Pages

Tuesday, March 31, 2009

Ijazah Yang Tiada Nilai

Saya kurang gemar bercerita atau meluahkan perasaan tidak puas hati di blog ini. Namun perkara yang ini saya fikir perlu dikongsi bersama. Bukan niat mahu mendedahkan keburukan sesetengah pihak. Namun, saya dapati perkara ini semakin menular dikalangan mereka yang menganggap program ijazah yang dipohon adalah peluang untuk naik pangkat semata-mata. Apa guna berebut-rebut memohon program ijazah jika sijil yang diperolehi kelak tiada nilainya. Dahulu, memohon untuk masuk universiti atau memohon mengikuti program ijazah secara jarak jauh agak sukar. Pendek kata, jika ditawarkan mengikuti program ijazah merupakan suatu rahmat dan kegembiraan yang tidak terucap. Namun kini, memohon untuk mengikuti program ijazah bukan lagi suatu perkara yang sukar. Terutama kepada gelongan bekerja (hanya satu golongan yang sangat ketara), tidak perlu saya sebutkan. Golongan yang satu ini berlumba-lumba memohon mengikuti program ijazah secara separuh masa. Universiti yang menaja program ijazah ini pula sememangnya ditubuhkan dengan tujuan mahu membantu golongan bekerja yang mahu melanjutkan pelajaran supaya tahap pendidikan golongan ini dapat dinaik taraf sejajar dengan keperluan semasa yang dikehendaki oleh sektornya. Tidak salah bercita-cita untuk menggenggam segulung ijazah. Sememangnya cita-cita itu sangat mulia. Namun jangan pula menganggap ijazah yang bakal diperolehi itu suatu perkara yang mudah, umpama membeli ikan di pasar.


Saya masih ingat betapa sukarnya melalui detik-detik hidup sebagai penuntut universiti suatu masa dahulu. Kesukaran itu masih saya rasai hingga kini. Betapa saya bersusah payah ke hulu ke hilir mencari bahan-bahan untuk menyudahkan assignment. Kemudian bersengkang mata pula untuk menyudahkanya. Untuk pengetahuan, jurusan Syariah Islamiah di Universiti al-Azhar Mesir merupakan satu jurusan yang sangat wajib menghasilkan assignment dengan jumlah yang banyak. Maklum saja, subjek-subjek yang dipelajari menjurus kepada hukum-hakam, perbandingan mazhab dan undang-undang Islam. Justeru assignment yang dihasilkan adalah sebagai pelengkap kepada ilmu-ilmu yang dipelajari di dewan kuliah. Susah payah menghasilkan assignment yang seratus peratus menggunakan Bahasa Arab itu menjadi kenangan manis bahkan menyedarkan saya bahawa perjalanan untuk menggenggam segulung ijazah bukan suatu perkara yang mudah.


Berbeza dengan golongan yang satu ini, secara zahir memperlihatkan betapa ijazah adalah suatu istilah yang dipandang enteng. Keluar masuk dewan peperiksaan semacam suatu perkara yang amat biasa. Meniru dalam dewan peperiksaan pula menjadi topik perbualan yang tidak segan silu dicanang-canangkan kepada orang lain. Malah, ada yang berbangga dengan perbuatan meniru tersebut. Assignment yang dibekalkan oleh pensyarah pula menjadi kerja-kerja yang disiapkan disaat-saat akhir. Ada yang lebih dasyat dari itu kerana mengupah orang-orang tertentu supaya membuat assignment tersebut. Mengupah pada erti kata menyuruh membuat dan menyiapkan tanpa dibekalkan sebarang bahan, rangka kerja atau lakaran. Terpulanglah kepada si pembuat bagaimana cara mahu menulis dan menyudahkan kerja-kerja tersebut. Si empunya diri yang bakal menerima ijazah itu lepas tangan sahaja. Sampai masa, datang berjumpa orang yang diupah membuat kerja kemudian bayar dengan harga yang tidak setimpal pula dengan hasil usaha dan titik peluhnya. Lebih dasyat, ada si pembuat assignment yang membuat kerja tersebut secara sukarela dengan alasan bersimpati dengan bakal pemilik ijazah yang anaknya ramai, tugasan-tugasan tertentu banyak dan bertimbun-timbun dan sebagainya. Seterusnya assignment tersebut dihantar kepada pensyarah lalu pensyarah memuji dan memuja pula kepandaian dan kekemasan kerja yang kononnya hasil usaha bakal pemilik ijazah ini. Lebih membanggakan bakal pemilik ijazah apabila assignment tersebut mendapat gred A. Begitulah rutin golongan yang satu ini. Pendek kata, jika lima assignment yang dibekalkan oleh pensyarah, kelima-lima assignment itu jugalah yang akan diserahkan 'bulat-bulat' kepada pembuat assignment yang diupah atau tidak diupah. Tidak dinafikan masih ada yang rajin menghasilkan sendiri assignment. Namun jumlahnya boleh dibilang dengan jari.


Saya tidak gemar cara ini. Nilai ijazah yang sebenar adalah sangat tinggi. Ilmu yang terkandung dalam segulung ijazah bukan boleh dibeli di kedai-kedai atau di pasar-pasar. Saya tidak begitu marah jika golongan yang satu ini mahu mengupah seseorang untuk membuat atau menyudahkan assignment mereka, namun biarlah dibuat rangka atau lakaran atau ditulis terlebih dahulu segala macam isi dan perkara-perkara yang perlu dimuatkan dalam assignment tersebut. Pendek kata, hasil usaha itu kelihatan dan orang yang diupah itu hanya perlu menaip sahaja kerja-kerja yang perlu dibuat. Tidaklah dinamakan 'lembu punya susu sapi dapat nama'. Orang lain yang bertungkus-lumus menghasilkan dan mencurahkan ilmu di dada marsum, orang lain pula yang mendapat ijazah dengan penuh kebanggaan.


Jika golongan yang satu ini terbaca akan entri saya ini, janganlah marah. Tetapi bacalah dengan mata hati dan fikirkanlah kewajaran penulisan ini. Saya mohon maaf andai ada pihak yang terguris dan terasa hati dengan entri saya kali ini. Namun saya berharap agar ada sekelumit sedar dalam diri bahawa Ijazah Sarjana Muda yang bakal anda perolehi itu adalah tangga pertama yang bakal melayakkan anda untuk melangkah ke tangga-tangga yang seterusnya untuk menuju puncak kejayaan dan menara ilmu.




3 comments:

Naim said...

setuju shj...

dunia pendidikan yg sudah dijadikan sumber wang (diperdagangkan), mudah sahaja hal2 itu berlaku.

sekarang semua itu boleh dijual beli.

Anak Pendang Sekeluarga said...

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam) dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia." (Al-Anfaal 8:74)

Salam ziarah dari saya,,blog yang menarik ,jemput muzakarah di blog saya....dan jadikan blog saya sebagai rakan anda..tq

Syarifah Salha Syed Ahmad said...

Terima kasih sdr Naim dan Anak Pendang. Saya mengalu-alukan pandangan kalian.