Pages

Tuesday, December 29, 2009

Perjalanan Balik Hari

Sejak dua minggu berturut -turut saya bersama suami dan anak merentasi perjalanan yang jauh hanya dalam tempoh satu hari. 20 Disember lalu (Ahad) kami ke Ipoh, Perak. Memulakan perjalanan tepat jam 7.00 pagi dari Jelebu dan tiba di Ipoh jam 2.00 petang untuk menghadiri majlis walimah sepupu suami. Kami bertolak pulang jam 3.30 petang dan tiba sekitar jam 11.00 malam. Kasihan Si Kecil, tidur seharian di atas pangkuan. Mujur Si Kecil saya tidak meragam. Malamnya setiba di rumah, Si Kecil saya tidak terjaga daripada tidur seperti kebiasaan untuk menyusu. Barangkali terlalu keletihan. Dia lena hingga ke pagi.


Minggu lepas pula kami ke Fraser's Hill. Juga mengambil pendekatan 'balik hari'. Menghirup udara segar dari puncak bukit. Saya amat menggemari suasana dingin meskipun kurang baik untuk kesihatan saya yang senantiasa bersedia menyedut ventolin jika diserang lelah. Meskipun percutian 'balik hari' amat memenatkan, namun terasa puas kerana hanya cuti-cuti sekejap ini saja kami dapat bersama berbanding hari-hari biasa kerana hanya hujung minggu sahaja kami dapat bersama anak-beranak. Demi tuntutan hidup bermasyarakat, adakala kami terpaksa berbuat begini. Hari-hari cuti hujung minggu tidak semesti dapat dinikmati bermalaman kerana masa perlu dibahagi sama rata untuk keperluan diri, keluarga dan masyarakat setempat.








Thursday, December 24, 2009

Undangan Yang Tidak Dapat Dipenuhi

Akhir-akhir ini, banyak undangan untuk ke acara sastera tidak dapat dipenuhi. Hanya merancang, namun Allah jua penentu segala.

Tuesday, November 24, 2009

Bicara Cinta

Tersentuhnya dengan bicara ini:

jiwaku lahir di atas pantai matamu yang merintih, dalam matamu yang merintih itulah daku rasakan bahawa bumi impian bermula dengan semarak cahaya cinta.

Thursday, November 19, 2009

Umbara Sastera III di BH Hari Ini


DARI kanan; Nisah, Amiza Khusyri dan Syarifah Salha
bertindak sebagai panel Umbara Sastera III anjuran
Persatuan Penulis Negeri Sembilan.




Panel Umbara Sastera III berkongsi pengalaman dengan peserta

UMBARA Sastera III bertema Penulisan Sastera Islam berkonsep ala bicarawara, berjaya mendorong peserta melakukan kembara minda dengan pelbagai cara ekoran kesediaan panel berkongsi pengalaman bagi menggali idea bagi menghidupkan karya kreatif mereka.

Tiga penulis yang menjadi pemenang Hadiah Sastera Berunsur Islam Ke-12, dipilih sebagai panel program iaitu Nisah Haron, novelis terkenal yang juga pemenang tempat pertama kategori cerpen bagi pertandingan itu melalui cerpen, Aset Istiqamah.

Nisah berterus terang bahawa Aset Istiqamah dihasilkan bukan untuk menang, tetapi bagi memberi gambaran sebenar kepada masyarakat khususnya yang bukan berasal dari Negeri Sembilan mengenai apa sebenarnya yang terkandung dalam pembahagian harta mengikut Adat Perpatih.

“Ramai tidak faham dan sering keliru dengan beberapa undang-undang yang ditetapkan dalam adat ini. Malah, ada yang beranggapan sukar untuk berkahwin dengan perempuan dari negeri ini kerana takut hartanya akan menjadi hak isterinya jika diceraikan.

“Fahaman ini tidak tepat kerana wanita hanya menjadi ‘ibu soko’ atau pemegang amanah untuk menjaga harta keturunannya, tetapi kepimpinan dan undang-undang masih dikuasai lelaki yang dipilih ibu soko, lalu terhasil cerpen ini,” ujarnya pada acara anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan (Pen) di Dewan D’Ark Senawang, baru-baru ini,

Selain itu, guru dan juga pemenang tempat ketiga kategori sama, Amiza Khusyri Yusof melalui cerpen, Kasad dan guru serta graduan Universiti Al-Azhar, Syarifah Salha Syed Ahmad yang mendapat tempat sagu hati bagi cerpen, Tangisan Daerah Terpinggir.

Amiza pula menyifatkan, kelahiran Kasad atau dalam bahasa Melayu bermaksud niat adalah gambaran sebenar pengalaman kebanyakan graduan Asia Barat apabila pulang ke tanah air sehingga mereka sering gusar akan penerimaan masyarakat masjid atau surau terutama generasi tua.

“Untuk menulis, kita memerlukan gambaran sebenar dan tepat. Saya cuba mengetengahkan dilema orang muda yang dipandang serong oleh imam masjid kampungnya kerana bimbang kedudukannya tergugat ekoran anak muda berkelulusan Universiti al-Azhar,” jelasnya.

Semua ahli panel berjaya menghidupkan suasana program melalui idea dan catatan pengalaman yang memberi ruang kepada peserta membina keyakinan diri ke arah menghasilkan karya kreatif bermutu berunsur Islam, serentak itu memberi kesegaran dan keunikan kepada sastera tanah air.

Ketua Satu Pen, Mahaya Mohd Yassin, mengakui bukan mudah untuk menarik ramai penyertaan dalam program Pen kerana tidak semua berminat dan mempunyai bakat dalam bidang berkenaan, tetapi penyertaan peserta dilihat semakin meningkat setiap tahun.

Beliau berkata, minat menulis pencinta sastera negeri itu semakin meningkat terutama golongan pendidik menerusi program anjuran Pen seperti Umbara Sastera kerana pelbagai teknik dan gaya penulisan didedahkan penulis berpengalaman.

“Bagi melahirkan lebih ramai penulis terutama generasi muda, Pen sudah menyenaraikan banyak program berbentuk bimbingan dan latihan. Kami cuba bantu penulis muda mempelajari teknik

penulisan yang betul sehingga mampu menghasilkan karya berkualiti,” jelasnya.

Pen berharap langkah itu dapat mengelakkan berlakunya ketandusan penulis dalam bidang kesusasteraan dan serentak itu membolehkan berlakunya perkongsian idea secara langsung antara mereka yang berpengalaman dan peserta program, termasuk aspek kebahasaan.

Guru Sekolah Menengah Undang Rembau, Wan Salmah Wan Hassan, sudah terbabit dalam program berkenaan lebih lima kali kerana minat mendalam dalam bidang penulisan dan berkeinginan untuk berkarya serta ingin menimba melalui program itu.

“Saya memang berminat untuk menulis, malahan sedang dalam proses menyiapkan novel sulung yang berkemungkinan selesai tahun depan. Idea menulis novel timbul selepas beberapa kali menyertai program dan bengkel penulisan anjuran Pen,” ujarnya.

Editor PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, Syafiq Zulakifli, pula yakin bahawa program seperti Umbara Sastera membolehkan pendatang baru dalam dunia penulisan mempelajari proses berkarya kreatif dan berkongsi idea dengan panel yang berpengalaman.

“Saya sudah mula terbabit dalam dunia penulisan sejak belajar di Universiti al-Azhar lagi. Setakat ini sudah menghasilkan beberapa cerpen dan terkini, Ramadan Terakhir di Kaherah, diterbitkan dalam Berita Minggu, beberapa bulan lalu,” katanya.


Sumber: Berita Harian



Monday, November 16, 2009

Cerita Usai Umbara Sastera III & Bengkel Penulisan PEN



Kerana minat, saya sanggup berpagi-pagian meredah bukit tangga Jelebu-Seremban. Memandu seorang diri dan meninggalkan anak yang baru berusia 2 bulan. Anak bukanlah halangan untuk saya bergiat dalam apa jua aktiviti terutama aktiviti sastera yang saya minati. Aktiviti seperti ini sangat penting bagi saya. Disamping dapat memugar semangat untuk menulis, berjumpa-rakan-rakan baru dan sahabat-sahabat lama sangat dicitakan. Sekurang-kurangnya, perjalanan penulisan saya tidak seorang diri. Melihat wajah sahabat-sahabat yang berhempas pulas menjayakan program, diikuti wajah rakan-rakan yang datang dari pelbagai latar pendidikan, hilang segala kepenatan yang membungkus diri. Tiga tahun saya tidak menghadiri sebarang bengkel penulisan, alhamdulillah tahun ini berjaya menghadirkan diri. Terima kasih kepada rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang memberi komentar membina. Terima kasih atas cadangan-cadangan yang diberi untuk saya meningkatkan kualiti karya. Sungguh! Saya sangat merindui aktiviti seperti ini. Tuhan, izinkan saya untuk berbengkel lagi. Berharap semoga anak memahami minat saya suatu hari kelak. Adalah lebih bermakna jika anak ummi suatu hari kelak mewarisi minat ini.





Monday, November 09, 2009

Penat

Hanya mampu menulis dan memaklumkan bahawa hari ini adalah satu hari yang memenatkan. Kepala tiba-tiba sakit ditambah pula dengan kesakitan bahu menggalas komputer riba. Mujur saya tidak memandu. Hanya menjadi penumpang yang tersandar di tempat duduk belakang dengan dahi yang berkerut.

Wednesday, September 23, 2009

Biarlah bersopan

Semalam ada seseorang yang tidak saya kenali menghubungi. Pendek kata nombor telefonnya tiada dalam simpanan saya. Saya tidak jawab panggilan tersebut. Minta maaflah, jika nombor tiada dalam simpanan memang saya tidak akan layan. Barangkali dia tidak puas hati, lalu mengirim sms. Begini yang tertera di skrin telefon bimbit:

"Hai!"

Saya tidak balas pun sms tersebut. Bagi saya, pengirim ini tentu belum matang atau barangkali seseorang yang tidak beretika dalam pergaulan. Dia tidak puas hati juga lalu mengirim sms kedua.

"Huhuhu!"

Hem, memang sahlah pengirim ini budak yang tidak cukup umur.
Petang ini ada panggilan daripada nombor yang sama tertera di skrin telefon bimbit saya. Seperti biasa saya tidak hiraukan. Selang beberapa minit saya terima lagi sms yang berbunyi begini:

"Boleh berkenalan?"

Alahai! Siapalah manusia yang tidak matang ini. Bukan sekali insiden sebegini berlaku. Malah, beberapa kali juga saya menerima panggilan dan sms yang menyatakan hasrat mahu berkenalan. Bukanlah saya ini sombong sehinga tidak mahu menambah kenalan. Namun saya tidak gemar perkenalan dengan cara yang kurang sopan ini. Ya, saya kira ini adalah cara yang kurang sopan. Sewajarnya, jika mahu berkenalan eloklah kita memperkenalkan diri sendiri terlebih dahulu sebelum mahu berkenalan atau bertanyakan nama orang. Saya kira, orang yang 'main sembunyi-sembunyi' adalah orang yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab atas perbuatan sendiri.

Bukan tidak boleh memanfaatkan teknologi masa kini. Namun biarlah kena pada cara. Janganlah kerana teknologi yang canggih kita mengabaikan adab sopan sebagai orang Melayu terutamanya. Tatasusila dan cara berbasaan dengan orang pun perlulah dijaga. Paling penting, jangan jadikan teknologi pencetus segala macam fitnah dan buruk sangka.

Di sini saya sertakan nombor telefon bimbit orang yang menghubungi saya itu. Sesiapa yang ingin menambah kenalan, bolehlah berhubung dengan pemilik nombor telefon ini. Namun ingat, berkenalanlah engan cara yang paling beradab dan bersopan santun.

Ini nombornya: 0172734976

Friday, September 18, 2009

Ketupat

Setiap tahun menjelang raya, saya akan menganyam kira-kira 40 biji ketupat. Hanya saya dan abah yang tahu mengayam ketupat. Tahun ini, kami hanya buat nasi rebus sahaja memandangkan saya tidak lincah seperti tahun-tahun sebelumnya kerana saya ada si kecil. Abah pula sangat sibuk kerana saudara mara dari awal sudah membuat tempahan lemang. Kuih-muih tahun ini juga hanya 'kuih tunjuk' sahaja. Walau bagaimanapun, Syawal tahun ini disambut sederhana namun penuh makna.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Thursday, September 10, 2009

Orang Baru


Kepada rakan-rakan blogger yang masih belum tahu, saya maklumkan di sini bahawa saya selamat melahirkan cahaya mata pertama pada 26 Ogos lalu. Seorang puteri yang diberi nama Sayyidah Fatimah bt muhammad Zakir. Doakan kami sejahtera dan dimurahkan rezeki.


Saya kira ini adalah rezeki dan hadiah bersempena kalahiran cahaya mata. Cerpen dan esei saya masing-masing dalam Majalah Nur edisi Ogos dan Tunas Cipta edisi September. Terima kasih kepada editor!







Friday, August 21, 2009

Salam Ramadhan al- Kareem















Saya mengucapkan "Salam Ramadhan al- Kareem" buat semua pengunjung. Ampun dan maaf dipinta andai ada terkasar bahasa , tersilap bicara dan terlajak kata. Semoga Ramadhan tahun ini memberi erti yang cukup mendalam kepada kita.

Tuesday, August 18, 2009

Mekarlah Mawar

Jambangan mawar ini saya hadiahkan kepada seseorang yang istimewa di hati.



Lalu terlihat senyumannya yang mekar, semekar mawar yang mewangi ini. Dan saya lihat, hatinya berbunga girang kerana kekasih hati di sisi saat dia mengecapi bahagia di hati.

Tuesday, July 14, 2009

Hadiah Sastera Berunsur Islam ke- 12

Hadiah Sastera Berunsur Islam (HSBI) mula diadakan pada tahun 1987. HSBI dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Islam (YPI). Tujuan utama HSBI diwujudkan ialah untuk memberikan penghargaan kepada karya sastera yang berjaya menampilkan keperibadian realiti manusia yang menggalakkan kesedaran tentang fungsinya sebagai hamba dan khalifah Allah.

Senarai Pemenang

Kategori A : Cerpen

Tempat Pertama (RM5,000)

Nisah Haron - Aset Istiqamah

Tempat Kedua (RM4,000)

Hafizah Iszahanid - Lari dari Katrina

Tempat Ketiga (RM3,000)

Amiza Khusyri Yusof - Kasad

Saguhati (RM1,000)

Faisal Tehrani - Bulan Penuh di Saigon

Syarifah Salha Syed Ahmad - Tangisan Daerah Terpinggir

Serunai Faqir - Forum Rumah Tuhan

Kategori B : Puisi

Tempat Pertama (RM3,000)

Aminhad
- Suara Dari Cembul Akal
- Ikhtisar Pengembaraan Roh
- Di Masjid Tua Beijing Aku Terkenang

Tempat Kedua (RM2,000)

Fahd Razy
- Sebuah Pembunuhan di Kala Sunyi Malam
- Madrasah Muhasabah
- Taman Munajat

Tempat Ketiga (RM1,000)

Aminuddin Mansor
- Sungai-sungai Syurga
- Belati Iman
- Kembara, Kembali ke Jalan Pulang

Saguhati (RM500)

Abdullah Ab. Manaf
- Mencari Mutmainah
- Mengertikan Kita, Sang Khalifah
- Seulas Tazkirah Selunak Rasa

Jamaludin D
- Pasrah Kalimat Penuh Tawaduk
- Mengeja Makna Kebesaran-Mu
- Penuhi Lautan Sukma

Ahmad Sarju
- Suara Murni
- Berjiwa Besar
- Pintu Kalbu

+ Majlis penyampaian hadiah akan diadakan pada 17 Julai 2009 di Dewan Bankuet, Tingkat 1, Dewan Bahasa Dan Pustaka jam 10.00 pagi.

Saturday, July 04, 2009

Nilai Ilmu

Saya membeli buku ini semasa menghadiri mesyuarat di SK Jempol petang semalam. Faktor pertama yang membuat saya tertarik untuk membeli buku ini adalah kerana pengarangnya iaitu Syeikh al- Allamah al- Muhaddith al- Faqih Abdul Fattah Abu Ghuddah. Saya kira ramai mengenali ulama tersohor ini lebih-lebih lagi dikalangan penuntut ilmu agama. Faktor kedua adalah kerana saya mengenali penterjemahnya iaitu Ustaz Haji Shuhadak Bin Mahmud yang banyak menulis dan menterjemahkan kitab-kitab agama semasa menuntut di Universiti al-Azhar dan kini berkhidmat sebagai pensyarah di KUIS. Antara tajuk-tajuk menarik yang terkandung di dalamnya seperti: Ibnu Jarir Menjaga Masa dan Keazamannya Mentafsir al- Quran Sejumlah 30 Ribu Helai, Imam al- Munziri Masih Sibuk Membaca Walaupun Sedang Makan, Karya Ulama Terdahulu Melambangkan Penjagaan Masa di Sisi Mereka dan banyak lagi tajuk-tajuk yang menarik untuk dibaca.


Kini, saya sedang menikmati sebuah buku yang menceritakan tentang salasilah Keturunan Rasulullah S.A.W (Ahlul Bait) dan Kesultanan Melayu yang disusun oleh Tun Suzana Tun Hj Othman dan Hj Muzaffar Dato' Hj Mohammad (ahli Persatuan Sejarah Malaysia, cawangan Johor). Masej penting yang disampaikan melalui buku ini adalah peranan dan jasa yang amat besar yang telah ditaburkan oleh jenerasi ahlul bait awwalun serta Raja-Raja Melayu dahulu kala dalam menjelma, melebur, mengacu dan membentuk tamadun Melayu Islam Beraja, adat resam serta 'worldview' bangsa Melayu. Buku ini turut memaparkan sentuhan kepimpinan ahlul bait dan Raja-Raja Melayu yang menjadi teras tunjang kekuatan jatidiri Melayu.

+ Membaca buku-buku berunsur sejarah Melayu dan agama Islam sangat perlu supaya bangsa Melayu benar-benar kenal jatidiri dan faham akan agama yang dianuti. Peri penting adalah ilmu yang terkandung di dalam sesebuah buku yang dibaca tersebut. Tidak rugi jika rajin membaca!


Monday, June 22, 2009

UTUSAN SUKMA

Pagi tadi jam 8.30 hingga 1.30 petang saya menghadiri Majlis Utusan Sukma di SMKDUMA atas undangan PEN. Terima kasih kepada Pn. Hjh. Askiah Harun (Guru Besar SKAP)kerana memberi pelepasan kepada saya bagi menghadiri majlis tersebut. Setibanya di sana saya disambut oleh Kanda Nisah Haron dengan pelukan mesra (sejujurnya sudah agak lama juga kami tidak bersua muka). Tentunya tidak lupa bersalaman dan berpelukan dengan bonda Hjh. Mahaya Mohd Yassin yang senantiasa memberi dorongan, galakan dan nasihat agar saya terusan menulis. Sangat senang sekali bersapaan dengan Datin Sabarriah Shukur (Pemangku S/U Dua PEN), Pn. Nor Azah Aziz (Editor Kanan Utusan Publication) dan Kanda Zalilah (P. Pengurus Editorial juga Jurufoto YADIM) meskipun kami jarang sekali dapat bertemu.

Sangat selesa dengan ceramah kanda Nisah yang santai sambil-sambil bernazam. Tersentuh dengan kelembutan dan pengucapan bonda Mahaya yang penyayang. Terpesona dengan tutur bicara Pak Samad yang sangat bersantun dalam berbahasa.

Sejujurnya saya sangat selesa berada dalam ruang lingkup mandala sastera. Pelawalah saya menyertai apa jua aktiviti sastera, tentunya saya sedaya upaya menghadirkan diri. Bagi saya, dunia sastera dan penulisan banyak membantu saya menjadi manusia yang berhemat dan berhikmah. Kebenaran perasaan yang saya rasai itu tidak sia-sia kerana Pak Samad juga ada berkata demikian seperti yang sempat saya petik dalam pengucapannya pagi tadi:

"Kesusasteraan boleh menghematkan dan menghikmahkan manusia."

dan

"Tidak semua orang berbahagia dengan wang. Ada orang berasa senang dengan menulis kerana hasil tulisannya itu dapat dibaca oleh semua orang."

Benar, wang bukanlah perkara yang dapat memberi kepuasan dan kebahagiaan kepada diri saya sendiri. Tetapi, jika saya dapat menghasilkan satu karya sekalipun lalu dibaca oleh khalayak, itulah yang memberi kepuasan kepada diri kerana saya dapat berkongsi ilmu dan pengalaman bersama orang lain.

Kata-kata Pak Samad yang telus dan benar itu sangat saya senangi dan kerana itu juga saya amat menggemari karya-karya beliau.

Inilah buah tangan yang sempat saya beli seusai majlis.



Wednesday, June 17, 2009

Tahniah Pemenang HSKU 2008

KATEGORI NOVEL REMAJA

Hadiah Pertama (RM 7000)
- Kasih Nan Agung (Sri Rahayu Mohd Yusop)

Hadiah kedua (RM 4500)
- Jendela Menghadap Jalan (Ruhaini Matdarin)

Hadiah ketiga (RM 3000)
- Meniti Jalan Hadapan (Norziati Mohd Rosman)

KATEGORI CERPEN REMAJA

Hadiah utama (RM 2500 setiap satu)

1. Dari Kalbu ke Kalbu (Azman Ahmad - Ibnu Ahmad al-Kurauwi)
Mingguan Malaysia, 10 Februari 2008

2. Delusi (Alias Ismail)
Mingguan Malaysia. 21 Disember 2008

3. Teman, Cukuplah Kami (Ummi Hani Abu Hassan)
Mingguan Malaysia, 14 September 2008

6 Hadiah Penghargaan (RM 800 setiap satu)

1. Avule Aidiladha (Norzana Razaly - Zanazanzaly)
Mingguan Malaysia, 7 Disember 2008

2. Batu-batu di Jalanan (Salman Sulaiman)
Mingguan Malaysia, 9 Mac 2008

3. Beranda (Normaizura Md Zain)
Harmoni, 15-31 Januari 2008

4. Rindu Berladung di Pulau Duyung (Norzana Razaly - Zanazanzaly)
Mingguan Malaysia, 13 Julai 2008

5. Segugus Kyuho untuk Cikgu (Ghazali Lateh)
Mingguan Malaysia, 30 November 2008

6. Tiga Jalur Kasih (Syaidul Azam Kamarudin)
Mingguan Malaysia, 6 Januari 2008

KATEGORI CERPEN

3 Hadiah Utama (RM 3000 setiap satu)

1. Bayang di Tirai Belulang (Khairul Hafiz Abdul Rahman - Serunai Faqir)
Mingguan Malaysia, 30 Mac 2008

2. Di Alam Barzakh (Sujaidi Dasuki - Sabda S)
Mingguan Malaysia, 6 April 2008

3. Lelaki Sang Penjinak Ular (Mohd. Hashim Osman)
Mingguan Malaysia, 3 Februari 2008

6 hadiah penghargaan (RM 800 setiap satu)

1. Di Pagi Syawal, Apakah yang kau cari? (Malim Ghozali PK)
Mingguan Malaysia, 28 September 2008

2. Dia dari Penjuru Tahun Lalu (Mawar Shafei)
Mingguan Malaysia, 4 Mei 2008

3. Madrasah Mustaqim (Nazri Hussien - Husna Nazri)
Mingguan Malaysia. 20 April 2008

4. Masjid - S.M Zakir
Mingguan Malaysia, 9 November 2008

5. Sayalah Walinong Sari (Aminah Mokhtar)
Mingguan Malaysia, 2 November 2008

6. Senapang (Muhammad Lutfi Ishak)
Mingguan Malaysia, 110 Ogos 2008

KATEGORI PUISI

3 Hadiah Utama (RM 1500 setiap satu)

1. Potret Lima Puluh Tahun (Ahmad Shukri Abdullah)
Mingguan Malaysia, 30 MAc 2008

2. Sang Semut (Fahd Razy)
Mingguan Malaysia, 11 Mei 2008

3. Sepotong Cina di Dunia Angin (SM Zakir)
Mingguan Malaysia, 30 Mac 2008

6 Hadiah Penghargaan (RM500 setiap satu)

1. Pada Glaukoma ke Ahmar (Abd Razak @ Rezeki Othman)
Mingguan Malaysia, 30 Mei 2008

2. Bahasa Kejadian II (Fahd Razy)
Mingguan Malaysia, 8 Jun 2008

3. Kembali ke Kampung Tradisi (Shamsudin Othman)
Mingguan Malaysia, 21 September 2008

4. Parut Tanda Tanya di Tubuh Merdeka (Sahrunizam Abdul Talib)
Mingguan Malaysia, 12 Januari 2008

5. Perjalanan Pohon (Malim Ghozali PK)
Mingguan Malaysia, 15 Jun 2008

6. Syarah Sejarah 9 (Muhammad Lutfi Ishak)
Mingguan Malaysia, 30 Mac 2008

KATEGORI KAJIAN & RENCANA SASTERA

Kajian Sastera (RM 2000 setiap satu)

Prasangka Orientalis terhadap Bangsa Melayu (Dr. Awang Azman Awang Pawi)
Pemikir, April-Jun 2008

Rencana Sastera (RM 1000 setiap satu)

Penulis Ulul Albab dan 'New Man' (SM Zakir)
Mingguan Malaysia, 13 Januari 2008

Tiada pemenang bagi kategori novel remaja Bahasa Inggeris

Majlis HSKU 2008 akan diadakan pada 19 Jun ini di Istana Budaya, KL jam 8.00 malam.

Monday, June 01, 2009

Kiub Rubik


Jumaat lalu, saya terjumpa Kiub Rubik di sebuah kedai lalu membelinya. Dahulu, saya hafal segala jalan untuk menyelesaikannya. Masih saya ingat, sewaktu tahun 2002 pernah diadakan pertandingan Kiub Rubik semasa Hari Keluarga Badan Kebajikan Anak-Anak Negeri Sembilan di Mesir. Saya berjaya menjuarai pertandingan itu dengan jumlah masa yang sangat singkat. Kini setelah lima tahun lebih tidak main Kiub Rubik ini, saya sudah lupa semua jalan penyelesaiannya. Saya hanya berjaya mencantumkan satu warna sahaja. Saya akan terus mencuba sendiri meskipun panduannya boleh diperolehi dalam banyak website terutamanya dalam website rubiks.com. Permainan ini juga merupakan salah satu cara untuk saya memecahkan "Writer's Block" yang membelenggu diri. Harap-harap berjaya.



Wednesday, May 27, 2009

Adakala Terlupa Hak Diri Sendiri

Lama juga saya tidak berkesempatan mengemaskini blog dan memaparkan entri baru. Sebetulnya sangat sibuk kerana minggu terakhir sebelum cuti semester ini pelajar-pelajar menduduki peperiksaan. Justeru sejak awal bulan Mei banyak kerja harus dibereskan. Kerja utama tentunya menyediakan soalan-soalan untuk pelajar. Saya juga harus membuat persediaan untuk kelas tusyen Matematik pelajar Tahun Enam yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Sabtu ini saya akan mengajar mereka selama dua jam. Kemudian, pada 3 Jun akan berangkat ke Alor Setar mengurus dan bakal meraikan majlis perkahwinan adik ipar yang berlangsung pada 6 Mei. Terkadang, dek kerana sibuk dengan urusan dan tugasan-tugasan sekolah, saya hampir melupakan tugasan untuk diri sendiri iaitu menulis. Lama saya tidak memerah idea. Tambahan pula sejak akhir-akhir ini kesihatan tidak begitu baik. Saya perlu tegar mendepani halangan-halangan menulis. Jauh di sudut hati, saya sangat rindu untuk berkarya dan meluahkanya meskipun secara peribadi minda saya sentiasa berkarya. Namun tidak berkesempatan untuk menukilkannya di atas kertas atau di hadapan skrin komputer. Semoga saya diberi kesempatan untuk berkarya dan bijak menggunakan masa yang ada sepanjang cuti sekolah yang bakal bermula ini. Saya percaya, Allah sentiasa memberi kesempatan dan peluang untuk menulis. Barangkali saya tidak menghargai atau kurang bijak menguruskannya.

Tuesday, May 19, 2009

Sambutan Hari Guru


Antara foto-foto kenangan semasa sambutan Hari Guru SKAP pada 18 Mei 2009.






Dirakam Oleh Syarifah Salha Syed Ahmad


Tuesday, May 05, 2009

Tebalnya Lapisan Langit


Dalam Riwayat Ibnu Abbas r.a. disebutkan bahawa jarak antara langit pertama dan kedua adalah sejauh perjalanan 500 tahun. Al-Quran menjelaskan bahawa langit pertama (sama'uddunnya) adalah yang dihiasi oleh bintang-bintang. Oleh yang demikian, selama masih terdapat bintang, wilayah tersebut masih dalam batasan langit pertama. Sementara para ilmuan menghitung bahawa bintang yang paling jauh boleh diketahui oleh manusia adalah sejauh perjalanan 3000000000 tahun cahaya.
+ Wallahu a'lam bissawab.

Tuesday, April 28, 2009

CDRK Berwajah Baru

Antologi Cerpen dan Sajak ini adalah hasil karya komuniti ADABUNA. Cetakan pertama pada April 2007 oleh Penerbitan Mohd Zaki. Antologi ini dipasarkan dan diedarkan secara persendirian oleh rakan-rakan Timur Tengah. Kini, cetakan kedua diterbitkan oleh HIJJAZ RECORDS PUBLISHING. Terima kasih kepada Sdr Mohd Zaki kerana bersusah payah mengusahakan penerbitan ini bermula cetakan pertama hingga cetakan kedua yang banyak mengalami kesusahan secara bersendirian. Terima kasih juga kepada pihak penerbit HIJJAZ RECORDS PUBLISHING yang sudi menerbitkan CDRK dengan wajah yang lebih segar dan menarik. Tidak dilupakan ucapan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan dan kenalan yang banyak membantu dalam proses pembikinan dan pemasaran CDRK. Semoga Allah membalas segala jasa baik kalian dengan limpahan rezeki yang barakah.




Himpunan 15 Penulis


Pelajar Malaysia dari Timur Tengah



"Karya mereka rata-ratanya intim dengan isu semasa dan antarabangsa, berlatarkan dalam dan luar negara, ketara terpelihara moralnya, sarat dengan dakwah menyeru kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, dan pastinya berdenyut selari dengan nafas Islami. Antologi cerpen dan puisi ini adalah bukti kebangkitan para penulis berpendidikan Timur Tengah."

- Zaid Akhtar –



"...karya penulis berpendidikan Timur Tengah lebih rencam, murni, kaya dengan unsur tauhid dan dakwah. Kehadiran mereka amat dialu-alukan agar dapat memperkasa sastera Islam."

- Norizan Muslim, Editor Tunas Cipta –



"Saya tidak menjanjikan anda akan santai menelaah 16 cerpen dan 10 puisi ini atau tidak juga mudah mengimbas hasil tukangan 15 penulis seperti yang sering anda ulangi apabila membelek helaian novel popular atau selayang pandang membaca puisi cinta di majalah hiburan."

- Mohd Nazmi Yaakub, Pengantar –



“Kebangkitan penulis-penulis ini perlu didakap, diberi perhatian dan diterima dengan lapang dada oleh semua pihak.”

- Amiza Khusyri Yusof, Penyusun I –



"Kita berharap gelombang kebangkitan penulis Timur Tengah akan semakin gagah, sekaligus mempamerkan kesannya. Dengan sedikit kerendahan hati, barangkali, antologi ini, Antologi Cinta dan Rona Kinanah, adalah antara langkah-langkah pertama menuju ke arah itu."

- Mohd Zaki M.Noor, Penyusun II -



PERINCIAN BUKU:
Penerbit / Editor urusan : Mohd Faizal Osman Penulis: 15 Penulis Pelajar Malaysia dari Timur Tengah Penyusun 1 : Amiza Khuryri Yusof Penyusun 2 : Mohd Zaki M.Noor Editor / Pruf : Zuryati Isa Rekaletak / Aturhuruf Dalaman : Siti Amin Konsep Kulit Buku : Bert/AbaiOs Rekabentuk : Fadly Halim Muka Surat : 200 Terbitan : Hijjaz Records Publishing Edaran : Marketing Dept. HRSB Tarikh diPasarkan : Januari 2009 Harga Semenanjung : RM19.90 Harga Sabah/Sarawak : RM21.90 Harga Singapore/Brunei : $12.00



+ Keterangan lanjut sila ke LAMAN PENERBIT HRP



INILAH WAJAH CDRK CETAKAN PERTAMA, APRIL 2007



Kulit depan


Kulit belakang


Tajuk Antologi : Cinta dan Rona Kinanah
Penyusun I : Amiza Khusyri Yusof
Penyusun II : Mohd Zaki M.Noor
Designer Kulit :Alexandaricairo
Penerbit : Penerbitan Mohd Zaki
Muka Taip Teks : Bookman Old Style
Saiz Taip Teks : 9 point
Cetakan : Pertama April 2007
Saiz : 12 x 16 cm
Muka surat : 192 muka surat.


Disemak dengan Kamus Dewan Edisi 4.


Usahasama bersama Komuniti Adabuna.


+ Antologi CDRK ini memuatkan dua buah cerpen saya yang memenangi Hadiah Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 Kategori Karya Eceran.


Friday, April 17, 2009

Solat

Sabda Rasulullah s.a.w, "Perkara pertama yang akan dihisab daripad amalan seseorang hamba Allah s.w.t pada hari kiamat ialah solat. Jika sempurna solatnya maka seluruh amalannya akan sempurna dan jika rosak solatnya, maka rosaklah seluruh amalannya."

(Hadith riwayat Imam Tabrani)

Sabda Rasulluwah s.a.w, "Sesungguhnya solat berjemaah 27 kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian."

(Hadith riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)

+ Buat renungan di pagi Jumaat, penghulu segala hari.

Tuesday, March 31, 2009

Ijazah Yang Tiada Nilai

Saya kurang gemar bercerita atau meluahkan perasaan tidak puas hati di blog ini. Namun perkara yang ini saya fikir perlu dikongsi bersama. Bukan niat mahu mendedahkan keburukan sesetengah pihak. Namun, saya dapati perkara ini semakin menular dikalangan mereka yang menganggap program ijazah yang dipohon adalah peluang untuk naik pangkat semata-mata. Apa guna berebut-rebut memohon program ijazah jika sijil yang diperolehi kelak tiada nilainya. Dahulu, memohon untuk masuk universiti atau memohon mengikuti program ijazah secara jarak jauh agak sukar. Pendek kata, jika ditawarkan mengikuti program ijazah merupakan suatu rahmat dan kegembiraan yang tidak terucap. Namun kini, memohon untuk mengikuti program ijazah bukan lagi suatu perkara yang sukar. Terutama kepada gelongan bekerja (hanya satu golongan yang sangat ketara), tidak perlu saya sebutkan. Golongan yang satu ini berlumba-lumba memohon mengikuti program ijazah secara separuh masa. Universiti yang menaja program ijazah ini pula sememangnya ditubuhkan dengan tujuan mahu membantu golongan bekerja yang mahu melanjutkan pelajaran supaya tahap pendidikan golongan ini dapat dinaik taraf sejajar dengan keperluan semasa yang dikehendaki oleh sektornya. Tidak salah bercita-cita untuk menggenggam segulung ijazah. Sememangnya cita-cita itu sangat mulia. Namun jangan pula menganggap ijazah yang bakal diperolehi itu suatu perkara yang mudah, umpama membeli ikan di pasar.


Saya masih ingat betapa sukarnya melalui detik-detik hidup sebagai penuntut universiti suatu masa dahulu. Kesukaran itu masih saya rasai hingga kini. Betapa saya bersusah payah ke hulu ke hilir mencari bahan-bahan untuk menyudahkan assignment. Kemudian bersengkang mata pula untuk menyudahkanya. Untuk pengetahuan, jurusan Syariah Islamiah di Universiti al-Azhar Mesir merupakan satu jurusan yang sangat wajib menghasilkan assignment dengan jumlah yang banyak. Maklum saja, subjek-subjek yang dipelajari menjurus kepada hukum-hakam, perbandingan mazhab dan undang-undang Islam. Justeru assignment yang dihasilkan adalah sebagai pelengkap kepada ilmu-ilmu yang dipelajari di dewan kuliah. Susah payah menghasilkan assignment yang seratus peratus menggunakan Bahasa Arab itu menjadi kenangan manis bahkan menyedarkan saya bahawa perjalanan untuk menggenggam segulung ijazah bukan suatu perkara yang mudah.


Berbeza dengan golongan yang satu ini, secara zahir memperlihatkan betapa ijazah adalah suatu istilah yang dipandang enteng. Keluar masuk dewan peperiksaan semacam suatu perkara yang amat biasa. Meniru dalam dewan peperiksaan pula menjadi topik perbualan yang tidak segan silu dicanang-canangkan kepada orang lain. Malah, ada yang berbangga dengan perbuatan meniru tersebut. Assignment yang dibekalkan oleh pensyarah pula menjadi kerja-kerja yang disiapkan disaat-saat akhir. Ada yang lebih dasyat dari itu kerana mengupah orang-orang tertentu supaya membuat assignment tersebut. Mengupah pada erti kata menyuruh membuat dan menyiapkan tanpa dibekalkan sebarang bahan, rangka kerja atau lakaran. Terpulanglah kepada si pembuat bagaimana cara mahu menulis dan menyudahkan kerja-kerja tersebut. Si empunya diri yang bakal menerima ijazah itu lepas tangan sahaja. Sampai masa, datang berjumpa orang yang diupah membuat kerja kemudian bayar dengan harga yang tidak setimpal pula dengan hasil usaha dan titik peluhnya. Lebih dasyat, ada si pembuat assignment yang membuat kerja tersebut secara sukarela dengan alasan bersimpati dengan bakal pemilik ijazah yang anaknya ramai, tugasan-tugasan tertentu banyak dan bertimbun-timbun dan sebagainya. Seterusnya assignment tersebut dihantar kepada pensyarah lalu pensyarah memuji dan memuja pula kepandaian dan kekemasan kerja yang kononnya hasil usaha bakal pemilik ijazah ini. Lebih membanggakan bakal pemilik ijazah apabila assignment tersebut mendapat gred A. Begitulah rutin golongan yang satu ini. Pendek kata, jika lima assignment yang dibekalkan oleh pensyarah, kelima-lima assignment itu jugalah yang akan diserahkan 'bulat-bulat' kepada pembuat assignment yang diupah atau tidak diupah. Tidak dinafikan masih ada yang rajin menghasilkan sendiri assignment. Namun jumlahnya boleh dibilang dengan jari.


Saya tidak gemar cara ini. Nilai ijazah yang sebenar adalah sangat tinggi. Ilmu yang terkandung dalam segulung ijazah bukan boleh dibeli di kedai-kedai atau di pasar-pasar. Saya tidak begitu marah jika golongan yang satu ini mahu mengupah seseorang untuk membuat atau menyudahkan assignment mereka, namun biarlah dibuat rangka atau lakaran atau ditulis terlebih dahulu segala macam isi dan perkara-perkara yang perlu dimuatkan dalam assignment tersebut. Pendek kata, hasil usaha itu kelihatan dan orang yang diupah itu hanya perlu menaip sahaja kerja-kerja yang perlu dibuat. Tidaklah dinamakan 'lembu punya susu sapi dapat nama'. Orang lain yang bertungkus-lumus menghasilkan dan mencurahkan ilmu di dada marsum, orang lain pula yang mendapat ijazah dengan penuh kebanggaan.


Jika golongan yang satu ini terbaca akan entri saya ini, janganlah marah. Tetapi bacalah dengan mata hati dan fikirkanlah kewajaran penulisan ini. Saya mohon maaf andai ada pihak yang terguris dan terasa hati dengan entri saya kali ini. Namun saya berharap agar ada sekelumit sedar dalam diri bahawa Ijazah Sarjana Muda yang bakal anda perolehi itu adalah tangga pertama yang bakal melayakkan anda untuk melangkah ke tangga-tangga yang seterusnya untuk menuju puncak kejayaan dan menara ilmu.




Saturday, March 14, 2009

Jangan Harapkan Orang

Saya tidak gemar mengharapkan orang lain untuk menyudahkan kerja-kerja atau tugasan yang menjadi tanggungjawab saya. Barangkali sikap yang begini buat saya tidak senang duduk. Hairan juga, bagaimana ada segelintir manusia boleh buat tidak endah dan acuh tidak acuh terhadapat tanggungjawab yang dipundakkan ke atas bahunya? Bertambah hairan apabila ada yang meninggalkan terus tanggungjawab bahkan meminta orang lain mengambil alih tanggungjawab tersebut atas alasan yang tidak konkrit. Pernah juga saya cuba bersikap acuh tidak acuh terhadap sesuatu tanggungjawab, namun ada penolakan dalam diri. Ternyata saya tidak mampu bersikap demikian. Adakala memang perlu buat tidak endah terhadap sesuatu tanggungjawab itupun jika berlaku pertembungan antara dua tanggungjawab. Maka, tanggungjawab yang sangat penting harus didahulukan. Namun tidak pula sampai meninggalkan terus tanggungjawab kedua yang kurang penting itu. Namapun tanggungjawab, perlulah bertanggungjawab ke atas tanggungjawab yang dipikul itu.


+ Cuti sekolah bermula hari ini. Namun sebagai guru, jasad dan fikiran tidak akan pernah bercuti. Esok hingga Selasa, saya akan bercuti ke Kuala Lumpur sambil menuntut ilmu. Warga kota pulang ke kampung tetapi saya berhijrah ke bandar. Tiada apa yang hendak dihairankan.




Monday, March 09, 2009

Salam Maulidur Rasul

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Tanda ingatan kasih rindu buat baginda Rasul terulung Murabbi teragung.



Masjid Amru al- Asr, Kaherah Mesir



Friday, March 06, 2009

Luahan

Hari ini fikiran saya berserabut. Terlalu banyak tugasan di sekolah yang perlu dibereskan. Awal-awal pagi bergegas ke pejabat sekolah menguruskan beberapa perkara. Hari ini murid-murid tahun dua menduduki ujian bulanan untuk mata pelajaran Bahasa Arab. Sepatutnya ujian itu dilaksanakan pada minggu terakhir bulan Februari, namun atas sebab-sebab tertentu ujian terpaksa ditunda pada minggu ini. Murid-murid saya sudah bersedia dan bersemangat mahu duduki ujian. Maklum saja, jika dikalangan mereka berjaya mencapai markah seratus peratus akan ada habuan saya sediakan. Begitu psikologi yang perlu digunakan kepada murid-murid sebagai tanda dorongan dan sokongan. Tidak kisah perlu berhabis wang asalkan murid-murid seronok. Hari ini tiba-tiba sahaja mesyuarat tergempar diadakan. Mesyuarat tersebut diadakan tepat pada giliran saya mengajar. Aduh! Terpaksa akur. Saya tinggalkan kertas ujian atas meja guru dalam kelas tahun dua dan minta pengawas edarkan kepada murid-murid tahun dua disamping mengawasinya. Bagaimana kekalutan menimpa sekalipun alhamdulillah, tugas-tugas dapat dibereskan menjelang jam 12 tengah hari. Pun begitu, masih ada tugasan menanti. Minggu hadapan adalah hari paling sibuk berbanding hari-hari lain. Pada Khamis, 12 Mac Mesyuarat Agung PIBG SKAP kali ke-31 akan diadakan. Saya ditugaskan supaya menyediakan buku program. Hampir tiga tahun berada di SKAP, saya sering ditugaskan dalam bidang ini. Jika tidak, tugas saya sebagai pengerusi majlis. Hari ini pun ada guru yang minta saya gantikan tempatnya menjadi pengerusi majlis untuk mesyuarat agung yang bakal tiba. Tapi saya menolak dengan senyuman. Apa boleh buat, tugasan telah dibahagikan sama adil. Saya perlu menyempurnakan tugasan saya dan guru-guru lain juga perlu berbuat demikian. Barulah adil bukan?

Monday, February 23, 2009

Lama namun bermakna

Terkadang, saya terlupa akan perkara-perkara lama. Namun, adakala perkara yang lama akan mengembalikan nostalgia susah-senang, suka-duka yang penuh makna. Hari ini, saya dihubungi oleh seseorang yang tidak pernah saya sangka akan menghubungi saya. Sejujurnya saya telah melupakan perkara tersebut kerana tidak pernah meletakkan apa-apa harapan. Apabila seseorang yang menghubungi itu menyebutkan sebaris tajuk yang pernah saya cipta dan lakarkan di atas kertas, saya berfikir sejenak lalu ingatan terhadap tajuk itu kembali. Sesuatu yang saya tulis pada tahun 2005 ketika diri sedang aktif menulis. Ya, di saat hati ini menangisi dan meratapi kesengsaraan saudara Islam di Palastin, nostalgia itu kembali. Namun kini, kesedihan akan dapat dikongsi bersama. Insya-Allah, pada suatu hari yang telah dijanjikan oleh Allah s.w.t.


+ Terima kasih kepada Pn. Nisah Haron atas kesudian memaklumkan nombor telefon bimbit terkini saya kepada seseorang yang menghubungi saya pada hari ini. Makluman yang diberikan itu telah memudahkannya menghubungi saya setelah berkali-kali mendail nombor lama yang tidak digunakan.

Wednesday, January 28, 2009

Kepuasan Menulis Karya Non-Kreatif

Baru-baru ini saya dihubungi oleh editor sebuah majalah, meminta saya panjangkan artikel yang dikirim pada penghujung bulan 12 tahun lepas. Disebabkan saya jarang online (rumah baru tiada sambungan internet), maka saya pun tidak perasan rupa-rupanya e-mel tersebut dihantar pada awal Januari lalu. Kalam yang digunakan oleh editor tersebut sangat manis dan bersopan hingga saya rasa sangat dihargai. Tambahan pula editor tersebut menggunakan panggilan bonda untuk dirinya. Apa yang ingin saya ceritakan di sini bukanlah tentang perihal e-mel yang dikirimkan tersebut, tetapi tentang bagaimana saya merasai keseronokan menulis karya non-kreatif atau pada istilah lain adalah artikel/esei ilmiah. Cuti sekolah tahun lepas saya berhempas pulas menyiapkan beberapa buah cerpen yang tergantung, namun kesudahannya cerpen-cerpen tersebut tetap juga tergantung. Hanya sebuah cerpen sahaja yang berjaya sampai ke titik akhir sebuah cerita. Itupun cerpen yang lama terbengkalai, saya edit semula. Disebabkan terlalu bosan memerah idea kreatif, akhirnya saya beralih kepada penulisan non-kreatif. Ada sesuatu terbuku di hati saya yang perlu diluahkan. Saya pun cuba-cuba menulis artikel tersebut tentang kajian dan pandangan terhadap suatu isu (tidak perlu saya nyatakan isu tersebut). Tulis-punya tulis dan taip punya taip akhirnya berjaya saya siapkan artikel tersebut sebanyak tiga muka surat bersaiz A4. Saya sebenarnya tidak pasti berapa muka surat yang dikehendaki untuk menulis artikel ilmiah dalam sesebuah majalah disebabkan tidak pernah cuba menulisnya. Oleh kerana itu saya terus hantar artikel tersebut via e-mel. Saya tidak berharap artikel itu diterima namun saya sangat berharap agar artikel itu dapat dibaca oleh pembaca. Tak boleh tidak saya perlu juga meletakkan harapan agar artikel itu diterima oleh editor jika tidak bagaimana pembaca mahu membacanya tanpa ada proses penerbitan. Harapan itu ada sedikit sinar yang menyuluh tatkala pihak editor memberi respon terhadap artikel tersebut. Rupanya menulis artikel ilmiah sama juga keperluan muka suratnya dengan menulis cerpen (10 muka surat double spacing). Saya pun berusaha memanjangkan artikel tersebut menjadi 10 muka surat. Seronok juga menulis artikel yang panjang kerana saya memerlukan banyak rujukan dan kajian. Secara tidak langsung dapat juga saya menambah ilmu pengetahuan. Saya terasa puas dapat menulis artikel ilmiah meskipun pemikiran yang dihasilkan adalah amat berat dan berhasrat mahu meneruskanya untuk masa akan datang. Terima kasih kepada Pn.editor kerana sudi menghubungi saya.

+ Ya Allah! Lindungi dan selamatkan saudara Islamku di Palastin.


Wednesday, January 14, 2009

Suami Isteri PJJ

Ramai rakan seangkatan senasib dengan saya kerana perkahwinan jarak jauh (PJJ) menuntut kesabaran dan pengertian. Ada rakan seangkatan yang bertugas di Negeri Sembilan sedangkan suami dan anak-anak pula tinggal di Kelantan. Rakan sejawat saya yang bertugas di Negeri Sembilan misalnya baru melangsungkan perkawinan sebulan lalu, suami bekerja dan menetap di Kedah. Saya telahpun merasai pahit manis perkahwinan jarak jauh. Dua tahun saya dan suami melalui hari-hari dengan sendiri-sendiri. Peranan dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri hanya terlaksana pada hujung minggu. Hanya pada hujung minggu saya berperanan memasak dan menghidangkan makanan untuk suami. Pendek kata segala tanggungjawab sebagai isteri hanya dapat dilaksanakan pada hujung minggu sahaja. Setelah genap dua tahun usia perkahwinan, kami berbincang dan membuat keputusan untuk tinggal sebumbung. Terpaksalah kami ambil jalan tengah untuk memastikan keadilan dapat dirasai bersama. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami. Kini, suami saya tidak lagi perlu memandu sejauh 2 jam untuk bergegas ke tempat kerja. Tidak lagi perlu bangun seawal 4.30 pagi. Saya dan suami masing-masing ke tempat kerja memakan masa sekitar 30 minit. Berbanding dulu saya ke tempat kerja sekitar 10 minit. Meskipun jarak perjalanan saya ke tempat kerja bertambah, dengan jalan yang bengkang-bengkok dikelilingi bukit bukau namun saya berpuas hati atas keadilan yang kami pilih ini. Tidak adil andai saya terus membiarkan suami ke tempat kerja pada setiap pagi isnin dengan jarak perjalanan yang jauh melebihi 100 kilometer. Alhamdulillah, kami masih diberi ruang dan peluang untuk hidup sebumbung berbanding rakan-rakan dan sahabat handai yang entah bila dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Catatan setelah berpindah ke rumah baru.
Jelebu- Seremban- Kuala Lumpur.