melalui kota Iskandariah dan al-'Alamin. Matroh juga merupakan pusat peranginan sederhana pada musim panas yang mempunyai mercu tanda seekor kijang. Buah Thin dan Anggur merupakan tanaman utama bagi Matroh.

Siwa dikenali dengan nama Jazira Malah (garam) kerana dikelilingi oleh lautan garam, 90 km dari paras laut. Juga dikenali sebagai Jazira Ballah (buah kurma) kerana terdapat banyak pokok kurma. Jazira Fatmas juga adalah nama ketiga bagi Siwa kerana tanamannya yang subur. Jazirah Fatmas ini telah dinamai oleh orang-orang barat. Dinamakan Jazir kerana terletak di tengah-tengah laut Jerman. Di sini terdapat kebun yang terletak di tasik garam. Di sini juga terdapat sebuah kolam mandi Cleopatra sedalam tujuh meter dan menjadi sumber air bagi kebun tersebut. Oasis Siwa dikelilingi padang pasir yang luas dan terletak di bahagian barat Qattara, di tengah-tengah Padang Pasir Libya dalam Negara Mesir. Jaraknya ke Tenggara Matroh sekitar 300 km. Di Siwa terdapat kilang air mineral berjenama AQUA Siwa dan Safi. Pengeluar balah billuz, minyak zaitun, buah zaitun dan buah kurma yang terbesar di Mesir juga kota kedua di dunia pengeluar tamar dan zaitun. Masyarakat Siwa menggunakan Bahasa Barbar (bahasa Libya) sebagai bahasa perantaraan di antara mereka juga merupakan antara golongan yang payah untuk menerima Islam pada suatu masa dahulu. Tetapi apabila memeluk agama Islam mereka adalah golongan yang berpegang teguh pada ajaran Islam.

Pantai Cleopatra (Bahar Cleopatra/ Laut Cleopatra)

Di sini terdapat hamam Cleopatra (tempat mandi). Belakang hamam Cleopatra adalah kawasan yang paling merbahaya kerana batunya yang licin, curam dan ombak yang begitu kuat. Juga terdapat kesan pahat di dinding hamam.











Pantai Ajibah (Bahar Ajibah/ Laut Ajaib)

Dinamakan Bahar Ajibah kerana keindahan pantainya yang menghijau dan membiru. Sesiapa yang melihatnya pasti berasa kagum kerana lautnya mempunyai tujuh warna berlapis apabila dilihat pada waktu menjelang senja.











Jabal Mouta

Dinamakan Jabal Mouta kerana di sini adalah tempat menyimpan mayat penduduk Siwa.Terdapat lukisan di dinding-dinding yang menceritakan dan menggambarkan kisah perkahwinan Ratu Cleopatra dan Mark Anthony. Ia merupakan tempat simpanan harta, emas dan barangan berharga. Tetapi barangan ini dikatakan telah dicuri oleh penjajah. Terdapat satu bilik yang menyimpan mumia.











Kolam Cleopatra

Kedalaman kolam ini lebih kurang lima meter. Dimaklumi kolam ini merupakan sumber utama bekalan air di Siwa. Terdapat suatu keajaiban kerana kolam ini tidak pernah kering dari dahulu sehingga sekarang.

Kota Lama Siwa

Lokasinya yang strategik dan kotanya yang begitu besar terlatak di antara dua bukit. Dari atas kota lama para pengunjung boleh melihat pamandangan Kubu Iskandar The Great, Tasik Garam dan Jabal Mouta. Pengunjung-pengunjung juga dapat melihat pemandangan Siwa yang antik dengan tanahnya yang subur dan ladang-ladangnya yang luas.






Kubu Iskandar

Terdapat sebuah lubang untuk mengambil bekalan air dari sebuah telaga yang terdapat di kaki bukit. Tempat yang tersembunyi ini adalah sebagai salah satu strategi peperangan yang tidak mampu dikalahkan oleh musuh. Satu ketika dahulu terdapat satu berhala yang mewakili tuhan matahari di puncak bukit. Dikatakan Iskandar The Great meminta pertolongan daripada berhala tersebut apabila ditimpa sebarang permasalahan. Tetapi berhala tersebut telah rosak semasa Perangan Dunia Ke II yang pernah dijadikan sebagai kubu peperangan oleh tentera Jerman. Masih terdapat tulisan masyarakat Firaun dahulu di pintu gerbang. Terdapat sebuah bilik kecil yang digunakan oleh pendita dan ahli agama pada zaman dahulu. Manakala di sebelah kiri kubu terdapat tempat pentadbiran tentera yang ditawan.

Friday, July 22, 2005

SALHA DIWAWANCARA FAHD RAZY

Assalamualaikum Warahmatullah

Pertama sekali saya mewakili seluruh warga esastera
ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi
diwawancara dan berkongsi pengalaman Kak Sal dari
segala segi terutamanya dari sudut penglibatan dalam
sastera.

1) Pertama sekali, apakah perasaan Kak Sal apabila
telah terpilih untuk ruangan wawancara esastera kali
ini?
Pertama dan selamanya, ucapan terima kasih buat laman sastera siber, esastera.com kerana sudi mewawancara saya. Terima kasih juga kepada adik Fahd Razy kerana bersengkang mata barangkali menyediakan soalan untuk akak. Terkejut juga tengok soalan-soalan yang diajukan mujur tidak begitu banyak :). Rasa seganpun ada juga sebab tak banyak pengalaman yang boleh dikongsi bersama.

2) Sebagai permulaan, bolehkah Kak Sal ceritakan
serba sedikit tentang latar belakang keluarga?
Akak berasal daripada keluarga yang sederhana, anak jati Negeri Sembilan. Emak dan abah bekerja sebagai penoreh getah. Tidak banyak yang dapat akak ceritakan kerana latar belakang keluarga bukan dalam golongan yang terlibat dengan dunia penulisan dan sastera. Sekadar pengenalan terhadap ahli keluarga, emak berasal dari Rembau dan abah berasal dari Jelebu. Akak anak sulung daripada lima beradik. Adik yang kedua lelaki berusia 21 tahun, lepasan Institut Kemahiran Mara, Jasin Melaka. Adik perempuan pula bersekolah di Maahad Ahmadi Gemencheh Negeri Sembilan, lower six. Adik keempat lelaki juga, bersekolah di Sekolah Menengah Rendah Agama Kuala Klawang dalam persediaan menduduki PMR dan adik bongsu juga lelaki, bersekolah di sekolah yang sama sekarang dalam tingkatan satu.

3) Bolehkah Kak Sal ceritakan serba sedikit tentang
penglibatan awal Kak Sal dalam sastera?
Awal penglibatan dalam sastera, akak lebih cenderung kepada genre puisi moden, sajak. Semasa di sekolah rendah hingga usia mencecah 15 tahun sering mendeklamasikan sajak di sekolah apabila ada sesuatu majlis contonhya, sambutan 'Hari Guru' dan hari 'Anugerah Pelajar Cemerlang'. Namun mencecah usia 15 tahun akak mula beralih minat kepada genre cerpen dan tidak lagi aktif dalam genre sajak hingga kini. Bermula usia itu akak menjadikan penulisan sebagai hobi. Jika ada masa senggang akak akan bikin cerpen berdasarkan idea-idea yang lahir disamping menyelitkan serba sedikit pengalaman hidup. Apabila menjejakkan kaki ke Perlembahan Nil, akak temui sebuah kelap penulisan yang dapat membantu mengenalkan tentang penulisan. Akak sertai kelap tersebut yang dinamakan sebagai Akademi Karyawan Mansurah. Akak kembali mengasah bakat yang hampir tumpul dan apabila karya-karya akak tersiar dalam majalah mahasiswa al-Azhar, akak semakin bersemangat untuk menulis. Sejujurnya akak gemar mengakrabi karya-karya penulis mapan seperti Sdr Faisal Tehrani, Nisah Haji Haron dan Mawar Syafie disamping gemar membaca karya-karya penulis kawakan seperti Sdr Atondra, S.M Zakir dan Sasterawan Negara yang tidak asing lagi A.Samad Said atau lebih mesra dengan nama jolokan Pak Samad. Kecenderungan mengakrabi karya-karya penulis-penulis mapan dan kawakan ini telah memasak satu semangat dan azam untuk akak menguliti sastera lalu penglibatan awal dalam sastera itu berputik, bermula daripada minat yang gemar membaca karya-karya sastera. Hasilnya sekarang ini menulis bukan lagi dirasakan sebagai hobi sebaliknya sebagai tanggungjawab yang berat.

4) Bolehkah kongsi bersama kami pengalaman sewaktu
kecil yang Kak Sal tidak dapat lupakan?
Hehe :) malunya hendak cerita. Pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu abah kejar sambil pegang rotan. Abah marah sebab akak tak pergi mengaji al-Quran. Abah tahu akak pergi mengaji tiap-tiap hari tapi suatu hari tok guru datang ke rumah nak ziarah akak. Dia ingat akak tak sihat sebab dah tiga hari tak datang mengaji. Masa itulah tembelang akak pecah. Abah cari akak merata dan akhirnya dia jumpa akak menyorok di sebalik pokok durian. Akak pun apa lagi lari sampai tak cukup tanah. Sejak dari hari itu akak terus rajin mengaji dan cepat hafal ayat-ayat dalam Muqaddam sehingga akhirnya khatam al-Quran pada usia lapan tahun.

5) Makanan dan minuman kegemaran?
Tentunya masakan emak tapi yang khusus suka masak asam pedas (nama sahaja pedas tapi tak boleh makan pedas-pedas). Minuman pula suka yang tidak berais khususnya soya dan laici.


6) Apakah hobi Kak Sal?
Hobi akak banyak. Disamping suka menulis akak suka melukis, menjahit, melayari internet, buat kraftangan, buat kaligrafi Islam (khat) dan suka memasak. Adakalanya suka juga jalan-jalan cari ilham sambil berwisata.

7) Adakah sesiapa di antara ahli keluarga yang
terlibat dengan aktif dalam sastera? Jika ya, adakah
ahli keluarga tersebut telah banyak membantu Kak Sal
dalam dunia penulisan?Bagaimana?
Tidak ada ahli keluarga yang terlibat dalam sastera.

8) Jika tidak, bagaimanakah Kak Sal mendapat semangat
untuk bergiat dalam dunia penulisan? Bagaimanakah Kak
Sal melatih diri dan belajar untuk menghasilkan karya
kreatif juga pengalaman yang paling diingat sepanjang
bergiat dalam penulisan?
Akak mendapat semangat daripada emak dan abah. Abah khususnya sering memberi dorongan dan sokongan sebab abah minat juga pada sastera disamping pernah menjadi guru Bahasa Melayu semasa usia 19 hingga 23 tahun. Jadi abah memang sering bercerita perkara-perkara berkaitan sastera termasuk suka bercerita tentang cerita lagenda.

Tidak lupa juga, ucapan terima kasih kepada rafik-rafik yang sering memberi sokongan dan semangat untuk akak terus giat menulis. Sdr Amiza Khusyri, Ubaidillah, Nuralana, Faezah Erda (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi. Mereka ini sering memugar semangat untuk memastikan kami sama-sama terus konsisten menulis.

Kak Nisah Haron dan Kak Mawar Syafie juga merupakan insan-insan yang sering
memberi galakan dan sokongan. Mereka sering memberi tunjuk ajar dan sering juga menjadi tempat rujukan untuk akak menimba ilmu dan pengalaman dalam dunia penulisan.

Disamping itu, akak memang suka membaca karya-karya kreatif dan apa-apa sahaja bahan bacaan berkenaan sastera sama ada di akhbar atau majalah-
majalah. Dari situ akak belajar untuk menghasilkan karya dengan meneliti setiap keindahan bahasa yang terselit di dalamnya disamping suka memerhati, mengkaji dan mentafsir setiap apa yang akak lihat.

Pengalaman yang paling diingat...tentunya bila karya tersiar di media perdana,
Berita Minggu. Sdr Amiza orang pertama yang memaklumkan perkara tersebut kepada akak. Namun begitu pengalaman yang terakam kemas dengan rasa sayang dan cinta semasa berada dalam kelap Akademi Karyawan Mansurah, Mesir. Di situ akak banyak menimba pengalaman tentang dunia penulisan.


9) Siapakah penulis idola Kak Sal di esastera.com dan
di luar esastera.com? Mengapa?
Penulis yang menjadi idola di esastera.com, Sdr Ghafirah Idris dan di luar esastera.com pula adalah Sdr Faisal Tehrani. Bagi akak, Sdr Ghafirah meskipun masih muda, namun beliau berjaya berfikir melangkaui sempadan usia dan semangat serta kesungguhan beliau amat akak kagumi. Sdr Faisal Tehrani pula, terlalu banyak kepelikan idea yang dicipta dan gagasan pemikiran yang disampaikan sungguh mengagumkan. Pendek kata, akak semacam dah jadi 'tehraniun', jika ada karya-karya Sdr Faisal tidak kira secara kritikan atau apa sahaja, pasti tidak akan melepaskan peluang membacanya.

10) Kebanyakan karya Kak Sal adalah cerpen. Tidak
berminat dengan puisi?
Akak memang berminat dengan puisi sebab awal penglibatan aktif berpuisi namun bila lama dah break off rasa sukar hendak memulakan semula.

11) Apakah projek utama yang sedang Kak Sal usahakan
sekarang ini (dalam penulisan)...cerpen terbaru?
Bila ditanya tentang projek penulisan terasa sukar hendak menjawab sebab akak gambarkan perkataan 'projek' adalah sesuatu yang besar dan mantap.Walau bagaimanapun sekarang hanya ripuh bikin cerpen-cerpen baru. Disamping itu dalam usaha menghasilkan antologi cerpen yang ketiga bersama rakan-rakan penulis Malaysia, Timur Tengah.

12) Tidakkah berhasrat menulis novel atau skrip
teater/ drama?
Secara jujur memang akak ada hasrat dan masih menyimpan hasrat untuk menulis novel dan skrip drama. Bahan-bahan rujukan memang sentiasa ada namun benar-benar belum bersedia.

13) Kak Sal adalah seorang pelajar di luar Negara,
dan juga seorang penulis yang giat... bagaimanakah Kak
Sal membahagikan masa antara menulis dan aktiviti
lain?
Kebiasaan akak menulis sebelah malam sebab kami di sini berprogram sebelah siang. Waktu menulis sekitar lepas solat isyak hingga jam 2.00 pagi. Bagi diri akak dua-dua perkara ini adalah penting (menulis dan berprogram). Segala perkara yang berkaitan ilmu dan pengalaman akak akan kejar dan terus mengejar hingga dapat. Akak akan pastikan diri menulis secara konsisten. Paling kurangpun satu hari mesti hasilkan satu fragmen. Bila tidak ada mood untuk menulis atau idea mati secara tiba-tiba, akak akan peram karya sehingga idea datang kembali.

Kebiasaan di sini akak aktif dalam kelap-kelap penulisan dan terlibat dengan Biro Penerangan dan Penerbitan Suara Kampus mahasiswa al-Azhar. Justeru apabila
tanggungjawab dan amanah yang dipikul menuntut untuk dilunasi dengan segera, akak akan sedaya membahagikan masa sebaik mungkin. Sejujurnya, akak tak gemar menangguh-nangguh kerja. Oleh sebab itu, apabila ada tugas yang belum selesai, akak akan selesaikan sesegera mungkin. Jadi, masa yang diperuntukkan untuk menulis tidak akan terganggu.

14) Apakah pandangan Kak Sal tentang esastera.com?
Sebarang cadangan yang hendak diketengahkan?
Secara peribadi, laman sastera siber esastera.com diyakini sebagai tapak asas yang kukuh untuk penulis-penulis pucuk muda mengasah bakat dan minat. Di sini tempat mencurah idea dan menimba pengalaman. Di sini juga penulis-penulis baru, mapan dan kawakan berkumpul menghimpun idea. Saling berpimpinan dan beriringan pandangan. Justeru, di sini ada satu rantaian hubungan yang amat berharga wajar dihargai kerana jatuh dan bangun semangat sesama kita, hanya kita yang merasai. Lantaran itu, ada rasa ingin berkongsi rasa dan idea, memupuk dan memugar semangat yang pudar dan suram. Perkara sebegini tidak akan dikongsi bersama andai penulis-penulis bersikap sendiri-sendiri kerana seorang penulis, semangat dan kesungguhan itulah yang menjadi penerus perjuangan berlari di atas medan pena. Sesama kita harus peka untuk memastikan rakan seangkatan terus konsisten dan prolifik menulis.

Buat masa ini tiada sebarang cadangan untuk diketengahkan.

15) Apakah pandangan Kak Sal tentang mutu karya di
esastera.com dan juga para penulisnya?
Pandangan ini, tidak semestinya mencerminkan penilaian terhadap mutu karya di esastera.com. Akak melihat penulis-penulis di esastera.com majoriti adalah penulis-penulis muda yang sedang dan telah menempa nama. Rata-rata mereka tahu untuk menyampaikan idea dan pandanagn dalam penulisan. Karya-karya mereka juga meskipun ada yang klise, namun berjaya menarik minat khalayak pembaca esastera.com. Tidak dinafikan, ada yang hebat mencerna idea dengan kekuatan bahasa dan langgam penceritaan yang baik. Cuma, yang masih baru belum terlambat untuk menimba ilmu dan mempelajarinya daripada penulis-penulis yang mapan dan hebat. Cerpenis juga sebenarnya banyak membantu penulis-penulis baru memajukan karya. Jadi kelebihan dan kekurangan sesuatu karya itu hanya dapat dinilai andai kita konsisten menulis. Disamping itu, penulis-penulis mapan dan kawakan adalah ibarat tiang utama dan yang baru ibarat tiang seri sesebuah rumah.

16) Cerpen-cerpen Kak Sal di esastera.com banyak
menarik minat para ahli berdasarkan respons dan komen
yang diberi. Adakah Kak Sal berpuas hati dengan
pencapaian tersebut? Bagaimanakah Kak Sal mendapat
idea?
Sehingga kini masih tidak berpuas hati dengan karya-karya sendiri meskipun kebanyakan respon yang diterima banyak memuji. Terlalu banyak kekurangan yang perlu ditampung dan terlalu banyak kelemahan yang sewajibnya dibaiki.

Bagi akak setiap idea yang diperolehi adalah ilham daripada Allah. Namun akak sentiasa mencari di mana idea itu bersembunyi. Kemana sahaja akak pergi pen dan
buku catatan sentiasa ada. Setiap perkara yang berlaku disekeliling akan diperhati. Lalu mengambil ikhtibar dan berazam mahu merakam dan mengabadikan perkara yang menyentak jiwa dan perasaan menjadi sebuah cerpen. Jika kontang idea, akak akan keluar dan berjalan-jalan mencari idea dengan memerhati dan mencatat. Adakala akak akan melayari internet dengan menjelajah website-website tertentu untuk memburu dan mendapatkan berita semasa dan terkini. Disamping itu, membaca adalah jalan terbaik bagi diri sendiri untuk mendapatkan idea-idea baru.

17) Jika diberi peluang, siapakah warga esastera yang
Kak Sal ingin berjumpa? Mengapa?
Emm...sebenarnya akak teringin hendak bersua muka dengan ayahanda Latip Talib. Meskipun kami berasal dari daerah dan pekan yang sama, namun masih belum ada kesempatan beramah mesra. Sewajarnya yang dekat itu harus lebih dikenali dan yang jauh dirapat-rapatkan. Jauh dari satu sudut, ayahanda Latip Talib punyai keistimewaan yang lain daripada yang lain. Semacam dalam jiwa beliau ada seni sastera yang unik barangkali tidak dimiliki oleh penulis-penulis muda hari ini. Akak melihat itu ada dalam diri beliau.

18) Pengalaman manis sepanjang di negara orang?
Bagi diri akak seorang mahasiswi al-Azhar, tentunya saat berjaya dalam perperiksaan itu yang paling manis dikenang kerana itulah hadiah berharga untuk emak dan abah.

19) Pengalaman pahit pula?
Pengalaman pahit, sukar hendak diceritakan. Nanti kalau diceritakan boleh jadi satu novel :)

20) Di Mesir, Kak Sal merupakan salah seorang pelajar
yang aktif menggerakkan persatuan-persatuan penulis di
sana, misalnya menjadi panel hakim dan juga pembentang
kertas kerja.

21) Apakah pendapat Kak Sal tentang suasana penulisan
di kalangan pelajar Mesir?
Sejujurnya apabila melihat suasana penulisan di kalangan pelajar Mesir, dalam sudut yang pertama amat menggembirakan. Meskipun sambutan terhadap dunia penulisan tidak seramai menghadiri aktiviti dan program-program lain, namun kesungguhan menghadiri program-program penulisan di sini amat menggalakkan.

Penilaian dalam sudut yang kedua pula, kesungguhan untuk menulis di kalangan pelajar Mesir agak kurang rancak terutama dalam genre kreatif. Ramai yang tidak konsisten menulis. Ramai yang menghadiri seminar penulisan, namun
kesungguhan itu benar-benar dapat dinilai apakala sambutan terhadap bengkel penulisan hanya dihadiri oleh satu perempat daripada mereka yang menghadiri seminar. Jika ada sekalipun yang konsisten menulis, hanya mereka yang benar-benar ada kesungguhan dan kesedaran akan peri pentingnya melibatkan diri dalam dunia penulisan.

22) Apakah pengalaman yang sering dikenang dalam
menggerakkan kegiatan penulisan di Mesir?
Pengalaman yang sering menjadi kenangan apabila bekerjasama dalam satu team dan berkumpul dengan rakan-rakan penulis semasa menggerakkan program penulisan.

23) Saya selalu melihat antara masalah yang dihadapi
oleh penulis-penulis Mesir di esastera adalah
komputer. Adakah Kak Sal menghadapi masalah yang sama?
Bagaimana mengatasinya?
Akak ada komputer peribadi jadi masalah untuk menulis tidak begitu ketara. Namun itu bukan masalah utama kerana kita boleh menulis di atas kertas. Akak sentiasa bersedia dengan kemungkinan yang datang sebab bila komputer buat ragam akak akan menulis di dalam sebuah buku khas yang disediakan untuk menulis cerpen. Malah semasa disekolah dahulu akak memang menulis di dalam buku khas itu sebab ketika itu akak tidak punyai komputer. Bila rasa apa yang ditulis sudak ok, baru cari altenatif lain bagaimana hendak menaip.

24) Apakah pandangan Kak Sal tentang dunia Islam hari
ini, khususnya di Mesir tempat Kak Sal belajar?
Islam itu adalah agama yang mulia. Kebobrokan dan kucar-kacir yang berlaku dalam dunia Islam hari ini bukan berpunca daripada agama Islam itu sendiri. Agama Islam itu syariatnya tidak akan berubah malah kekal zaman-berzaman. Meskipun zaman semakin maju, tidak wajar mengklasifikasikan syariat yang terkandung dalam agama Islam itu tidak sesuai digunakan pada zaman ini. Usul dan asal pengeluaran hukum adalah sama tidak akan berubah hanya cabang ilmu, pembahagian hukum dan penyelesaiannya sahaja yang berbeza. Justeru, nasib yang menimpa dunia Islam hari ini wajar diambil perhatian. Fenomena ini berpunca daripada sikap umat Islam itu sendiri. Teguh berdiri, kukuh terpasak, jatuh dan bangun sesuatu bangsa dan Negara bergantung kepada kebersamaan, kepercayaan, keimanan dan pengetahuan serta kesedaran melihat kembali sejarah silam.

Akak memetik kata-kata seorang pemikir barat "The history of mankind beers witness to the fact that the rise and fall of people and civilizations ape directly related to the acquisition, production and sagacious use of knowledge. Those who excel in this respect assume the leadership of nations." Tuntas, mengapa sebagai umat Islam kita tidak cuba mengaplikasikan prinsip yang diamalkan oleh orang-orang barat ke dalam kehidupan kita untuk membangunkan dan menjaga keharmonian Negara-negara Islam. Yang baik harus dicontohi dan yang buruk harus ditolak. Mereka sering mencedok kebaikan dan kebenaran yang ada dalam agama Islam lalu diaplikasikan dalam kehidupan mereka. Sedangkan kita pula menolak kebaikan itu dan mengamalkan keburukan. Kepincangan akhlak juga tidak akan berlaku andai kita setia mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Lalu pandanglah kepada sejarah yang lalu agar perkara yang sama tidak akan berulang kembali kerana manusia yang sering melihat sejarah akan berhati-hati untuk memikirkan dan membina masa depannya.

25) Apakah matlamat yang ingin dicapai dalam
penulisan?
Akak mahu menjadi seorang penulis yang berjaya menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat. Akak bercita-cita merubah barah kejahilan yang ada dalam masyarakat dengan ilmu dan iman lalu disampaikan melalui pena. Tidak mengharap sebarang balasan, cukup melihat perubahan dan kesedaran lahir dalam jiwa masyarakat, itulah anugerah yang paling berharga.

26) Bentuk karya bagaimana yang kak Sal gemari?
Akak menggemari karya-karya dalam skop penceritaan kisah sejarah, keluarga, agama, budaya dan satira.

27) Yang terakhirnya apakah nasihat untuk para
penulis di esastera.com?
Untuk warga esastera.com, pupuklah kesedaran menulis dalam diri secara berterusan. Binalah sikap yang betul, telus dan jujur sebagai seorang penulis yang sewajarnya memasyarakatkan masyarakat. Jauhkan sikap lekas mecak, takut dikritik dan cepat berputus asa kerana sikap-sikap itu hanya akan merugikan dunia penulisan dan sastera kita. Suburkanlah rasa tanggungjawab, tasamuh dan kasih sayang dalam diri sendiri dan masyarakat kerana di situlah kita bermula mengenal realiti hidup yang terselit di celahan pagar kehidupan. Masyarakat sekeliling adalah cerminan diri seorang penulis. Jika songsang akhlak dan akidah, kitalah perubah dan penunjuk jalan untuk mereka mencari dunia yang benar itu. Penulis juga adalah pengembara kerana sering mengembara dalam diri sendiri untuk menerokai misteri kehidupan.

Akhir bicara akak menyorot kembali tulisan SN A.Samad Said "Perjalanan atau pengembaraan juga sebenarnya adalah proses menuntut ilmu; proses mematangkan minda dan menterjemah misteri dunia." [Halaman 39: Biografi Sasterawan Negara A.Samad Said]

Lantaran itu manfaatkan catatan pengembaraan hidup sebaiknya buat ikhtibar diri dan khalayak pembaca.








Tuesday, July 19, 2005

SUKMA SEORANG HAWA

Telah lelah merempuh hidup yang penuh ranjau. Adakala bungkam, adakala pasrah, adakala titisan airmata menjadi peneman setia dikala dirimu terhumban ke kencah derita. Dia bukan sesiapa dalam hidupmu. Dia hanya seorang insan yang hadir mengocak ketenangan jiwamu. Dia juga hanya insan yang tahu mengikat janji setia. Namun, kesabaranmu bergelar HAWA, mendidik atmamu menjadi sekukuh benteng yang megah berdiri. Hanya terlihat retak-retak dan serpihan, pun begitu dikau tetap berdiri teguh. Dia adalah ADAM yang mungkir janji. Barangkali terlupa pada amanah TUHAN, diciptakan sebagai rijal untuk melindungi. HAWA, diciptakan dirimu tidak daripada telapak kaki untuk dipijak-pijak. Tidak juga diciptakan di atas kepala untuk disanjung. Namun dikau diciptakan dari tulang rusuk yang kiri, dekat dengan hati untuk dilindungi dan dikasihi. HAWA, hanya kesabaran itu bukti keteguhan imanmu. Biarkan dia dengan hidupnya. Biarkan dia dengan jalan yang dipilihnya. Cukuplah HAWA, jangan kau biarkan dia melakar duka dan sengsara di atas marsum jiwamu. Perjalanan masih jauh. Terlalu banyak harus kau tempuhi. Andai ditaqdir TUHAN kebahagiaan menanti, pasti dapat kau dakap jua pembelaan dan pengertian seorang insan. Namun, andai taqdir TUHAN menuntut kesabaran, biarkan derita itu mengalir dalam sukma geringmu bersama suci keimanan dan keredhaan. Akan ada ganjaran menanti, hadiah sebuah pengorbanan pada seorang insan yang enggan mengerti. Dakaplah kasih TUHAN, kerana itu cinta hakiki. HAWA, ketabahanmu merantai jiwaku.

Friday, July 15, 2005

SASTERA, JIWA MANUSIA

Hari ini saya menemukan semangat dan kesungguhan anak-anak Negeri Sembilan yang cuba mengakrabi dunia penulisan. Tiga hari bersama mereka dalam pelbagai agenda, banyak yang telah saya temui dalam diri mereka. Saya kagum dengan semangat dan kesungguhan mereka menghadiri program yang dianjurkan oleh Akademi Karyawan Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri Sembilan(AKRAB). Petang ini, kami berdiskusi dan sama-sama mengupas permasalahan yang ada dalam diri penulis-penulis baru. Ramai yang berbakat dalam dunia penulisan, namun tidak ramai yang konsisten. Ramai yang kecewa kerana karya-karya mereka sering dibakul sampahkan. Itu bukan halangan utama, semangat dan usaha akan membuahkan hasil diluar jangkaan. Mereka bertanya: apakah kepentingan karya kreatif berbanding karya non-kreatif? Ramai yang tidak menyedari, kesedaran memupuk rasa simpati dan tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara lahir saat anda menikmati karya kreatif. Di situ lahirnya rasa amanah lantaran keistimewaan karya kreatif itu ada sastera di dalamnya. Sastera itu menghalusi peribadi dan jiwa. Sastera juga membina jiwa manusia bermasyarakat. Tuntas sastera ada seni yang unik kerana jiwa manusia adalah sastera. Lantaran itu, perhatikan jiwa-jiwa insan yang gersang sastera, mereka sukar menghalusi peribadi, sukar menebak duka dan luka kehidupan masyarakat sekeliling dan mereka hanya tahu menabur bicara tanpa ilham pena tumpah di atas kertas. Kata-kata ini menjurus kepada musuh-musuh Islam, kontang sastera jiwa buat rasa kejam bersalut. Lantaran itu hilang tasamuh, lalu benarlah firman Allah: "Tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehingga (umat-umat Islam) mengikuti agama mereka."
Usah disangkal firman Allah, usah dinafi kekuasaan-Nya kerana kekuasaan al-Khalik haram digugat, wajib diimani. Amanah yang melingkari ini tidak akan terhenti andai rasa sedar sentiasa bersalut dalam sanubari. Kepada anda yang mempunyai kesedaran, lunasi tanggungjawab ini. Gemilangkan dunia pena agar ilmu yang ada dibukukan buat panduan generasi akan datang.

Tuesday, July 12, 2005

MENCARI LOCUS STANDI

Sebetulnya saya sekarang berada di kota Kaherah. Baru usai melunasi amanah dalam slot pembentangan kertas kerja "Pengenalan Ringkas Struktur Penulisan Cerpen". Mohon maaf kepada pengunjung-pengunjung blog saya. Setiap hari anda semua menatap entri yang sama. Dalam ripuh melunasi amanah, saya sempat mengkhatami novel Nisah Hj Haron(kak Nisah) yang berjudul "Mencari Locus Standi". Kekuatan bahasa yang ada pada kak Nisah membuatkan struktur penulisan ayat berjalan lancar. Tiada rasa jemu membaca jalan cerita novel tersebut. Membaca novel tersebut seolah-olah saya sedang menyelami sikap dan jati diri yang ada pada diri beliau. Syabas kepada kak Nisah. saya sentiasa merindui karya-karya beliau. Sungguh! Kak Nisah tidak menyembunyikan diri beliau sebagai seorang peguam dalam novel tersebut. Ada sesuatu yang harus saya pelajari. Juga telah membantu pengkajian saya terhadap adat pepatih. Saya akan meneruskan pengkajian saya sehingga cita-cita untuk menggarap unsur-unsur naratif dalam karya kreatif tercapai. Kita bertemu lagi dalam entri saya yang akan datang. Selamat membaca.

Friday, July 08, 2005

ALKISAH SATU HARI

Satu hari di akhirat, ibarat seribu tahun di dunia. Satu hari di dunia sentiasa mengharap siang dan malam yang panjang. Satu hari di akhirat sentiasa menunggu ketibaan esok. Satu hari di dunia, menghitung wang dan harta. Satu hari di akhirat sentiasa menghitung masa. Satu hari di dunia, mengejar pangkat dan nama. Satu hari di akhirat tidak menghiraukan orang lain. Satu hari di dunia tamak harta. Satu hari di akhirat tamak amalan. Satu hari di dunia...peduli apa aku...kumpul harta banyak-banyak. Satu hari di akhirat...peduli apa aku...aku mahukan amalan aku...aku nak himpun amalan aku agar mizan kejahatan menjadi ringan. Satu hari di dunia, umur kita berbeza...ada muda, remaja dan tua. Satu hari di akhirat dan selamanya... kita kekal muda sebaya. Satu hari di dunia tidak kenal Tuhan. Satu hari di akhirat...oh! Engkaulah Tuhanku.

Alkisah satu hari. Bermacam ragam...bermacam perbandingan. Satu hari itu, di mana kita. Satu hari itu, apa yang kita lakukan. Satu hari itu matahari terbit disebelah barat. Hari itu, hari Jumaat. Itulah hari kiamat. Satu hari ini sudah banyak alamat dan petanda. Jika tidak percaya lihatlah satu hari ini, apa yang akan terjadi. Banyak perkara akan terjadi satu hari ini. Projek pembangunan berjalan lancar dan pesat. Mahu buat bangunan pencakar langit. Buang bayi...lagi banyak macam zaman jahiliyah. Berzina lagi tak terkira...dosa pahala sama sahaja tiada beza. Satu hari, ibu- bapa tunduk pada kemahuan anak. Mereka takut pada zuriat sendiri. Sungguh! Anak-anak derhaka lagi. Kalau tak percaya, tengoklah...pasti ada yang lawan cakap ibu-bapa. Lihat sahaja satu hari ini, manusia banyak yang terleka. Alkisah satu hari...malaikat maut merenung 70 kali renungan yang tajam. Tiap-tiap hari begitu. Alkisah satu hari pasti akan ada yang mati. Mana tahu, mungkin hari ini kita mati.

Alkisah satu hari, akan tinggal kenangan...akan tinggal sejarah...akan tinggal lagenda.