Pages

Saturday, January 29, 2005

RANTAIAN RENTAK PENAKU

Saya kira, tidak janggal mendengar warga kampus al-Ahar mengumpul majalah-majalah terkemuka tanahair seperti Mingguan Wanita, Jelita, Ujang dan gila-gila. Tidak kurang juga peminat setia novel-novel keluaran Alaf 21, juga tidak melepaskan peluang ini. Namun, berapa ramaikah yang berminat mengumpul majalah-majalah sastera seperti Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Sastera dan majalah-majalah lain di bawah terbitan DBP? Juga berapa ramaikah yang gemar menjadikan novel-novel sastera sebagai koleksi simpanan? Tidak keterlaluan jika saya katakan katogeri ini terlalu sedikit. Terlalu sedikit peminat-peminat majalah sastera dan novel-novel sastera.

Peringkat awal berjinak-jinak dengan sastera, saya temui majalah Dewan Siswa. Berusaha melanggan meskipun tika itu sekadar menikmati karya orang lain. Seawal usia 12 tahun saya lebih cenderung menghasilkan puisi moden, sajak. Namun tidak pernah pula terniat untuk mencuba nasib. Saya sekadar mendeklamasikan sajak tika ada majlis-majlis rasmi sekolah seperti sambutan Hari Guru dan Hari Qualiti khususnya. Namun saya ini terlalu minat pada subjek karangan Bahasa Melayu. Barangkali mewarisi minat ibu yang juga gemar akan mata pelajaran ini. Saat menyambut Majlis Sambutan Hari Qualiti sekolah, saya dengan senyum simpul akan naik ke atas pentas menerima hadiah bagi mata pelajaran terbaik, Bahasa Melayu. Hanya itu yang satu. Mata pelajaran yang lain, digondol oleh rakan-rakan yang lain. Tidak pernah terfikir oleh saya akan hala tuju minat dalam bahasa ibunda ini. Minat menulis cerpen kala itu masih belum tersemai dalam diri. Tetapi, minat itu mula tersemai dan berputik kala usia mencecah 15 tahun. Seingat saya, cerpen pertama yang terhasil berjudul ‘Nenek’, sekitar usia 16 tahun. Pada usia itu, hanya satu cerpen itu sahaja yang terhasil.

Dalam ripuh melumati pelajaran untuk menduduki SPM (1998), sesekali melepaskan penat dan jemu dengan mencoret beberapa fragmen di dalam sebuah buku khas. Sedikit demi sedikit dan akhirnya menjadi sebuah cerpen. Saya berikan tajuk cerpen tersebut ‘Rona Kehidupan’. Pada tahun 1999 dan 2000 saya tidak langsung menghasilkan cerpen. Betapa saya ini tidak produktif menghasilkan cerpen saat itu. Saya kembali menghasilkan cerpen sejurus selepas tamat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Sekadar dua buah cerpen terhasil sebelum menyambung pengajian ke Timur Tengah pada tahun 2001.

Pernah saya menghasilkan cerpen bertajuk ‘Kalau Dah Jodoh’ pada tahun 2002. Namun, atas kecuaian apa, cerpen tersebut hanya tinggal satu helaian. Entah bila saya dapat menyempurnakan cerpen itu buat kali kedua. Cerpen ‘Berdosakah Kita’, satu ilham yang lahir semasa menyelak-nyelak Majalah Muslimah, dalam sesak menghafal teks pidato bahasa Arab sambil bersantai membaca majalah tersebut. Sekembali daripada meraikan Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan tanahair (PMHK), saya mula berfikir bagaimana mahu menghasilkan cerpen ini. Akhirnya, tercetus idea untuk memulakan cerpen ini dengan sesi dialog dua bayi yang tidak bernyawa. Di sini saya menampilkan bentuk penceritaan alam ghaib dan nyata. Saya selitkan ilmu bantu dengan harapan masyarakat sekeliling membuka mata, hakikat pengguguran janin yang berleluasa benar-benar berlaku di Singapura.

Saya kira, sesi 2003/2004 yang lalu agak produktif menghasilkan cerpen. Juga giat berbengkel. Tahun 2005 ini pula, baru terhasil satu cerpen seusai imtihan fasa pertama. Sungguh! Kritikan telah menemukan saya dengan kelemahan dan kesilapan diri. Jika dulu, muka merona merah dan telinga bagai berasap mendengar kritikan moderator dan ahli bengkel yang lain, tetapi sekarang, kritikan itu amat menyoronokkan. Terasa hampa jika sidang pembaca memuji, kerana itu bukan impian saya. Saya tidak ambil hati kala ketua moderator, Amiza Khusyri mengkritik teruk cerpen saya. Saya tahu, Amiza Khusyri tidak suka memuji kerana memandangkan pujian itu tidak akan bertahan lama, malah akan membunuh minat penulis untuk terus menulis. Lantaran itu, saya bangun daripada kritikan. Kritikan adalah suatu yang membina jati diri seorang penulis, juga membina identiti penulis. Untuk itu, jika anda mahu menjadi penulis jangan sekali-kali mengharap pujian, kerana pujian itu ibarat membunuh. Adakah kita berhak menerima pujian? Kerana apa yang dimiliki itu adalah anugerah Tuhan. Namun tidak salah pujian yang sedikit, sekadar pemugar semangat. Salam Karya.

7 comments:

amiza khusyri said...

TAHNIAH dah ada weblog. Teruskan. :)

nimoizty said...

Tahniah Kak sebab dah ada Blog sendiri. Semoga terus tekun menulis. Dan menjadi penulis yang berjaya pada masa hadapan. Salam Sastera.

Sufian said...

Majalah terbitan DBP? Masih relevan ke DBP di Malaysia, atau hanya menara pembaziran duit ra'ayat? Kenapa agaknya kalau dibandingkan rekabentuk majalah DBP itu tahap *maaf saya kata* sampah kalau dibandingkan dengan majalah-majalah lain; terbitan karangkraf, sebagai contoh?

SYARIFAH SALHA SYED AHMAD said...

Sdr Sufian: pandangan saya relevan. DBP mementingkan mutu dan kualiti. Mengangkat dan memartabatkan bahasa ibunda. Rekabentuk bukan persoalan utama. Paling utama nilai karya yang terdapat di dalamnya. Juga penyebaran maklumat tentang perkembangan bahasa dan sastera Melayu. "Dont change the book by it's cover." Jika semua orang mementingkan cover, mundurlah bahasa ibunda. "To write is human, to edit divine." Justeru, terdapatkah dalam majalah-majalah lain yang mementingkan bahasa dan memberi panduan tatabahasa kepada kita? "Nyatalah, bahasa bukan sahaja menjadi faktor penting dalam perlembagaan kebudayaan. Tetapi juga penting dalam mengembangkan ajaran agama. Dan nyatalah bagi kita yang hidup dalam sebuah negara merdeka sekarang ini, perbezaan agama dan keturunan dapat diatasi melalui bahasa sebagai perpaduan kebangsaan (TUN SYED NASIR BIN ISMAIL, Mantan Pengarah DBP)

Sufian said...

Sdri, saya concede yang antara tugas DBP adalah untuk 'memartabatkan' BM (Tuhan saja tau apa makna frasa ini), jadi jika kita bermula dari sini kita boleh katakan sejak penubuhannya DBP sudah gagal-segagal-gagalnya (apologi kepada En Eddie Hamid).

Di mana, sebagai contoh, buku-buku terjemahan yang boleh meluaskan kosa kata Bahasa Melayu? Apa usaha DBP untuk mempromosi sastera di Malaysia? Apakah cukup dengan kelompok-kelompok kecil membaca puisi di bilik-bilik usang dan majalah-majalah dengan rekabentuk yang memualkan?

Merujuk kepada rekabentuk buku: ini sahaja sudah menunjukkan betapa DBP cuai, kerana ia sepatutnya sedar kita ini hidup di zaman MTV, zaman hiperrealiti, zaman maklumat overload, dan cara terpantas dan terbaik untuk menyampaikan mesej adalah melalui gambaran luaran (form). Mahu tak mahu rekabentuk itu perlu nombor satu. Itu zeitgeist zaman ini!

Kegagalan DBP untuk mengikut rentak edar zaman sungguh jelas dan menyakitkan mata (secara literal dan metaforikal)!

Lebih menyakitkan ialah usaha DBP untuk menjadi Diktator bahasa; saya rujuk kepada insiden KRU yang lepas - apa hak DBP untuk merampas hak milik rakyat (maksud saya bahasa)? Apa hak DBP untuk katakan itu salah, ini salah? Kerja ini hanya menambahkan kertas yang menjadi santapan raksasa birokrasi, juga menunjukkan betapa DBP sendiri tidak faham apa itu bahasa dan bagaimana bahasa berkembang!

Maaf kalau berbunyi kasar, mungkin penggunaan ayat yang tak betul (er... saya salahkan DBP, heh heh)

SYARIFAH SALHA SYED AHMAD said...

Sdr Sufian: Waduh! ngapa sih emosi bangat? Terpulang kepada penilaian diri Sdr. Jika Sdr dapat mengotakan kata ini dn bikin pembaharuan utk DBP, lbh bagus bukan? Adakala kita hanya tahu mengkritik, tetapi tidak pula mendasari siratan masalah yg berlaku. Sememang DBP tidak punyai kuasa mutlak utk menghalang penggunaan bahasa oleh rakyat. Namun, berusaha memelihara dan memartabatkannya. Kelompok-kelompok kecil yang membaca puisi di bilik-bilik usang, hanya itu yang berminat untuk memartabatkan bahasa. Tanya yang lain, bagaimana? Biarpun kecil dan sedikit, itulah yang harus dipelihara. Saya kira jika semua orang berpandangan seperti Sdr, pasti tak lahir Sasterawan Negara. Jangan salahkan DBP, sejauh mana usaha kita memartabatkan bahasa ibunda? Jika DBP tidak wujud, sastera tetap wujud. Kerana sastera telah wujud sejak zaman berzaman. Namun usaha DBP harus dihargai. Kita kelompok manusia, semua mahukan kesempurnaan. Namun siapalah kita untuk mengubah segala. Barangkali Sdr boleh tubuhkan DBP kedua yang lebih komplek, menyerlah dan lebih dihargai oleh rakyat:) Buktikan!

Sufian said...
This comment has been removed by a blog administrator.