Pages

Thursday, February 21, 2013

Cermin Muslim Beriman


Seorang Muslim yang benar-benar beriman, jelas terpancar pada raut wajah dan setiap perlakuannya segala kejernihan dan ketenangan. Tutur katanya mengandungi hikmah dan dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang mendengarnya. Bual bicaranya sangat sopan dan tidak pula menyakiti hati orang lain. Dia juga sentiasa berasa cukup dengan apa yang dimilikinya. Ini boleh dilihat melalui kesederhanaan hidupnya. Tidak berlebih-lebihan sama ada dari sudut percakapan atau harta benda. Dia juga sentiasa menghormati orang lain. Bahkan sering merendah diri dan tidak pula mencari-cari kesalahan orang lain. Malah, memelihara dan menutupi keaiban saudara semuslimnya dengan tidak bercerita dan menghebahkan kepada pengetahuan umum. 


Sabda Rasulullah S.A.W apabila ditanya oleh seorang sahabat siapakah individu Muslim yang paling baik lantas Baginda menjawab,
“Individu Muslim yang baik ialah orang lain akan merasai selamat daripada kejahatan lidahnya dan tangannya.”
(Riwayat Muslim)

Dalam riwayat at-Tabrani pula, Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah S.A.W,
“Wahai Rasulullah, apakah perbuatan atau amalan yang paling afdal?”
Lantas Baginda menjawab antaranya ialah,
“Orang Muslim lain merasai selamat, aman dan tenteram daripada kejahatan lidah engkau.”

Semoga kita sama-sama beramal dengan akhlak seorang Muslim seperti yang dianjurkan oleh Islam. 

Saturday, February 16, 2013

Perjalanan

Beberapa hari yang lau, saya berada di Terengganu. Menghantar rombongan perkahwinan adik perempuan di Marang. Pelbagai perkara tampak di mata. Betapa bumi Allah ini sangat luas dan menempatkan pelbagai jenis makhluk. Betapa terbayang oleh saya bagaimanakah orang-orang terdahulu berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain hanya dengan berjalan kaki atau hanya menunggang seekor unta. Betapa para nabi dan muhadis terdahulu melalui pelbagai rintangan dan dugaan hanya semata-mata untuk menyampaikan dakwah dan mencari sepotong hadis. Oh! Teknologi kini banyak memudahkan urusan manusia. Pun begitu, banyak juga melalaikan. Segalanya bergantung kepada kebijaksanaan manusia untuk mengurus dan mengendalikan teknologi itu sendiri. Jika tersilap langkah, hanya mengundang dosa tanpa disedari. Allah yang merencana perjalanan dan ketentuan ini. Esok, saya akan ke Institut Pendidikan Guru, Kampus Raja Melewar Seremban. Bakal mengikuti Bicara Karya Penulis-Penulis Negeri Sembilan. Juga agenda utama adalah Mesyuarat Agung PEN kali ke-36. Saya akan mengemudi keseluruhan program tersebut kerana saya adalah Juruacara keseluruhan program, insya-Allah dengan izin Allah jua. Segalanya atas kehendak Allah jika Dia menginginkan sesuatu terjadi. Para pembaca, dijemput beramai-ramai hadir untuk sama-sama kita berada di bawah majlis ilmu yang sangat disukai oleh para malaikat yang bakal menebarkan sayapnya.