Pages

Tuesday, December 20, 2005

BUDAYA YANG DIPINGGIRKAN

Saya tidak melepaskan peluang ke UKM untuk menyaksikan PESTA PERSUKUAN ADAT PEPATIH DAN MASAKAN TRADISIONAL NEGERI SEMBILAN pada 17 dan 18 Disember 2005. Saya ke sana bersama Nisah Hj Haron. Pesta ini julung kalinya berlangsung di luar Negeri Sembilan. Sebelum ini, Seri Menanti adalah tapak utama tumpuan orang ramai apabila berlangsungnya pesta ini. Namun, tahun ini menemukan sedikit kelainan apabila pesta ini diadakan di luar Negeri Sembilan. Tujuan Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus mengadakan pesta ini di luar Negeri Sembilan untuk memberi peluang dan memperkenalkan kepada orang ramai tentang Adat Pepatih. Masyarakat luar Negeri Sembilan khususnya sering meletakkan pandangan kurang senang terhadap Adat Pepatih yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan sejak beratus tahun yang lampau. Justeru pesta ini memberi peluang dan ruang kepada orang ramai untuk bertanya dan mengajukan sebarang kemusykilan tentang Adat Pepatih melalui Wacana Adat yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato' Seri Maharaja Dato' Haji Khalid Bin Bonget, Tiang Balai Penghulu Luak Ulu Muar pada 17 Disember tersebut. Orang ramai juga berpeluang mendengar ceramah adat yang disampaikan oleh beberapa orang panel terkemuka yang menyentuh pelbagai perspektif pada 18 Disember lalu. Selain itu, program yang berlangsung selama dua hari ini turut mengagendakan acara-acara yang menarik seperti Pameran Adat, Kraftangan dan Jualan, Demonstrasi Adat dan Masakan, Permainan Tradisional Negeri Sembilan dan Persembahan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan.

Saya kira sesuatu yang istimewa dalam majlis ini apabila orang ramai turut dibekalkan dengan kertas kerja pada setiap ceramah dan wacana adat yang dijalankan. Saya menggemari cara ini kerana dapat membantu orang ramai membuat rujukan disamping menambah maklumat dan pengetahuan terhadap Adat pepatih yang sering mendapat tohmahan.


Saya suka memetik kata-kata Nisah Hj Haron "tak tahu bertanya" dalam ceramah yang disampaikannya pada 18 Disember lalu. Saya kira konsep ini harus dipegang oleh masyarakat untuk memastikan salah faham dan salah persepsi terhadap sesuatu dapat dihakis.


Masyarakat pada hari ini khususnya generasi muda tidak lagi mengamalkan adat yang diamalkan orang-orang terdahulu. Justeru tidak hairan jika melihat keruntuhan akhlak dan kepincangan cara hidup muda-mudi berlaku pada hari ini. Hal ini kerana mereka sudah jauh daripada nilai-nilai kemasyarakatan dan kebudayaan. Hal ini juga berpunca daripada sebilangan masyarakat pada hari ini sering meminggirkan nilai-nilai budaya daripada hidup mereka. Peri penting adat ini kerana, di dalamnya terkandung pelbagai peraturan dan amalan mulia yang dapat membentuk tatasusila dan cara hidup masyarakat khususnya generasi muda dewasa ini.


Kata-kata perbilangan seperti 'alam terkembang menjadi guru, adat bersendi hukum, hukum bersendi Kitabullah' jelas menggambarkan bahawa adat sering diguna pakai oleh masyarakat untuk membentuk masyarakat yang unggul dan mulia. Bahkan adat dan syarak adalah benteng kekuatan masyarakat kerana kaya dengan nilai-nilai murni. Ini juga bersesuaian dengan Forum Kebudayaan Generasi Muda yang dibincangkan oleh ahli panel pada 17 Disember 2005 di Dewan Bahasa dan Pustaka yang lalu. Saya juga ke sana mendengar pandangan dan pendapat daripada Untaya Sankar SB, SM Zakir, Nisah Hj Haron dan beberapa panelis yang lain. Tuntas saya melihat dua program yang berbeza ini ada perkaitan dan persamaan dari sudut sosial, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan.


Saya kira, pengalaman berharga ini tidak mampu diceritakan sepenuhnya kerana terlalu banyak yang saya perolehi sepanjang berada di UKM dan DBP. Biarlah kata-kata perbilangan di bawah ini mengungkap dan mentafsir segalanya;


-ADAT TAK LAPUK DEK HUJAN TAK LEKANG DEK PANAS
-GEMUK BERPUPUK, SEGAR BERSIRAM, DIANJAK LAYU DICABUT MATI.
-NEGERI BERPAGAR UNDANG, KAMPUNG BERPAGAR PUSAKA
-ADAT BERSENDI HUKUM, HUKUM BERSENDI KITABULLAH
-ADAT DIKELEK, SYARAK DIJUNJUNG
-SYARAK MENGATA, ADAT MEMAKAI
-PADA ADAT MENGHILANGKAN YANG BURUK, MENIMBULKAN YANG BAIK
-PADA SYARAK MENYURUH BUAT YANG BAIK, MENEGAH BUAT YANG JAHAT
-PERTAMA KATA ALLAH
-KEDUA KATA RASUL
-KETIKA KATA PUSAKA
-KEEMPAT KATA TUA MUAFAKAT
-KELIMA KATA BETEROMBA
-KEENAM KATA BERSALSILAH


Kata-kata saya pula; jangan mengeji pada yang hina, jangan mengata sekilas pandang, bersangka baik dapat pahala, tak tahu kita bertanya, tak faham kaji bersama, bukan adat sebarang adat, adat kita tinggalan pusaka, murni adat kerana muafakat, sepakat kata berkat, selisih faham pincang, murni kata dek mulia, murni bahasa dek indah, murni sahsiah dek amal, murni adat dek peraturan, murni agama dek percaya.


Selamat membaca!

No comments: