Pages

Wednesday, January 28, 2009

Kepuasan Menulis Karya Non-Kreatif

Baru-baru ini saya dihubungi oleh editor sebuah majalah, meminta saya panjangkan artikel yang dikirim pada penghujung bulan 12 tahun lepas. Disebabkan saya jarang online (rumah baru tiada sambungan internet), maka saya pun tidak perasan rupa-rupanya e-mel tersebut dihantar pada awal Januari lalu. Kalam yang digunakan oleh editor tersebut sangat manis dan bersopan hingga saya rasa sangat dihargai. Tambahan pula editor tersebut menggunakan panggilan bonda untuk dirinya. Apa yang ingin saya ceritakan di sini bukanlah tentang perihal e-mel yang dikirimkan tersebut, tetapi tentang bagaimana saya merasai keseronokan menulis karya non-kreatif atau pada istilah lain adalah artikel/esei ilmiah. Cuti sekolah tahun lepas saya berhempas pulas menyiapkan beberapa buah cerpen yang tergantung, namun kesudahannya cerpen-cerpen tersebut tetap juga tergantung. Hanya sebuah cerpen sahaja yang berjaya sampai ke titik akhir sebuah cerita. Itupun cerpen yang lama terbengkalai, saya edit semula. Disebabkan terlalu bosan memerah idea kreatif, akhirnya saya beralih kepada penulisan non-kreatif. Ada sesuatu terbuku di hati saya yang perlu diluahkan. Saya pun cuba-cuba menulis artikel tersebut tentang kajian dan pandangan terhadap suatu isu (tidak perlu saya nyatakan isu tersebut). Tulis-punya tulis dan taip punya taip akhirnya berjaya saya siapkan artikel tersebut sebanyak tiga muka surat bersaiz A4. Saya sebenarnya tidak pasti berapa muka surat yang dikehendaki untuk menulis artikel ilmiah dalam sesebuah majalah disebabkan tidak pernah cuba menulisnya. Oleh kerana itu saya terus hantar artikel tersebut via e-mel. Saya tidak berharap artikel itu diterima namun saya sangat berharap agar artikel itu dapat dibaca oleh pembaca. Tak boleh tidak saya perlu juga meletakkan harapan agar artikel itu diterima oleh editor jika tidak bagaimana pembaca mahu membacanya tanpa ada proses penerbitan. Harapan itu ada sedikit sinar yang menyuluh tatkala pihak editor memberi respon terhadap artikel tersebut. Rupanya menulis artikel ilmiah sama juga keperluan muka suratnya dengan menulis cerpen (10 muka surat double spacing). Saya pun berusaha memanjangkan artikel tersebut menjadi 10 muka surat. Seronok juga menulis artikel yang panjang kerana saya memerlukan banyak rujukan dan kajian. Secara tidak langsung dapat juga saya menambah ilmu pengetahuan. Saya terasa puas dapat menulis artikel ilmiah meskipun pemikiran yang dihasilkan adalah amat berat dan berhasrat mahu meneruskanya untuk masa akan datang. Terima kasih kepada Pn.editor kerana sudi menghubungi saya.

+ Ya Allah! Lindungi dan selamatkan saudara Islamku di Palastin.


Wednesday, January 14, 2009

Suami Isteri PJJ

Ramai rakan seangkatan senasib dengan saya kerana perkahwinan jarak jauh (PJJ) menuntut kesabaran dan pengertian. Ada rakan seangkatan yang bertugas di Negeri Sembilan sedangkan suami dan anak-anak pula tinggal di Kelantan. Rakan sejawat saya yang bertugas di Negeri Sembilan misalnya baru melangsungkan perkawinan sebulan lalu, suami bekerja dan menetap di Kedah. Saya telahpun merasai pahit manis perkahwinan jarak jauh. Dua tahun saya dan suami melalui hari-hari dengan sendiri-sendiri. Peranan dan tanggungjawab sebagai suami atau isteri hanya terlaksana pada hujung minggu. Hanya pada hujung minggu saya berperanan memasak dan menghidangkan makanan untuk suami. Pendek kata segala tanggungjawab sebagai isteri hanya dapat dilaksanakan pada hujung minggu sahaja. Setelah genap dua tahun usia perkahwinan, kami berbincang dan membuat keputusan untuk tinggal sebumbung. Terpaksalah kami ambil jalan tengah untuk memastikan keadilan dapat dirasai bersama. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami. Kini, suami saya tidak lagi perlu memandu sejauh 2 jam untuk bergegas ke tempat kerja. Tidak lagi perlu bangun seawal 4.30 pagi. Saya dan suami masing-masing ke tempat kerja memakan masa sekitar 30 minit. Berbanding dulu saya ke tempat kerja sekitar 10 minit. Meskipun jarak perjalanan saya ke tempat kerja bertambah, dengan jalan yang bengkang-bengkok dikelilingi bukit bukau namun saya berpuas hati atas keadilan yang kami pilih ini. Tidak adil andai saya terus membiarkan suami ke tempat kerja pada setiap pagi isnin dengan jarak perjalanan yang jauh melebihi 100 kilometer. Alhamdulillah, kami masih diberi ruang dan peluang untuk hidup sebumbung berbanding rakan-rakan dan sahabat handai yang entah bila dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Catatan setelah berpindah ke rumah baru.
Jelebu- Seremban- Kuala Lumpur.