Pages

Sunday, March 19, 2006

POHON-POHON AZIMAT

Pepohon yang berbaris itu
adalah pohon-pohon azimat
yang memberi nikmat sekebun sihat
yang menistiskan susu rahmat
buat tangan yang sudi berkhidmat.

Pepohon itu adalah sahabat
yang membisikkan api semangat
ke dalam jejiwa yang meminta hasil
agar membunuh jemu dan penat
meski keringat tak henti mengalir
kerana budinya yang busuk memekat
telah bertukar khidmat
mengalas perutku sesuap nasi.

Itulah pepohon azimat
yang membesarkan aku dengan cermat
di pinggitan terpencil dunia yang lirih
dan memberitahuku derita dua tangan
yang telah berkematu
milik jiwa ayah dan ibu.


Syarifah Salha Syed Ahmad
14 Disember 2005.

Sumber:Berita Minggu, 19 Mac 2006.

Terima kasih editor BM kerana menyiarkan karya saya.





No comments: