Antara minat saya, ini sebahagiannya. Hasil kreatif yang tidak pernah saya pelajari dalam mana-mana kelas kraftangan sekalipun. Tidak pernah mendapat bimbingan khusus atau secara formal. Apa sahaja yang terlintas dalam kepala, asalkan yang elok-elok inilah hasilnya. Namun begitu, kesukaan membaca majalah-majalah dan laman sesawang yang memberikan tips dan informasi dalam kerja-kerja tangan seperti ini, sangat membantu untuk menghasilkan sesuatu yang memberi kepuasan kepada diri sendiri dan orang lain.
Ruang perkongsian ilmu dan berbahagi rasa. Selamat membaca. Semoga beroleh manfaat.
Wednesday, March 13, 2013
Thursday, February 21, 2013
Cermin Muslim Beriman
Seorang
Muslim yang benar-benar beriman, jelas terpancar pada raut wajah dan setiap
perlakuannya segala kejernihan dan ketenangan. Tutur katanya mengandungi hikmah
dan dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang mendengarnya. Bual bicaranya
sangat sopan dan tidak pula menyakiti hati orang lain. Dia juga sentiasa berasa
cukup dengan apa yang dimilikinya. Ini boleh dilihat melalui kesederhanaan
hidupnya. Tidak berlebih-lebihan sama ada dari sudut percakapan atau harta
benda. Dia juga sentiasa menghormati orang lain. Bahkan sering merendah diri dan tidak pula mencari-cari kesalahan orang lain. Malah, memelihara dan menutupi keaiban saudara semuslimnya dengan tidak bercerita dan menghebahkan kepada pengetahuan umum.
Sabda
Rasulullah S.A.W apabila ditanya oleh seorang sahabat siapakah individu Muslim
yang paling baik lantas Baginda menjawab,
“Individu
Muslim yang baik ialah orang lain akan merasai selamat daripada kejahatan
lidahnya dan tangannya.”
(Riwayat
Muslim)
Dalam
riwayat at-Tabrani pula, Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah S.A.W,
“Wahai
Rasulullah, apakah perbuatan atau amalan yang paling afdal?”
Lantas
Baginda menjawab antaranya ialah,
“Orang
Muslim lain merasai selamat, aman dan tenteram daripada kejahatan lidah engkau.”
Semoga kita sama-sama beramal dengan akhlak seorang Muslim seperti yang dianjurkan oleh Islam.
Saturday, February 16, 2013
Perjalanan
Beberapa hari yang lau, saya berada di Terengganu. Menghantar rombongan perkahwinan adik perempuan di Marang. Pelbagai perkara tampak di mata. Betapa bumi Allah ini sangat luas dan menempatkan pelbagai jenis makhluk. Betapa terbayang oleh saya bagaimanakah orang-orang terdahulu berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain hanya dengan berjalan kaki atau hanya menunggang seekor unta. Betapa para nabi dan muhadis terdahulu melalui pelbagai rintangan dan dugaan hanya semata-mata untuk menyampaikan dakwah dan mencari sepotong hadis. Oh! Teknologi kini banyak memudahkan urusan manusia. Pun begitu, banyak juga melalaikan. Segalanya bergantung kepada kebijaksanaan manusia untuk mengurus dan mengendalikan teknologi itu sendiri. Jika tersilap langkah, hanya mengundang dosa tanpa disedari. Allah yang merencana perjalanan dan ketentuan ini. Esok, saya akan ke Institut Pendidikan Guru, Kampus Raja Melewar Seremban. Bakal mengikuti Bicara Karya Penulis-Penulis Negeri Sembilan. Juga agenda utama adalah Mesyuarat Agung PEN kali ke-36. Saya akan mengemudi keseluruhan program tersebut kerana saya adalah Juruacara keseluruhan program, insya-Allah dengan izin Allah jua. Segalanya atas kehendak Allah jika Dia menginginkan sesuatu terjadi. Para pembaca, dijemput beramai-ramai hadir untuk sama-sama kita berada di bawah majlis ilmu yang sangat disukai oleh para malaikat yang bakal menebarkan sayapnya.
Tuesday, January 08, 2013
Kenangan 2012
Beberapa
peristiwa penting sempat jua dirakam sepanjang tahun 2012. Pun begitu, tidak
semua dapat diabadikan dalam blog ini. Antara yang terpenting adalah
walimatulurus adik perempuan saya Syarifah Aminah bt Syed Ahmad dengan
pasangannya Muhammad Zulazmi bin Abdul Hamid. Kanda di sini mendoakan agar
jodohmu kekal bahagia menuju ke syurga.
Mengapa pula
majlis tersebut sangat bermakna buat saya dan keluarga? Bukan sekadar menerima
kedatangan orang baru dalam keluarga kami, tetapi majlis tersebut dikendalikan
dan diuruskan oleh saya sedari awal. Terima kasih kepada emak dan abah kerana
menyerahkan seluruh kepercayaan kepada saya dan suami untuk menguruskan walimah
tersebut. Bahkan, yang menggembirakan itu adalah apabila orang-orang kampung
dapat dikumpulkan, sama-sama bergotong royong memasak sejak Khamis (13/12/12)
hingga Ahad (15/12/12). Terima kasih yang tidak terhingga kepada saudara-mara
dan masyarakat kampung Chenor, Jelebu atas sokongan dan kerjasama yang
diberikan. Selepasa ini, tidak tahu bila pula akan mengadakan majlis walimah
kerana tiga orang adik yang belum berkahwin adalah lelaki. Juga tidak pasti
adakah masyarakat kampung sanggup bergotong-royong atau tidak memandangkan
generasi yang kuat azam dan semangat kerjasama untuk memasak adalah golongan yang
sudah berusia. Generasi muda kampung setakad ini belum mewarisi kepakaran
memasak seperti generasi tua hari ini.
Penutup tirai
2012 kami memilih pusat percutian Bukit Fraser sebagai tempat untuk melepaskan
lelah dan penat setelah berhempas pulas beberapa bulan untuk persediaan
walimatulurus. Diharap 2013 ini kami dikurniakan rezeki yang melimpah ruah,
diberi kesihatan dan dipelihara keselamatan dan dilipat gandakan amalan dan
kebajikan.
Bunga telur buatan tangan sendiri.
Sebahagian drpd dua ratus kuntum yang dibuat.
Jika berkenan dan nak buat tempahan, silakan.
Hasil yang telah siap. Empat pahar kesemuanya. Dua lagi tidak dapat dipaparkan.
Bunga pasu ini juga digubah sendiri.
Bunga hiasan atas katil turut mendapat sentuhan kreatif saya.
Sebahagian drpd 13 dulang hantaran yang telah siap. Juga gubahan tangan sendiri.
Dekorasi ilham saya. Tabir berlangsir juga dijahit sendiri.
Gabungan warna hijau dan silver.
Proses membungkus telur rebus.
Sahabat saya, Siti Aisyah yang rajin membantu.
Gotong-royong memasak.
Syarifah Aminah dan Muhammad Zulazmi
Foto di Bukit Fraser.
Percubaan memanah yang tidak kurang hebat. Tak sangka pandai pula memanah.
In syaa Allah, entri akan datang bakal memaparkan beberapa foto terpilih. Jumpa dilain hari!
Saturday, November 24, 2012
Bertemu Kembali
Lama sungguh saya tidak berkesempatan mengemaskini entri blog ini. Selepas Ogos sangat sibuk dengan aktiviti sekolah. Kini, tugas guru bukan sahaja mengajar, namun serba-serbi perlu dilakukan. Pengisian markah imtihan bukan sekadar secara manual bahkan online. Ditambah pula dengan tugas-tugas pentadbiran. Saya ada menyuarakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai GPM, namun ditolak. Justeru saya bawakan perkara ini dalam mensyuarat guru sebelum cuti persekolahan yang lalu. Saya mohon kepada guru besar dan GPK 1 agar mempertimbangkan jawatan GPM. Sama ada melantik guru lain sebagai GPM atau mohon dikurangkan minit mengajar. Tidak terurus oleh saya kerana minit mengajar 41 waktu seminggu. Saya kira, guru besar perlu menggunakan kuasa veto untuk menyelesaikan masalah ini. Ini sampai kepada tahap saya sangat tidak mampu menjawat jawatan GPM. Namun pelbagai alasan diberikan oleh guru besar dan hanya seorang guru sahaja yang sanggup mengambil alih tugas saya, pun bersyarat. Mendengar syarat itu guru besar terus membuat keputusan jawatan GPM dikekalkan kepada saya. Sungguh! Saya kira ini tidak wajar. Walau bagaimanapun, saya cuba-cuba memujuk GPK 1 supaya dapat berbincang semula dengan guru besar. Tunggu dan lihat sahaja sesi persekolahan awal tahun depan, sama ada ditugaskan jawatan lain atau masih sebagai GPM.
Sekarang saya sibuk pula dengan persediaan majlis perkahwinan adik perempuan yang akan berlangsung bulan 12 ini. Sebagai anak sulung, saya merangkap pengurus majlis. Jika ada kesempatan akan saya muat naik foto-foto persediaan majlis. Bunga pahar dan hantaran dibuat sendiri mengikut kreativiti saya berdasarkan citarasa bakal pengantin. Sampai berjumpa kembali dilain waktu!
Wednesday, August 08, 2012
Ejaan Yang Betul
Setelah membuat semakan di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), ejaan yang betul untuk bulan Ramadan adalah "Ramadan" bukan "Ramadhan" seperti kebiasaan yang ditulis oleh kebanyakann orang termasuklah tulisan saya sebelum ini. Ejaan "tarawikh" kebiasaan yang ditulis oleh kebanyakan orang adalah salah dan ejaan sebenar yang betul adalah "tarawih". Ejaan untuk ucapan hari raya yang betul pula adalah "Aidilfitri" bukan "Idulfitri" atau "Eidulfitri". Semoga kita terus peka dengan ejaan dan istilah terkini. Semoga kesilapan dan kesalahan dapat diperbetulkan.
Ramadan= betul
Ramadhan= salah
Tarawih= betul
Tarawikh= salah
Aidilfitri= betul
Idulfitri/ Eidulfitri= salah
Biasakan yang betul,
betulkan yang biasa.
(meminjam kata-kata Pn. Hjh Mahaya bt Mohd Yasin).
Selamat menggandakan amalan di penghujung Ramadan. Ya Allah, semoga aku dapat bertemu dengan Ramadan di tahun-tahun akan datang. Alangkah, berbahagia jika Ramadan sentiasa bersama kita sepanjang tahun.
Tuesday, July 24, 2012
Allahumma Balighna Ramadhan
Syukur kepadaMu Ya Allah, kerana memanjangkan umurku untuk bertemu Ramadhan kali ini. Semoga amal ibadahku berlipat ganda. Semoga Ramadhan kali ini bukan yang terakhir buat diriku. Permudahkan Ya Allah segala urusanku di dunia dan juga akhirat.
Salam Ramadhan buat semua saudara muslim di seluruh dunia.
"May Allah bless you on the occasion of Ramadhan."
"May Allah bless you on the occasion of Ramadhan."
Subscribe to:
Posts (Atom)




