Pages

Tuesday, May 23, 2006

CERAMAH PENULISAN PEN DI KUALA KLAWANG

CERAMAH PENULISAN PEN DI KUALA KLAWANG


Baru hari ini saya sempat mengintai blog. Dikesempatan waktu yang sedikit ini saya turunkan catatan di sini. Sabtu lalu saya agak ripuh mengendalikan Majlis Ceramah Penulisan Kreatif di Hotel Sri Klawang. Sebagai selaku Pengarah program juga bertindak sebagai MC pastinya perlu berusaha mengendalikan program dengan baik. Alhamdulillah program berjalan lancar. Program yang dihadiri seramai 30 orang peserta itu memperlihatkan bakat-bakat baru dalam dunia penulisan yang harus diberi perhatian. Puan Nisah Haji Haron dengan ceramah yang bertajuk "Aspek Teknikal Dalam Penulisan Cerpen" berpuas hati dengan sambutan dan respon yang diberikan oleh peserta. Begitu juga dengan Puan Kalsom Azid dengan ceramahnya yang bertajuk "Gaya Bahasa Dalam Penulisan Kreatif" juga rancak berkongsi pengalaman dan memberi panduan serta teknik penggunaan bahasa yang betul dalam penulisan kreatif. Puan Kalsom yang aktif dalam aktiviti sastera dan bahasa di Negeri Sembilan merupakan salah seorang daripada Ahli Jawatan Kuasa PEN 2006. Itulah kali pertama saya melibatkan diri sebagai penyelaras program yang dianjurkan oleh PEN. Keseluruhan program yang dihadiri oleh para pelajar dan guru-guru dari SMK Dato Undang Musa Al-Haj, SMK Simpang Gelami, SMA Dato Haji Tan Ahmad dan MRSM Kuala Klawang itu, dilihat dapat mengenalkan mereka tentang dunia penulisan kreatif yang sebenar. Usai program saya sempat juga belek-belek buku yang dipamerkan oleh Puan Nisah dan suaminya. Buku yang menjadi pilihan saya adalah antologi cerpen SM. Zakir yang berjudul "Sekeping Roh Di Atas Bantal". Sekarang saya dalam proses mengkhatami antologi cerpen tersebut.

Kepada tunas-tunas baru penulisan kreatif yang sedang rancak memburu istilah-istilah terkini, jangan lupa simpan istilah baru yang kalian dengar tempoh hari. Masih ingat lagi? Bukankah Puan Nisah sudah maklumkan pada kalian tempoh hari? Tak Mengapalah, biar saya salinkan untuk kalian.

* Jerayawara (Road Show)
* Bicarawara (Talk Show)
* Pramusaji (Waitress)
* Candawara (Gameshow)


No comments: